Thursday, November 17, 2016

KOMPLOT MEMBUNUH NABI S.A.W. GAGAL



Maksud hadis muttafakun alaih:

Dan dari Abu Bakar as-Siddiq r.a. katanya aku melihat kepada kaki-kaki orang musyrikin semasa berada dalam gua dan mereka berada di atas kepala kami, lalu aku berkata wahai Rasulullah kalaulah salah seorang daripada mereka tunduk ke bawah nescaya mereka dapat melihat kita.

Sabda Rasulullah s.a.w. “Jangan engkau sangka begitu wahai Abu Bakar. Kita berdua sahaja dan Allah yang ketiga bersama dengan kita.”

Nama sebenar saidina Abu Bakar ialah Abdullah bin Othman bin … Saidina Abu Bakar mendapat kelebihan kedua-dua ibu bapa-nya sempat masuk Islam. Tidak sebagaimana saidina Umar, ayahnya mati dalam keadaan tidak Islam.

Hadis ini menunjukkan ketinggian TAWAKKUL ALALLAH (tawakal kepada Allah) yang ada pada diri nabi s.a.w. mengatasi Abu Bakar.

Ketika nabi s.aw. diburu oleh orang-orang musyrikin untuk membunuhnya, tuhan sebut dalam Quran: 

“Dan ingatlah ketika orang-orang kafir bermesyuarat, mereka merancang untuk menahan mu wahai Muhamad, atau membunuh mu wahai Muahamad dan menghalau mu di luar Mekah. Mereka merancang Allah juga merancang dan perancangan Allah sebaik-baik perancangan untuk menggagalkan tipu daya mereka.”


Kisahnya berlaku apabila Abu Jahal dan pemimpin Mekah bermesyuarat untuk menghadapi pengaruh Islam yang makin berkembang. Mereka telah memujuk nabi bermacam-macam cara supaya meninggalkan dakwah. Nabi ditawar dengan harta kekayaan dan ditawarkan dengan perempuan cantik bahkan mereka sanggup melantik nabi menjadi raja. Semua ditolak olen nabi s.a.w.

Mereka mengguna Abu Talib (bapa saudara yang sangat disegani oleh nabi s.a.w) untuk memujuk nabi supaya tidak berdakwah dan mengganggu golongan jahiliah di Mekah. Tetapi menolak nasihat Abu Talib dengan berkata: “Demi Allah wahai bapa saudara kesayangan ku, sekiranya diletakkan matahari di kanan ku dan bulan di kiri ku supaya aku meninggalkan urusan agama Islam ini atau pun aku mati kerananya nescaya aku tidak akan meninggalkan urusan ini.”

Dalam keadaan menangis nabi berdepan dengan bapa saudaranya dan akhirnya Abu Talib berkata: “Wahai anak saudara kesayangan ku buatlah apa yang kamu hendak buat, aku tetap bersama kamu.”

Jadi Abu Jahal dan pengikutnya gagal memujuk nabi walaupun menggunakan Abu Talib. Bahkan Abu Talib memanggil keluarganya di kalangan Bani Hashim dan Bani Muttalib bermesyuarat keluarga Islam dan keluarga kafir untuk mempertahankan nabi atas nama keluarga.

Mereka bersepakat untuk mempertahankan nabi kecuali Abu Lahab dan beberapa orang lagi. Ini bererti sebahagian besar keluarga nabi termasuk yang bukan Islam akan mempertahankan nabi atas sifat keluarga.

Akibatnya Abu Jahal mengadakan mesyuarat dengan anggota-anggota kabainetnya, pemimpin Mekah. Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah iblis laknatullah yang merupa dirinya (bertasyakkur) dengan seorang Arab Badwi.

Cadangan pertama Muhamad ditangkap dan dipenjarakan. Tetapi ada bantahan, termasuklah iblis yang tidak bersetuju. Jika dikurung dalam penjara pengikut-pengikutnya dan anak beranak yang bersimpati dengannya akan bangkit untuk membebaskannya.

Cadangan kedua bunuh terus Muhamad. Cadangan ini juga mendapat bantahan. Jika Muhamad dibunuh keluarga dan orang-orang Islam yang bersamanya akan menuntut bela dan keluarganya pula besar.

Akhirnya dicadang supaya Muhamad dibuang daripada Mekah. Cadangan ini juga tidak dipersetujui. Iblis memberi pandangan Muhamad pandai berceramah, jika dibuang negeri dia akan berceramah dan mempengaruhi orang luar menyebabkan pengaruhnya berkembang.

Lalu iblis mencadangkan supaya tiap-tiap kabilah yang ada di Mekah mewakilkan seorang pemuda yang gagah. Tangkap Muhamad dan tiap-tiap orang mewakili pemuda membunuh Muhamad serentak. Jika keluarganya menuntut bela terpaksa berdepan dengan semua kabilah.

Cadangan ini dipersetujui dan Abu Jahal kata cadangan ini bagus. Lalu mereka merancang untuk mengepung rumah nabi s.a.w.

“Ingatlah ketika mereka merancang untuk menangkap, menghalang dan membunuh kamu.” Ini disebut dalam Quran.
  
Setelah mengetahui rumahnya akan dikepung, nabi s.a.w. menyusun strategi untuk berhijrah ke Madinah.

Saidina Ali ditugaskana untuk mengambil alih tempat tidur nabi dan disuruh memulangkan kepada orang-orang Mekah segala amanah yang disimpan di rumah nabi s.a.w. Orang-orang Mekah termasuk orang kafir sangat percaya kepada nabi s.a.w. kerana sifat amanahnya.

Nabi mengajak Abu Bakar supaya mengiringinya dan menyuruh Abu Bakar menyediakan unta dan seorang pemandu untuk berhijrah ke Madinah.

Pemandu yang mengetahui jalan ke Madinah ialah seorang kafir yang tidak bersetuju dengan Abu Jahal kerana kemungkarannya dan mahu bekerjasama dengan orang Islam. Diberilah ganjarannya dan dia sanggup menyimpan rahsia. Ini kerja yang halus dan tidak boleh dibocorkan.

Setelah langkah-langkah diatur dengan sangat rapi, nabi duduk di rumah dan Saidina Ali disuruh mengambil alih tempat tidurnya. Abu Jahal dan orang-orang kafir pula merancang mengepung rumah nabi pada waktu Subuh. Kepung, masuk ke dalam rumah dan tangkap nabi.

Allah Ta’ala mengurniakan mukjizat kepada nabi s.a.w. Semua mereka yang mengepung itu ditidurkan oleh Allah s.w.t. dan nabi manabur tanah ke atas kepala-kepala mereka yang tidur.

Nabi dan Abu Bakar melangkah keluar rumah tetapi tidak terus pergi ke Madinah. Madinah di sebelah utara dan Yaman di sebelah selatan. Sudah tentulah mereka akan memburu nabi di sebelah utara kerana mereka tahu nabi akan pergi ke Madinah.

Nabi tidak terus pergi ke utara tetapi ke jabal Thur di sebelah selatan. Bukit Thur yang ada di puncaknya satu gua kecil dan pintunya sempit dan duduk di bawah paras lutut. Untuk masuk ke dalam gua terpaksa meniarap macam askar. Di dalamnya lega (luas) boleh berdiri dan boleh bersembahyang. Ini diatur oleh Allah s.w.t.

Nabi pergi ke arah selatan, tidak ke utara dan ini adalah satu strategi. Tok bomor kita melihat naskah juga. Bila hendak pergi ke laut menangkap ikan laluan mana hendak dilalui. Pakai naskah sebab jin itu dan ini. Ini semua mengarut.

Nabi ada strategi perang untuk mengelirukan musuh. Nabi pergi ke arah selatan, ke arah Yaman dan naik di atas bukit Thur. Untuk sampai ke puncak memakan masa hampir dua jam. Nabi telah menugaskan Abdullah bin Mas’ud untuk memelihara kambing di kawasan itu supaya tapak kaki nabi dan Abu Bakar hilang dan tidak boleh dikesan.

Tetapi Abu Jahal dan pengikutnya menggunakan pakar-pakar pengesan tapak. Pakar pengesan tapak dapat mengesan nabi tidak pergi ke arah Madinah. Lalu mereka pergi ke selatan ke tempat nabi dan Abu Bakar bersembunyi. Mereka naik di atas Jabal Thur dan sampai di tempat persembunyian. Masa itulah Abu Bakar nampak kaki-kaki mereka berjalan.

Disebut dalam Quran: “Ingatlah ketika mereka berada di dalam gua dan dia (nabi Muhamad s.a.w.) berkata kepada sahabatnya; jangan engkau bersedih Allah bersama dengan kita.”

Ini ucapan nabi kepada Abu Bakar. Abu Bakar sangat sedih dan diriwayatkan masa itu nabi dalam keadaan terlena sekejap dan kaki Abu Bakar disengat oleh binatang bisa. Ini adalah ujian daripada Allah. Abu Bakar tidak mengerang (bersuara) tetapi menahan kesakitan kerana takut diketahui oleh orang kafir. Ini merupakan ketinggian iman Abu Bakar as-Siddiq r.a.

Bagi orang yang berjuang jika terlena tidur adalah pertolongan daripada Allah. Jika mengantuk tengah sembahyang atau sedang membaca Quran adalah syaitan.

Selepas ucapan itu Abu Bakar pun naik semangat balik dan akhirnya dengan pertolongan Allah Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya berundur daripada gua itu.

Banyaklah cerita mengatakan labah-labah membuat sarang, burung merpati dan kekarun mengambus bekas tapak kaki nabi dan Abu Bakar. Itu adalah cerita-cerita tambahan yang tidak disebut dalam hadis ini. Cerita yang sebenar ialah bertawakkal kepada Allah dan berlaku pertolongan Allah.
  
Setelah keadaan Mekah tenang beberapa hari, nabi s.a.w. Abu Bakar dan pemandu terus menaiki unta. Pemandu bernama Abdullah bin Huraikib. Nama Abdullah tetapi kafir. Pemandu mengambil jalan ke arah tepi laut bukan jalan biasa yang dilalui oleh orang ramai. Jalan yang luar biasa dan di celah-celah bukit yang hanya diketahui oleh orang-orang yang pintar memandu melalui bintang. Zaman dahulu tidak ada kompas dan JPS jauh sekali. Inilah kepintaran orang Arab.

Setelah gagal menemui nabi s.a.w. Abu Jahal membuat mesyuarat sekali lagi. Akhirnya mereka bersetuju menawarkan hadiah beberapa ratus ekor unta. Barangsiapa yang dapat menangkap Muhamad hidup-hidup atau pun mati akan diberi hadiah seratus ekor unta. Unta ialah barang yang mahal zaman dahulu.

Seorang bukan Islam bernama Syurakah bin Malik yang duduk dalam kedai minuman mendengar seorang Badwi mengatakan dia ternampak dua orang berjalan menuju ke satu kawasan. Syurakah bin Malik pun berkata: “Senyap, senyap. Jangan bercakap lagi.”

Dia berfikir inilah peluang mendapat unta yang banyak. Dia hendak buru nabi, hendak membunuh nabi dan menjadi orang kaya. Dia tidak perlu mengajak orang lain kerana dia mahu membolot kekayaan seorang diri. Syurakah ialah seorang pahlawan musyrikin. Dia fikir dapat paksa nabi dan Abu Bakar balik semula ke Mekah atau pun bunuh.

Dia balik ke rumah dan menyuruh khodamnya menyediakan kuda dan letak di belakang rumah supaya orang tidak nampak. Setelah siap dia pun menaiki kudanya dan menuju ke arah tempat yang diberitahu oleh orang Badwi. Akhirnya bertemu dengan nabi, Abu Bakar dan Abdullah bin Huraikib yang sedang menunggang unta.
  
Abu Bakar melihat Syurakah bin Malik melajukan kudanya dan melintas nabi. Abu Bakar berkata habislah kita. Nabi berkata tidak mengapa.

Bila Syurakah hendak menyerkam nabi kaki kudanya dipegang oleh bumi lalu tersukur jatuh ke bumi dengan pertolongan Allah. Kemudian naik dan kejar semula dan dipegang di bumi pula. Naik dan kejar balik tetapi rebah juga. Akhirnya dia menyembah nabi dan mengaku dia tidak mahu membuat apa-apa lagi kepada nabi dan meminta ia dibebaskan.

Dia tidak mahu masuk Islam walaupun benda-benda pelik berlaku kerana tidak mendapat hidayah.

Lalu nabi kata: “Wahai Syurakah aku bebaskan kamu dan aku akan hadiahkan kepada kamu gelang emas kebesaran kerajaan Farsi.”

Farsi dan Rome adalah kuasa besar dunia masa itu. Ini bermakna nabi yakin kepada janji Allah yang akan memberi kemenangan kepada Islam. Farsi dan Rome akan tumbang.  Allah Ta’ala tidak akan mungkir janji sekali-kali. Nabi melahirkan keyakinannya dengan membuat janji kepada Syurakah.

Farsi dan Rome jatuh tidak zaman nabi, tidak zaman Abu Bakar, jatuh zaman Saidina Umar al-Khattab r.a. Hirah, pusat kerajaan Farsi ditawan zaman Saidini Umar bin Khattab r.a. Saad bin Abi Wakaf menjadi panglima dan mengumpul harta rampasan. Di antara harta rampasan itu ialah gelang kebesaran kerajaan Farsi.

Oleh kerana banyak sangat barang-barang rampasan lalu Saad menghantar barang-barang itu ke Madinah kepada Saidina Umar bin Khattab r.a. supaya membahagi-bahagikannyaa. Bila melihat gelang itu Saidina Umar memanggil Syurakah bin Malik yang masa itu sudah masuk Islam dan terus menyerahkan gelang itu kepada Syurakah sebagaimana yang dijanjikan oleh nabi s.a.w.

Ini adalah dalil benarnya janji Allah dan janji nabi s.a.w.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment