Wednesday, November 2, 2016

ADAB SUAMI DAN ISTERI (TANGGUNGJAWAB SUAMI)



Adab suami dan isteri sangat penting untuk kita bahaskan kerana kadang-kadang ada berlaku di kalangan rumah tangga seorang suami yang tidak bertanggungjawab langsung terhadap isterinya dan keluarganya. 

Begitu juga didapati kepincangan rumah tangga disebabklan oleh isteri tidak mengetahui peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Perkara-perkara begini kalau dibiarkan berpanjangan boleh memberi kesan di dalam pembinaan anak-anak dari segi perwatakan dan sebagainya.

Jadi memahami adab suami-isteri akan memudahkan kita menjalankan tanggungajawab kita yang sebenar sebagai seorang suami mahu pun seorang isteri.

Pada peringkat asas rumah tangga, Allah Ta’ala hendak memberi kita bahagia, hendak memberi kita nikmat. Apa guna jika suami dan isteri selalu bercakaran antara satu sama lain. 

Allah Ta’ala berfirman surah Rome (surah 30) ayat 21 maksudnya, 

Allah SWT berfirman:

وَمِنْ اٰيٰتِهٖۤ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْۤا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً   ؕ  اِنَّ فِيْ ذٰ لِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ
"
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (QS. ar-Rum 30:21)

Allah Ta’ala menceritakan secara umum bahawa rumah tangga yang dibena antara lelaki dan wanita itu untuk kita bertenang, mendapat kasih sayang dan rahmat. Itu prinsipnya
Tetapi apabila suami dan isteri tidak mengetahui apakah adab-adab yang mereka perlu fahami maka timbullah keretakan di dalam rumah tangga.

Apakah adab-adab perlu ada bagi seorang suami untuk menjalankan fungsinya sebagai seorang suami. 

1. Seorang suami mesti menjadi seorang suami yang bertanggungjawab. Dia berkewajipan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami mengikut keredhaan Allah SWT.
Jika kita lihat di sekeliling kita sekarang berapa ramai isteri-isteri yang ditinggalkan oleh suami tanpa sebab, suami langsung tidak memberikan khabar berita, kadang-kadang langsung tidak memberi nafkah. Dalam istilah yang kita gunakan ialah gantung tidak bertali.

Jadi isteri tidak tahu di mana hendak mengadu nasib mereka. Bagaimana suami boleh tergamak meninggalkan isterinya hanya kerana sedikit masalah atau kerana melarikan diri daripada masalah-masalah yang sedang dihadapi.

Ini amat bercanggah dengan pesanan nabi SAW dalam satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud, “Seorang suami itu bertanggungjawab dan dia adalah gembala kepada ahli keluarganya”.

Seorang gembala dalam kontek kambing, jika dibiarkan sahaja kambing-kambing itu tanpa kawalan akan menyusahkan orang lain. Mungkin kambing-kambing itu makan tanaman orang atau dilanggar oleh kenderaan akibat kambing-kambing itu tidak diurus dengan baik.

Wahai suami-suami sekalian, kalau sekarang kita sedang meninggal isteri kita, entah berapa lama kita tinggalkan maka kembalilah. Kita perlu tahu bahawa tanggungjawab kita ialah untuk menjaga rumah tangga kita. Kita perlu sedar bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Selesaikanlah dengan cara terbaik dan janganlah tinggalkan mereka. 

Dari sududt kaedah syarak berdosa bagi seorang suami meninggalkan isterinya tanpa sebab. 

Perlu imbau kembali semasa kita bernikah dengan isteri kita dahulu adakah lapaz taklid yang kita lapazkan seolah-olah satu MOU yang kita lapazkan dan kita tandatangani. Apa yang kita sebut dalam lapaz taklid itu, perjanjian kita dengan wali dan isteri kita, kita katakan, “Sekiranya saya meninggalkan isteri saya selama empat bulan hijrah berturut-turut tanpa sebarang khabar berita dan tidak memberi sebarang nafkah kepada isteri saya dan jika isteri pergi mengadu ke Pejabat Agama maka gugurlah satu talaq”. 

Adakah tandatangan itu dibuat main-main, tidak sama sekali. Ada implikasinya, andai kata kita meninggalkan isteri kita tanpa sebarang sebab yang munasabah selama empat bulan berturut-berturut boleh diambil tindakan oleh pihak mahkamah. Oleh itu kita perlu berhati-berhati. 

Kita perlu bertanggungjawab kepada isteri kita dan anak-anak yang sedang kelaparan di rumah. 

Mengikut satu hadis daripada Abdullah bin Amru al-‘Az bagaimana nabi SAW menggambarkan, “Cukuplah seseorang itu digelar sebagai seorang yang sangat berdosa apabila dia mengabaikan orang-orang yang wajib dia tanggung.

Sebagai contoh, suami yang tidak bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anak, cukuplah dia dikira seorang yang berdosa.

Andai kata kita ada masalah dengan isteri kita cubalah selesaikan. Kenanglah kembali saat-saat manis yang pernah kita tempuhi bersama. Apa guna kita dulu kahwin penuh dengan kompang dan bunga-mangganya tetapi akhirnya sudah menjadi rusak dan boleh menjurus kepada penceraian. Inilah yang paling kita takuti. 

Tidak dinafikan kadang-kadang ada suami yang bermasalah perselisihan faham dengan isteri dia tetapi itu tidak bermakna dia berhak meninggalkan isterinya tanpa khabar berita. Ini tidak dibenarkan. 

Sabda nabi SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud, “Janganlah seorang lelaki itu kalau dia benci seorang perempuan dia benci sungguh-sungguh kerana barang kali ada kebaikan pada orang perempuan itu yang kita boleh fikir-fikirkan yang mungkin tidak ada pada orang lain”, hadis riwayat Muslim.

Oleh itu kalau ada kesalahan dan keburukan pada isteri kita, cuba renung-renungkan barang kali ada kebaikannya yang perlu dihargai. Jangan pandang kepada keburukannya sahaja kerana di sebalik keburukan ada kebaikan, ada nilai-nilai positifnya yang kita tidak tahu. 

Kalau begitu cara berfikir Insya Allah kita tidak akan tinggalkan isteri dan anak-anak kita tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Suami mesti ada sifat sabar.

Seorang suami mesti bersabar dengan pasangannya kerana pasangan kita berbeza jantina. Wanita mempunyai cara penghidupan yang sangat berbeza.

Suami perlu sabar dengan pasangan dia. Sebagai contoh isteri suka berleteh. Hari-hari berleteh, bercakap, berleteh bercakap, hendak tidur pun bercakap. Suami tidak perlu susah hati dan jangan marah kepada isteri yang demikian rupa. 

Ada suami marah apabila isteri berleteh. Ini bercanggah dengan amalan para falakul soleh.
Ada seorang sahabat nabi namanya ‘Akil, seorang tentera di zaman Saidina Omar. Saidina Omar sering menghantar pasukan tentera untuk bertugas di sempadan. Ada dihantar bertugas tiga bulan dan ada sampai enam bulan. Anak-anak dan keluarga dijamin oleh pihak kerajaan Islam Madinah masa itu.

Selepas bertugas tiga bulan menjaga keselamatan tanah air ‘Akil balik ke Madinah. Seorang suami yang lama tidak berjumpa isteri dan membayangkan bahawa isteri akan menyambut dengan penuh mesra. Tetapi sayangnya bila ‘Akil sampai di rumah isterinya bukan sahaja tidak menyambutnya dengan cara terbaik bahkan disambut dengan leteran yang luar biasa. 

‘Akil yang baru sahaja pulang daripada bertugas lalu marah kepada isterinya. “Isteri derhaka, suami balik penat sepatut melayan saya dengan baik”.

Apa yang berlaku? 

Isterinya menangis dan berkata, “Abang tidak sayang saya”. 

‘Akil pening lalu keluar daripada rumah pergi minum teh di kedai. Kemudian dia pergi mengadu kepada Saidina Omar. 

Sampai di rumah Saidina Omar, dia terdengar isteri Saidina Omar sedang berleter kepada Saidina Omar. ‘Akil dapati tidak sepatah pun Saidina Omar jawap kepada isterinya. Timbul keinsafan dalam dirinya, “Ini panglima besar, Amirul Mukminin, aku cuma private”.
Seorang panglima besar tenang bila isterinya berleter. Hendak mengatakan Saidina Omar takut, tidak timbul soal takut. Tetapi soal sabar. 

‘Akil pun mengadu dengan Saidina Omar dan berkata, “Saya balik daripada bertugas di sempadan isteri saya berleter”.

Kata Saidina Omar, “Hai ‘Akil layanilah isteri kamu seperti kamu melayani anak-anak kamu. Isteri kamu itu penat, dia memasak untuk kamu, dia membasuh pakain kamu dan dialah yang mengurus rumah tangga. Bertimbang rasalah dengan isteri kamu”. 

Amirul mukminin bersabar bila isterinya berleter. Kita pun patut bersabar melayan kerenah isteri.

Orang perempuan yang berleter tanda dia sihat. Berleter untuk terapi kesihatannya. Orang perempuan kalau tidak bercakap lama-lama dia akan menjadi pening, dia akan menjadi masalah sakit jantung. Orang perempuan hatinya duduk di mulutnya. Jadi dia akan bercakap apa yang dia hendak bercakap. Biarlah dia berleter kepada kita. Dia melepas perasaan. Dialah isteri kita yang sejati, bersabarlah.

Nabi SAW juga menghadapi suasana yang serupa. Sirah memberitahu kita bahawa nabi sentiasa bersabar.

Allah SWT memerintah supaya kita sentiasa bersabar dengan orang perempuan. Firman Allah Ta’ala suratun Nisa (surah 4) ayat 19 bermaksud, 

يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا يَحِلُّ لَـكُمْ اَنْ تَرِثُوا النِّسَآءَ كَرْهًا   ؕ  وَلَا تَعْضُلُوْهُنَّ لِتَذْهَبُوْا بِبَعْضِ مَاۤ اٰتَيْتُمُوْهُنَّ اِلَّاۤ اَنْ يَّأْتِيْنَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ  ۚ  وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ  ۚ  فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰۤى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـئًـا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. 

Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (QS. an-Nisa’ 4:19)

“Bergaullah dengan mereka mengikut cara yang terbaik”.

Isteri kita antara sebab dan musabab kejayaan kita. Mungkin ada yang mengatakan bagi muka sangat kepada isteri. Ini bukan masalah bagi muka. Ini bukan masalah macam orang dayus. Ini adalah adab yang disuruh dalam agama. 

Ada satu hadis riwayat imam Turmuzi, nabi SAW telah bersabda maksudnya, “Sesempurna iman seseorang mukmin adalah yang paling baik akhlak mereka dan yang terbaik di kalangan mereka ialah yang baik terhadap isterinya”.

Betapa hebat seseorang itu dari segi penampilannya dan ketokohannya bagus, tetapi jika dengan isterinya dia bersikap kasar, zalim maka belum layak dipanggil seorang yang mempunyai akhlak yang baik. Oleh itu kita hendaklah mempunyai akhlak yang terbaik dengan isteri. 

Isteri memainkan peranan dalam kejayaan suami. Adakah kejayaan suami sebagai seorang pegawai kerana dia benar-benar hebat? Tidak semestinya. Tetapi kerana ada isteri yang menyumbang dari segi makan minum, pakain dan mengurus anak-anak serta mengurus perbelanjaan rumah tangga. 

Dalama hal-hal remih pun peranan isteri penting. Nabi SAW melayan isteri-isterinya dengan penuh adab sofan, dengan penuh kesabaran dan dengan penuh tanggungjawab.
Jadi suami perlu bertanggungjawab terhadap isteri dia, dengan memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal, banyak bersabar dan menjaga isteri sebagaimana ibu bapa menjaganya.

-  KULIAH YT

No comments:

Post a Comment