Monday, November 7, 2016

KELEBIHAN BERSAHUR




Sunat makan sahur selepas separuh malam. Makan lepas sembahyang tarawikh tidak dinamakan sahur sebab tidak masuk waktunya lagi.
Sunat kita melewatkan sahur, tetapi jangan masuk waktu Subuh. Mesti sebelum Subuh

Hadisnya:

Hadis pertama

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Daripada Anas RA katanya Rasulullah SAW bersabda bersahurlah kamu maka sesungguhnya pada bersahur itu ada keberkatan”.

Suruhan ini ialah suruhan sunat, bukan suruhan wajib. Ada suruhan wajib dan ada suruhan sunat. Suruhan wajib ada tanda-tanda wajibnya. Suruhan sunat suruhan yang tidak dimestikan. Jika dibuat boleh pahala dan kalau tinggal tidak berdosa. Adapun wajib buat boleh pahala dan tinggal berdosa.

Hadis ini menunjukkan bahawa nabi SAW menggalakkan kita makan di waktu sahur bila hendak berpuasa dan menyatakan fadilat sahur. Kelebihan sahur itu ialah mendapat berkat. Berkat perkara yang tidak nampak. 

Apa dia berkat?

Berkat ialah kebaikan yang diberi oleh Allah Ta’ala kepada tubuh badan kita, akal fikiran kita, menjadi sihat dan boleh membuat ibadat dan boleh memikir dengan elok.
Sebaliknya tidak berkat, orang itu sihat tetapi sihat saja-saja dan membuat maksiat pula. Mungkin cerdik tetapi cerdik menipu orang. 

Berkat ini penting. Jadi kita kena cari berkat. Harta berkat ialah harta yang boleh memberi manfaat dunia dan akhirat kepada kita dan anak-anak kita.
Hadis kedua.

Dari Zahid bin Sabit RA katanya kami makan sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun sembahyang yakni sembahyang Subuh lalu ditanya berapa jarak antara keduanya. Kata Zahid lima puluh ayat”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Jarak antara berhenti sahur dengan sembahyang Subuh ialah lima puluh ayat Quran. Hari ini dikenali dengan waktu imsyak. Imsyak ialah sempadan supaya tidak terlajak masuk waktu Subuh.

Zahid bin Sabit ialah seorang sahabat yang diakui alimnya oleh nabi SAW dan seorang sahabat yang paling alim dalam ilmu faraid (pusaka). Nabi sebut orang yang paling alim dalam ilmu pusaka ialah Zahid kerana dia pandai matematik dan boleh menguasai bahasa Ibrani, bahasa orang Yahudi. Dia termasuk ulamak para sahabat.

Hadis ketiga

Dari Ibni Umar RA katanya adalah bagi Rasulullah SAW dua orang muazin iaitu Bilal dan Abdullah Ibnu Ummi Maktum, maka Sabda Rasulullah SAW, “Bahawa sesungguhnya Bilal melaungkan azan di waktu malam maka makanlah kamu dan minumlah kamu sehingga dilaungkan azan oleh Abdullah Ibnu Ummi Maktum. Kata Abdullah bin Umar tidak ada jarak antara keduanya melainkan yang ini turun yang ini naik”. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis menunjukkan bahawa nabi ada dua muazin. Pertama Bilal bin Robah RA, seorang sahabat berketurunan Afrika, keturunan Habasyi, bekas hamba orang. Beliau di kalangan awal yang masuk Islam. Beliau diisiksa oleh tuannya hampir mati, kemudian dibeli oleh Abu Bakar dan dimerdehkakan.

Kedua Abdullah Ibni Ummi Maktum iaitulah seorang sahabat yang buta semenjak awal dan dia masuk Islam. Dialah sahabat yang menjadi sebab turunnya ABASAWA TAWALLA ANJA AHUL ‘AMA yang bermaksud telah masam mukanya kerana datang kepadanya seorang buta.

Ceritanya:

Ketika nabi sedang berceramah di hadapan pembesar-pembesar Mekah Ummi Maktum datang dia buta dia tidak nampak orang ramai di hadapan nabi lalu berkata, “Ya Rasulullah ajar kepada saya apa yang tuhan ajar kepadamu”.

Rasulullah sedang bercakap dia tidak nampak, maka Rasulullah masam muka kerana dia datang mengganggu percakapan. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat ABASAWA TAWALLA ANJA AHUL ‘AMA. telah masam mukanya kerana datang kepadanya seorang buta.

Nabi menyampaikan apa yang diwahikan kepadanya oleh malaikat Jibril walaupun terkena atas batang tubuhnya sendiri. Ini menunjukkan betapa amanah dan benarnya nabi SAW.
Abdullah ibni Ummi Maktum ini menjadi muazin juga. Dua orang muazin Bilal dan Ummi Maktum. Bagi orang Melayu muazin ialah bilal. Habis jadi bilal. Asalnya bilal ini nama orang.
Dua orang muazin ini azan Subuh. Ini bermakna di zaman nabi ada dua kali bang Subuh. Pertama bang sebelum masuk waktu Subuh untuk menyedarkan orang bangun daripada tidur dan kedua bang bila sudah masuk waktu Subuh. Amalan ini masih dilakukan di Mekah dan di Madinah serta dilakukan di beberapa negeri orang Islam yang tahu sejarah ini.
Adapun tarahim tidak ada dalam hadis. Nabi tidak ajar tarahim ini. Ini adalah rekaan orang. Jadi mana lebih nabi ajar dengan rekaan orang. Sudah tentulah baik kita buat apa yang nabi ajar.

Jadi Subuh ada bang dua kali. Bang sebelum Subuh dan bang apabila masuk waktu Subuh. Bilal orang celik, bang sebelum masuk waktu Subuh. Abdullah ibni Maktum orang buta dia tidak bang melainkan setelah orang memberitahu masuk waktu Subuh baru dia bang. 

Maka nabi SAW bersabda, “Kamu boleh makan masa Bilal bang dan apabila Abdullah ibni Ummi Maktum bang kamu tidak boleh makan sahur lagi kerana sudah masuk waktu Subuh”. 

Hadis ini menunjukkan akhir waktu malam ialah masuk waktu Subuh dan akhir waktu sahur ialah masuk waktu Subuh. 

Hadis keempat

Dari Amar bin ‘As RA bahawa Rasulullah SAH bersabda, “Perbezaan di antara puasa kami orang Islam dan puasa golongan ahli kitab iaitulah orang Yahudi dan orang Nasrani ialah makan sahur”. 

Puasa orang Islam ada makan sahur tetapi puasa orang Yahudi dan Kristian tiada makan sahur. Oleh kerana itu sunat makan sahur untuk membezakan puasa kita dengan puasa ahli kitab.

Jadi makan sahur bukan sahaja menyegarkan tubuh badan bila hendak berpuasa esok dan dalam masa yang sama mendapat pahala dan berkat daripada Allah SWT.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment