Friday, November 4, 2016

TIDAK HARUS MEMILIH LAIN DARIPADA KETETAPAN ALLAH




Allah SWT tidak mengharuskan kepada orang beriman memilih yang lain daripada hukumnya.

Firman Allah SWT suratul Ahzab ayat 36 bermaksud, “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin (yang beriman) dan perempuan mukminah (yang beriman) apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan adakan bagi mereka urusan yang lain tentang urusan mereka”.

Ini menunjukkan bahawa bila ada ketetapan hukum daripada Allah ataupun daripada Rasulullah SAW, kita mestilah menerima hukum itu. Tidak boleh menerima dan memakai hukum yang lain. 

Walaupun ayat ini diturunkan dengan sebab yang berlaku pada diri Rasulullah SAW dan umat Islam di zamannya apabila mereka memanggil Zahid bin Muhammad kepada Zahid bin Harisah, anak angkat nabi SAW, Allah Ta’ala melarang meletakkan ‘bin’ kepada ayah angkat. 

Anak angkat hendaklah dibinkan kepada ayahnya yang sebenar, bukan kepada ayah angkatnya. Ayah angkat berbeza dengan ayah yang sebenar. Ayah yang sebenar merupakan keturunan yang ditetapkan oleh Allah. 

Bagi mempastikan bahawa ayah angkat itu berbeza dengan ayah yang sebenar, Allah Ta’ala telah mentakdirkan Zahid bin Harisah, anak angkat nabi SAW bercerai dengan isterinya, Zainab binti Jaz RA. Selepas habis edahnya Allah Ta’ala menurunkan wahyu mengahwinkan Rasulullah SAW dengan Zainab binti Jaz dengan nas, “Kami kahwinkan engkau wahai Muhamad dengan Zainab binti Jaz”. Allah Ta’ala sendiri yang menjadi jurunikah mengahwinkan Zainab binti Jaz dengan Rasulullah SAW.

Walaupun perkara itu sangat berat bagi diri Rasulullah SAW dan sangat berat bagi masyarakat untuk menerimanya bagaimana ayah angkat berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat, “Tidak harus bagi seorang lelaki yang beriman dan seorang perempuan yang beriman apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara dalam urusan mereka lalu mereka membuat pilihan yang lain”

Bila Allah Ta’ala membuat ketetapan, kita tidak boleh memilih yang lain daripada hukum Allah Ta’ala, kecuali urusan duniawi yang diizin oleh Allah Ta’ala. Dalam urusan duniawi manusia boleh menggunakan akal, pengalaman dan kajiannya. 

Antara contoh yang ditunjukkan oleh Allah Ta’ala ialah satu peristiwa berlaku di zaman Rasulullah SAW, pada peringkat awal penghijrahan nabi SAW ke Madinah. Penduduk Madinah melakukan cantuman dengan mengahwinkan mayam pokok tamar jantan dengan mayam pokok betina supaya mengeluarkan buah yang subur. Rasulullah SAW berkata bahawa tidak payahlah membuat cantuman mayam itu.

Tiba-tiba didapati pokok tamar pada tahun itu tidak mengeluarkan buah yang subur. Mereka pun mengadu kepada Rasulullah SAW, maka bersabdalah Rasulullah SAW, “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu”.

Ada urusan yang Allah Ta’ala serahkan kepada akal dan kajian manusia. Hari ini undang-undang jalan raya, undang-undang laut dan undang-undang alam sekitar sebagai contoh diizinkan oleh Allah Ta’ala untuk membawa muslahah kepada manusia.

Apabila ada ketetapaan dari Allah Ta’ala berkait dengan hukum seperti haram berzina, haram berjudi dan haram minum arak kita mesti menerimanya dan dilarang menggunakan hukum yang lain daripada apa yang telah ditetapkan. 

Dalam perkara yang haram ada haram untuk seluruh manusia dan ada yang haram untuk penganut Islam sahaja. Ada agama membenarkan penganutnya minum arak dan makan babi. Dalam hal ini kita tidak boleh menghalang apa yang diizinkan oleh agama mereka. Ini termasuklah urusan ibadat mereka. Bila mereka menjadi rakyat negara Islam, kita tidak boleh mengganggu dan menyakiti mereka.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menyakiti orang kafir Zimi maka dia menyakiti diri aku sendiri”

Jangan menyakiti orang bukan Islam. Ini dilarang oleh nabi SAW. 

Bila orang bukan Islam menjadi rakyat di negeri Islam ada undang-undang yang ditetapkan oleh Allah berkait dengan jenayah. Hukum qisas dan hudud adalah hukum ditetapkan oleh Allah Ta’ala dalam Quran, “Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu hukuman qisas dalam perkara pembunuhan”. Ini tidak boleh dipinda.

Antara hukuman qisas itu ialah hak diberi kepada wali mangsa kezaliman atau diri mangsa kezaliman itu hak pengampunan disebut oleh Quran, “Dan sesiapa yang dimaafkan oleh mereka yang diberi hak untuk memaaf dalam hukum qisas maka dimaafkan”.
Antaranya hukum qisas ialah membunuh orang, apabila wali si mati memaafkan maka dipindah kepada diat dan tidak dijatuhkan hukuman bunuh. 

Keluarga si mati atau pun mangsa yang masih hidup boleh memaafkan kesalahan. Mangsa itu diberi hak untuk memaafkan orang yang melakukan kesalahan jenayah kepadanya.

Hari ini hak memaaf diberi kepada raja, perdana menteri, menteri besar dan peguam negara. Ini bercanggah dengan nas yang ada di dalam Quran. Bila Allah Ta’ala membuat ketetapan begitu kita perlu ikut keputusan Allah Ta’ala.

Hukum hudud yang berkait dengan murtad, merompak, mencuri, menyamun, minum arak, berzina dan menuduh orang berzina disebut dalam Quran, ada nas dalam Quran.
Allah Ta’ala memulakan surah-surah yang menyebut hukum hudud ini dengan ayat yang tegas  maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman tunaikanlah kamu akan ikatan-ikatan janji yang telah kamu buat”.

Antara ikatan janji ialah ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WASYHADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH (Mengaku tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhamad itu Rasulullah). Termasuk dalam pengakuan itu ialah pengakuan hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala dan oleh Rasulullah SAW. Kita tidak boleh meminda hukum-hukum ini, kecuali ada syarat-syarat yang ditetapkan.

Hukum hudud ada syarat-syaratnya. Syarat saksi, syarat nisab dan berbagai-bagai lagi. Jika syarat tidak mencukupi hukuman tidak boleh dijatuhkan. Seperti sembahyang ada syarat-syaratnya. Syaratnya mesti ada air sembahyang, kecuali dalam keadaan darurat.
Jika orang mencuri nisabnya tidak cukup, tangan tidak boleh dipotong. Syarat-syarat ini mesti dipatuhi. Bila syarat sudah mencukupi jangan dipindah kepada undang-undang yang lain. 

Ada ulamak-ulamak yang rasmi yang patuh kepada pemerintah walaupun tidak betul kehendak Islam. Mereka mengatakan hukum yang ada adalah hukum ta’zir. Hukum ta’zir ini bila tidak cukup syarat. Hukum ini diserah kepada pemerintah. Dalam perkara hudud dan qisas, bila syarat tidak mencukupi pesalah tersebut dikenakan hukum ta’zir. 

Hukum ta’zir dikenakan juga ke atas pesalah yang kesalahannya tidak ada dalam Quran dan hadis.

Menjadi khilaf di kalangan ulamak sekiranya orang kafir melakukan kesalahan hudud. Ada ulamak mengatakan orang kafir dikenakan hukuman hudud juga. Ada juga ulamak mengatakah bahawa orang kafir tidak boleh dikenakan hudud kerana Imam Malik dan ulamak Maliki mengatakan hukuman hudud dikenakan untuk menghilangkan dosa. Bila dikenakan hudud di atas dunia maka terlepaslah di hari kiamat (tidak kena neraka).
Bagi orang kafir, Imam Malik mengatakan kita mengenakan hukum hudud ke atasnya, neraka kena sekali lagi di akhirat. Oleh sebab itu tidak perlu mengenakan hukum hudud ke atas orang kafir, biarlah kena neraka sahaja di akhirat.

Ada juga ulamak mengatakan bahawa pilihan boleh diberi kepada mereka kerana firman Allah Ta’ala bermaksud, “Maka jika sekiranya mereka itu (orang kafir) datang kepada kamu wahai Muhamad SAW dalam kesalahan yang berkait dengan jenayah yang dibuat oleh mereka maka engkau boleh menghukum mereka, atau engkau membiarkan mereka, jangan menghukum. Jika sekiranya kamu membiarkan, mereka tidak boleh memberi apa-apa mudarat kepada kamu”

Jika orang kafir tidak dikenakan hukum hudud, mereka tidak boleh memberi mudarat kepada kita. Mudarat akan kena kepada mereka sendiri. Jika sekiranya kamu mengenakan hukuman ke atas mereka, maka hukumlah dengan adil.  Allah Ta’ala mengasihi orang-orang yang adil.

Ada seorang pemimpin mengatakan jika dilaksanakan hukum Islam, orang Islam menjadi kudum, menjadi cacat dan orang bukan Islam tidak cacat. Dia menggunakan akalnya dan dia tidak tahu hikmat yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala mengatakan, “Mereka tidak akan memberi apa-apa mudarat kepada kamu”
Sekiranya orang Islam yang mencuri dihukum, orang Islam yang merompak dihukum, dan pencuri dan perompak bukan Islam tidak dihukum dengan hukum hudud tidak akan memberi mudarat kepada orang Islam.

Mengapa?

Dengan terlaksananya hukuman itu orang Islam akan menjadi baik, kerana orang Islam tidak berani mencuri dan merompak maka baiklah orang Islam. Orang Islam menjadi masyarakat yang baik.

Sebaliknya orang bukan Islam menjadi masyarakat yang banyak jenayah di kalangan mereka. Ini akan meninggikan mertabat orang Islam dan boleh menarik orang bukan Islam masuk Islam. 

Hari ini macam mana orang kafir hendak masuk Islam. Orang kafir berkata bahawa orang Islam tidak sembahyang dan lebih jahat daripada mereka lagi. Masyarakat Islam tidak boleh menjadi contoh yang baik.

Kita perlu sedar jika undang-undang Islam dilaksanakan maka orang  Islam menjadi masyarakat yang baik, menjadi contoh kepada orang bukan Islam.

Betapa malangnya, sudahlah tidak meneriman hukum Allah, mereka berkata pula, “Kalau melaksanakan hukum Islam negara akan menjadi huru-hara, negara akan menjadi mundur”.
Kita perlu sedar cakap-cakap semacam inilah boleh menjadi murtad, kafir dan batal dua kalimah syahadat. 

Nauzubillahimizalik.

- KULIAH YT

No comments:

Post a Comment