Thursday, November 17, 2016

BAB PADA MENYATAKAN ISTIQAMAH



Istiqamah ialah mengikut jalan yang betul. Betapa perlunya istiqamah ini sehingga kita diajar oleh Allah s.w.t. supaya berdoa pada tiap-tiap rakaat sembahyang dengan surah al-Fatihah. Apa yang penting dalam surah al-Fatihah itu ialah

IHDINASYSYIRA TALMUSTAKIM (tunjukkan kepada kami jalan yang betul).

Jalan yang betul itu ialah SYIRATHALLAZI NAA’AM TA’ALAIHIM (jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat ke atas mereka).

GHAIGHIL MAGHDHU BI’ALAIHIM (bukannya jalan orang yang dimurkai ke atas mereka)

WALADHALLIN (dan bukannya jalan orang-orang yang sesat)

“Orang-orang yang Engkau beri nikmat ke atas mereka.” 

Siapa dia?

Ditafsirkan oleh Firman Allah Ta’ala: “Orang-orang yang tuhan beri nikmat ke atas mereka ialah nabi-nabi a.s.t.s. as-Siddiqin, as-Syuhada dan Salihin.”

Nabi-nabi ialah orang-orang yang dilantik oleh Allah Ta’ala dan diwahikan kepadanya untuk menyampaikan ajaran Allah. Sama ada nabi-nabi yang menjadi rasul atau pun tidak.

As-Siddiqin ialah orang-orang yang benar dan disebut dalam Quran: “Orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka berjihad kepada jalan Allah dengan harta dan diri mereka, mereka itulah orang-orang yang benar. Antaranya ialah peniaga yang benar, iaitu orang yang percaya kepada dosa dan pahala maka dia tidak menipu orang. Orang yang benar amalannya dan benar hatinya.

As-Syuhada ialah orang-orang yang mati dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah. Dibuktikan kebenarannya sehingga dia berjuang menegakkan agama Allah dia dibunuh. Menegak agama Allah sampai ke mati. Jadi kita baca sejarah mereka.

Salihin ialah orang-orang yang salih. Orang-orang yang baik dan beramal dengan ajaran Islam serta meninggalkan larangan Islam.

GHAIGHIL MAGHDHU BI’ALAIHIM (bukannya jalan orang yang dimurkai ke atas mereka)

Orang yang tuhan murka (marah) ke atas mereka iaitulah golongan ahli kitab. Golongan ini tahu kitab tetapi tidak ikut kitab, tidak beramal dengan kitab. Mereka bukan sahaja tidak beramal tetapi menyesatkan orang. Ada juga manusia begitu padahal dia tahu kitab Allah Ta’ala, dia tahu Rasulullah s.a.w, dia tahu syurga dan neraka tetapi oleh kerana mengejar kemewahan dunia mereka sanggup membelakangkan agama. Ini adalah golongan ALMAGHDHU BI’ALAIHIM.

WALADHALLIN (dan bukannya jalan orang-orang yang sesat)

ADHALLIN ialah golongan yang tidak tahu apa satu. Jahil dan bebal.

Jadi mereka yang istiqamah ialah mereka yang ikut jalan yang tuhan beri nikmat ke atas mereka iaitu nabi-nabi, siddiqin, syuhadat dan salihin, tidak ikut orang-orang yang dimurkai oleh Allah dan tidak ikut orang-orang sesat.

Untuk menjadi istiqamah banyak menghadapi ujian. Oleh sebab itulah kita disuruh berdoa pada tiap-tiap rakaat sembahyang termasuklah sembahyang sunat dan sembahyang mayat. Sembahyang mayat tidak ada rukuk dan sujud tetapi ada Fatihah.

Dalam Fatihah ada IHDINASYSYIRA TALMUSTAKIM (tunjukkan kepada kami jalan yang betul).

Masalahnya semua mengaku betul. Yahudi kata dia betul, Kristian kata dia betul, Hindu kata dia betul, Budha kata dia betul, komunis kata dia betul, syaitan dan iblis kata dia betul, perompak dan pencuri pun kata dia betul. Yang betul ialah hanya daripada tuhan.

Oleh kerana itu dalam kehidupan ini kita jadi keliru. Masing-masing mengaku betul. Bersyarah sedap dan ada umpan pula menyebabkan kita terpengaruh. Inilah sebabnya kita disuruh IHDINASYSYIRA TALMUSTAKIM (tunjukkan kepada kami jalan istiqamah, jalan yang betul).

Dalam satu hadis pada satu hari nabi s.a.w. bersama dengan sahabatnya, nabi toreh atas tanah membuat garisan yang betul. Kemudian dimasukkan cabang-cabang garis yang banyak dan nabi membaca Firman Allah Ta’ala: “Dan sesungguhnya inilah jalan aku jalan yang betul, jangan kamu ikut jalan-jalan lain nanti kamu akan terpelanting daripada jalan yang betul. Begitulah Allah memberi pesanan kepada kamu supaya kamu bertakwa kepada-Nya (berjaga-jaga).”

Nabi kata ini jalan yang betul. Cabang-cabang yang banyak ditoreh oleh nabi itu jalan salah. Tiap-tiap cabang ada syaitan jin dan syaitan manusia yang menipu supaya kita ikut jalan-jalan yang salah itu. Jangan terpengaruh dengan jalan-jalan yang banyak kerana jalan yang betul hanya satu sahaja iaitulah ALMUSTAKIM (istiqamah).

Firman Allah Ta’ala surah Hud ayat 112: “Maka beristiqamahlah engkau wahai Muhamad s.a.w. sebagaimana engkau diperintah.”

Ayat menyuruh nabi Muhamad s.a.w. ikut jalan yang betul sebagaimana diperintah oleh Allah Ta’ala.

Nabi kita Muhamad s.a.w. diperdaya juga oleh pemimpin-pemimpin Mekah.

“Wahai Muhamad berhentilah bercakap perkara-perkara pelik ini. Kami sanggup memberi harta supaya kamu menjadi orang kaya. Kami boleh melantik kamu menjadi raja di Mekah ini. Kamu boleh memilih mana-mana perempuan untuk dikahwini.” Kata pemimpin-pemimpin Mekah, memperdaya Muhamad s.a.w. supaya meninggalkan dakwah Islam.

Walaupun nabi digoda, tindak tanduknya sentiasa dikawal oleh Allah, beristiqamah sebagaimana diperintah oleh Allah s.w.t.

Firman Allah Ta’ala surah Fussilat ayat 30-32:

“Sesungguhnya orang berkata tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah (jalan yang betul) turun kepada mereka oleh malaikat-malaikat dan malaikat itu berkata jangan kamu takut, jangan kamu berdukacita dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

Kami adalah teman-teman dan penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat. Bagi kamu apa yang kamu ingin dan apa yang dijanjikan kepada kamu. Kamu turun menjadi tetamu Allah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “

Ayat ini mengatakan malaikat memberi semangat kepada orang-orang yang beriman yang berkata RABBUNALLAH (tuhan kami ialah Allah) dan mereka berada di jalan yang betul ketika menghadapi ujian di dalam dunia ini. Mereka dipelihara oleh Allah, diberi ketenangan dan imannya tidak tercabut walaupun dikepung oleh musuh-musuh yang ramai.

Mengikut tafsiran yang lain bila mereka dalam keadaan nazak, mereka didatangi oleh malaikat memberi semangat kepada mereka supaya jangan takut dan sedih menghadapi kematian walaupun meninggal keluarga yang disayangi. Allah akan pelihara dia dan keluarganya kerana istiqamah hingga mati.

Firman Allah Ta’ala: 

“Sesungguhnya orang berkata tuhan kami ialah Allah kemudian mereka beristiqamah maka tidak ada ketakutan kepada mereka dan mereka tidak bersedih. Mereka itulah ahli-ahli syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan yang mereka amalkan.”

Ini janji Allah kepada orang yang istiqamah.
  
Hadis-hadis pula ialah:

Hadis riwayat Muslim:

Dari Abi Amrah (nama sebenar Sofian bin Abdullah r.a.) aku berkata kepada Rasulullah s.a.w. “Wahai Rasulullah katakan kepada saya berkenaan dengan Islam kata-kata yang tidak perlu lagi saya bertanya orang lain.” Sabda nabi s.a.w. “Katakanlah AAMANTUBILLAH (aku beriman kepada Allah. Kemudian beristiqamah)

Hadis ini menceritakan bagaimana seorang sahabat bernama Sofian bin Abdullah r.a. meminta Rasulullah s.a.w menerang kepadanya berkenaan dengan Islam dengan penerangan yang jelas sehingga dia tidak perlu lagi bertanya orang lain.

Maka Rasulullah s.a.w bersabda dengan kalimah yang pendek tetapi mempunyai makna yang jelas. Kamu kata: “Aku beriman kepada Allah”

Firman Allah Ta’ala: “Maka jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara, balik kepada Allah yakni kepada Quran dan kepada Rasulullah s.a.w. Jika kamu sungguh-sungguh beriman kepada Allah dan hari akhirat itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya.”

Itulah Istiqamah iaitu balik kepada ajaran Islam.

Hadis riwayat Muslim:

Dari Abi Hurairah r.a. katanya sabda Rasulullah s.a.w. “Hampirkan diri kepada Allah dengan cara sederhana, (jangan melampau) dan istiqamah dan ketahuilah sesungguhnya seseorang kamu tidak akan berjaya dengan sebab jasa amalannya. Lalu mereka bertanya engkau begitu juga ya Rasulullah? Sabdanya: “Aku juga tidak berjaya dengan jasa amalan ku melainkan Allah mengurniakan rahmat dan kurniaan daripada-Nya.”

Kejayaan kita pada hari kiamat adalah pemberian daripada Allah. Bukan daripada jasa amalan kita. Sembahyang lima waktu tidak cukup hendak membayar satu jokong emas mahligai dalam syurga kerana syurga sangat mahal.

Dengan sebab itu kita kena selamatkan diri kita dengan menghampirkan diri kepada Allah dengan amalan-amalan yang salih sekadar kemampuan kita dengan ikhlas dan ikut perintah agama. Apa yang boleh kita amal, kita amal. Mana yang tidak boleh amal kita hendaklah usaha supaya boleh diamalkan.

Sembahyang oleh amal, sedekah boleh buat, tetapi kalau hendak buat haji kena ada wang. Niat hendak mengerja haji mesti ada dan kena usaha mencari wang secara halal.

Hudud dan qisas tidak boleh dijalankan kerana tidak ada kuasa pemerintahan. Sungguhpun begitu cita-cita hendak menegakkan hukum syariat itu mesti ada.

Itu makna menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment