Sunday, November 20, 2016

HIJRATUL RASUL (A)



 Allah Ta’ala menyifatkan mereka yang terlibat dengan hijrah dikenali sebagai golongan muhajirin dan ansar adalah orang-orang beriman sebenarnya yang tidak boleh dibanding dengan orang-orang lain.  Ahli fekah, ahli usuluddin dan ahli tesauh sekalipun tidak boleh mengatasi golongan hijrah.
Golongan hijrah adalah golongan pertama bersama-sama Rasulullah SAW yang mengasaskan ajaran Islam semuanya.

Sekiranya kita ingin menjadi orang-orang beriman sebenar mestilah mengambil contoh dan tauladan daripada mereka

Ramai orang mengaku beriman termasuk kita, mengucap dua kalimah syahadat dan menjadi orang Islam secara kebetulan kerana kita diperanakkan dalam keluarga Islam. Namun kita terlalu jauh daripada mereka dan mestilah belajar daripada mereka.

Mereka beriman bukan sebarang beriman. Kita sekadar baca rukun iman enam perkara, percaya dengan hati, baca rukun Islam lima perkara tetapi mereka menyempurnakan syarat-syarat iman yang dinyatakan oleh Allah SWT. Mereka menyatakan keyakinannya dalam amalan dengan berdakwah dan berjuang sehingga menegakkan agama Islam.

Firman Allah Ta’ala: “Dialah tuhan yang mengutuskan rasul-Nya, yakni rasul akhir zaman, nabi Muhamad SAW dengan petunjuk ‘dinul haq’ iaitulah agama Islam.”
 
Agama Islam mesti diperjuangkan sehingga menang mengatasi agama-agama dan ajaran-ajaran lain, sama ada yang dinamakan agama-agama (Yahudi, Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain) atau pun yang dinamakan ideologi-ideologi dan teori-teori sesat seperti kapitalisma, sosialisma, pragmatism, nasionalisma (kebangsaan) dan macam-macam fahaman lagi. Islam mengatasi semua agama dan ajaran ini.

Allah Ta’ala jadikan agama Islam tinggi dengan adanya orang-orang beriman yang berjuang.

Firman Allah Ta’ala: “Adakah manusia itu mengira sudah cukup apabila mereka berkata kami telah beriman padahal mereka belum lagi diuji, sesungguhnya Allah telah menguji orang-orang di zaman dahulu setelah diuji maka benar apa yang ada dalam ilmu Allah sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman dan orang yang bohong.”

Firman Allah Ta’ala: “Adakah kamu fikir kamu boleh masuk syurga dengan percuma sahaja padahal belum lagi datang kepada kamu ujian kesengsaraan, kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang lebih dahulu daripada kamu.”

Mereka digoncang dengan sehebat-hebatnya kerana menghadapi kezaliman oleh musuh-musuh Islam. Orang beriman berkata kepada rasul bila lagi datang pertolongan Allah. Sesungguhnya pertolongan Allah itu tersangat dekat.

Firman Allah Ta’ala: “Demi sesungguhnya akan diuji harta kamu kerana Allah tahu manusia sayang pada harta, pangkat lebih daripada diri sendiri (isteri kamu dan anak-anak kamu) dan kamu akan dengar daripada yang mempunyai kitab dan daripada orang-orang musyrikin perkara yang sangat menyakitkan hati kamu. Jika kamu bersabar dan bertakwa kepada Allah maka sesungguhnya itu termasuk di dalam azmil umur (keazaman dan kesabaraan keimanan yang ada dalam hati)

Orang muhajirin dan ansar yang terlibat dengan hijrah itu adalah mereka yang diuji oleh Allah kerana mereka percaya kepada Allah dan Rasulullah SAW adalah benar. Mereka percaya semua perkara yang ada dalam ajaran Islam betul dan benar tanpa mengira sama ada mengetahui hikmatnya atau pun tidak. Perkara yang tidak mampu diterima akal seperti israk dan mikraj yang mengisahkan nabi naik ke langit, melihat alam langit dan turun semula dalam masa satu malam mereka percaya.

Mereka percaya dengan janji Allah. Allah berjanji kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Mereka yang bersama dengan perjuangan Islam jika panjang umur akan menikmati kemenangan Islam di dunia dan bila mati melihat pula kemenangan di akhirat.

Oleh kerana percaya sungguh-sungguh dengan janji-janji Allah dan rasulullah SAW, golongan muhajirin dan ansar sanggup mengorbankan harta benda dan jiwa raga mereka untuk Islam.

Semasa di Mekah sebaik sahaja nabi menerima wahi daripada Allah, dilantik menjadi rasul bukan mudah hendak memberitahu kepada masyarakat bahawa dia menjadi rasul. Bagaimana hendak memberitahu kerasulannya kepada masyarakat jahiliah yang sangat jahat, buta huruf dan sangat kasar akhlaknya.

Untuk memberitahu kerasulan kepada masyarakat bukan perkara mudah tambahan pula ketika seluruh dunia berada dalam keadaan jahiliah, ketika paderi-paderi dan sami-sami berbohong dan mengumpulkan harta di atas nama agama. Paderi-paderi dan sami-sami yang ikhlas tetapi takut, menyembunyikan diri di bukit-bukau dan gunung-ganang, di padang pasir yang jauh dan di pulau-pulau di tengah lautan kerana tidak boleh muncul dalam masyarakat jahiliah yang zalim.

Nabi memulakan dakwah dengan mengislamkan isterinya, Ummu Khadijah RA diikuti oleh sepupu dan anak angkatnya, Ali bin Abi Talib dan diikuti oleh anak angkatnya, Zahid bin Harisah. Kemudian baharulah nabi mengislamkan Saidina Abu Bakar RA dan para sahabat lain.

Warakah bin Naufal, seorang alim ahli kitab yang membaca kitab-kitab zaman dahulu ditemui oleh Khadijah binti Khuailid RA menceritakan kepada Warakah apa yang telah berlaku kepada nabi SAW ketika didatangi oleh malaikat Jibril di gua Hiraq.

Warakah mengatakan sesungguhnya dia ialah malaikat Jibril yang pernah turun membawa wahi kepada nabi Musa AH dan Muhamad dilantik menjadi rasul. Warakah memberi keyakinan kepada Rasulullah SAW dia dilantik menjadi rasul dan akan dihalau dari bumi Mekah.

Nabi kata adakah aku akan dihalau walaupun aku tidak pernah berbohong dan tidak pernah membuat jahat.

“Ini adat yang dihadapi oleh rasul-rasul dan nabi-nabi AHTW,” kata Warakah.

Warakah meninggal dunia dan tidak sempat dengan perjuangan nabi. Namun begitu tetap ada orang yang diberi hidayah, dibuka pintu hatinya oleh Allah SWT lalu beriman kepada Rasulullah SAW. Maka berlaku ujian yang dahsyat sebagaimana dijanji oleh Allah SWT.

Ada orang yang mati diseksa dengan ujian itu. Sumaiyah dan suaminya, Yasir RA dibunuh kerana beriman. Orang-orang yang lemah ditangkap dan diseksa. Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir dan Khatbah bin al-‘Araf diseksa. Mereka sanggup diseksa dan sanggup mati kerana mati masuk syurga.

Ada orang yang tahan dengan seksaan sehingga dibebaskan dan tidak pernah berucap dengan kalimah kufur. Ada orang yang tidak tahan dengan seksaan lalu berucap dengan kalimah kufur dan dibebaskan. Mereka ini diampunkan oleh Allah Ta’ala, diberi ruksah kerana terpaksa.

Ammar bin Yasir, ayah dan ibunya tahan diseksa lalu dibunuh. Ammar tidak tahan diseksa menyebut kalimah kufur dan dia dibebaskan. Setelah dibebaskan dia bertemu Rasulullah SAW memberitahu dia berucap dengan kalimah kufur dan Allah Ta’ala menurunkan ayat: “Melainkan orang-orang dipaksa dalam keadaan hatinya tenang beriman.”

Allah Ta’ala memberi dua perkara iaitu ‘azimah dan ruksah’

Azimah sanggup mati. Ruksah memilih dengan cakap bohong. Dua perkara ini diizin oleh syarak. Dalam keadaan tertentu azimah lebih afdal daripada ruksah. Dalam keadaan lain pula ruksah lebih afdal.

Nabi SAW juga diganggu walaupun dilindungi oleh keluarganya yang kuat. Abu Talib mengerahkan keluarganya di atas nama asabiyah keluarga, Bani Hashim dan Bani Muttalib meminta melindungi nabi SAW. Ada keluarga yang sanggup melindungi nabi walaupun kafir. Ada juga keluarga kafir bukan sahaja tidak melindungi nabi tetapi menentang bersama musuh-musuh Islam.

Nabi diuji oleh Allah, ditawar dengan bermacam-macam jawatan dan kekayaan supaya berhenti berdakwah. Tetapi nabi menolak semua tawaran itu kerana percaya kepada Allah.

Mereka juga memujuk melalui bapa saudaranya Abu Talib, orang yang disegani oleh nabi kerana menjaganya setelah ayah dan ibunya meninggal dunia.

Dengan tegas nabi berkata kepada bapa saudaranya: “Wahai bapa saudara yang aku kasih, demi Allah sekiranyaa diletakkan matahari di kanan ku dan bulan di kiri ku dan segala isinya diberi kepada aku supaya meninggalkan urusan agama ini atau aku mati kerananya nescaya aku tidak akan meninggalkan urusan agama ini.”

Bukan sahaja nabi malah sahabat-sahabatnya menolak segala tawaran itu. Jika tidak ada perlindungan pun tetap bersama Islam. Dengan kehendak Allah Abu Talib terus melindungi nabi SAW.
  
Abu Bakar as-Siddiq RA dilindungi oleh Ibnu Darinah. Bila Ibnu Darinah minta Abu Bakar berhenti berdakwah dan berhenti membaca Quran kuat yang boleh mempengaruhi orang-orang muda, Abu Bakar berkata dia tidak akan berhenti.

Othman bin Mas’un RA mempunyai keluarga, al-Waleed bin al-Murirah seorang pemimpin jahiliah yang kuat melindunginya. Bila dia melihat ramai sahabat diseksa kerana tidak ada keluarga yang kuat melindunginya, dia merasakan tidak boleh pahala kerana tidak diseksa. Dia berjumpa dengan bapa saudaranya, al-Waleed al-Murirah supaya tidak memberi perlindungan dan dia memberitahu kepada orang ramai buatlah apa hendak buat terhadapnya.

Lalu al-Waleed mengumumkan dia tidak lagi melindungi Othman bin Mas’un. Bila dia dipukul mata kanan, dia berkata pukul mata kiri pula. Akibatnya kedua-dua matanya bengkak. Itu menunjukkan kekuatan iman yang ada dalam diri.

Othman bin Mas’un ini diriwayatkan oleh ulamak-ulamak hadis, nabi menangis ketika menyaksikan jenazahnya mati di Madinah kerana kasihkan kepadanya.

Di saat yang menguji ini Allah Ta’ala menurunkan surah-surah Makkiyah iaitu suratul Kahfi, surah Yasin dan surah-surah lain. Surah-surah ini menceritakan kisah perjuangan nabi-nabi zaman dahulu dan pengikut-pengikutnya diseksa.

Surah al-Kahfi menceritakan tujuh orang pemuda beriman. Mereka melarikan diri daripada tekanan pemerintah zaman itu dan terpaksa menyembunyikan diri di dalam gua. Mereka ditidurkan oleh Allah Ta’ala di dalam gua itu selama beratus tahun dan disedarkan semula. Ini menjadi dalil kekuatan iman dan menjadi dalil bahawa Allah berkuasa menidurkan dan mematikan manusia dan menghidupkan semula.

Surah Yasin diturunkan di Mekah menyebutkan tentang kebesaran Allah Ta’ala, tentang hari akhirat, tentang syurga dan neraka. Surah ini juga menyebut kisah seorang beriman kepada tiga orang rasul yang tiada pengikut. Setelah mengaku dirinya beriman dengan tiga orang rasul yang tiada pengikut dan sedang disorak oleh orang ramai tiba-tiba dia mengatakan: “Aku beriman dengan rasul-rasul ini.” Lalu dia ditangkap oleh kaumnya, direbah dan dijijak beramai-ramai sehingga keluar perut dari duburnya.

Itu kisah surah Yasin, surah mengisahkan tentang perjuangan. Kita hanya baca surah Yasin untuk orang yang nazak bukan untuk berjuang.

Bukan sahaja surah-surah diturunkan tetapi juga ayat: “Dan kami menghendaki bahawa Kami akan memberi kurnia kepada orang-orang lemah ditindas, Kami akan jadikan mereka menang dan Kami akan jadikan mereka pemimpin-pemimpin dan memerintah negeri.”

Firman Allah Ta’ala: “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang solih daripada kamu Allah akan jadikan mereka golongan yang memerintah di atas muka bumi.”

Allah akan jadikan agama Islam agama yang diredhai dan menjadikan Islam berkuasa yang disebut dengan berdaulat. (Berdaulat bermakna berkuasa). Bila Islam berkuasa Allah tukarkan keadaan daripada ketakutan kepada keamanan. Bila syariat Islam dilaksanakan perompak, penyamun, penjenayah dan pencuri takut melakukan jenayah. Jadi ibadat boleh dilakukan dalam keadaan yang khusuk kepada Allah.

“Mereka tidak menyengutui-Ku dengan sesuatu yang lain dan barangsiapa yang kufur selepas itu mereka itulah orang-orang yang fasik.”


Allah Ta’ala menurunkan ayat-ayat mengisahkan perjuangan nabi-nabi zaman dahulu.

Nabi Nuh AH berjuang 950 tahun tetapi sedikit sahaja yang beriman bersama dengannya. Mengikut adatnya tiada harapan Nuh akan selamat. Tetapi bila tiba masanya kaum Nuh yang kafir ditenggelamkan oleh Allah. Nuh dan orang-orang beriman yang hanya lapan puluh orang sahaja memerintah negeri.

Allah Ta’ala menurunkan kisah nabi Ibrahim AS menghadapi raja Namruk yang sangat zalim memerintah kerajaan Babilion. Raja Namruk dikalahkan oleh bala tentera nyamuk.

Kisah nabi Musa AH juga diceritakan oleh Allah Ta’ala. Tentera Firaun berjuta orang jumlahnya ditenggelamkan oleh Allah Ta’ala di dalam laut merah.

Allah menurunkan kisah nabi-nabi yang dibunuh iaitu nabi Zakaria dan nabi Yahya. Ada juga nabi yang tidak dapat dibunuh kerana dipelihara oleh Allah. Nabi Isa tidak dapat dibunuh diangkat ke langit.

Ada nabi yang dikurung dan mati dalam kurungan.
 
Allah Ta’ala jadikan kehidupan dunia adalah ujian. Mudah sahaja bagi Allah Ta’ala jika hendak memberi kemenangan.

Disebut dalam surah Yasin: “Sesungguhnya urusan Allah itu bila Dia dikehendaki sesuatu Dia berfirman ‘Kun’ jadi ‘Fayakun’ dalam sekelip mata.” Ini adalah kekuasaan Allah Ta’ala.

Kaum Samud yang menentang nabi Salih dimatikan oleh Allah Ta’ala dengan satu tempikan sahaja.

Kaum ‘Ad yang tubuhnya besar dianggap gergasi diterbangkan oleh angin dan diruntuhkan bangunan-bangunan mereka yang tinggi mencakar langit kerana menentang nabi Hud AH.
H

Firman Allah Ta’ala: “Adakah kamu tidak tengak kaum ‘Ad yang mendirikan bandar Iron bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. (Bangunan tinggi zaman dahulu sudah ada. Batu-batu yang pejal dipahat dijadikan tiang-tiang).

Kaum Samud yang memahat bukit dijadikan rumah. Kaum Firaun mempunyai bala tentera yang ramai membanyakkan kejahatan, kezaliman dan kekafiran

Mereka menentang rasul-rasul yang dilantik oleh Allah, maka Allah timpa ke atas mereka balasan azab yang membinasakan mereka.

Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dan nampak apa yang dibuat oleh hambanya.”

Allah Ta’ala menurunkan ayat-ayat setelah diuji selama dua puluh tiga tahun.

Khatbat bin al-‘Arad, seorang tukang besi diseksa dengan hebatnya. Bila mengetahui Khatbah masuk Islam al-‘Ash bin Wail, seorang pemimpin kafir Mekah yang mengupah Khatbah membuat senjata tidak membayar upahnya dan berkata dengan mengejek: “Wahai Khatbat oleh kerana kamu sudah masuk Islam dan Muhamad mengajar kamu ada hari akhirat aku tidak perlu bayar upah. Kamu tunggu mati dan terima apa yang Muhamad janji.”

Bukan sekadar itu sahaja, Khatbat diberkas dan diseksa dengan meletak besi panas di atas belakangnya. Khatbat yang berparuk belakangnya baru dibebaskan bersama dengan Bilal dan Ammar bin Yasir serta para sahabat lain yang diseksa menemui nabi SAW di waktu tengah hari ketika nabi berteduh di bawah bayangan Ka’abah, Khatbat berkata: “Ya Rasulullah mengapa tidak berdoa kepada Allah supaya membinasakan mereka yang kafir itu.”

Rasulullah berkata: “Sesungguhnya orang-orang terdahulu daripada kamu, pengikut-pengikut nabi zaman dahulu ada di kalangan mereka dikambus hidup-hidup, ada yang dibelah tubuh dengan gergaji dan ada di antara mereka yang disikat dengan sikat besi pada tubuhnya sehingga luruh kulit, daging dan urat sampai ke tulang, mereka tidak berganjak dengan imannya.”

Dan seterusnya bersabda: “Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan agama-Nya. Agama Islam ini akan menang, bila Allah menyempurnakan agama-Nya kamu akan menyaksikan berlakunya keamanan.

Bila syariat Islam dilaksana akan berlakulah keamanan sehingga orang musafir dari Sanaat di negeri Yaman ke Daral Maut yang jauhnya ribu batu tidak akan rasa takut kerana tiada lagi penjenayah melainkan takut kepada Allah dan serigala yang mengganggu kambing tetapi kamu adalah orang-orang yang gopoh.”

Allah melambat-lambat kemenangan untuk memberi lebih banyak pahala. Sebagai contoh nabi Musa dan Harun menghadapi Firaun. Firaun membunuh anak-anak lelaki Bani Israil yang dilahirkan.

“Dan berkatalah nabi Musa dalam keadaan berdoa kepada Allah, wahai tuhan kami Engkau beri kepada Firaun dan penyokong-penyokongnya harta benda dan perhiasan dunia yang sangat banyak, dengan kekayaan harta benda dan perhiasan dunia Firaun menyesatkan orang ramai daripada jalan-Mu.”

Firaun menggunakan harta dan kekayaan untuk rasuah. Firaun disokong oleh Qarun dan orang-orang kaya di zamannya menyesatkan orang. Mereka membeli orang dengan duit dan harta serta memberi upah sebanyak-banyaknya supaya mengintip orang, menangkap dan menyeksa orang. Dengan kekayaan digunakan untuk menyekat Islam.

“Wahai tuhan binasalah harta benda mereka dan tutupkan pintu hati mereka, mereka tidak beriman sehingga mereka melihat azab yang pedih, wahai tuhan.”

Nabi Musa berdoa kepada Allah dan diaminkan oleh nabi Harun meminta tuhan binasakan Firaun dan penyokong-penyokongnya yang kaya raya.

Tuhan berfirman: “Sesungguhnya diperkenankan doa kamu berdua maka kamu berdua hendaklah beristiqamah (berada di jalan yang betul) jangan ikut jalan-jalan orang yang tidak mengerti.”

Tidak mengerti bermakna tidak yakin dengan Islam atau yang mahu menang cepat dan bila lambat menang lari dan tidak ikut Islam lagi.

Nabi menyuruh para sahabat bersabar menghadaapi ujian. Nabi menunjukkan ketinggian sabar lebih daripada orang lain. Nabi menolak tawaran malaikat untuk menghempas bukit ke atas orang kafir Mekah kerana walaupun golongan yang ada sekarang ini tidak beriman mungkin zuriatnya akan beriman.
Akhirnya Allah Ta’ala izinkan nabi SAW untuk mencari negeri lain yang bersedia untuk menerima Islam dan mengizinkan tempatnya menjadi tempat kerajaan Islam didirikan.
Nabi berusaha pergi ke Taif. Tetapi penduduk Taif tidak sanggup malah melontar nabi dengan batu di tengah jalan.
Nabi bertemu dengan kabilah-kabilah Arab di musim haji, menawarkan kepada mereka dengan tawaran Islam. Allah menjanjikan Islam akan menang dan pada akhirnya boleh memerintah dunia.
Ada kalangan kabilah yang kurang yakin dengan tawaran nabi SAW. Ada yang percaya tetapi takut dan ada yang percaya dengan ikhlas.
Nabi memilih khemah yang ramai pengikutnya. Nabi berjumpa dengan pemimpin Bani Amir dan menawarkan Islam kerana Islam akan menang.
Pemimpin Bani Amir bertanya jika menang apa ganjarannya. Nabi berkata jika menang aku akan beri mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah. Kata pemimpin Bani Amir: “Kalau begitulah cakapnya kami tidak akan ikut. Ikut kamu bererti mencari susah.”

Nabi bertemu pula dengan pemimpin Bani Syaiban, al-Musanna bin Harisah yang akhirnya masuk Islam. Al-Musanna bin Harisah bila nabi menawarkan Islam kepadanya dia bertanya apa dia Islam dan apa ajarannya.
Nabi kata: “Allah Ta’ala menyuruh kamu supaya berlaku adil dan berbuat kebajikan. Allah Ta’ala melarang kamu membuat kemungkaran dan kejahatan. Allah Ta’ala menyuruh kamu dengan ajaran yang sebaik-baiknya supaya kamu menerima pengajaran.”
Al-Musanna berkata: “Ini bukan makhluk di bumi, ini urusan yang turun daripada Allah yang turun dari langit. Apa lagi yang kamu mahu kami buat jika ikut Islam”
Nabi kata aku hendak mengajak kamu kepada LAILAHA ILLALLAH.
Bila mendengar kalimah LAILAHA ILLALLAH al-Musanna terkejut dan berkata: “Ini perkara yang dibenci oleh semua raja-raja yang ada di dunia. Kalau inilah ajaran yang kamu bermakna kamu akan diperangi oleh Arab dan bukan Arab. Semua bangsa akan memerangi kamu.”
Al-Musaana seorang Arab yang faham bahasa Arab dan faham makna LAILAHA ILLALLAH. Kita hari ini ratib LAILAHA ILLALLAH sangat kuat tetapi tidak tahu maknanya. Ulamak mengarang kitab berjilid-jilid untuk menghuraikan LAILAHA ILLALLAH sahaja kerana maknanya panjang.
Kata al-Musanna ini satu ajaran yang benar tetapi cabarannya hebat. Kalau sekadar hendak berdepan dengan orang-orang Arab yang ada di sekeliling Mekah kami sanggup tetapi hendak berdepan dengan Farsi, kuasa besar dunia kami tidak ada kemampuan.
“Kamu adalah orang yang berterus terang tetapi orang yang sanggup bersama dengan aku mestilah orang yang sanggup menghadapi musuh yang datang daripada seluruh pelusuk dunia. Kalau tidak sanggup hadap musuh seluruh pelusuk dunia tidak boleh bersama aku. Pecayalah Islam akan menang dan bila kamu dengar kami sudah berjaya sila datang berjumpa kami.” Kata nabi SAW.

Ini menunjukkan nabi yakin Islam akan menang sehingga berjanji dengan al-Musanna supaya berjumpa dengan nabi bila Islam menang. Al-Musanna masuk Islam dan mati syahid di zaman Saidina Umar RA. Al-Musanna seorang panglima yang handal, ada orang kata setaraf dengan Khalid al-Walid dan yang mengatakan lebih handal daripada Khalid al-Walid.

Nabi meninggal khemah Bani Syaiban dalam keadaan yang gembira kerana kabilih ini percaya kepada Islam.

Akhirnya nabi pergi ke khemah orang Madinah menemui pemimpin Aus dan Khazraj. Mereka datang dari Madinah yang dipilih oleh Allah untuk menjadi golongan Ansar. Madinah yang dahulu dikenali dengan Yasrik, negeri yang ada tanda-tanda berkat daripada Allah Ta’ala. Negeri terletak di tengah padang pasir tetapi tanahnya subur terutama kepada pokok kurma.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment