Firman Allah Ta’ala suratun Nisa ayat 58 bermaksud, “Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan
menyuruh kamu apabila menetapkan hukuman di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil,
sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu”.
Berkata al-Hulaimi RA makna adil itu ialah bahawa ia tidak
menetapkan hukum melainkan dengan yang sebenarnya. Dia tidak berfirman
melainkan dengan sebenarnya dan dia tidak mencipta melainkan dengan sebenarnya.
Maknanya Allah Ta’ala itu Maha Adil. Allah Ta’ala menghukum dengan
tepat, sama ada hukum dunia ataupun hukum hari akhirat. Hukum dunia, semua
hukum Allah Ta’ala yang ada atas dunia ini adalah adil.
Contohnya, hari ini orang melihat sendiri, baca sendiri dan dengar
sendiri bagaiman Allah Ta’ala tetapkan yang haram mengikut hukum-Nya
mendatangkan mudarat. Daging babi mendatangkan mudarat, jika makan boleh
mendatangkan penyakit, memakan bangkai boleh mendatangkan penyakit, arak dan
dadah mendatangkan penyakit, berzina dan liwat mendatangkan penyakit, riba
mendatangkan penyakit ekonomi.
Semua yang diharamkan mendapat mudarat dan semua yang dihalalkan
membawa berkat. Itu menunjukkan adilnya hukum Allah Ta’ala. Jadi kita mesti
terima Allah Ta’ala itu adil sama ada hukuman yang keras ataupun hukuman yang
lembut semuanya adil.
Hukuman yang lembut, Allah Ta’ala menerima taubat hamba-hamba-Nya.
Bila seorang hamba yang beriman kepada Allah (dengan syarat ia beriman kepada
Allah Ta’ala). Antara beriman kepada Allah Ta’ala itu ialah Allah Ta’ala maha
pengampun lagi maha penyayang, Allah Ta’ala maha adil, lalu ia beristighfar
walaupun dosa bunuh orang, walaupun dosa berzina, walaupun dosa makan riba,
dosa yang besar macam mana sekali pun, sekiranya dia beriman kepada Allah,
Allah Ta’ala menerima taubatnya. Itu adilnya Allah Ta’ala.
Hukum yang keras, orang membunuh orang dibunuh balas, pencuri
dipotong tangan, perompak dipotong tangan dan kaki, mengambil harta dan
membunuh dibunuh balas, dibuang daerah kalau merompak tetapi tidak membunuh dan
tidak sempat mengambil harta. Hukuman itu adalah adil walaupun keras. Itu
adalah cara yang baik untuk menyelesaikan masalah.
Adil Allah Ta’ala ialah adil di dunia dan adil di hari akhirat.
Di hari akhirat pula, Allah Ta’ala membawa hamba-Nya yang
bersalah, wlaupun Allah Ta’ala maha mengetahui, yang besar Allah Ta’ala tahu
dan yang halus pun Allah Ta’ala tahu, yang berbisik pun Allah Ta’ala dengar,
membuat dalam gelap pun Allah Ta’ala tahu, tetapi Allah Ta’ala tidak menghukum
dengan tahu-Nya sahaja.
Allah Ta’ala menghukum dengan keterangan-keterangan dan saksi-saksi.
Catatan-catatan malaikat dibawa di padang mahsyar dan dibawa pula malaikat
untuk menjadi saksi. Allah Ta’ala bertanya malaikat benar atau tidak catatan
itu. Kemudian tangan bercakap, kulit pula bercakap, semua bercakap kecuali
mulut (mulut ditutup) untuk menjadi saksi apa yang dibuat oleh tuannya. Setelah nyata saksi itu baharulah Allah Ta’ala menjatuhkan
hukuman.
Ada antaranya dosa diampun oleh Allah Ta’ala kerana dia ada iman
dan dia buat kerana jahilnya dan seumpamanya. Ada juga Allah Ta’ala kena bakar
dia dalam neraka selama-lamanya kerana tidak ada iman. Itulah adilnya Allah
Ta’ala dalam menjatuhkan hukuman.
Kita mesti beriman bahawa Allah Ta’ala itu maha adil.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment