Saturday, November 19, 2016

UNGKAPAN INSYA ALLAH



Ungkapan insya Allah selalu kita dengar dan selalu kita sebut.

Apa makna ungkapan ini?

In  - jika
Sya – berkehendak
Allah – Allah

Insya Allah maknanya ‘jika Allah berkehendak.’ (If the God will) Jika Allah berkehendak sesuatu itu berlaku maka berlaku. Jika Allah hendak berlaku tidak sebagaimana yang kita rancang maka itulah kuasa Allah s.w.t.

Ungkapan insya Allah sebenarnya satu lambang seorang mukmin yang sentiasa faham bahawa apa yang dia rancang, sekiranya dia berjanji dia sentiasa ingat bahawa segala-galanya tertakluk kepada iradah, kepada kehendak Allah s.w.t.
Maka orang beriman akan merancang sebaik-baiknya, dia akan berusaha yang terbaik kemudian dia ingat Allah s.w.t. 

Ada kalangan manusia yang hanya bergantung kepada strategi dan perancangannya dan lupa kepada Allah. Ada pula yang menyerah bulat-bulat kepada Allah Ta’ala. 

Orang beriman dan memahami Islam dengan sempurna sentiasa tidak lupa dengan kekuasaan Allah. Imej orang mukmin antaranya basah bibir mulutnya menyebut ungkapan in sya Allah.
KULIAH YT

Dalam menafsirkan ayat ke-24 surah al-Kahfi, ulamak bernama al-Wahidin menyatakan bahawa suatu hari sekumpulan Yahudi datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu bertanya Rasulullah berkenaan sekumpulan pemuda yang bersembunyi di dalam gua yang dikenali sebagai Asyhabul Kahfi. “Wahai Muhamad tolong cerita kisah pemuda yang sembunyi dalam gua itu.” Kata Yahudi tersebut. 

Lalau Rasululllah s.aw. menjawab: “Aku akan memberi kepada orang esok.” Nabi terlupa menyebut insya Allah.

Akibatnya Allah Ta’ala melewatkan wahyu. Esok nabi tunggu tidak turun. Lusa tidak pun tidak turun dan sehingga beberapa hari wahyu tidak turun. Selepas berlalu satu tempoh baharulah Allah Ta’ala menurunkan penjelasan mengenai pemuda Asyhabul Kahfi. 

Dalam ayat ke-24 surah al-Kahfi Allah Ta’ala menegur nabi Muhamad s.a.w. “Jangan sekali-kali kamu berkata aku akan buat esok melainkan sebutlah insya Allah.”

Walaupun ditegur bukan bermakna Rasulullah kurang darjatnya. Teguran sebagai tarbiah dan pengiktibaran kepada umatnya. Selepas teguran itu Rasulullah sentiasa menyebut insya Allah.

Jadi bila berjanji hendak melakukan sesuatu jangan lupa menyebut insya Allah untuk mengingatkan bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.

Ungkapan insya Allah juga disebut oleh nabi-nabi a.s.t.s. sejak zaman berzaman. 

Ada beberapa kisah berkait dengan nabi-nabi mengenai ucapan ungkapan insya Allah ini yang disebut dalam al-Quran.

Kisah seorang pengurus memeluk Islam kerana tertarik dengan ungkapan insya Allah.
Seorang pengurus bekerja di sebuah pelabuhan di Iskandariah di negara Mesir. Setiap kali orang Arab berurusan dan membuat janji dengan pengurus bukan Islam ini terkeluar daripada mulutnya ungkapan insya Allah, insya Allah, insya Allah.
Lalu pengurus itu bertanya kenapa selalu menyebut perkataan insya Allah; apa maknanya.
Apabila diterang makna sebenar ungkapan insya Allah dan apa di sebalik ungkapan itu, pengurus itu cukup kagum dengan agama Islam. Dia berkata pengalamannya sendiri banyak rancangan yang dibuat tidak berjaya sebagaimana yang dirancang. Ini menunjukkan kuasa penentu bukan di tangan manusia. Lalu pengurus itu masuk Islam. 

Dalam Sunan Nasyaii Rasulullah s.a.w. pernah bercerita berkenaan nabi Sulaiman. Pada suatu hari nabi Sulaiman berkata malam ini dia hendak bersama dengan seratus orang isterinya (ini syariat zaman nabi Sulaiman) untuk melahirkan anak-anak yang semuanya akan pergi berperang mempertahankan agama Islam.

Rasulullah berkata nabi Sulaiman terlupa menyebut insya Allah. Setelah berlalu semua isterinya mengandung. Tetapi apabila melahirkan anak salah seorang daripada seratus orang anak ditakdirkan Allah cacat.  

Dihujung hadis itu Rasulullah s.a.w mengatakan sekiranya nabi Sulaiman menyebut insya Allah nescaya semua anak yang dilahirkan sempurna.

Kisah yang masyhur iaitu kisah nabi Ibrahim diperintahkan supaya menyembelih anak kesayangan , nabi Ismail. Bila nabi Ibrahim memberitahu anaknya: “Aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu.”

Mimpi nabi adalah wahyu. Anak yang solih ini faham dan yakin bahawa itu perintah Allah. Lalu anaknya berkata: “Wahai ayah kesayangan ku buatlah sebagaimana yang diperintahkan dan insya Allah aku akan menjadi di kalangan orang-orang yang sabar.”
Ini menunjukkan kepada kita bahawa Ismail ini menerima ketentuan Allah walaupun terpaksa menggadai nyawa sendiri. Dalam keadaan sabar dan yakin Ismail yang usianya masih muda tidak lupa menyebut in sya Allah. 

Satu kisah lagi disebut dalam surah al-Kahfi iaitu mengenai nabi Musa a.s. 

Hadis riwayat imam Bukhari mengesahkan nabi Musa belajar dengan Khadir a.s. yang disebut dalam surah al-Kahfi.

Apabila terserempak dengan Khadir nabi Musa meminta izin untuk belajar apa yang diajar kepada Khadir. 

Khadir membahagi syarat: “Kamu wahai Musa! Jangan tanya mengapa aku buat.”

Apa jawapan nabi Musa?

Nabi Musa berkata: “Kamu akan dapati aku insya Allah akan sabar sepanjang pembelajaran aku dengan kamu.”

Nabi Musa a.s. nabi ulul azmi yang penuh azam hendak belajar dan mampu mengikut syarat Khadir a.s. memberi contoh yang sangat baik kepada kita kerana menyebut insya Allah.

Jadi kita manusia biasa ini sandarkanlah segala janji kita kepada kehendak Allah s.w.t.

Terdapat di kalangan masyarakat menyalahgunakan insya Allah. Ungkapan itu digunakan sebagai alasan untuk tidak menepati janji. Perkataan insya Allah mesti digunakan selepas segala perancangan dan ikhtiar dibuat dengan rapi. 

Para ibu bapa eloklah menggunakan ungkapan insya Allah bila bercakap dengan anak-anak. Sebagai contoh, cuti sekolah ini insya Allah kita akan pergi ke Genting Highland. Muga-muga ungkapan insya Allah menjadi ikutan dan amalan anak-anak bila dewasa nanti.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment