Tuesday, November 1, 2016

AL-‘ALIY (YANG MAHA TINGGI)



Antara Asma ul-Husna ialah al-‘Ali’ bermakna yang maha tinggi.

Firman Allah Ta’ala surah al-Baqarah ayat 255 bermaksud, “Ia Maha Tinggi lagi Maha Besar” yakni yang mencapai murtabat ketinggian, ke suatu murtabat yang tidak tercapai atau yang maha tinggi dengan zat-Nya dan sifat-Nya yang tidak dapat diketahui sepenuh hakikat-Nya oleh makhluk-Nya ataupun lemahlah kita untuk mensifatkan kesempurnaan-Nya.

Makna yang maha tinggi itu ialah kita tidak boleh hendak mencapai murtabat ketinggian Allah SWT. Kita tidak boleh mengetahui hakikat zat Allah Ta’ala dan sifat-Nya. Kalau ada orang dia hendak memikir juga itu daripada syaitan dan hendaklah memohon perlindungan dengan Allah Ta’ala daripada syaitan.  Kita tidak mampu memikir hakikat zat Allah Ta’ala dengan sepenuhnya.

Bagaimana hendak memikir tentang Allah Ta’ala, hendak memikir tentang diri kita pun kita tidak mampu. Mengapa mata boleh melihat, telinga boleh mendengar, mulut boleh bercakap, akal boleh berfikir dan bila hendak berjalan kaki pun bergerak. Ini adalah perkara yang menakjubkan, Itu kejadian diri kita. Macam mana hendak memikir tentang kesempurnaan Allah Ta’ala. Sudah tentu kita tidak mampu.

Cukuplah dengan kita percaya kepada berita-berita yang disampaikan kepada kita dengan petunjuk Allah Ta’ala yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS dan ulamak-ulamak yang muktabar. Ulamak muktabar ialah ulamak yang belajar ilmu secara sahih, ilmu yang betul dengan merujuk kepada Quran dan hadis nabi SAW yang tetap dipelihara oleh Allah SWT.

Disebut di dalam al-Lawamik bahawa ketinggian itu di dalam tiga perkara iaitu ketinggian-Nya tidak dapat disamakan dengan sesuatu pun, atau Ialah yang berkuasa atas segala-galanya dan semuanya berada di bawah kekuasaan-Nya atau Ia mengatur dan mentadbir segala-galanya di bawah kekuasaan-Nya.

Mengikut kitab al-Lawamik yang dimaksudkan ketinggian itu ialah Allah Ta’ala tidak sama dengan makhluk-Nya, tidak ada bandingan dan tidak ada tandingan dan dia berkuasa di atas segala-galanya, tidak ada siapa yang boleh melawan kuasa Allah Ta’ala dan semua alam di bawah kekuasaan-Nya.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment