Wednesday, November 2, 2016

UMAT YANG PUNAH



Dunia pada hari ini dikuasai oleh suatu kuasa besar yang menganggap mereka mempunyai segala-galanya sama ada ketenteraan, ekonomi dan sebagainya.

Sebenarnya kekuatan sesuatu bangsa, kehebatan sesuatu bangsa ditentukan oleh Allah SWT. Kita sebagai orang beriman kita yakin kuasa yang paling besar ialah Allah SWT. Allah SWT yang memiliki segala-galanya. 

Kekuatan dimiliki oleh manusia hanya di dunia sahaja dan amat terhad. Allah SWT memiliki segala-galanya dan tidak terhad.

Sebenarnya kekuatan sesuatu bangsa, sesuatu negara itu berubah-ubah. Kalau kita membaca sejarah al-Quran kita dapati umat-umat terdahulu yang hebat-hebat akhirnya dihancur oleh Allah SWT.

Mengapa mereka itu dihancurkan oleh Allah SWT? Kita akan sebut sebab-sebab yang membinasakan umat supaya menjadi suatu iktibar, sebagai suatu pengajaran, sebagai suatu fikiran kepada kita.
.
Allah SWT menyebut dalam satu ayat, “Sesungguhnya yang pada demikian itu sesuatu peristiwa yang berlaku, apa sahaja yang berlaku, ianya menjadi satu peringatan kepada siapa yang mempunyai hati atau pun menggunakan pendengaran untuk menyaksikan sesuatu kebenaran yang disampaikan oleh Allah SWT”.

Antara sebab kehancuran sesuatu umat ialah kerana mengingkari ayat-ayat Allah SWT, menentang rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Ini suatu realiti yang berlaku.
Firaun menganggap dirinya tuhan seperti yang diceritakan oleh Allah SWT. “Aku merupakan tuhan yang paling tinggi”, kata Firaun.

Mengikut ulamak dengan ucapan itu Firaun mengaku dia tuhan. Ada juga ulamak menafsirkan bahawa Firaun mengaku dia boleh membuat macam tuhan kerana Firaun boleh mematikan manusia dan boleh menghidupkan seseorang. 

Maksudnya, mematikan bila dia membunuh orang dan menghidupkan ialah apabila dia tidak jadi bunuh maka dia kata boleh menghidupkan. Bukan menghidupkan daripada sesuatu yang mati.

Ini umat yang menentang Allah dan menentang perintah Rasulullah SAW yang akhirnya dimusnahkan oleh Allah SWT.

Bila kita merujuk al-Quranul Karim Allah SWT menyebut dalam satu ayat maksudnya, “Adapun kaum ‘Ad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar, bukan sebab yang benar dan siapakah lebih besar kekuatannya daripada kami, siapa yang lebih hebat daripada kami”. Ini yang disebut oleh kaum ‘Ad (iaitu kaum nabi Hud)

“Lalu mereka menyatakan siapa yang lebih besar kekuatannya daripada kami dan apakah mereka itu tidak memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatannya”. 

Maknanya Allah SWT sebut Allah yang lebih berkuasa kerana Allah yang mencipta mereka.
Kata Allah, “Adakah mereka mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami, maka Kami meniupkan angin yang amat gemuruh kepada mereka dalam beberapa hari yang sial kerana Kami hendak merasakan kepada mereka seksaan yang menghinakan dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya seksaan akhirat lebih menghinakan sedang mereka tidak diberi pertolongan”.

Maka Allah Ta’ala menceritakan bagaimana kaum ini merasa mereka paling hebat, paling berkuasa di dunia macam kita melihat kuasa Amerika, Britain yang merasakan mereka paling hebat. 

Dulunya kaum ‘Ad ini merasakan mereka paling hebat kerana mereka mempunyai segala-galanya. Tetapi akhirnya Allah SWT hancur dan musnahkan mereka.

Antara sebab kemusnahan bangsa sesuatu umat itu ialah mereka terlalu gembira dengan kebendaan. Bukan bermakna kita menolak kebendaan tetapi benda ini dijadikan seolah-olah mecam tuhan. Mereka sembah dan mereka abdikan. 

Oleh sebab itu kalau melihat pencerobohan tentera bersekutu ke bumi Islam, Baghdad kerana tujuan berikut:

1. Mereka hendak menguasai kebendaan, hendak menguasai kekayaan minyak. Ini yang menyebabkan mereka sanggup melanggar, sanggup membuang segala undang-undang kata mereka, mereka adalah juara, sebab mereka terlalu ingin menguasai kekayaan bumi Islam. 

Ditakdir Allah SWT bumi Islam bumi yang subur, yang kaya dengan hasil bumi. Kalau disebut minyak, ada di bumi Islam. Kelapa sawit, getah dan padi di bumi Islam. Cuaca yang elok, yang sesuai untuk tanaman di bumi Islam. Ini yang Allah Ta’ala beri kepada bumi Islam.

Jadi mereka ingin menguasai bumi Iraq bertujuan untuk menguasai dan mengaut kekayaan di bumi Islam itu.

2.  Untuk memusnah, hendak menghancurkan segala kekuatan yang dimiliki oleh bumi Islam, Iraq, sama ada orangnya, kekuatan tentera dan sebagainya.

3.  Penerusan Zionis untuk menguasai dunia ini. Kalau boleh mereka hendak membina apa yang dinamakan Israil Raya yang luasnya daripada Sungai Puraq sampai kepada sungai Nil. Ini yang perlu difahami.

Allah SWT menyebut bahawa kaum yang dimusnahkan oleh Allah SWT ini bagi mereka material (benda) adalah segala-galanya. Inilah juga perkara yang berlaku kepada umat yang terdahulu yang akhirnya dimusnahkan oleh Allah SWT. 

Firman Allah SWT maksudnya, “Dan adakah mereka tidak mengadakan perjalanan, tidak musafir di atas muka bumi ini untuk memerhatikan bagaimana akibat yang dideritai oleh orang-orang yang sebelum mereka, orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri untuk memakmurkan bumi dan mereka itu memakmur bumi lebih banyak daripada apa yang mereka makmurkan dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dan dengan membawa bukti-bukti yang nyata maka Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada mereka akan tetapi merekalah yang berlaku zalim terhadap diri mereka sendiri”.

Jika kita hendak menjadi umat yang hebat memang kebendaan sesuatu yang kita tidak menolak tetapi kebendaan itu mesti diasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT. Harta itu sebenarnya sebagai suatu ujian, sebagai suatu amanah sebab itu Islam menolak kefakiran, Islam menolak kemiskinan. Islam menganjur kepada kita supaya kita maju, kita hebat, kita kaya tetapi ingat kekayaan atau kehebatan itu mesti diasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT.

Umat yang dihancurkan oleh Allah SWT ini kerana mereka melakukan kezaliman. Bukan orang Islam sahaja yang mengatakan mereka zalim tetapi orang bukan Islam yang ada akal fikiran mengatakan perbuatan itu zalim. 

Hari ini kita melihat mereka boleh masuk ke mana-mana negara umat Islam di dunia ini tanpa apa-apa sebab. Maknanya mereka berlaku zalim. Mereka sombong, mereka bertindak sewenang-wenang tanpa alasan yang benar. Mereka menceroboh negara orang, mereka melanggar negara orang alasan tidak ada. Kalau ada alasan pun alasan itu berubah-ubah. Sekejap begini sekejap begitu, sebenarnya mereka tidak mempunyai alasan.

Mereka juga melakukan kezaliman terutamanya kepada orang-orang yang lemah, golongan mustadafin. Peperangan di Iraq sebagai contoh, yang ramai mati ialah orang tua, kanak-kanak merintih-rintih, ini kerja yang dilakukan oleh bangsa yang In sya Allah akan dihancur dan dimusnahkan oleh Allah SWT.

Perbuatan ini juga telah dilakukan oleh bangsa Madiyan daripada kaum nabi Syuib yang pandai berniaga tetapi menipu sukatan dan timbangan. Mereka akhirnya dilenyapkan oleh Allah SWT. Dihancurkan oleh Allah SWT walaupun peringkat awalnya mereka merupakan bangsa yang hebat.

Keruntuhan sesuatu bangsa itu terjadi bila melakukan maksiat dan menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh kaum Lut AS. 

Kaum nabi Lut dihancurkan oleh Allah dan Allah menyebut dalam Quran maksudnya, “Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri atau negara kaum Lut yang atas di bawah, dibalikkan oleh Allah dan kami hujani mereka dengan batu tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi yang diberi tanda oleh tuhanmu dan seksaan itu tiadalah jauh daripada orang yang melakukan kerja zalim. 

Maknanya orang yang melakukan maksiat seperti kaum nabi Lut ini melakukan kerja yang paling terkutuk kerana melakukan hubungan sejenis, akhirnya mereka dihukum oleh Allah SWT.

Allah SWT menyebut perkara ini bukan sahaja boleh berlaku kepada kaum nabi Lut sahaja, kaum lain yang melakukan kezaliman pun akhirnya akan menerima hukuman Allah SWT.
Allah SWT menyebut di hujung ayat itu, “Sesungguhnya bagi orang yang melakukan kezaliman di atas muka bumi ini hukuman Allah sebenarnya tidaklah jauh kepada mereka”
Begitulah perkara yang boleh merosakkan atau menghancurkan sesuatu umat atau bangsa ialah bila bangsa itu melakukan kemungkaran secara terang-terangan. Melakukan maksiat tanpa rasa malu dan inilah apa yang disebut oleh Allah SWT tentang bani Israil yang dilaknat oleh Allah SWT. 

Kata Allah, “Mereka antara satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar yang mereka lakukan”.

Akhirnya bangsa Yahudi ini yang asalnya diberi penghormatan oleh Allah SWT, iaitu orang Yahudi boleh makan makanan syurga, bila mereka berjalan awan mengekori mereka dan diberi macam-macam kelebihan, akhirnya dimusnahkan oleh Allah kerana mereka melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan dan pada masa yang sama mereka tidak mencegah kemungkaran.

Begitu juga bangsa yang dilaknat oleh Allah ialah bila sesuatu umat, sesuatu bangsa itu tidak menghargai nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Atau mereka ingkar kepada nikmat Allah SWT jauh untuk mereka bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

Bagi mereka nikmat yang ada itu kerana kepandaian mereka, kerana kehebatan mereka, kerana tamadun yang mereka cipta, mereka bena sendiri dan bukan daripada Allah SWT.
Maka Allah SWT menyebut manusia, bangsa, umat, orang seperti ini akan dihancurkan oleh Allah. Allah Ta’ala sebut, “Dan penduduk negeri itu mengingkari nikmat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada mereka lalu Allah merasakan kepada mereka kelaparan dan ketakutan yang meliputi mereka disebabkan apa yang mereka lakukan. 

Begitulah juga antara sebab yang umat ini dihancurkan oleh Allah ialah bila mereka hidup mewah mereka lupa kepada Allah SWT.

Bila diberi kesenangan oleh Allah SWT mereka lupa segala-galanya. Mereka lupa kepada orang miskin, mereka lupa kepada orang susah, mereka lupa kepada fikir. Ini menyebabkan akhirnya datang hukuman Allah SWT. 

Kita perlu membena satu bangsa yang beriman dan bertakwa kepada Allah kerana seperti yang disebut oleh Allah, “Sekiranya sesuatu penduduk di sesuatu kawasan, kota dan kampung itu beriman dan bertakwa kepada Allah maka Kami akan buka kepada mereka keberkatan, sama ada keberkatan itu datangnya daripada langit atau pun keluar daripada bumi”.

Jadikanlah kemusnahan yang berlaku ke atas umat terdahalu sebagai panduan moga-moga kita tidak terjebak dengan balasan Allah SWT.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment