Monday, November 21, 2016

DERMA


Firman Allah Ta’ala surah Taubah ayat 79:

At-Tawbah:79 

Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

“Dari Abi Mas’ud katanya bila turunnya ayat mengenai kelebihan menyumbang (sedekah) terutamanya menyumbang untuk perjuangan lalu kami memikul dan meletakkan barang di atas belakang-belakang kami maka ada orang yang datang membawa sedekah dengan sumbangan yang sebanyak-banyaknya, lalu mereka yakni puak-puak munafik berkata ‘murain’ (menunjuk-nunjuk) dan datang pula orang bersedekah dengan sekadar segantang sahaja lalu mereka berkata Allah Ta’ala tidak memerlukan kepada segantang ini.”

Inilah kerja orang munafik. Bila dia melihat derma banyak dia berkata menunjuk-nunjuk. Bila derma sedikit, dia berkata buat apa sedikit sangat. Dia tahu bercakap sahaja sedangkan dia sendiri tidak menyumbang.

Mereka yang bercakap begitu ada di zaman nabi. Mereka adalah orang-orang munafik. Jika zaman nabi ada orang semacam itu apatah lagi di zaman kita. Kerja dia merepek dan tidak menyumbang. Bila Islam menang dia berkata dia pun Islam. Bila Islam tewas dia akan kata dia tidak terlibat.

Allah Ta’ala menurunkan ayat: Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Allah menyebut dalam Quran: “Bandingan orang membelanjakan hartanya kepada jalan Allah laksana orang yang menanam satu biji benih tumbuh daripadanya tujuh cabang dan tiap-tiap satu cabang ada seratus biji.” Digandakan dengan tujuh ratus kali ganda dan Allah Ta’ala menggandakan lebih banyak lagi.

Bila turun ayat ini maka sahabat-sahabat nabi menyumbang kepada nabi SAW. Orang kaya menyumbang banyak. Saidina Uthman menyumbang beratus-ratus ribu dinar (hari ini berjuta-juta). Ada sahabat menyumbang seraub tangan buah kurma sahaja.

Nabi berkata buatlah kebajikan walaupun sebelah buah kurma. Jangan bakhil. Sumbang mengikut kemampuan. Allah Ta’ala memberi pahala mengikut kadar keikhlasan dan kadar kesulitan seseorang. Tidak dinafikan orang yang bersyukur lebih besar pahalanya daripada orang bersabar. Jadi orang yang kaya yang bersyukur lebih afdal daripada orang miskin yang bersabar.

Sama ada banyak atau sedikit kita mesti menyumbang kerana percaya kepada janji Allah SWT.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment