Monday, November 21, 2016

TAFSIR: DEMI LANGIT DAN BINTANG



Surah at-Tariq ayat 1 – 8

Aţ-Ţāriq:1 - Demi langit dan "At-Taariq"; -

Aţ-Ţāriq:2 - Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia "At-Taariq" itu? –

Aţ-Ţāriq:3 - (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya);

Aţ-Ţāriq:4 - Tiada sesuatu diri juapun melainkan ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya).

Aţ-Ţāriq:5 - (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.

Aţ-Ţāriq:6 - Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) –

Aţ-Ţāriq:7 - Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.

Aţ-Ţāriq:8 - Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),

Ayat-ayat yang kita baca ini ialah permulaan surah at-Tariq. Perkatan at-tariq bermakna mengetuk pintu waktu malam.

Surah ini termasuk dalam surah-surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Makkatul Mukarramah yang membincangkan perkara berkait dengan akidah. Ketika nabi SAW dan para sahabat berada di Mekah belum berada negara yang berdaulat.

Ketika orang-orang Islam ditekan dan ditindas maka Allah menurunkan surah-surah yang terkandung di dalamnya perkara akidah untuk menguatkan iman orang-orang yang beriman.

Surah ini memberi penekanan kepada kepercayaan adanya kebangkitan semula setelah mati, setelah berlaku hari kiamat. Manusia akan dihidupkan semula dengan dikemukakan dalil-dalil yang terang dan nyata menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang boleh menghidupkan semula manusia dan mengadakan semula setelah mati dan hancur lebur di dalam tanah.

Dalilnya ialah pada kejadian diri manusia sendiri. Manusia yang dijadikan Allah daripada tiada langsung Allah berkuasa menjadikan setelah ada benih ajbuzzanat yang ada pada tiap-tiap orang. Kalau daripada tiada benih langsung Allah Ta’ala boleh jadikan maka terlalu mudah bagi Allah untuk menghidupkan semula daripada benih-benih itu.

Allah Ta’ala memulakan surah ini dengan sumpah. Allah Ta’ala bersumpah dengan makhluk-Nya yang besar dan hebat. Kita manusia tidak boleh bersumpah dengan makhluk tetapi mestilah bersumpah dengan nama Allah “WALLAHI WATALLAHI WABILLAHI.

Jika bersumpah lain daripada Allah bukan sempah namanya walaupun disebut bersumpah di mahkamah, bersumpah di hadapan pesuruh jaya sumpah dan mati stem pula. Jika tidak ada WALLAHI WATALLAHI WABILLAHI tidak sah sumpah mengikut ajaran Islam.

Allah SWT boleh bersumpah dengan mana-mana makhluk-Nya. Dalam surah ini dengan makhluk-Nya: “Demi langit dan demi bintang.”

Dalam surah-surah lain Allah Ta’ala bersumpah demi waktu dhuha dan malam, demi waktu fajar dan demi matahari. Sumpah-sumpah ini untuk menanda makhluk itu menjadi dalil bagi ketuhanan Allah SWT. 

Perkara yang disebut dalam surah ini adalah sangat penting untuk menjadi perhatian bagi kita kerana sumpah menguatkan ayat-ayat yang ada kemudian daripadanya. Allah Ta’ala mengemukakan dalil-dalil kekuasaan Allah yang mencipta sekalian alam.

Allah SWT berkuasa untuk menghidupkan semula manusia dan Allah mendedahkan rahsia-rahsia hari kiamat supaya kita mengetahui awal-awal lagi.

Antaranya ialah kedahsyatan hari kiamat, manusia tidak boleh berlindung melainkan dengan pertolongan Allah daripada iman dan amalnya yang solih dan manusia hendaklah bergantung kepada Allah SWT.

Surah ini ditutup dengan mukjizat nabi SAW. Janji al-Quranul Karim adalah satu janji yang benar berlaku. Janji Allah hendak memberi kemenangan kepada Islam, Islam boleh menang. Begitulah janji Allah Ta’ala berlakunya hari kiamat dan segala perkara yang berlaku di dalamnya maka semua janji itu adalah benar.
  
Dengan nama Allah yang amat pemurah dan lagi maha penyayang.

“Demi langit dan demi at-tariq yang mengetuk malam”

Langit ialah makhluk yang sangat besar, tidak boleh dibanding dengan bumi. Tiap-tiap satu bintang ada yang sebesar bumi, lebih besar daripada bumi, lebih kecil daripada bumi dan macam-macam. Bintang-bintang bertaburan di alam langit banyaknya laksana pasir di bumi.

At-tariq yang mengetuk dengan pukulan yang mengejutkan kita waktu malam.

“Dan apakah kamu tahu apa dia at-tariq itu wahai Muhamad”

At-tariq ialah bintang yang memancarkan cahayanya di tengah kegelapan malam. Ini menjadi tanda kekuasaan Allah SWT. Bila malam ada cahaya dan siang tidak nampak cahayanya.

Nabi Ibrahim AS hendak kenal Allah Ta’ala, bila melihat bintang berkata ini tuhan agaknya dan bila hilang bukan tuhan. Tengak bulan ini bukan tuhan. Tengak matahari ini bukan tuhan. Tuhan yang sebenar ialah tuhan menjadikan seluruh alam. Sudah tentulah bintang yang besar beredar di langit ada tuhan yang menciptanya.

“Tiap-tiap seorang ada malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk menjaganya.”

Wahai manusia sedarlah diri kamu. Antaranya ialah urusan menulis amal-amal yang dibuat sama ada amal baik dan ataupun amal jahat dicatit oleh malaikat. Catitan ini dijadikan bukti pada hari kiamat kelak.

“Sesungguhnya di atas kamu ada malaikat-malaikat yang menjaga urusan kamu. Malaikat-malaikat ini sangat mulia”

Allah membicarakan ke atas manusia di akhirat bukan dengan ilmu-Nya sahaja walaupun semua yang kita buat Allah Ta’ala tahu, tetapi diambil kira catatan-catatan para malaikat-Nya.

Disebut dalam hadis ada seorang hamba Allah yang diberi kepadanya suratan amal yang penuh kejahatan sayut mata memandang. Dia tersandar di belakang bila melihat amal jahat yang begitu banyak.

Tuhan berkata wahai hamba-Ku ada surat kecil yang kamu buat atas dunia dulu. Hamba itu berkata apalah hendak buat dengan surat kecil berbanding amal jahat yang sayup mata memandang. Surat kecil itu tertulis LAILAHA ILLALLAH (Tiada tuhan melainkan Allah) dan dia tidak syirik masa hidup atas dunia.

Barang kali hamba ini jahil tetapi dia sayang kepada Islam. Walaupun tidak pandai sembahyang tetapi orang hentam atau hina nabi dia akan tentang mati-matian.

Bila ditimbang tiba-tiba berat kertas yang tertulis LAILAHA ILLALLAH dan dia dimasukkan ke syurga.

Ini menunjukkan catatan-catatan malaikat wujud dan dibawa pada hari kiamat.

“Maka manusia hendaklah melihat dari apa dia diciptakan.”

Manusia kena sedar diri dia. Sama ada dia raja, rakyat, menteri, dia kaya, miskin, alim atau jahil kena sedar kejadiannya.

“Diciptakan daripada air yang memancar iaitu air mani lelaki dan perempuan yang keluar dengan memancut daripada tulang sulbi lelaki dan tulang dada bagi perempuan.”

Inilah asal kejadian manusia. Pendapat mengatakan manusia berasal daripada beruk adalah pendapat yang sesat. Quran memberitahu manusia daripada Adam dan Adam daripada tanah.

“Sesungguhnya Dia (tuhan) untuk mengembalikan hidup semula maha berkuasa.”

Tuhan boleh mengembalikan hidup semula manusia yang telah mati pada hari kiamat kelak.

“Bagaimana kamu kufur terhadap Allah padahal Dia menghidupkan kamu daripada tidak ada langsung, mematikan kamu dan menghidupkan kamu semula. Kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya dalam keadaan kamu tidak tahu di mana kamu, ke syurga atau ke neraka.”

Itulah tuhan yang berkuasa menghidupkan manusia dan mengembalikan kepada-Nya pada hari kiamat.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment