Friday, November 18, 2016

PERLU IKUT NABI S.A.W. BUKANNYA QURAN SAHAJA



Maksud hadis riwayat Bukhari:

“Dari Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda tiap-tiap umatku masuk syurga melainkan sesiapa yang enggan (tidak mahu).”

Lalu ditanya siapa yang enggan wahai Rasulullah s.a.w. Sabdanya: “siapa yang mentaati aku masuk syurga dan siapa yang menderhaka melawan aku dia enggan.”

Hadis ini menunjukkan kita perlu ikut nabi s.a.w. bukan sahaja ikut Quran.

Dalam dunia hari ini ada satu puak, Malaysia pun ada juga, puak yang menolak hadis dan pakai Quran sahaja. Puak ini katanya baca Fatihah tidak berapa betul. Tetapi menyuruh orang ikut Quran sahaja.

Antaranya orang yang bernama Rasyad Khalifa yang duduk di Amerika dan dipelihara oleh Amerika. Di negeri kita dan di negeri Arab ada juga pengikutnya.

Padahal Allah Ta’ala menyebut dalam Quran: “Apa yang rasul bawa ambil.”

“Sesungguhnya adalah Rasulullah s.a.w itu contoh tauladan yang paling baik bagi sesiapa yang harapkan Allah dan akhirat dan ingat Allah dengan sebanyak-banyaknya.”

Puak ini kata Rasulullah ikut Quran maka kita ikut Quranlah. Jangan ikut Rasulullah.
 
Kita kena sedar bahawa di sana banyak perkara Quran yang kita tidak tahu hendak beramal melainkan diajar oleh nabi s.a.w.

Allah Ta’ala menyerah ibadat sembahyang kepada nabi di Sidratul Muntaha pada malam Israk dan Mikraj. Allah Ta’ala menurunkan perintah sembahyang: “Aqimussalah” (dirikanlah kamu akan sembahyang). Disebut dalam Quran ‘rukuk dan sujud’.

Bagaimana hendak sembahyang, mula dengan rukuk dulu atau sujud dulu. Cara-cara sembahyang kita tidak tahu, melainkan setelah malaikat Jibril turun mengajar nabi bagaimana hendak mengambil wuduk walaupun ada ayat wuduk dalam Quran.

“Apabila kamu mengambil air sembahyang basuhlah muka kamu, basuh tangan kamu hingga kedua siku, sapu kepala kamu dan basuh kaki kamu sehingga buku lali.”

Ada pendapat ulamak mengatakan kaki hanya disapu bukan dibasuh. Orang Syiah dan ada juga orang Sunni memakai pendapat ini.

Ada hadis-hadis yang kuat mengatakan: “Celaka bagi mereka yang tidak membasuh buku lali.”

Menandakan hadis membasuh kaki ini kuat. Namun begitu jika kita melihat orang mengambil wuduk menyapu kaki sahaja tidak menjadi sesat. Cuma kita nasihat dan suruh dia basuh kaki.

Malaikat Jibril mengajar nabi cara sembahyang dan nabi mengajar kepada para sahabatnya. Nabi kata: “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu tengak aku sembahyang.”

Hadis nabi mengenai cara sembahyang dimulakan dengan takbir diakhiri dengan salam, di tengah-tengahnya ada rukuk dan ada sujud serta ada bacaan. Ini merupakan riwayat yang mutawatir.

Mutawatir bermakna riwayat yang disebut oleh ramai orang. Jika seorang sahaja yang meriwayatkan dinamakan hadis Ahad. Ribuan para sahabat meriwayatkan inilah cara nabi sembahyang.

Malangnya ada orang yang hendak tunjuk pelik, sembahyang pakai niat sahaja. Guru ini mengajar atas wakaf sahaja. Bercakap pula sedap. Pendengar pula fikir tinggi ilmunya, sembahyang pakai hakikat. Inilah yang menjadi sesat.

Inilah ilmu sesat dan sebahagiannya dimasuki oleh orang Yahudi. Sembahyang batin, puasa batin, nikah batin, haji batin dan semuanya batin. Tetapi makan tidak batin. Jangan makan, pakai niat sahaja.

Nabi kata: “sembahyanglah kamu sebagaimana kamu tengak aku sembahyang. Ambil daripada aku cara-cara ibadat haji kamu”

Sebelum wafat nabi menyebut dalam hadis: “Aku tinggal dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu pegang dengan kedua-duanya iaitulah kitab Allah (Quran) dan sunah aku (hadis aku).”

Pegang dengan kedua-duanya kata nabi. Para ulamak memelihara Quran dan hadis. Ulamak dapat menapis sama ada hadis sahih, dhaif atau hadis rekaan. Orang tidak boleh menipu. Dikarang kitab hadis yang direka berjilid-jilid.

Nabi menyebut: “Kamu kena mengikut ajaran aku dan ajaran khulafah al-Rasyidin selepas daripada aku.”

Khulafah al-Rasyidin ialah Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Zaman nabi dan Saidina Abu Bakar sembahyang tarawaih 8 rakaat tetapi zaman Saidina Umar sembahyang tarawaih 20 rakaat. Zaman Saidina Othman pula azan hari Jumaat 2 kali sedangkan sebelumnya azan hanya sekali. Kita hendak membuat mana-mana satu pun tidak menjadi masalah.

Nabi kata: “Kamu kena ikut jamaah Islam dan pemimpin mereka.”

Nabi sudah wafat dan zaman haru biru kena ikut jamaah Islam. Ada orang berkata ikutlah jemaah mana-mana pun. Zaman sekarang terlalu banyak jemaah.

Nabi kata jaga-jaga: “Umat aku berpecah kepada 73 puak, semua dalam neraka kecuali satu.”

Sahabat bertanya: “Siapa yang satu itu ya Rasulullah?”

Nabi kata: “Mereka yang mengikut perjalanan aku dan sahabat aku.”

Mana Jemah Islam sebenar?

Tuhan menyebut dalam Quran sifat-sifat jemaah yang orang tidak tipu.

Maksud firman Allah Ta’ala: “Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan/jemaah yang sifatnya tiga: berdakwah kepada kebajikan iaitulah seluruh ajaran Islam, menyuruh kepada yang baik (bukan sahaja nasihat tetapi suruh) dan cegah kemungkaran”

Bagaimana mencegah kemungkaran?

Nabi kata: “Sesiapa yang melihat perkara mungkar hendaklah cegah dengan tangan, jika tidak mampu dengan tangan kena cegah dengan lidah dan tidak mampu dengan lidah cegah dalam hati. Dan cegah dalam hati adalah selemah-lemah iman.”

Dalam hadis yang lain: “Jika dalam hati pun tiada, maka tidak ada iman.”

Seboleh-bolehnya cegah dengan tangan, bermakna pemerintahan macam nabi buat. Di Mekah nabi tidak mendapat sambutan bahkan ada yang hendak membunuhnya. Lalu nabi mencari negeri lain iaitu berhijrah ke Madinah. Di Madinah nabi mendirikan kerajaan Islam dan memerintah negara.
  
Tuhan sebut: “Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kekuasaan, mereke mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.”

Yang baik disuruh dan yang mungkar dicegah dengan kekuasaan pemerintahan. Cara pemerintahan tuhan sudah siap dalam Quran.

Dalam Quran ada hukum Qisas, ada hukum Hudud dan ada hukum umum. Untuk melaksanakan hukum Hudud dan hukum Qisas dan lain-lain mesti ada kerajaan.

Maka kita hendaklah mencari jemaah yang memenuhi sifat-sifat ini. Jemaah sebagaimana nabi buat. Bermula berceramah di Mekah sehingga memerintah di Madinah. Bila memerintah di Madinah nabi laksanakan hukum syariat, laksanakan Qisas, Hudud dan lain-lain. Jika ada yang ingkar nabi terpaksa berperang.

Quran 30 juzuk penuh dengan ayat-ayat yang menunjukkan bagaimana jemaah Islam itu mestilah menegakkan apa yang ada dalam Quran.

Kita hendak sertai jemaah yang disebut dalam Quran.

Firman Allah Ta’ala: “Sesungguhnya yang menjadi wali kamu (wali ialah yang memberi petunjuk, yang memimpin dan memandu ialah Allah dan rasul-Nya) dan orang-orang yang beriman yang mengerjakan sembahyang dan barangsiapa berwalikan mereka, mereka ini ialah hisbullah (golongan Allah yang menegakkan Islam) yang mendapat kemenangan dunia dan akhirat.”

Nabi kata: “barangsiapa yang enggan tidak akan bersama dengan aku pada hari kiamat.”

Kalau kita hendak mengikut nabi Muhamad kita ikut semua sekali dan jangan ikut separuh jalan.

“Katakanlah jika kamu kasihkan akan Allah maka nabi kata ikut aku nescaya Allah kasih kepada kamu, Allah mengampunkan dosa kamu dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Taatilah Allah dan rasul sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang kafir. Tanggungjawab kita ajak orang kafir masuk Islam. Dia tidak mahu masuk Islam tidak boleh paksa tetapi kena taat kepada pemerintahan Islam. Tidak boleh mengganggu apa orang Islam hendak buat.

Sahabat-sahabat mengikut nabi daripada Mekah sampai ke Madinah. Di Madinah nabi dirikan kerajaan Islam bukan sekadar tanam kurma sahaja. Di samping tanam kurma tegakkan Islam. Jika tanam kelapa sawit dan buat kilang tetapi Islam tidak ditegakkan maka kita tidak dapat menyempurnakan apa yang nabi ajar kepada kita.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment