Monday, November 7, 2016

MENCARI LAILATUL QADAR




Sabda Rasulullah SAW maksudnya, 

“Dan dari Ibni Umar RA dan Abdullah bin Umar RA bahawa beberapa orang di kalangan sahabat nabi SAW ditunjukkan secara mimpi malam Lailatul Qadar pada tujuh yang akhir. 

Maka sabda Rasulullah SAW, “Aku juga melihat mimpi kamu bertepatan dengan tujuh yang akhir maka sesiapa yang bersungguh dengan tujuan untuk mencarinya nescasya ia mendapatnya maka hendaklah ia mencari dan berusaha mencarinya pada tujuh yang akhir daripada bulan Ramadan”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menunjukkan bahawa berlaku pada satu malam di bulan Ramadan beberapa orang sahabat ditunjukkan oleh Allah melalui mimpi yang benar itu adalah malam Lailatul Qadar, malam yang banyak Qadarnya di sisi Allah Ta’ala. Ianya berlaku pada tujuh yang akhir tanpa menentukan malam mana. 

Orang yang meriwayatkan tidak diberitahu. Lalu diberitahu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW bersabda aku juga melihat apa yang kamu mimpi. Ianya pada masa yang sama. Barang siapa yang ingin berusaha mencari Lailatul Qadar maka hendaklah ia mencari pada tujuh yang akhir.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dan dari Aisyah RA katanya Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan dan ia bersabda, “Carilah dengan bersungguh-sungguh malam Qadar itu pada sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada sepuluh yang akhir dan Rasulullah SAW berusaha untuk mencari pada sepuluh yang akhir pada bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dan dari Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda bersungguhlah mencari Lailatul Qadar pada malam ganjil pada sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan”. Hadis riwayat Bukhari.

Hadis ini menghuraikan lagi hadis yang dahulu bahawa lebih cenderung Lailatul Qadar itu pada malam yang ganjil iaitulah malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dan dari Aisyah RA katanya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan ia menghidup malamnya dengan ibadat semuanya dan dia membangunkan keluarganya yakni isterinya supaya beribadat dan ia bersungguh dan tidak tidur bersama dengan isterinya pada sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan kerana bersungguh untuk mencari kelebihan Lailatul Qadar.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dan dari Aisyah RA katanya Rasulullah SAW bersungguh beribadat pada bulan Ramadan apa yang tidak bersungguh pada bulan yang lain dan khususnya pada sepuluh yang akhir daripadanya apa yang dia tidak bersungguh pada y ang lain daripadanya”. Hadis riwayat Muslim. 

Hadis ini juga menunjukkan nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat pada bulan Ramadan lebih daripada bulan-bulan yang lain. Dalam bulan Ramadan itu bersungguh pada sepuluh yang akhir lebih daripada hari-hari yang lain. 

Ini menunjukkan di tempat bersungguh itu mengandungi kelebihan yang lebih besar daripada masa-masa yang lain dan menunjukkan bahawa beriktikaf pada sepuluh yang akhir di bulan Ramadan itu termasuk dalam sunnah Muakkadah yakni sunat yang digalakkan kita mengamalnya untuk mengejar dan mendapat kelebihan daripadanya.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Dan dari Aisyah RA katanya aku berkata wahai Rasulullah apa pendapatmu jika saya tahu malam itu adalah malam Lailatul Qadar, apa yang perlu saya ucapkan. Sabdanya katakanlah ya Allah ya tuhanku sesungguhnya Engkau yang maha pengampun, yang kasihkan keampunan, ampunkanlah dosa-dosa kami”. 

Ini doa yang disuruh oleh nabi SAW. Kita berdoa sekiranya kita tahu malam itu adalah malam Lailatul Qadar dan menunjukkan bahawa yang penting daripada seseorang Islam yang perlu diminta daripada tuhan ialah membersihkan dirinya daripada dosa-dosa, diampunkan dosa-dosa adalah perkara yang sangat penting.

Oleh kerana itu kita mengambil peluang setiap peluang yang besar yang pertama kita kena minta Allah Ta’ala mengampunkan dosa kita. Jangan minta murah rezeki tanpa mengira rezeki itu halal atau haram. Jangan meminta panjang umur, panjang umur baik jahat tidak peduli. Apa guna panjang umur tetapi buat maksiat banyak. Perkara yang amat penting minta tuhan ampunkan dosa kita terutamanya pada saat yang besar fadilat seperti Lailatul Qadar. 

Bila Allah tunjukkan kepada kita malam itu malam Lailatul Qadar maka kita mengambil kesempatan yang pertama memohon supaya Allah Ta’ala mengampunkan dosa kita.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment