Thursday, November 17, 2016

PERANAN MEDIA DARI PERSPEKTIF ISLAM


Firman Allah Ta’ala surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesal apa yang kamu telah lakukan.”

Ayat ini ialah peringatan daripada Allah Ta’ala betapa media yang tidak benar membawa berita yang boleh mengelirukan, membawa penyesalan kerana menyebar perkara yang salah terhadap sesiapa sahaja.

Ayat ini ada sebab diturunkan. Di zaman Rasulullah s.a.w. apabila dibawa berita ada satu perkampungan yang sudah menyeleweng, memberontak dan tidak mahu menunaikan zakat oleh mereka yang berkemampuan bagi membantu negara dan masyarakat.

Nabi s.a.w. menggerakkan pasukan tentera untuk bertindak. Bila sampai ditempat berkenaan pihak risikan memberi maklumat bahawa tidak ada tanda-tanda bahawa kampung itu memberontak. Lalu ketua pemerintah pun memerintah supaya berundur dan pulang menemui nabi s.a.w.

Lalu Allah menurunkan ayat tersebut mengingatkan orang-orang beriman supaya jangan bertindak dengan tergesa-gesa dan menghukum dengan tergesa-gesa tanpa menyelidik terlebih dahulu berita yang dibawa apa lagi oleh pihak yang tidak diketahui benar dan bohongnya.

Quran adalah petunjuk mukjizat sehingga hari kiamat merupkan pengajaran yang umum kepada seluruh manusia.

Ada pula hadis-hadis nabi yang menghuraikan tentang padah menyebarkan berita yang salah menyebabkan fitnah di dalam masyarakat. Hadis menceritakan apabila nabi s.a.w. dibawa melawat ke alam barzakh melalui mimpi yang benar. Mimpi rasul adalah wahi daripada Allah Ta’ala dibawa oleh malaikat melihat alam barzah, melihat mereka yang diseksa di dalam neraka. Balasan kepada mereka yang berzina, memakan riba, dan mereka yang menyebar berita yang salah.

Ditunjukkan kepada nabi s.a.w kalangan manusia yang disangkut matanya, disangkut hidungnya, disangkut pipinya kiri dan kanan sehingga tembus ke belakang dan digantung di dalam neraka.

Dilihat orang yang berenang dalam darah dan dilihat juga orang dimasak beramai-ramai dalam periok panas menggelegak.

Setelah selesai lawatan itu malaikat memberitahu nabi s.a.w. satu persatu.

Wahai Muhamad! Ada pun kalangan manusia yang engkau lihat disangkut pipinya, hidungnya dan matanya kiri dan kanan tembus ke belakang adalah mereka yang menyebar berita-berita bohong sehingga sampai ke seluruh ufuk dunia.

Barang kali mereka yang hidup zaman itu tidak terfikir bagaimana berita boleh disebar sehingga seluruh ufuk dunia.

Hari ini kita melihat mukjizat ilmu yang diberi kepada nabi s.a.w. manusia mencapai kemajuan teknologi maklumat, mencipta alat-alat yang canggih dan terkini sehingga dunia yang dianggap luas di zaman dahulu menjadi sempit. Langit terbuka dan boleh menyebar berita tanpa sempadan dengan cepat.

Sungguhpun ilmu media adalah kurniaan Allah Ta’ala kepada manusia, tetapi ada batas dan sempadan. Batasnya ialah kita menyebarkan kebaikan, membetulkan pemikiran manusia, menolak kemungkaran, mencegah kemungkaran dan menyedarkan masyarakat kepada yang baik.

Jika apa yang disebarkan itu perkara yang baik, memberi manfaat kepada manusia dan pahalanya sangat besar berpanjangan sehingga kita meninggal dunia. Selagi tulisan itu ada dan selagi ada kefahaman dan disebar pula dengan luas lagi besar pahalanya. Itulah dia ajaran Islam yang perlu menjadi panduan kepada kita.

Kita perlu menyedari sebenarnya setiap anggota kita dan setiap pengetahuan yang diberi oleh Allah s.w.t. adalah keperluan untuk kita mengerjakan amal yang salih. Sekiranya nikmat itu disalahgunakan maka peluang mengerjakan amal yang jahat tersangat mudah.

Jika kita memanfaatkan untuk menyebarkan mesej agama kita, membetulkan masyarakat yang pincang, menyedarkan mereka yang tidak sedar dan mengembalikan masyarakat kepada kebenaran. Inilah barang kali yang perlu digunakan untuk mencapai apa yang disebut oleh nabi s.a.w. “Sesungguhnya urusan Islam ini akan sampai di mana sampainya siang dan malam.”

Di mana sampai siang dan malam kita boleh menyampaikan maklumat kepada manusia. Kita adalah yang dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan risalah Islam yang dibawa oleh nabi akhir zaman yang tidak mati dengan wafatnya nabi Muhamad s.a.w.

Sedarlah kita bahawa kita menjadi Islam di sini adalah berkat pedagang yang mengharungi lautan yang luas, meredah padang pasir dan hutan rimba belantara, mendaki bukit bukau dan gunung ganang bukan sekadar membawa barang dagangan bagi mendapat rezeki untuk kehidupan tetapi sebenarnya hidup untuk beramal.

Khusus untuk menghadapi wawasan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t yang perlu kita tuju ditegaskan oleh firman-Nya: “Hari yang tiada memberi manfaat oleh harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera.”

Betapa perlunya kita menyebar risalah Islam kerana dunia hari ini sedang mencari penyelesaian terhadap masalah yang dialami setelah gagalnya agama selain daripada Islam.

Kegagalan ideologi dan teori ciptaan manusia, kita menyaksikan di abad yang lalu keruntuhan Soviet Union, kuasa besar dunia menandakan teori komunisma dan sosialisma yang membela orang miskin merupakan masyarakat yang ramai tetapi menyantas kebebasan orang-orang kaya yang menjadi penyumbang ekonomi. Membela orang miskin menzalimi orang kaya dengan membelakangi agama. Teori komunisma dan sosialisma merudung.

Liberal kapitalisma barat dengan kuasa-kuasa besar yang kaya duitnya, besar industrinya, tetapi masyarakat yang kosong jiwa dan ruhnya bukan sahaja keluarga yang ditinggalkan oleh anak-anak menyebabkan orang tua dijaga oleh anjing tetapi orang kaya dilaporkan menulis surat wasiat untuk anjing yang menjaga bukan untuk anak.

Kemusnahan ekonomi negara yang kaya-kaya kerana muamalat riba yang diharamkan oleh Islam menyebabkan melesetnya ekonomi sehingga negara Amerika Syarikat yang dianggap paling kaya dibebankan dengan hutang mencecah angka trilion

Liberal kapitalisma sedang mengalami keruntuhan. Seorang ilmuan yang tersohor di barat mengatakan tinggal satu tamadun sahaja lagi iaitu tamadun barat yang dipimpin oleh Amerika yang menaja slogan globalisasi kerana tamadun Jepun, China, India dan termasuk yang dibawa oleh komunisma dan sosialisma runtuh.

Setelah dibuat kajian secara terperinci didapati ada pencabarnya iaitulah tamadun Islam. Tetapi ajaran Islam yang kukuh tidak boleh dipadamkan cahayanya. Orang Islam bangkit semula merisaukan negara-negara Eropah.

Turkey yang berusaha untuk masuk ke dalam gagasan EU dihalang oleh negara Eropah untuk menjadi ahli EU walaupun Turkey adalah ahli kepada NATO kerana jika mereka menjadi ahli banyaklah industri di Eropah dimasuki oleh orang-orang Turkey yang berjiwa Islam dan rajin bekerja tidak boleh ditandingi oleh orang-orang barat yang leka.

Masyarakat Turkey yang mendiami Asia Tengah berada di dalam sutra dari Istambul sehingga Zinjia merupakan kaum menggunakan bahasa Turkey bekas penaklukan komunis Soviet Union walaupum mereka diganyang oleh Diktator Soiviet yang ganas dalam masa beberapa dekad yang lalu. Sekarang orang-orang Islam di Asia Tengah bangkit semula. Menunjukkan bahawa tamadun Islam menjadi pencabar kepada tamadun barat.

Dengan itu hari ini mereka sedang mengadakan langkah untuk menghalang kebangkitan semula Islam. Mereka gagal untuk menghapuskan Islam kerana kesedaran untuk kembali kepada Islam bangkit semula.

Setelah mereka gagal di Afganistan, gagal di Iraq dan gagal menghapuskan orang Islam di Balqan, Bosnia melalui persenjataan, mereka lakukan langkah-langkah politik yang sangat licik. Mereka mengambil peluang daripada kelemahan pada diri orang Islam sendiri yang bangkit bersama Islam.

Ada dua bentuk kelemahan:

1. Tasyahul
2. Tasyaddud.

Tasyahul ialah mereka yang merasakan cukup menjadi orang Islam secara baka dan keturunan. Cukup dengan melakukan perkara-perkara ibadat dan adat sebagai orang Islam tanpa melaksanakan Islam yang menyeluruh.

Perjuangan Islam tanpa menegakkan negara. Perjuangan Islam tanpa menegakkan undang-undang syariat. Perjuangan Islam tanpa melaksanakan dasar dan konsep ekonomi Islam yang sebenar.

Islam dihalang daripada dilaksanakan dengan alasan-alasan untuk menarik mereka yang bermudah-mudah dengan Islam. Mereka mengizinkan penubuhan parti Islam ala Kristen demokrat di Jerman dan lain-lain iaitulah agama yang dipisahkan daripada politik, dipisahkan daripada ekonomi dan dipisahkan daripada melaksanakan syariat dengan cara yang menyeluruh.

Selagi Islam tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna kita tidak boleh mencapai kehebatan dan kemuliaan bersama dengan Islam.
  
Pendekatan tasyaddud pula ialah mereka yang terlalu bersemangat hendak balik kepada Islam. Kalau boleh hendak melaksanakan Islam serta merta. Hendak menegakkan negara Islam serta merta tanpa mengkaji bagaimana perancangan dan tahap menegakkan negara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak melaksanakan serentak atau sekali gus.

Rasulullah melaksanakan Islam bermula dengan membentuk kalangan umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam, faham Islam yang dikumpulkan di kalangan muhajirin dan ansar. Seterusnya nabi berhijrah ke Madinah dan mengajak orang-orang bukan Islam yang bencikan penyelewengan dan kezaliman supaya memberi peluang melihat Islam itu dilaksanakan.

Nabi mengadakan hubungan antarabangsa dengan menjadikan perdamaian adalah keutamaan dan peperangan adalah penyelesaian yang paling akhir.

Namun kita melihat hari ini wujud kalangan mereka yang mahu menegakkan negara Islam tanpa jadual sebagaimana yang diatur laksanakan mendirikan rumah terus menegakkan atap tanpa tiang yang kukuh dan tanpa asas rumah yang kukuh maka berlaku atap runtuh menimpa diri sendiri.

Kita melihat apa yang berlaku di Asia Barat hari ini mereka berjaya mengkhodamkan kalangan-kalangan ini sehingga berlaku peperangan sesama sendiri. Dengan duit Arab, tenaga orang Arab matinya orang Arab tetapi senjatanya Amerika, Peranchis, England, Soviet, China dan lain-lain. Yang berperang kita, duit kita dan yang mati kita, senjata, senjata dia. Alangkah bodoh kita umat Islam.

Ini ialah kerana tasyaddud iaitulah semangat untuk melaksanakan Islam tanpa faham bagaimana ajaran Islam itu dilaksanakan mengikut jadualnya. Hal-hal yang seperti ini kita mesti peka dan faham. Jangan kita keliru dengan media-media barat yang sebahagian besarnya masih dikuasai oleh Zionis dan juak-juaknya yang tidak akan memberikan satu maklumat yang betul kepada kita.

Oleh itu banyakkan pembacaan, banyakkan kajian, banyakkan renungan dan jangan bertindak sebelum berfikir. Jangan pena kita lebih laju daripada akal fikiran kita.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment