Monday, November 7, 2016

AL-QURANUL KARIM




Sebagai penyembuh

Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Dan kami turunkan daripada al-Quran itu perkara yang menyembuhkan dan memberi rahmat kepada orang-orang yang beriman”.

Al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa adalah mukjizat yang berkekalan yang diberi oleh Allah Ta’ala kepada nabi kita Muhamad SAW yang terus hidup walaupun nabi SAW sudah wafat. Berbeza dengan mukjizat nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain di zaman dahulu.

Allah Ta’ala menyatakan al-Quran terus menerus menjadi penyembuh kepada orang beriman dan memberi rahmat kepada mereka. Menyembuh penyakit ruhani dan jasmani, menyembuh penyakit keluarga dan masyarakat.

Hukum-hukum dan ayat-ayat dalam Quran mengandungi berkat merupakan pemberian daripada Allah Ta’ala. Ayat-ayat Quran yang dibaca boleh menyembuh penyakit-penyakit yang ada pada tubuh manusia. Menyembuh penyakit masyarakat seperti jenayah, maksiat dan lain-lain. Hanya Quran yang boleh menyembuhkan penyakit itu.

Gedung ilmu

Allah Ta’ala tetap memelihara al-Quranul Karim, dipelihara oleh orang-orang beriman dan kita wajib memelihara al-Quranul Karim dengan ilmu-ilmunya. Al-Quran mengandungi banyak ilmu. Untuk mempelajarai al-Quran mestilah mempelajari bahasa Arab, ilmu nahunya, ilmu syarafnya dan ilmu balaghah.

Ilmu nahu yang membicarakan baris-baris yang akhir, ilmu syaraf membicarakan susunan huruf dan perkataannya. Ilmu balaghah membahaskan berkenaan dengan maksud ayat yang terkandung di dalamnya ilmu bayan, ilmu ba’ani dan ilmu badi’. Ilmu Quran termasuk juga sastera Arab, merujuk kepada sye’ir-syeir orang Arab, perkataan-perkataannya dan ilmu-ilmu yang berkait dengan hukum-hakam, asbabun nuzul berkait dengan sebab-sebab turunnya ayat, nasih dan mansuh iaitu ada ayat yang diteruskan hukumnya dan ada ayat yang dibatalkan hukumnya tetapi bacaan diteruskan. Jadi berbagai-bagai ilmu dalam Quran. Ilmu Tajwid yang berkait dengan cara berlapaz dengan huruf, yang berkait dengan panjang dan pendek. 

Semua ilmu adalah menunjukkan mukjizat daripada al-Quranul Karim yang kita tidak mampu mencapai mukjizat ini walaupun kita alim dan bijak macam mana sekalipun.

Bisikan syaitan

Oleh yang demikian jangan seseorang itu merasakan dia sudah pandai, sudah bijak dalam ilmu Quran. Jangan berasa dalam bab tafsirnya dia sudah pandai, dalam bab tajwidnya dia sudah pandai. Jika ada perasaan itu maka ia adalah bisikan-bisikan syaitan yang masuk dalam hati orang yang belajar Quran. Bisikan syaitan boleh merusakkan kita dan merusakkan pahala kita

Membaca Quran diberi pahala. Disebut dalam hadis bermaksud, “Barang siapa membaca Quran dalam keadaan gagap diberi kepadanya dua pahala, barang siapa yang membaca Quran dengan mahir diberi kepadanya kelebihan bersama dengan malaikat pilihan Allah SWT”.

Menunjukkan bahawa orang membaca Quran dengan gagap, payah hendak menyebut hurufnya diberi pahala oleh Allah Ta’ala, bukan berdosa. Dia sudah belajar tetapi itulah kemampuan yang tuhan beri kepada dia.

Apa lagi al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Orang Arab berbagai-bagai kabilah dan yang paling fasih ialah Arab Quraisy iaitulah kabilah nabi kita Muhamad SAW. Orang-orang Arab yang lain sebutan makhrajnya lain. Maka kita Melayu yang bukan berlidah Arab lagilah. Jangan kita berasa kita Melayu sudah fasih tentang huruf-huruf Quran.

Allah menyuruh nabi baca Quran di depan Ubai bin Kaad

Allah Ta’ala telah mendidik para sahabat RA supaya mereka berhati-hati di dalam menangani perkara-perkara al-Quran.

Pernah diriwayatkan at-Tobari dan Ibni Kathir di dalam tafsirnya daripada Ubai bin Kaad RA. Ubai ialah seorang sahabat yang dipilih oleh Allah Ta’ala apabila Jibril turun menemui nabi SAW. Jibril kata wahai Muhamad Allah Ta’ala menyuruh kamu membaca Quran di hadapan Ubai. 

Lalu nabi SAW memanggil Ubai dan nabi mengatakan bahawa Jibril memberitahu kepada aku bahawa Allah menyuruh aku membaca Quran di hadapan kamu. 

Lalu Ubai bertanya, “Allah menyebut nama saya”

Kata nabi, “Ya”.

Ubai menangis kerana terkejut bagaimana Allah Ta’ala sebut nama dia.
Nabi bersabda maksudnya, “Yang paling Qari di kalangan kamu ialah Ubai”

Di zaman amirul mukminin Umar ibni al-Khattab RA apabila Saidina Umar menganjurkan sembahyang tarawikh dua puluh rakaat, Umar menyuruh Ubai bin Kaad menjadi imam. Menunjukkan Ubai adalah paling Qari di kalangan sahabat RA.

Ubai ditegur

Ubai menceritakan mengikut riwayat at-Tobari dan Ibni Kathir pada suatu hari aku mendengar dua orang sahabat membaca Quran dan aku mengatakan dia salah membaca Quran kerana sebutan hurufnya tidak betul. Orang pertama baca tidak menepati sebagaimana yang aku belajar dan orang kedua pula tidak betul huruf sebagaimana yang aku belajar. 

Aku tegur mereka, “Kamu ini tidak betul baca Quran. Kamu belajar dengan siapa?”
Kedua orang ini berkata, “Aku belajar daripada nabi SAW”. Kedua-dua orang ini dibawa menemui nabi SAW.

Nabi bersabda, “Baca”. Orang pertama baca. Selepas orang itu membaca nabi berkata, 

“Kamu elok baca Quran”.

Kemudian menyuruh orang yang kedua membaca. Orang itu baca dan nabi kata, “Kamu betul baca Quran”. 

Ubai berasa malu sehingga merah mukanya kerana tegurannya tidak betul lalu nabi mengejutkannya, nabi menepuk dadanya dan bersabda, “Ya Allah yang tuhanku halaukan daripada dia syaitan”.

Nabi kata, “Ya Ubai malaikat Jibril datang berjumpa dengan aku, Jibril kata wahai Muhamad Allah menyuruh kamu membaca Quran dengan satu huruf, satu makhraj huruf sahaja. Lalu aku berkata ya Allah ya tuhanku ampunilah aku bagaimana satu makhraj hendak baca”

Kemudian Jibril datang kali kedua berkata, “Wahai Muhamad Allah menyuruh kamu baca Quran dengan dua huruf, satu riwayat lagi kata satu huruf. Lalu aku berkata ya Allah ya tuhanku ampunilah umat aku, umat aku tidak mampu hendak baca begitu”

Lalu Jibril datang kali ketiga dan berkata, “Wahai Muhamad Allah memerintah kamu membaca Quran dengan dua huruf dan ada pendapat mengatakan satu huruf. Lalu aku berkata ya Allah ya tuhanku ampunilah umat aku”.

Lalu Jibril datang kali keempat dan berkata, “Allah Ta’ala menyuruh umatmu membaca Quran dengan tujuh huruf. Lalu aku berkata ya Allah ya tuhanku ampunilah umat aku dan aku simpan yang ketiga untuk memberi syafaat kepada umat aku pada hari kiamat kelak”.

Ditegah mengkritik makhraj imam-imam

Imam Malik bin Annas RA mengatakan bahawa tujuh huruf ini adalah kemudahan yang diberi kepada umat Muhamad SAW yang tuhan jadikan lidah mereka berbeza-beza antara satu sama lain dan bangsanya berbeza antara satu sama lain.

Ada yang tidak boleh menyebut ‘ra’, tidak boleh menyebut ‘syin’, tidak boleh menyebut ‘Syad’, semuanya dimaaf oleh Allah Ta’ala dan mendapat pahala. Ini maksud daripada hadis itu.

Nabi menegur Ubai bin Kaad yang menegur orang membaca lain daripada makhraj dia, ini syaitan masuk dalam diri kamu wahai Ubai. 

Menunjukkan bahawa amalan dan perangai yang dilakukan oleh sesetengah orang kita, mengatakan imam ini tidak betul sebutan huruf, imam itu tidak kena huruf, inilah adalah daripada kerja-kerja syaitan, waswas syaitan yang dilarang kita menimbul perkara ini.
Kita disuruh bertadarus di bulan Ramadan, duduk dalam satu majlis dan kita bertadarus sebagaimana nabi bertadarus di bulan Ramadan. Nabi baca Quran Jibril baca Quran. Nabi sebut begini Jibril kata kena sebut begini dalam satu majlis.

Allah tidak membebankan seseorang melainkan mengikut apa yang dia mampu. Di sinilah para ulamak tidak berkata apa bila sembahyang di masjid Mekah dan masjid Madinah. Imam-imamnya pelbagai, ada orang Badawi menjadi imam, ada orang yang fasisy jadi imam, baca Fatihah pula tidak ada bismillah.

Mengikut imam Syafie jika membaca Fatihah tidak baca bismillah tidak sah sembahyang, tetapi kita pergi ke Mekah semua ikut, ikut belaka imam-imam ini kerana itu adalah pendapat mazhab dia dan kita meraikan mazhab-mazhab ini.

Oleh sebab itu pandangan yang mengatakan setengah kitab menyebut orang yang ummi jadi imam orang kori tidak sah ikut dibelakangnya adalah kaul yang daif, kaul yang lemah yang bercanggah dengan hadis di atas yang disebut oleh at-Tobari dalm tafsirnya dan Ibnu Kathir di dalam tafsirnya.

Apa yang menjadi masalah kita mengaji kitab tajwid sahaja tetapi tidak belajar kitab tafsir. Tidak dinafikan bahawa ilmu tajwid wajib dipelajari, ilmu tafsir juga wajib dipelajari, ilmu bahasa Arab untuk memahami bahasa Arab juga wajib dipelajari. Sebagaimana ilmu tafsir ada mazhab-mazhabnya dan ilmu tajwid juga ada pandangan-pandangan di kalangan ulamak.

Oleh yang demikian kita rasa gembira walaupun dalam Islam orang Cina hendak menyebut ‘ra’ jadi ‘lam’, orang Indonesia hendak sebut ‘daa’ jadi ‘dal’  Itu semua dimaafkan dan semua mereka diberi pahala dan kita boleh sembahyang berjemaah bersama-sama. Jangan bila orang ini menjadi imam orang ini tidak mahu menjadi makmum.
Ini adalah daripada waswas syaitan yang nabi berdoa kepada Ubai, “Ya Allah ya tuhanku halaukan syaitan daripada Ubai bin Kaad”.

Ubai ialah orang yang paling kori yang tuhan menyuruh nabi membaca Quran di hadapannya. Mana lebih kita dengan Ubai, mana lebih kita dengan nabi SAW.
Ini adalah peringatan yang kita semua perlu faham supaya jangan kita meninggalkan al-Quran dan Quran adalah ilmu yang tidak bertepi laksana lautan dan lebih daripada lautan yang luas.

Ilmu Allah kalau diambil segala lautan untuk dijadikan dakwat dan segala kayu dijadikan kalam nescaya habis segala kayu dan habis segala air lautan kalimah Allah tidak habis lagi untuk dihuraikan. Itulah kehebatan ilmu Allah SWT.

Jadi jangan kita berasa kita sudah banyak, kita sudah lebih, orang tua-tua mengatakan kalau botol banyak air tidak berapa berkocok tetapi kalau botol itu sedikit airnya bila dikocok dia akan berbunyi kuat. Ini kita faham dan pengajaran kepada kita.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment