Monday, November 21, 2016

HIJRATUL RASUL (B)



Orang-orang Yahudi berhimpun di Madinah kerana mereka sudah baca kitab-kitab yang memberitahu nabi akhir zaman telah zahir. Mengikut kitab mereka nabi akhir zaman ini dengan sifat-sifat yang ada pada tubuh badannya, sifat-sifat sahabatnya dan diberitahu nabi akhir zaman akan berhijrah ke satu negeri kerana dihalau oleh kaumnya sendiri.

Orang-orang Yahudi ini musafir di samping berniaga dan memang orang Yahudi suka berniaga serta mengumpul harta sebanyak-banyaknya. Mereka mencari-cari tempat hijrah nabi akhir zaman. Akhirnya berjumpa bumi Madinah dan berpendapat ini mungkin tempat hijrah nabi akhir zaman. Mereka berhimpun di Madinah beramai-ramai terdiri dari kabilah yang besar seperti Bani Nathir, Bani Kainukah dan Bani Khuzaimah.

Ulamak-ulamak mereka mengajar sepanjang masa memberitahu pengikut-pengikutnya akan zahir nabi akhir zaman. Syarahan-syarahan orang Yahudi didengar oleh orang-orang Madinah. Oleh kerana itu bila mereka datang ke Mekah musim haji khemah mereka dikunjungi oleh Rasulullah SAW memperkenalkan dirinya dilantik menjadi rasul dan memberitahu ajaran-ajarannya menyebabkan orang Madinah mudah menerimanya serta terus masuk Islam.

Pada awalnya mereka berbai’ah untuk menjadi orang Islam yang taat, berakhlak dengan akhlak yang mulia dan nabi menghantar sahabat untuk mengajar Quran di Madinah.
  
Kemudian pada tahun berikutnya nabi pergi ke khemah mereka lagi bertemu dan meminta mereka menghantar pemimpin untuk berbai’ah (janji taat dan setia) di al-Aqabah iaitulah di Mina, dihujung bukit al-Aqabah tempat orang melontar.

Seramai tujuh puluh tiga orang lelaki dan dua orang perempuan yang datang untuk berbai’ah. Mereka dari kabilah Aus dan Khazraj. Nabi diiringi oleh bapa saudaranya Abas bin Abdul Muttalib (Abas masa itu masih lagi kafir) untuk menjaga keselamatan nabi SAW.

Dalam pertemuan itu Abas disuruh dulu bercakap. Dia berkata kepada orang Madinah: “Muhamad ini anak saudara saya. Kami anak beranak di sini sanggup menjaganya. Tetapi dia tidak hendak duduk di sini, dia hendak pergi ke negeri lain, jadi biarlah kamu sungguh-sungguh menjaganya. Jika kamu tidak mahu menjaganya bersungguh-sungguh biarlah dia duduk di sini.”


Orang Madinah tidak ambil kira kepada ucapan Abas kerana mereka mengetahui Abas belum lagi masuk Islam.

Lalu orang Madinah bertanya nabi SAW: “Rasulullah hendak kami berjanji apa?”

Rasulullah SAW berkata: “Aku hendak kamu berjanji mentaati perintah aku di masa rajin dan malas.

Kedua kamu sanggup menyumbang harta bila aku minta di masa senang dan susah.

Ketiga sanggup menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran.

Keempat kamu sanggup berdiri tegak bersama dengan aku menyatakan yang hak (betul) tidak perduli celaan orang.

Kelima aku hendak kamu menolong dan mempertahankan aku iaitu bila aku pergi ke negeri kamu. Mempertahankan aku daripada musuh sebagaimana kamu mempertahankan harta dan keluarga kamu. Allah berjanji hendak memberi syurga kepada kamu.”

Lalu bangun seorang demi seorang melapazkan bai’ah ini, bukan secara beramai-ramai. Mengikut satu riwayat orang lelaki memegang tangan nabi dan orang perempuan mencelup air dalam mangkuk. Nabi letak tangan dalam mangkuk dan orang perempuan meletak tangan dalam mangkuk. Mereka berbai’ah, janji setia lima perkara.

Apabila selesai bai’ah salah seorang daripada pemimpin mereka berkata kamu bai’ah dengan Rasulullah ini kamu faham atau tidak. Makna bai’ah ini ialah kita akan berlawan dengan seluruh dunia, bukan sahaja dengan orang-orang Arab tetapi dengan seluruh dunia. Kita terpaksa berdepan dengan Farsi, Rome, China, India, Eropah dan Asia. Seluruh dunia akan mengepung kita.

Lalu seorang daripada mereka berkata: “Wahai Rasulullah kami adalah orang yang biasa di medan perang, kami akan buktikan apa yang kami ucap ini menjadi satu kenyataan. Kami sanggup memusnahkan mereka semua di lembah Mina ini.”

Nabi berkata: “Sabar, sabar. Allah Ta’ala belum mengizinkan lagi.”

Seorang lagi daripada mereka berkata: “Wahai Rasulullah nanti bila kita sudah menang Rasulullah balik semula ke Mekah meninggalkan kami di Madinah.”

Di sini menunjukkan keimanan, mereka percaya Islam akan menang.

Nabi senyum dan berkata: “Diri dengan diri, darah dengan darah, aku bersama dengan kamu.” Nabi menunaikan janji duduk di Madinah dan wafat di Madinah walaupun Mekah sudah dibuka oleh Islam.

Mengikut satu riwayat perhimpunan mereka diketahui oleh makhluk jin. Bukan sahaja manusia buat haji, jin juga membuat haji dan mereka berhimpun di Mina. Mereka mendengar suara melaung yang memecahkan rahsia mereka mengatakan Muhamad dan pengikut-pengikutnya sedang berhimpun di Mina.

Nabi menyuruh mereka balik ke Madinah dengan segera. Mengikut riwayat dua orang daripada mereka ditawan oleh pemimpin-pemimpin kafir Mekah. Antaranya Saad bin Ubadah RA ditawan. Tetapi oleh kerana takut jalan perniagaan mereka akan disekat kerana bila hendak berniaga di Syam mesti lalu ikut Madinah, Saad dibebaskan. Saad bin Ubadah balik ke Madinah dengan selamat.

Allah menyebut perkara ini beberapa ayat dalam surah al-Haj: “Sesungguhnya Allah berjanji untuk mempertahankan orang-orang beriman dan Allah tidak kasih kepada orang-orang khianat lagi kufur. Diizinkan kepada orang-orang yang diperangi, sesungguhnya mereka itu telah dizalimi dan Allah Maha Berkuasa untuk memberi pertolongan kepada mereka.

Mereka inilah orang-orang yang telah dihalau daripada tanah air mereka, tidak ada kesalahan yang mereka buat melainkan kerana mereka berkata RABBUNALLAH (tuhan kami Allah).

Sekiranya Allah tidak menjadikan manusia itu berlawan sehingga berperang di antara golongan yang menegakkan Islam dan golongan yang menentangnya nescaya dibinasalah rumah-rumah ibadat orang Yahudi, gereja-gereja Kristian dan sembahyang berbagai agama dan masjid yang disebut di dalamnya nama Allah, demi sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong untuk memenangkan agamanya. Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Orang-orang yang Kami berikan kuasa memerintah negeri mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik, mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan-Nya.”

Ayat ini merangkumi semua peristiwa hijrah. Bermula dengan nabi-nabi dan para sahabatnya yang ada di Mekah diizinkan untuk berhijrah dan bergabung dengan saudara-saudara mereka yang beriman di Madinah, golongan ansar, bagi mendirikan kerajaan Islam yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Kemudian nabi memerintah para sahabat di Mekah berhijrah ke Madinah. Bagi yang tidak mampu berhijrah dikehendaki tunggu dulu di Mekah.

Hijrah ini bukan sembarangan. Ia satu ujian yang sangat dahsyat. Mereka terpaksa berdepan dengan bahaya di tengah perjalanan kerana pemimpin musyrikin bersama bala tenteranya menunggu di tengah jalan untuk memintas, menangkap dan membunuh sesiapa sahaja yang berhijrah.

Bila berhijrah keluarganya diganggu atau dirampas hartanya. Oleh kerana ini perintah Allah dan perintah Rasulullah SAW, Allah Ta’ala berjanji ada gantinya, ganti dengan kemenangan dunia dan di hari akhirat.

Jadi mereka sanggup berhijrah meninggalkan tanah air yang sangat dikasihi.

Ada yang berhijrah secara bersembunyi dan ada yang berhijrah secara berterangan. Orang-orang yang kuat berhijrah secara berterang-terangan dan tiada siapa berani ganggu.

Saidina Umar mengistiharkan diri untuk berhijrah dengan berkata: “Esok aku akan berhijrah, barangsiapa mahu anak-anaknya menjadi yatim dan isteri-isterinya menjadi janda sila halang aku esok.”

Ada yang berhijrah meninggalkan anak isteri dan ada yang berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggan. Mereka berkumpul di Madinah dan nabi pun berhijrah.

Setelah ramai berhijrah nabi pun berhijrah. Sebelum berhijrah nabi membuat persediaan memilih Abu Bakar as-Siddiq RA untuk menemaninya dan meminta Abu Bakar membuat persediaan. Abu Bakar menyediakan unta terbaik dan mengambil seorang pemandu yang mahir dengan jalan di tepi laut, iaitu jalan yang jarang diketahui oleh orang ramai. Abdullah bin Huraikeh seorang kafir yang tidak suka kepada kezaliman diambil sebagai pemandu Rasulullah SAW.

Pada masa itu juga pemimpin musyrikin bermesyuarat. Allah Ta’ala takdir begitu.

Firman Allah Ta’ala: “Dan ingatlah ketika orang kafir merancang untuk menangkap kamu, untuk membunuh atau menghalau kamu wahai Muhamad, Allah Ta’ala juga merancang dan menggagalkan segala perancangan mereka dan Allah sebaik-baik perancang untuk mengalahkan tipu daya mereka.”

Abu Jahal mengadakan mesyuarat dengan puaknya. Diriwayatkan iblis merupakan dirinya dengan seorang tua Arab Badwi hadir sama dalam mesyuarat itu.

Bagaimana hendak menghapus Muhamad.

Ada cadangan supaya dibunuh. Cadangan ini ditolak kerana bila Muhamad dibunuh anak-beranaknya akan menuntut bela.

Ada cadangan supaya Muhamad ditangkap dan dikurung. Cadangan ini ditolak kerana mungkin anak-beranaknya akan memecah tempat kurungan dan Muhamad dibebaskan.

Ada cadangan supaya Muhamad ditangkap dan dibuang negeri lain. Cadangan ini dibangkang kerana Muhamad yang bijak bercakap dan pandai bercermah akan mempengaruhi orang ramai di negeri itu dan ajarannya akan berkembang di negeri itu pula.

Akhirnya iblis memberi cadangan supaya Muhamad ditangkap dan dibunuh serentak oleh pemuda yang mewakili tiap-tiap kaum. Jika kaum keluarga mahu bertindak terpaksa berdepan dengan ramai puak yang diwakili oleh pemuda itu. Cadangan ini dipersetujui.

Lalu rumah nabi dikepung dan malam itulah nabi hendak berhijrah. Nabi menugaskan menantunya, Ali bin Abi Talib supaya jangan berhijrah lagi. Saidina Ali disuruh menyerah balik semua barang yang disimpan di rumah nabi oleh penduduk Mekah termasuk orang kafir.

Bagi ahli ekonomi Islam menyatakan bahawa nabi adalah bank yang pertama dalam sejarah manusia. Nabi dan isterinya bukan sahaja berniaga tetapi menerima simpanan daripada penduduk-penduduk Mekah kerana amanahnya. Simpanan ini dimudarabahkan. Jadi nabi telah melakukan muamalah bank yang pertama dalam sejarah manusia.

Nabi keluar dari rumahnya dengan selamat kerana semua orang yang mengepung rumah nabi ditidur oleh Allah Ta’ala. Nabi melakukan satu helah dengan tidak terus pergi ke Madinah. Sebaliknya nabi pergi ke timur ke arah negeri Yaman dan bersembunyi di dalam gua bukit Thur. 

Atas puncaknya bukit Thur ada sebuah gua. Untuk masuk ke dalam gua itu terpaksa merangkak kerana pintunya sempit. Di situlah tempat nabi bersembunyi.
Bila mereka sedar daripada tidur mereka memecah masuk ke dalam rumah nabi dan menyerbu tempat tidur nabi tetapi melihat Saidina Ali. Nabi sudah pergi. Dengan perasaan marah lalu mereka pun menggunakan kepakaran juru-juru bekas tapak kaki untuk mengesan nabi. Jurubekas berkata Muhamad pergi ke arah timur betul-betul tempat nabi bersembunyi.

Nabi telah mengarahkan Abdullah bin Mas’ud membawa kambing-kambing yang dijaganya supaya memakan rumput di situ dengan tujuan menghilangkan bekas-bekas tapak kaki nabi dan Abu Bakar. Tetapi jurubekas ini tuhan jadikan bijak dan memberitahu Muhamad mungkin bersembunyi di gua Thur itu.

Mereka naik atas bukit Thur sampai di tempat gua, tuhan pelihara nabi, mereka tidak ada perasaan hendak tunduk dan mengintai nabi dalam gua. Bermacam-macam cerita dalam kitab mengatakan labah-labah membuat sarang, burung merpati bertelur di muka pintu gua dan lain-lain.
Mereka tidak yakin Muhamad bersembunyi di situ. Mereka membuat keputusan balik semula ke Mekah dalam keadaan hampa. 

Satu tawaran hadiah seratus ekor unta dibuat kepada sesiapa yang dapat menangkap Muhamad sama ada hidup atau mati. Masing-masing berebut tawaran ini.
Seorang pahlawan dan samseng di Mekah bernama Syurakah bin Malik ketika sedang makan di sebuah kedai mendengar seorang Badwi berkata dia melihat dua orang sedang menaiki unta. 

Syurakah berkata: “Diam, jangan bercakap”. Dia berniat untuk mengejar dan membunuh nabi dan mendapat hadiah seratus ekor unta.

Syurakah balik ke rumah dan menyuruh khodamnya menyediakkan kuda dan senjata dan disuruh letak kuda di belakang rumahnya supaya tidak kelihatan oleh orang. Setelah selesai dia menaiki kuda memecut dari belakang rumahnya dan terus menuju tempat yang diberitahu oleh orang Badwi itu. 

Dia berjumpa dengan bekas tapak kaki unta lalu dia menurut bekas-bekas itu dan kelihatan tiga orang duduk di atas unta. Abu Bakar yang memaling ke belakang nampak debu dan nampak kuda Syurakah bin Malik. 

Nabi mententeramkan Abu Bakar dengan berkata: 

“Tidak mengapalah, wahai Abu Bakar jangan takut. Allah tidak akan mensia-siakan kita.”

Bila Syurakah sampai dekat nabi dan cuba menerkam nabi kaki kudanya ditelan oleh bumi. Akibatnya, Syurakah dan kudanya rebah terguling. Dia bangkit mengejar semula dan menerkam nabi. Sekali lagi dia jatuh terguling kerana kaki kudanya ditelan bumi. Selepas gagal kali ketiga dia mengaku kalah dan minta dibebaskan.

Oleh kerana tidak mendapat hidayat Allah, melihat perkara ganjil (mukjizat) pun tidak masuk Islam.
Syurakah bukan sahaja dibebaskan malah nabi berjanji memberi hadiah kepadanya gelang emas kerajaan Farsi. Di sini nabi SAW menunjukkan keyakinannya Islam akan menang. Bukan sahaja menang di Semenanjung Tanah Arab tetapi akan menumbangkan kerajaan Farsi dan Rome.

Nabi meneruskan perjalanan dan berhenti di khemah Ummu Matbad, seorang perempuan Badwi yang suaminya pengembala kambing. Nabi meminta susu kambing kerana terlalu dahga. Menjadi adat orang Arab bila orang singgah diberi minum susu percuma kepada tetamunya.

Ummu Matbad berkata susu tidak banyak. Semua kambing dibawa oleh suaminya. Cuma tinggal seekor ibu yang sangat kurus. Nabi menyuruhnya membawa kambing itu. Nabi pun memegang laput kambing dan susu keluar penuh bekas. Allah Ta’ala menunjukkan mukjizat. Perempuan itu tercengang melihat bagaimana kambing yang kurus boleh mengeluarkan banyak susu.

Nabi, Abu Bakar dan Abdullah bin Huraikid minum sepuas-puasnya, bakinya diserah kepada Ummu Matbad. Kisah ini disebut oleh Ummu Matbad yang akhirnya masuk Islam bersama dengan suaminya.
Perjalanan diteruskan dan nabi singgah di Qubad. Di situ didirikan masjid yang pertama diasaskan kepada takwa. Nabi sembahyang di situ dan bersabda: “Barangsiapa yang berwuduk di rumah (sama ada di hotel atau rumah sewa) dan bersembahyang dua rakaat di masjid Qubad baginya pahala umrah.”
Kita perlu tahu di antara tempat yang perlu kita ziarah di Madinah ialah masjid Qubad kerana disebut dalam hadis. Syarat mendapat kelebihan ialah berwuduk di rumah dahulu kerana perjalanan ke masjid itu adalah ibadat. 

Di tempat kita pun serupa. Pergi ke masjid atau surau lebih afdal dalam keadaan ada air sembahyang. Mengikut hadis setiap langkah perjalanan kita sama ada berjalan kaki, berkereta dan sebagainya diberi pahala dan diampunkan dosa oleh Allah Ta’ala.

Bila sampai di Madinah masing-masing berebut-rebut mengheret unta nabi ke kampungnya. Nabi berkata tidak boleh heret, unta ini diperintah oleh Allah, biarlah dia berjalan. Sampai di satu tempat unta itupun duduk dan di situlah didirikan masjid

Nabi diberitahu tanah itu kepunyaan anak yatim. Lalu nabi membayar dengan harga yang mahal. Masjid didirikan secara bergotong royong. 

Ramai yang pelawa nabi bermalam di rumahnya. Tetapi nabi memilih bermalam di rumah Abu Ayub al-Ansari. Rumahnya ada dua tingkat dan menyuruh nabi duduk di tingkat atas. Tetapi nabi bertegas untuk duduk di bawah. 

Dia terpaksa akur dan duduk di tingkat atas bersama isterinya. Pada malam hari mereka berdua tidak dapat tidur kerana rasa tidak selesa duduk atas kepada nabi. Dia gelisah, duduk di sini rasa bersalah dan duduk di situ pun rasa bersalah. Akhirnya terkena tempayan air lalu terbalik dan tumpah airnya. Bimbang air mengalir ke bawah dan mengenai nabi dia melapkan air dengan pakaiannya hingga kering. 

Dia mati di Istanbul dan tanam di sana. Masjid di kubur Istanbul adalah masjid Abu Ayub al-Ansari. Rumahnya adalah rumah yang pertama nabi duduk ketika berhijrah ke Madinah.

Langkah yang pertama nabi buat ialah menyatukan golongan muhajirin dan ansar. Muhajirin yang berhijrah dari Mekah dipersaudarakan dengan golongan ansar dari Madinah supaya menjadi umat yang satu. Disebuat dalam banyak ayat persaudaraan antara dua golongan itu lebih daripada adik beradik lagi. 

Di Madinah masa itu ada orang Yahudi Bani Khainukat, Yahudi Bani Nathir, Yahudi Bani Khuraizah dan lain-lain Yahudi. Ada juga orang-orang musyrikin. Jadi penduduk Madinah terdiri berbagai-bagik puak.

Pertama orang Islam dari golongan muhajirin dan ansar.

Kedua, orang kafir terdiri daripada beberapa jenis. 

1. Orang kafir yang terang-terang bermusuh dengan Islam dan hendak memerangi nabi. Mereka dari kalangan Yahudi dan musyrikin dan sentiasa mencari peluang untuk memerangi nabi dan para sahabatnya.

2. Orang kafir yang tidak menzahirkan 
permusuhannya. Dalam hatinya benci nabi dan merancang untuk mengancam nabi secara tertutup.

3. Orang kafir yang bersikap menerima nabi walaupun tidak masuk Islam. 

4. Orang kafir atas pagar. Mereka tidak bermusuh dan tidak juga menyokong nabi.

5. Golongan yang berpura-pura Islam. Ini adalah golongan munafik.

Ini merupakan masyarakat majmuk yang ada di Madinah. Dari segi nisbah orang kafir lebih ramai daripada orang Islam. Tetapi Allah Ta’ala jadikan orang kafir bermusuh-musuhan antara satu sama lain.

Kemudian nabi mengadakan mithakul Madinah (piagam Madinah). Yasrib dan Taibah diubah kepada nama Madinah. Nabi mendirikan bandar baru dinamakan Madinah. 

Masjid dan pasar dibuat. Masjid adalah tempat untuk sembahyang jemaah, untuk mengajar agama, untuk berkhutbah dan tempat untuk menerima utusan-utusan daripada pihak yang bukan Islam. 

Jadi orang bukan Islam masuk ke dalam masjid bila hendak bertemu dengan nabi. Apa-apa perbincangan dibuat dalam masjid.

Masjid dijadikan juga pusat dakwah dan mahkamah. Masjid juga menjadi pusat kerajaan dan pusat segala-galanya.

Pasar Madinah melibatkan orang Islam dan orang bukan Islam.

Dengan itu diisytiharkan muculnya sebuah negara, sebuah kerajaan yang memerintah.  
                          
Di Madinah Allah Ta’ala menurunkan surah-surah Madaniyah yang ada di dalamnya ayat-ayat yang berkait dengan negara, sama ada perlembagaan, undang-undang muamalat, pertanian, undang-undang jenayah dan lain-lain. Ayat-ayat berkait dengan peperangan dan berkait dengan perjanjian luar diturunkan di Madinah. 

Allah Ta’ala menyempurnakan Quran selama dua puluh tiga tahun; tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah.

Setelah disempurnakan semuanya dan nabi mengajar segala perkara bermula mengucap dua kalimah syahadat untuk masuk Islam sehinggalah sembahyang, puasa, zakat, haji, berzikir, bertasbih, bertahmid, berdoa, berumah tangga, berkait dengan jiran, berkait hubungan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain termasuk binatang, pohon kayu, jin dan segala-galanya. 

Setelah disempurnakan agama Islam Allah Ta’ala mewafatkan nabi SAW.

Walaupun nabi mati Islam tidak mati. Isalm wajib disambung oleh umatnya. 

Bila nabi mati Islam menjadi huru-hara. Kabilah Arab yang sudah masuk Islam sebahagiannya murtad. Ada juga orang mengaku menjadi nabi. 

Orang-orang munafik mula menunjukkan sikap munafiknya. 

Dalam keadaan yang huru hara ada juga mereka tidak larat bangun kerana terlalu sedih dengan kematian nabi SAW.

Saidina Umar mengancam, mencabut pedangnya dan mengatakan: “Rasulullah tidak mati. Barangsiapa mengatakan nabi mati aku pancung leher. Rasulullah hanya pengsan, macam nabi Musa pengsan ketika bermunajat.”

Di saat yang huru-hara ini Abu Bakar menunjukkan sifat seorang tokoh dan pemimpin yang boleh mengganti nabi SAW.

Setelah melihat wajah nabi yang sudah mati, dia tutup wajah nabi turun ke masjid dan menyampaikan ucapan tanpa memperdulikan Saidina Umar yang sedang mengancam: 

“Wahai tuan-tuan ketahuilah sesiapa yang menyembah Muhamad, Muhamad sudah mati, sesiapa yang menyembah Allah, Allah itu Maha Hidup dan tidak mati sekali-kali. Tiadalah Muhamad melainkan dia seorang Rasul yang telah dilantik oleh Allah. 

Adakah sekiranya Muhamad mati kerana sakit, kerana ajal, kerana tua atau dia mati dibunuh maka tumit-tumit kamu berpusing, berpaling tadah daripada Islam. Barangsiapa yang tumitnya berpusing dia tidak memberi apa mudarat kepada Allah. Allah memberi balasan yang tidak terhingga kepada orang-orang yang bersyukur ke atas nikmat-Nya iaitulah nikmat Islam.”

Bila mendengar ucapan itu Saidina Umar terduduk dan masing-masing tercengang. Mereka baru yakin nabi sudah wafat. Namun begitu Islam mesti disambung dan diteruskan.

Lalu mereka berbincang di mana jenazah nabi patut dikebumikan. Lalu disebut hadis nabi pernah bersabda: “Seseorang nabi dan rasul ditanam di tempat akhir ajalnya.”

Jadi digali kubur dan ditanam di kawasan bilik nabi SAW meninggal dunia. Setelah dimandi dan dikafan tiada siapa hendak menjadi iman. Tiada siapa yang sanggup menjadi imam. Sembahyang dilakukan secara masing-masing. 

Sembahyang dimulakan dengan keluara nabi SAW, diikuti oleh muhajirin kalangan Khurais, diikuti oleh ansar, kemudian orang perempuan dan akhirnya diikuti oleh kanak-kanak. Mereka bersembahyang jenazah nabi SAW secara bergilir-gilir. 

Di saat itu timbul kegemparan siapa pengganti nabi. Mereka pun berhimpun di Sakifah Bani Saidah, tempat cetak Quran pada hari ini di Madinah.
Dalam perbincangan itu, orang-orang ansar berkata kalangan merekalah yang layak dipilih pengganti nabi kerana mereka menguasai Madinah, mereka dekat dengan nabi dan berjuang hebat bersama nabi untuk menegak negara Islam. Mereka mencalonkan Saad bin Ubadah. 

Kelurga nabi seperti Abas, Zubir bin Awwam, Tolahah bin Ubaidillah dan lain-lain mengatakan pengganti nabi mestilah dari keluarga nabi sendiri. Mereka mencalon Saidina Ali untuk menjadi khalifah mengganti nabi SAW.

Pada saat ini hampir berlaku huru-hara mengenai siapa patut menjadi ketua mengganti nabi. Ansar kata patut ansar, orang muhajiri kata patut muhajirin. Dalam situasi demikian Abu Bakar ditemani oleh Umar, Abu Ubaidah dan lain-lain tidak menghadiri upacara pengkebumian jenazah nabi SAW kerana terpaksa ke Saifah Bani Saidah dan menyampaikan ucapan: 

“Wahai tuan-tuan, semuanya ada kelebihan. Orang muhajirin ada kelebihan kerana merekalah golongan yang awal masuk Islam. Golongan ansar yang menolong nabi dan mempertahankan nabi dengan harta dan jiwa raga mereka. Jadi golongan ansar pun ada kelebihan. 

Dan nabi telah bersabda: 

“Pemimpin daripada Khurais, pemimpin daripada Khurais.” Dan Abu Bakar berkata lagi: “Kami adalah pemimpin-pemimpin dan kamu adalah menteri-menteri. Oleh kerana yang layak ialah dari kalangan Khurais maka aku calon Umar dan Abu Ubaidah menjadi khalifah.”

“Tidak! Abu Bakar yang layak menjadi khalifah.” Kata Umar.  

Mereka beramai-ramai mencalonkan Abu Bakar menjadi khalifah. Akhirnya semua para sahabat dari kalangan ahli bait, muhajirin dan ansar menyokong Abu Bakar menjadi khalifah. Inilah pendapat yang dipegang oleh umat Islam dalam masa yang panjang.
Ibni Khaldum seorang alim dalam ilmu politik yang mengarang kitab al-Mukaddimah menyebut makna khurais ialah kabilah dan kaum yang paling kuat di kalangan orang Islam. Pemimpin mesti di pilih di kalangan kabilah yang paling kuat. Jika pemimpin dipilih di kalangan kaum yang tidak kuat orang tidak dengar cakapnya kerana tidak ada kehebatan dan tidak ada pendukung.

Kekhilafan melantik pengganti nabi dijadikan pendapat di zaman mutakhir. Mereka yang berpegang kepada ahli bait layak lahirlah mazhab Syiah, mereka yang berkata ansar lebih layak timbul mazhab Khawarij. Keadaan ini wujud kerana kegagalan umat Islam memahami ilmu Islam secara mendalam.
Kita mesti faham siapa yang memiliki pengaruh yang kuat maka dialah layak mengepalai dunia Islam.
Abu Bakar menjadi khalifah dan menggerakkan bala tentera. Pertama menggerakkan bala tentera Usamah yang telah dilantik oleh nabi supaya memerangi Rome. Ayahnya Zahid bin Harisah dan bapa saudara angkatnya, Jaafar bin Abi Talib mati syahid dalam peperangan Mumtaz. Jadi nabi menghantar bala tentera untuk membela dan menunjukkan kekuatan tentera dipimpin oleh Usamah bin Zahid yang masih terlalu muda yang diriwayatkan tidak sampai dua puluh tahun. Nabi sakit semasa Usamah bertolak ke Rome dan bila nabi wafat Usamah balik semula ke Madinah.

Abu Bakar mengambil langkah yang segera meneruskan tentera Usamah dalam keadaan Madinah dikepung oleh bala tentera kabilah yang murtad.
Di saat ini majoriti pendapat mengatakan tidak setuju menghantar tentera Usamah kerana Madinah dalam keadaan bahaya. Kita patut melawan orang-orang murtad dahulu. 

Kita Abu Bakar: “Tidak, ini tentera yang telah dilancar oleh nabi SAW, mesti diteruskan kerana nabi sudah arahkan. Sekiranya kaki-kaki isteri nabi dijilat oleh anjing aku tidak akan menarik balik tentera ini.”

Ucapan itu menyebabkan masing-masing dalam kebingungan. Mereka pun berjumpa dengan Saidina Umar meminta dia memujuk Saidina Abu Bakar supaya tidak menghantar tentera Usama.
Saidina Umar pun pergi menemui Abu Bakar meminta tarik balik tentera Usama.

Abu Bakar bangun menjerkah Saidina Umar sambil memegang kepala dan janggutnya mengatakan: “Masa jahiliah samseng sangat masa Islam penakut. Aku mahu tentera ini terus pergi.”

Pandangan Abu Bakar adalah perang saraf dalam istilah hari ini terhadap mereka yang murtad dalam keadaan Madinah tetap dipertahankan. Mereka yang murtad menyaksikan bagaimana Abu Bakar mengerahkan bala tentera menghadpi Rome, kuasa besar dunia, menunjukkan tentera Islam dalam keadaan yang kuat. Ini menggerunkan mereka.
Tentera Usama digerakkan menjalankan tugas dan kemudian balik. Orang Murtad dapat dikalahkan. 

Bukan semua murtad. Mekah tidak murtad, Taif tidak murtad, Uman tidak murtad dan sebahagian penduduk Yaman tidak murtad dan banyak yang tidak murtad. 

Abu Bakar menggerakkan bala tentera mengalahkan tentera murtad. Sebulum Abu Bakar mati tentera murtad dikalahkan.

Perjuangan disambung menghadapi Farsi dan Rome. Zaman Saidina Umar Farsi dan Rome tumbang dan Islam menjadi kuasa besar dunia yang berlangsung sehingga lebih daripada seribu tiga ratus tahun. Di masa itu seluruh dunia tunduk di bawah kerajaan Islam.

Di zaman kita pada hari ini Islam dalam keadaan lemah kerana orang Islam tidak lagi beramal dengan ajaran nabi bersungguh-sungguh. Sekadar duduk di masjid, pergi ke Mekah tetapi tidak menegakkan negara yang melaksanakan syariat Allah. 

Inilah sebabnya orang Islam menjadi lemah dan nabi menyebut dalam satu hadis: “Tidak mengapalah, dimulakan dengan nubuah (aku masih hidup), kemudian lepas nubuah datang khulafah al-Rasyidah (khulafah al-Rasyidin), lepas khulafah al-Rasyidah tiba pula mulken jabbarian (iaitulah pemerintahan beraja yang memaksa rakyat), lepas itu datang mulken abu don (pemerintahan beraja yang menggigit dan memamah rakyat), lepas itu datang pula khilafah ala nahdin nubuah (akan tiba masanya di akhir zaman sebelum berlakunya kiamat khilafah ala nahdin nubuah)  Nabi diam tidak bercakap apa lagi selepas itu.

Ini menunjukkan Islam akan menghadapi zaman umatnya pasang dan surut, naik dan turun bergantung sejauh mana umatnya berpegang dengan ajaran Islam semuanya pusaka yang ditinggalkana oleh nabi SAW.

Jadi hijrah merupakan satu titik tolak yang sangat penting dalam sejarah Islam kerana itulah kita orang Islam memulakan tahun kita dengan hijrah. Kita tidak mulakan dengan tahun beranak nabi macam orang Kristian mula dengan tahun beranak nabi Isa atau tahun merdeka negara. Kita mulakan dengan hijrah nabi SAW dan menunjukkan hijrah satu perkara besar dalam Islam. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment