Monday, November 7, 2016

ADAT BERPUASA



Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dari Abi Hurairah RA katanya telah sabda Rasulullah SAW apabila seseorang kamu berada dalam keadaan puasa pada harinya maka jangan bercakap dengan perkataan yang keji, jangan menengkeng jika memaki akannya oleh seseorang atau memeranginya maka hendaklah ia berkata sesungguhnya aku berpuasa”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis menyatakan adat puasa. Ada perkara-perkara tidak membatalkan zahir puasa tetapi membatalkan pahala puasa. Pahala puasa hilang zahir puasa ada. Tanggungajawab wajib dikira tetapi pahala hilang.

Antaranya ialah perkara yang menyebabkan rosak tutur-kata kita dan anggota-anggota yang lain dengan mengerjakan perkara yang haram seperti bercakap perkara lucah, mencarut, perkataan yang sia-sia atau berbalah dengan jerkah, serengeng, memaki orang dalam perkara yang tidak patut boleh menghilang pahala puasa kecuali dalam perkara mencegah kemungkaran. Jika mencegah kemungkaran diizin oleh syarak. 

Termasuk juga perkara-perkara yang mengancum, melaga-lagakan orang, mengumpat kecuali dalam perkara yang diizinkan oleh syarak untuk mencegah kemungkaran. Untuk mencegah kemungkaran kita boleh menyebut keburukan orang. Itu tidak termasuk dalam mengumpat yang diharamkan. Menceritakan berkenaan dengan orang zalim, orang sesat. 

Dia pemimpin tetapi ajaran yang dibawa merosakkan orang, sebut perkara yang merosakkan dan sebut namanya. Ini tidak termasuk dalam mengumpat yang diharamkan. Ini dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam kitab Azkar dan dijelaskan oleh imam Ghazali dalam kitab Ihyat dan dijelaskan oleh ulamak-ulamak yang lain.

Bila ada orang hendak menceroboh kita, kita kena sabar, jangan lawannya dan sabar dapat pahala. Puasa melatih kita menjadi sabar kerana bila lapar menjadi cepat marah. Dalam masa lapar kita sabar dan mendapat pahala yang besar. Oleh kerana itu bila ada orang datang hendak berlawan dengan kita, hendak hentam kita, beritahu kepadanya saya ini puasa. Jika coroboh juga selepas diberitahu kita kena pertahanlah diri kita. Itulah adat berpuasa.

Sabda Rasulullah SAW, “Dan daripada Abi Hurairah katanya nabi SAW bersabda sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan beramal dengannya maka Allah tidak berhajat bahawa dia meninggalkan makan minumnya”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menunjukkan betapa murkanya Allah Ta’ala sekiranya orang itu berpuasa tiba-tiba dia bercakap bohong, dia beramal dengan bercakap bohong, jadi saksi bohong, cerita bohong, sedangkan dia berpuasa. Ini menyebabkan Allah Ta’ala murka, Allah Ta’ala marah. Allah Ta’ala tidak berhajat kepada puasanya. Maknanya Allah Ta’ala marah tetapi bukan bermakna batal puasa tetapi menghilangkan pahala puasa dengan sebab bercakap bohong. 

Puasa bukan sahaja jaga diri daripada makan-minum yang membatalkan puasa tetapi seboleh-bolehnya menjaga ruh kita, menjaga akal kita dan menjaga anggota-anggota lain daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan. Ini menjadikan diri kita, mentarbiyah diri kita supaya menjadi orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman maksudnya, “Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu yakni umat nabi-nabi zaman dahulu, supaya kamu bertakwa”

Tujuan puasa ialah supaya kamu bertakwa kepada Allah Ta’ala. Takwa makna takut. Takut kepada Allah Ta’ala tidak boleh lari daripada Allah Ta’ala. Takut kepada Allah Ta’ala bermakna kita memelihara diri kita daripada melakukan perkara-perkara maksiat maka puasa mengajar kita, melatih diri kita supaya menjaga diri jangan melakukan perkara-perkara maksiat, bukan sahaja perkara yang membatalkan puasa, kita jaga diri kita daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sama ada di hadapan orang atau pun di belakang orang. 

Begitulah juga perkara-perkara dosa kecil seperti melihat perkara yang haram, mendengar perkara yang haram, bercakap perkara yang haram boleh merosakkan akhlak dan perangai kita.

Oleh kerana puasa melatih diri kita menjadi orang yang baik maka antara adat berpuasa itu bukan sahaja menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa termasuk juga menjaga diri daripada membatalkan pahala puasa. 

Jika kita menjaga diri daripada perkara itu semua baharulah kita mencapai hikmat puasa iaitu menjadi orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment