Firman Allah
Ta’ala suratul Hadid ayat 3 bermaksud, “Dialah yang awal dan yang akhir, yang
zahir dan yang batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”.
Apa yang
dimaksudkan dengan awal itu ialah dengan sedianya yakni ada-Nya tidak bermula
dan dimaksudkan dengan akhir itu ialah tiada kesudahan bagi akhirnya, yang
zahir bermakna jelas nyata bagi wujud-Nya, bagi ada-Nya dan yang menguasai di
atas segala-galanya.
Batin
bermakna mengetahui segala yang disembunyikan zat-Nya yakni zat Allah Ta’ala
tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak terdaya akal dan hati mengetahui
tentang-Nya.
Ayat ini
menyatakan bahawa Allah Ta’ala itu adalah yang pertama, makhluk-makhluk-Nya
tidak ada tetapi Dia ada dan tidak sesiapa yang mengadakan-Nya. Ada-Nya tidak
ada mula dan Dialah yang akhir dengan makna setelah berlakunya kiamat semua
dibinasakan tetapi Dia tidak binasa dan tidak ada kesudahan bagi adanya Allah
Ta’ala.
Dan Allah
itu nyata ada-Nya dengan dalil-dalil yang jelas yang nyata di hadapan kita dan
Allah itu yang batin dan Allah Ta’ala mengetahui segala yang batin dan Allah
Ta’ala juga tidak dapat dilihat dengan mata, tidak mampu difikir dengan akal
kerana sifat ketuhanan-Nya yang terlalu hebat.
Disebut
dalam hadis kursi, “Allah Ta’ala mengadakan hijab yakni dinding antara-Nya
dengan makhluk-Nya. Sekiranya hijab itu dibuang nescaya makhluk-Nya hancur
menjadi abu kerana tidak mampu berdepan dengan kehebatan Allah SWT”.
Apabila nabi
Musa AS bermunajat di Turisaina, gunung yang terkenal, nabi Musa meminta hendak
melihat Allah Ta’ala. Allah Ta’ala berkata, “Engkau tidak boleh melihat Aku.
Silat lihat gunung Turisaina yang ada di hadapan kamu”.
Apabila
Allah Ta’ala menjelma dengan cara yang layak bagi-Nya, gunung Turisaina hancur
menjadi abu dan nabi Musa tersungkur pengsan. Apabila sedar nabi Musa terus
bertaubat kepada Allah Ta’ala dan tidak akan meminta lagi.
Jadi kita
jangan main-main tentang hakikat Allah Ta’ala. Kalau kita kaji hakikat Allah
Ta’ala akhirnya kita menjadi sesat, menjadi kafir kerana tidak mengikut Quran
dan hadis nabi SAW.
Ramai orang
menganut ajaran sesat kerana kononnya mengaji hakikat, ilmunya tidak ada asas
dan tidak berpandu kepada guru yang mursyid iaitu guru menerima ilmu yang
amanah daripada nabi SAW. Nabi SAW pula menerima ilmu daripada malaikat Jibril
dan Jibril menerima daripada Allah Ta’ala.
Ulamak-ulamak
di zaman dahulu mengijazahkan ilmu. Mengijazah bermakna mengizinkan ilmu diberi
kepada muridnya untuk diajar kepada orang lain.
Di zaman
mutakhir ini orang tidak belajar tetapi membaca sendiri. Membaca sendiri dengan
tidak ada panduan dan pedoman guru yang benar-benar boleh menerangkan dengan
jelas, akan menjadi rusak.
Firman Allah
Ta’ala suratul Qasas ayat 88 bermaksud, “Janganlah kamu menyembah di samping
menyembah Allah akan tuhan yang lain, tidak ada tuhan yang berhak disembah
melainkan Dia (melainkan Allah) sahaja. Tiap-tiap sesuatu mesti binasa
melainkan Allah, bagi-Nya segala penentuan dan kepada-Nyalah kamu kembali”.
Ayat ini
memberi makna bahawa Allah Ta’ala itu tuhan yang satu yang mesti kita beribadat
kepada-Nya, tidak ada lagi tuhan yang lain daripada-Nya yang mempunyai
sifat-sifat yang hebat di antara sifat-Nya ialah Allah Ta’ala itu tidak ada
akhir bagi ada-Nya dan tidak binasa sekali-kali.
Ada pun
disebut syurga dan neraka kekal, Allah Ta’ala yang menjadi dia kekal bukan
dengan sendirinya.
Firman Allah
Ta’ala suratul Rahman ayat 26-27 bermaksud, “Semua yang ada di bumi itu akan
binasa dan tetap kekal zat tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, bila
berlakunya kiamat semua dibinasakan”.
Bila sampai
ajal semua dibinasakan. Yang kekal hanyalah zat tuhan kita Allah SWT yang
mempunyai kebesaran dan mempunyai kemuliaan yang tidak terhingga.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud, “Doa nabi SAW, wahai tuhanku Engkaulah yang awal
tiada dahulu daripada Engkau sesuatu pun yakni sedia ada-Nya tidak bermula,
Engkaulah yang akhir tiada kemudian daripada Engkau sesuatu pun, kekal tiada
kesudahan”, riwayat Muslim.
Ayat-ayat dan
hadis tersebut menyatakan sifat qidam yakni sifat sedia dan baqa’ (kekal)
bagi Allah SWT.
Ulamak-ulamak Qalaf yang kemudian menamakannya qidam dan
menamakannya baqa’ dalam bilangan sifat 20. Ulamak-ulamak salaf menamakannya
al-awwalu wal akhiru dan maksudnya sama sahaja. Jadi tidak perlu bertelagah,
kalimahnya sahaja berbeza.
Apa yang penting ialah kita percaya Allah Ta’ala itu tidak ada
mula bagi-Nya yang bersifat dengan sedia dan Allah Ta’ala itu tidak ada
kesudahan bagi-Nya yang bersifat dengan kekal, yang tidak ada penghujung bagi
ada-Nya.
Firman Allah Ta’ala suratul Ikhlas ayat 1- 4 bermaksud,
“Katakanlah Dialah Allah yang maha esa, Allah tuhan yang bergantung kepadanya
segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan dan tidak ada
satu pun yang setara dengan-Nya”.
Ini menolak agama syirik, agama yang menyembah berhala. Agama yang
mengadakan tuhan selain daripada Allah dan menolak juga agama Kristian yang
meniga tuhan. Tuhan itu SA tetapi orang Kristian mengatakan tiga dalam sa
(satu). Ini bohong. Allah Ta’ala sa. Allah Ta’ala tidak beranak dan tidak
diperanakkan (tidak ada anak bagi-Nya).
Ini juga menolak fahaman orang Yahudi yang mengatakan Uzir itu
anak Allah. Menolak ajaran-ajaran yang karut dan Allahlah tempat
pergantungan hamba-hamba-Nya dan Allah tidak ada bandingan dan tidak ada
tandingan.
Firman Allah Ta’ala suratus Syuraa ayat 11 bermaksud, “Dia
lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan
dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak
pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian
dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatu pun yang
sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.
Tidak ada sesuatu yang serupa dengan Allah Ta’ala, tidak ada bandingan
dengan Allah Ta’ala, tidak ada contoh bagi Allah Ta’ala. Allah Ta’ala sahaja,
Dia sahaja.
Ayat-ayat tersebut menyatakan sifat mukhalafathu Ta’ala Lil
hawadis, Maha Suci-Nya daripada beranak dan diperanakkan dan tidak ada
bagi-Nya tandingan dan bandingan. Allah Ta’ala tidak sama dengan makhluk-makhluk-Nya.
Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Dan pada diri kamu sendiri adakah
kamu tidak melihat”. Lihat kepada kejadian kita sendiri.
Para ulamak mentafsirkan dengan huraian, “Sesiapa yang mengenal
dirinya maka dia kenal tuhannya”. Dia kenal diri dia, diri dia tidak terjadi
dengan sendirinya, tuhan yang mengadakan, maka dia kenal tuhannya.
Kejadian Allah kita tidak mampu hendak fikir. Bagaimana pula
berkenaan Allah SWT, nama-Nya dan sifat-sifat-Nya kita tidak mampu hendak
fikir. Bila tidak mampu hendak fikir bermakna kita kenal Allah Ta’ala.
Kalau boleh memikir tuhan itu begitu dan begini bermakna tidak
kenal Allah Ta’ala dan sudah menjadi sesat. Ada orang belajar falsafah dan ilmu
tasawuf yang diresapi oleh ajaran yang bukan Islam menjadi sesat.
Orang yang mengaji akidah sehingga pecah fikirannya menjadi gila.
Itu orang yang belajar dengan cara tidak betul. Kalau belajar ilmu yang benar
dia kenal Allah Ta’ala melalui nama-nama dan sifat-sifat yang disebut di dalam
al-Quran dan hadis nabi SAW.
Kita hanya boleh menyebut perkataan-Nya sahaja, hendak mengetahui
hakikat perkataan itu kita tidak mampu.
Ada ayat-ayat yang mutasya bihat yang menyerupakan tuhan dengan
makhluk-Nya. Hanya perkataan sahaja serupa tetapi hakikatnya tidak serupa.
Apabila ditanya imam Malik bin Anas, guru pada Imam Syafie dan
pemimpin mazhab Maliki, “Apa makna tuhan Rahman bersemayam di atas arasy
(singgahsana), apa makna singgahsana?. Singgahsana ialah kerusi tempat raja
duduk”
Imam Malik berkata, “Perkataan bersemayam kita tahu maknanya,
bagaimana keadaan Dia bersemayam kita tidak mampu hendak fikir, beriman
kepada-Nya wajib. Wajib percaya bahawa tuhan itu bersemayam tetapi bagaimana
kita tidak tahu, beriman kepada-Nya dan bertanya bagaimana, bagaimana,
bagaimana bermakna sudah menyeleweng daripada agama. Imam Malik berkata, “halau
dia daripada majlis ini kerana dia hendak bertanya tentang hakikat Allah SWT”.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment