Friday, November 18, 2016

CABARAN DAN PERANAN UMAT MENGIKUT SIRAH


Firman Allah Ta’ala:

“Dan tiadalah Muhamad itu melainkan dia seorang rasul telah berlalu sebelumnya rasul-rasul yang lain. Sekiranya Muhamad itu mati dalam keadaan biasa atau pun mati dibunuh maka tumit-tumit kamu berpusing yakni berpaling tadah daripada agama Islam.

Barangsiapa yang tumitnya berpusing maka dia tidak memberi apa-apa mudarat sedikit pun terhadap Allah dan Allah memberi ganjaran kepada orang-orang bersyukur di atas nikmatnya dan nikmat yang terbesar ialah agama Islam.”

Ayat ini diturunkan oleh Allah s.w.t. bersempena dengan peperangan Uhud apabila tentera Islam bersama dengan Rasulullah s.a.w. diajar oleh Allah s.w.t. kerana ada kalangan mereka melakukan kesalahan, tidak mengikut arahan Rasulullah s.a.w. supaya mengawal bukit yang penting bagi pertahanan Islam.

Apabila ramai kalangan pengawal itu meninggalkan tugas setelah melihat tentera musuh berundur padahal mereka diarah jangan sekali-kali tinggalkan tempat yang ditugaskan itu dalam semua keadaan.

Oleh kerana musuh-musuh meninggalkan banyak barang-barang berharga, mereka yang berada di markas mengumpul barang-barang itu, bala tentera di barisan hadapan mengejar musuh lalu mereka yang mengawal bukit itu lupakan arahan Rasulullah s.a.w. atau menganggap arahan itu tidak penting lagi kerana sudah menang.

Bila mereka meninggalkan bukit itu mereka diajar oleh Allah Ta’ala dengan serangan musuh dari belakang oleh tentera berkuda yang melihat gerak geri mereka menyebabkan tentera Islam terkepong dan terpaksalah para sahabat pertahankan Rasulullah s.a.w dengan menjadi jasad mereka benteng untuk menghalang senjata-senjata musuh menyebabkan tujuh puluh orang para sahabat gugur syahid dan tujuh puluh orang lagi cedera parah.



Ramai cedera dan termasuklah batang tubuh Rasulullah s.a.w sendiri yang patah gigi dan berdarah pipinya. Namun dengan kebijaksanaan baginda nabi s.a.w. tentera Islam dapat dikawal dan musuh berundur.

Dalam keadaan yang haru-biru itu tersebar berita yang disebarkan oleh musuh-musuh bahawa nabi dibunuh. Akibatnya tentera Islam menjadi kelam-kabut dan ada kalangan mereka balik ke Madinah. Bila tiba di Madinah mereka dihalau oleh kaum muslimat supaya pergi semula ke Badar dan mati bersama Rasulullah s.a.w.

Ujian yang dahsyat ini mendidik generasi awal umat Islam. Allah Ta’ala menurunkan ayat yang lain:

“Tatkala kamu ditimpa kemalangan dalam peperangan Uhud padahal kamu telah menimpa musuh seumpamanya dalam peperangan Badar.”

Bila mendapat luka dalam peperangan Uhud mereka lupa peristiwa Badar. Mereka menang dalam peperangan Badar.

Bila diuji dalam peperangan Uhud mereka berkata:

“Mengapa kita jadi begini, tidakkah kita di pihak yang benar dan lawan kita pihak yang salah. Kita beriman mereka kafir dan mengapa Allah tidak menolong kita.”

Ramai yang mati dan cedera termasuk diri nabi s.a.w. tidak kebal dan mendapat luka.

Allah menjawab:

“Katakanlah wahai Muhamad s.a.w puncanya daripada diri kamu sendiri yang telah melakukan kesilapan dalaman.”

Ramai kalangan kita hanya memperingati Maulud, kelahiran nabi s.a.w. Kita tidak membaca dan tidak mendengar peristiwa kewafatan nabi s.a.w. yang diterima oleh generasi awal, bukan sahaja menyedihkan bahkan sangat menakutkan.

Apabila menerima berita kewafatan nabi s.a.w. kabilah-kabilah Arab ramai yang murtad. Mereka mengikut nabi-nabi bohong dan mengangkat senjata. Kabilah-kabilah yang murtad ini disokong oleh dua kuasa besar dunia, Farsi dan Rome.

Mengikut adatnya habislah Islam. Tidak ada lagi agama Islam. Tetapi Islam ini dipelihara oleh Allah s.w.t. Ketika para sahabat r.a. sedih menerima kewafatan itu dalam keadaan kebingungan. Ada yang tidak dapat bangun.

Saidina Umar al-Khattab r.a. menghunuskan pedangnya dan mengatakan bahawa Rasulullah tidak mati, dia hanya pengsan sahaja sebagaimana pengsan nabi Musa a.s. ketika bermunajat mengadap Allah di gunung Turusaina.

Di saat yang haru-biru ini Abu Bakar as-Siddiq r.a. menunjukkan ketokohan dan kehebatannya sebagai pemimpin, menyambung perjuangan dan boleh mengawal keadaan.

Saidin Umar tidak tahu hendak membuat apa, saidina Uthman, saidina Ali, Abdul Rahman bin Auz, Saat bin Abi Wakaf, dan semua para sahabat tida tahu hendak membuat apa.

Di saat ini Abu Bakar as-Siddiq r.a. bangun menyampaikan ucapan antara lain mengatakan:

“Wahai tuan-tuan ketahuilah barang siapa yang menyembah Muhamad, Muhamad sudah mati. Barangsiapa yang menyembah Allah, Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali dan tiadalah Muhamad itu melainkan dia seorang rasul.

Telah berlalu sebelumnya rasul-rasul lain sudah mati adakah sekiranya Muhamad mati kerana tua, kerana sakit atau dia dibunuh di medan perang maka tumit-tumit kamu berpusing dan berpalaing tadah daripada Islam.

Barangsiapa yang tumitnya berpusing dia tidak dapat memberi apa-apa mudarat terhadap Allah. Allah Maha Berkuasa tidak siapa yang boleh mengalahkan Allah Ta’ala, tidak mengurangkan kerajaan Allah sedikit pun dan Allah memberi ganjaran kepada orang-orang bersyukur.”

Bila mendengar ucapan itu baharulah mereka bertenang menerima hakikat kewafatan Rasulullah s.a.w. Kemudian mereka berfikir bagaimana hendak mengendalikan jenazah nabi s.a.w. Di mana hendak dikebumikan.

Lalu seorang sahabat menyebut bahawa nabi s.a.w. telah bersabda bahawa mana-mana rasul dikebumikan di mana tempat yang dia mengakhiri nafasnya.” Tidak boleh dikebumikan jenazahnya di tempat lain.

Oleh kerana itulah ditanam di tempat dalam masjid Nabawi pada hari ini. Setelah dimandi, dikafan dan bagaimana hendak sembahyang kerana tiada imam. Jadi sembahyang masing-masing.

Tidak ada siapa menjadi imam. Didahulukan oleh ahli bait (keluarga nabi), diikuti oleh muhajirin, oleh ansyar, kaum lelaki, kaum muslimat dan mereka sembahyang secara bergilir-gilir.

Setelah selesai menyembahyangkan jenazah mereka tidak mengetahui siapa pengganti nabi s.a.w. Golongan ansyar berhimpun di Sakifa Bani Saib mengatakan bahawa pengganti nabi ialah kalangan ansyar.

Mereka mencalonkan Saad bin Ubadah r.a. Kalangan ahli bait didukung oleh al-Abbas mencalonkan saidina Ali menjadi khalifah dan disokong oleh al-Zubir dan Tolahah r.a.

Keadaan menjadi tegang sehingga meninggalkan acara mengebumikan nabi s.a.w. Hanya keluarga terdekat dan beberapa orang sahabat sahaja menimbus jasad nabi dalam kubur. Sekali lagi Abu Bakar as-Siddiq memainkan peranannya. Abu Bakar meninggalkan kubur dan pergi ke Sakifa Bani Saib.

Abu Bakar mengumpulkan orang dan menyampaikan ucapan:

“Golongan muhajirin ada jasanya. Mereka adalah orang-orang yang awal menerima Islam dan menegakkan Islam. Golongan ansar adalah penting. Mereka menjadi pembantu yang setia.

Tetapi ada pesanan nabi s.a.w. bahawa pemimpin daripada Khurais. Oleh itu kalangan kami Khurais menjadi pemimpin dan kalangan kamu menjadi menteri-menteri. Abu Bakar mencadangkan Umar dan Abu Ubaidah.”

Abu Bakar tidak mencalon dirinya sendiri. Tiba-tiba Umar dan Abu Ubaidah bangun mencadangkan Abu Bakar yang layak memegang jawatan ini.

Kesimpulannya semua kalangan muhajirin, kalangan ansyar dan kalangan ahli bait menerima Abu Bakar menjadi khalifah, menjadi ketua negara mengganti nabi s.a.w.

Kematian nabi s.a.w. menunjukkan bahawa urusan agama Islam ini urusan manusia yang diatur oleh Allah s.w.t. Untuk memelihara agama Islam ini terserah kepada Allah. Manusia menjalankan tugas. Bukannya batang tubuh nabi-nabi dan rasul-rasul.

Nabi diwafatkan oleh Allah. Islam dipelihara oleh Allah s.w.t. sehingga hari kiamat. Walaupun tidak ada nabi selepas nabi Muhamad s.a.w. penyambungnya ialah umat Muhamad secara berjemaah.

Firman Allah Ta’ala:

“Wahai orang-orang yang beriman barangsiapa yang murtad di kalangan kamu maka Allah Ta’ala akan melahirkan satu kumpulan di kalangan kamu orang-orang beriman.

Kumpulan yang menjadi pengikut yang setia, mereka mengasihi Allah dan rasul, Allah dan rasul mengasihi mereka iaitulah mereka menegakkan Islam semuanya bermula daripada mengucap dua kalimah syahadat.

Beriman diri masing-masing, beramal diri masing-masing dan keluarga sehinggalah menegak negara dengan mendaulatkan syariat Allah Ta’ala sebagaimana yang dibawa oleh nabi s.a.w.”

Para ulamak mangatakan Allah Ta’ala membahagikan umat Muhamad s.a.w. kepada tiga kumpulan:
1.  Umat dakwah
2.  Umat Ijabah
3.  Umat ittiba’

Umat dakwah ialah umat yang wajib didakwahkan seluruh manusia kepada Islam. Semua manusia wajib beriman kepada nabi s.a.w. kerana Allah melantik nabi Muhamad s.a.w. nabi akhir zaman untuk seluruh manusia.

Diberitahu kedatangannya kepada semua nabi-nabi dan rasul-rasul a.s.t. Bahkan berita kelahiran nabi akhir zaman ini disebut di dalam kitab-kitab semua agama, bukan sahaja agama Samawi termasuk juga agama yang tidak Samawi (iaitu agama Hindu, Budha dan Majusi). Disebut di dalamnya secara isyarat kelahiran nabi akhir zaman.

Nabi akhir zaman ini seorang sahaja. Tidak seperti zaman dahulu, umat masing-masing, zaman masing-masing dan negeri masing-masing. Allah akan jadikan manusia sebelum kiamat berhubung antara satu sama lain dengan mudah.

Dengan ilmu yang diberi oleh Allah yang dapat kita saksikan hari ini. Manusia seluruh dunia boleh berhubung dengan cepat sama ada untuk musafir atau untuk mendapat maklumat.

Kapal terbang yang laju dapat memuat ramai penumpang dan bergerak dengan cepat. Maklumat yang cepat bukan sahaja telefon tetapi juga internet. Maka cukup bagi akhir zaman seorang rasul sahaja.

Al-Quranul Karim menjadi mukjizat semua ilmu. Ilmu ad-Din (petunjuk Allah secar nas) dan cara hidup yang berkait dengan kehidupan manusia. Termasuk ilmu sehir yang diharamkan diberitahu oleh al-Quranul Karim. Apatah lagi sains dan teknologi, ada dalam Quran.

Jadi seluruh manusia adalah umat dakwah, umat Muhamad s.a.w. sama ada Islam atau bukan Islam.

Umat Ijabah ialah mereka yang menganut Islam. Ada kalangan mereka yang maju dengan amal kebajikan dan kuat berpegang dengan agama. Ada kalangan mereka yang sederhana beramal dengan agama. Ada kalangan mereka yang menzalimi diri sendiri. Mereka Islam tetapi tidak mengikut ajaran Islam.

Umah Ittiba’ ialah kumpulan yang menegak perjuangan nabi. Maka Allah akan lahirkan kumpulan ini tiap-tiap zaman untuk menyambung kerja-kerja Islam.

Selepas wafat nabi s.a.w. berlaku peristiwa riddah (peristiwa murtad) di semanjung tanah Arab yang disokong oleh dua kuasa besar dunia itu Farsi dan Rome. Yang tidak murtad ialah Madinah, Mekah, Taif, sebahagian Yaman dan beberapa kabilah Bahrain dan Uman. Kawasan lain semuanya keluar daripada agama Islam.

Allah Ta’ala memelihara agama Islam ini.

Firman Allah Ta’ala:

“Allah menyempurnakan cahayanya,”.

Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan.

Saidina Abu Bakar r.a. telah berjaya mengambil langkah menghapuskan kumpulan-kumpulan yang murtad. Mereka dikalahkan.

Ada yang murtad kerana mengikut nabi-nabi bohong sedangkan tidak ada nabi lagi selepas Muhamad s.a.w. Ada yang murtad balik sembah berhala semula. Mereka menjadi Kristian dan menjadi Yahudi semula. Ada yang murtad kerana meninggal sebahagian ajaran Islam.

Apabila satu pasukan tentera Islam hendak menyerang satu kabilah waktu Subuh kerana kabilah ini mengatakan zakat tidak wajib. Mereka mengatakan agama Islam ini cukuplah dengan sembahyang sahaja. Mereka tidak mengiktiraf kerajaan Islam di Madinah.

Bila tiba di kampung kabilah itu tentera Islam mendengar azan Subuh. Mereka rasa sedih dan tidak jadi menyerang kerana mendengar azan Subuh. Lalu tentera Islam pulang ke Madinah dan menemui sahabat-sahabat yang lebih tua.

Di Madinah mereka berjumpa dengan saidina Umar al-Khattab meminta pandangan bagaimana hendak bertindak sedangkan mereka masih sembahyang Subuh. At-Tabari menyebut peristiwa ini di dalam kitabnya.

Kemudian mereka menemui saidina Abu Bakar r.a. Abu Bakar kata tidakkah mereka membatalkan zakat. Zakat adalah rukun Islam. Membatalkan rukun Islam bermakna membatalkan Islam.

Kata Abu Bakar:

“Demi Allah sekiranya mereka membatalkan kewajipan yang diwajibkan oleh Allah dan rasul-Nya walaupun seharga tali unta nescaya aku memeranginya.” Baharulah mereka bertenang.

Mereka pun menyerang kabilah itu dan dapat dikalahkan.

Zaman Abu Bakar riddah (murtad) dapt dihapuskan. Islam berkembang disambung oleh saidina Umar al-Khattab r.a menjatuhkan dua kuasa besar dunia, Farsi dan Rome.

Mengikut ahli sejarah setelah Farsi dan Rome jatuh, maka musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi, Kristian dan Majusi mengadakan perbincangan. Mereka tidak mampu lagi hendak melawan Islam secara ketenteraan. Lalu mereka merancang untuk menentang Islam dari dalam.

Mereka mengkaji setiap kelemahan yang berlaku di kalangan orang Islam terutama sekali di kawasan-kawasan orang Islam jahil. Di peringkat awal mereka tidak berjaya. Mereka berjaya masuk ke dalam orang Islam selepas terbunuh saidina Othman bin Affan r.a. kerana berlaku pertelingkahan di kalangan para sahabat.

Orang Islam yang jahil tidak berpuashati dengan saidina Othman. Tidak puashati kerana kebendaan bukan kerana agama. Mereka yang baru masuk Islam tidak puashati dengan kelemahan saidina Othman. Mereka tidak sedar dengan kelemahan mereka sendiri yang jahil agama.

Selepas saidina Othman dibunuh, saidina Ali menerima pemerintahan dalam keadaan huru-hara. Keluarga saidina Othman, Bani Umaiyah didukung oleh Muawiyah dan lain-lain lagi mendesak supaya menghukum mereka yang terlibat dalam pembunuhan saidina Othman.

Saidina Ali tidak bertindak kerana keadaan masih lagi huru-hara. Akibatnya terjadi perpecahan dan membawa kepada peperangan al-Jamal. Bila saiditina Aisyah, Zurir bin Awwam dan Tolahah bin Ubaidilillah r.a. memimpin bala tentera untuk menyerang saidina Ali kerana tidak menghukum orang yang membunuh saidina Othman.

Muawiyah pula memimpin bala tentera untuk menyerang saidina Ali. Saidina Ali menghadapi keadaan ini dengan tenang. Semua penentangan dapat dihapuskan. Tetapi rasa tidak puashati tetap wujud.

Timbulnya tiga kumpulan: kumpulan saidina Ali, kumpulan Muawiyah dan kumpulan Khawarais yang mengatakan semua tidak betul. Tidak dinafikan dalam peristiwa ini saidina Ali yang benar kerana sabda nabi s.aw:

“Ammar bin Yasir dibunuh oleh satu kumpulan yang derhaka.”

Tidak dinafikan Muawiyah dan pengikutnya Aisyah dan lain-lain adalah kumpulan yang menentang kerajaan yang sah.

Ijtihad mereka salah. Saidina Ali yang betul dalam perkara ini. Namun golongan bukan Islam yang merancang untuk menentang Islam dari dalam ini berjaya memasukkan jarum mereka ke dalam masyarakat Islam. Maka lahirlah kumpulan yang memaki saidina Ali, memaki Muawiyah dan memaki semua sahabat yang dikenali golongan Khawarais.

Lahirnya golongan yang fanatik kepada saidina Ali kerana Abdullah bin Sabak, seorang Yahudi menyebarkan bahawa saidina Ali ada kekuatan ruh sampai peringkat boleh mengganti rasul, setaraf dengan rasul dan menjadi sesat.

Lalu saidina Ali mengarahkan bertindak terhadap pengikut-pengikut Abdullah bin Sabak dengan keputusan terkenal:

“Aku telah melihat perkara yang mungkar aku nyalakan api penentangan dan mengarahkan kombar (pasukan tentera pengawal saidina Ali) bertindak terhadap pengikut Abdullah bin Sabak.

Golongan Khawarais mengangkat senjata. Saidina Ali berhujah dengan mereka. Ada yang berhujah melarikan diri dan ada yang mengangkat senjata.

Mereka bertanya saidina Ali adakah mereka ini kafir.

Saidina Ali kata: “Tidak”.

Orang tanya adakah munafik?

Saidina Ali kata: “Tidak”

Mereka rajin sembahyang dan kuat ibadat. Siapa mereka?

Saidina Ali kata:

“Mereka adalah saudara-saudara kita yang derhaka kepada kita.” Perangi mereka jika mereka mengangat senjata. Biarkan mereka kalau mereka berundur, jangan kejar.

Timbulnya hadis-hadis palsu dalam pertembungan ini. Maka Allah melahirkan ulamak-ulamak yang menjaga ilmu fekah, menjaga ilmu hadis, menjaga ilmu tafsir dan menjaga semua ilmu-ilmu agama.

Ulamak meriwayatkan ilmu-ilmu ini dan dipelihara oleh Allah Ta’ala. Jadi agama Islam selamat. Walaupun berpecah tetapi agama Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia.

Pusat ilmu Islam ialah di Mekah, di Demash, di Syam, di Palastin, di Mesir, di Baghdad dan di Basrah. Maka lahirlah ulamak-ulamak sahabat dan ulamak Tabi’in.

Adapun mereka yang tinggal di kawasan pendalaman berjaya dimasukkan unsur-unsur yang bukan Islam.

Maka lahirlah ilmu-ilmu al-batiniah: sembahyang zahir, sembahyan batin, haji zahir haji batin, puasa zahir puasa batin dan nikah zahir nikah batin.

Bila martabat tinggi tidak payah sembahyang, pakai niat sahaja. Tidak payah pergi Mekah pakai niat sahaja.

Dimasukkan unsur-unsur yang bukan Islam ke dalam masyarakat Islam. Sembahyang pakai niat, puasa pakai niat tetapi makan tidak pakai niat.

Namun begitu tersebar juga Islam hingga sampai ke negara kita ini. Agama Islam yang sebenar dipelihara oleh Allah. Ajaran yang salah tidak berjaya disebar dengan luas. Hanya orang-orang jahil dan bodoh sahaja yang mengikutnya.

Di zaman kerajaan Abasiah berlaku peristiwa penterjemahan apabila ilmu daripada bahasa asing diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ilmu sains, teknologi, perubatan, falak, pertanian, geografi, ilmu hisab dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan melahirkan tamadun Islam.

Orang Islam menjadi orang pertama membina tamadun moden yang ada pada hari ini. Orang Islam pertama membuat bank, pertama membuat cek, pertama membuat hospital dan pertama membuat bekalan air bersih. Mereka mengolah Quran dan hadis dan mengolah amalan-amalan sahabat.

Orang yang pertama membuat bank ialah nabi s.a.w. Mereka mengolah sirah nabawiyah. Bila hendak berhijrah dari Mekah ke Madinah nabi mengarahkan saidina Ali menjaga barang-barang amanah. Menunjukkan banyak barang, harta berharga disimpan di rumah nabi s.a.w. kerana amanahnya.

Walaupun berhijrah ke Madinah nabi tidak membawa barang-barang itu. Nabi menyuruh saidina Ali menghantar kepada pemiliknya. Di sini nabi adalah bank. Ini kajian ahli ekonomi.

Ketika merawat Saad bin Muaz r.a. nabi mengarahkan supaya dibina khemah berhampiran masjid Nabawi untuk mudah merawat dan mengunjunginya. Ini adalah teori hospital yang diolah oleh ulamak-ulamak selepas itu.

Saikul Dola al-Madani membawa ramai anggota makan di Baghdad, bila hendak membayar kepada pemilik kedai makan maka ditulis pada kertas diberi kepada pemilik kedai. Pemilik kedai mengambil duit di tempat perbendaharaan. Ini adalah cek.

Ilmu matematik dan algebra yang dimodenkan, ilmu perubatan dan segala ilmu orang Islamlah yang menerokanya. Dalam menterjemah ilmu ini, ilmu falsafah Greek Yunani, Farsi, India dan lain-lain diterjemah juga ke dalam bahasa Arab. Ini menyebabkan kajian ilmu ketuhanan menggunakan akal. Dengan ini lahirlah mazhab Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan lain-lain.

Mereka mengkaji zat tuhan dan sifat tuhan sehingga menyesatkan kerana akal manusia tidak mampu mencapai hakikat Allah Ta’ala.

Tuhan kata: “Lihat pada diri kamu sendiri.” Bagaimana mata diciptakan kita tidak mampu hendak fikirkan.

“Adakah kamu tidak melihat api yang dinyalakan.”

Antaranya tenaga lektrik. Kita tahu lektrik ada bila melihat lampu nyala dan kipas berpusing. Untuk mengetahui lebih lanjut kita koyak wayarnya dan terkena tangan kita mati. Itu makhluk dan bagaimana tentang ketuhanan.

Tetapi mereka yang terpengaruh dengan falsafah ini menimbulkan mazhab-mazhab yang sesat, Muktazilah, Jabariah dan Qadariah. Akibatnya lahirlah ulamak-ulamak yang berwibawa seperti Abu Hassan al-Syaari dan Abu Mansuri yang mengulas fahaman-fahaman falsafah ini. Maka lahirlah ilmu-ilmu kajian tentang sifat dua puluh.

Sifat nafsiah, Salbiah, ma’ani dan ma’aniah pada asalnya untuk menentang falsafah, kemudian oleh kerana mengkaji tentang sifat tuhan segala falsafah mereka tidak faham pula.

Belajar sifat dua puluh tetapi tidak faham dan tidak kenal tuhan, melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan akidah. Maka lahirlah ulamak-ulamak yang membetulkan semula. Sebenarnya tidak ada percanggahan. Ini adalah gerakan tajdid.

Ada kalangan belajar kitab tetapi tidak belajar sejarah. Ini menjadi masalah. Setengah pondok kita belajar akidah tetapi tidak belajar sejarah akidah. Belajar fekah tidak belajar sejarah tasdi’. Ini
 Perlu diperbetulkan.  Allah Ta’ala menyelamatkan agama Islam.

Kemudian kita menghadapi bencana kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah. Kejatuhan berpunca dari penjajah-penjajah menakluki negeri-negeri Islam. Maka melaksanakan perjanjian dengan menteri luar British dan menteri luar Peranchis merupakan dua kuasa besar diambang kejatuhan kerajaan Othmaniah.

Tujuannya ialah untuk membahagi-bahagikan negeri Islam khususnya di Asia Barat dan Utara Afrika. Hilangnya kerajaan Islam negeri Islam dibahagikan sesama mereka, di antara British, Peranchis dan Itali.

Perjanjian Bangkok antara British dan Belanda. Perjanjian Betawi dengan Thailand membahagi-bahagikan wilayah Islam. Negeri-negeri Asia tengah di bahagi-bahagikan kepada Rusia dan China. Jadi negeri Islam dipecah-pecahkan.

Orang Islam dihancur-lebur dengan semangat kebangsaan masing-masing dalam keadaan kejahilan agama melahirkan teori-teori komunisma, sosialisma, liberal sosialisma, pragmatism dan bermacam-macam ism iaitu fahaman-fahaman baru yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bila berlaku penyelewengan gerakan pembaharuan diperlukan. Allah Ta’ala melahirkan ulamak-ulamak untuk membetulkan orang Islam di zaman mereka. Islam ialah ajarah tersendiri. Begitulah Islam dipelihara oleh Allah Ta’ala. Walaupun nabi Muhamad s.a.w. sudah wafat tetapi agama Islam tidak mati.

Dalaam keadaan orang Islam teruk dibelasah dan dijajah berlaku kebangkitan Islam. Dijajah negeri Islam, Islam berkembang di Eropah, berkembang di Amerika, tumbuh semula di China dan tumbuh semula di Asia Tengah menyebabkan mereka dalam keadaan kebingungan.

Walaupun ahli-ahli falsafah mereka antara yang terkenal ialah Fransis Okoyama, seorang profesor di Amerika pada awalnya menganggap selepas kejatuhan komunis, barat adalah kuasa tunggal dunia.

Para cerdik pandai mereka membuat kajian masih ada pencabar yang tidak mati iaitulah Islam. Islam walaupun tidak ada negara tidak boleh dihapuskan. Tumbuh semula kebangkitan Islam di seluruh dunia.

Maka berlakulah gerakan secara ketenteraan. Mereka menyerang Afganistan, menyerang Iraq dan menyerang di seluruh pelusuk dunia. Mereka menyekat kebangkitan Islam di Bosnia dengan menggunakan ketenteraan.

Namun begitu apa yang merisaukan mereka setelah mereka menyebarkan Islam agama yang ganas menyebabkan orang-orang barat yang ingin mengkaji membaca terjemahan-terjemahan al-Quran dalam bahasa masing-masing. Ramai kalangan yang membaca terjemahan al-Quran ini masuk Islam. Ini menakutkan mereka.

Akhirnya mereka mengambil kesempatan melalui kelemahan yang ada dalam diri umat Islam sendiri:

1. Kelemahan tasahul

2. Kelemaha tasyaddud.

Tasahul ialah mereka yang bermudah-mudah dengan agama. Cukup menjadi orang Islam, beramal dengan sebahagian daripada ajarannya. Tidak mengapa membuat maksiat lepas itu pergi umrah selesai masalah. Menegakkan Islam tanpa hukum syariat. Hukum Hudud, hukum Qisas tidak perlu dilaksanakan. Cukup mudah Islam. Akibatnya merebaknya jenayah, merebak kemungkaran dan merebak kemalangan.

Tasyaddud ialah golongan yang ingin membuat Islam serta merta. Melaksanakan Islam tanpa jadual. Paksa orang masuk Islam. Jika tidak masuk Islam bunuh. Tidak ikut perjuangan kita bunuh. Golongan ini dibantu oleh masuh dengan memberi senjata dan kemudahan. Golongan tasahul dibantu juga. Mereka tidak akan izin Islam yang sebenar berkuasa.

Dibenarkan orang Islam yang bermudah-mudah dan dibenarkan orang Islam yang semangat tinggi. Berlaku di negeri Arab, negeri orang yang fahm Quran, yang berperang ialah orang Arab dengan orang Arab, orang Arab dengan Kurdis dan Suni dengan Syiah.

Senjata, senjata barat Rusia dan China. Duit, duit Arab, duit Iran dan duit orang Islam dan yang mati orang Islam.

Suasan yang berlaku pada hari ini merupakan perancangan daripada musuh mewujudkan peperangan secara proxi (wakil) antara orang Islam dengan orang Islam yang sukar dikawal.

Namun demikian kita hendaklah yakin kepada kekuasaan Allah Ta’ala ada lagi masa depan untuk Islam kerana nabi s.a.w. menjanjikan selepas kejatuhan Konstantinaple yang berjaya dilaksanakan oleh orang-orang Turkey nabi kata akan berlaku orang Islam dapat menguasai Rome, Itali.

Ini menandakan ada lagi masa depan untuk Islam. Apa yang nabi berjanji mesti berlaku. Bagaimana berlaku kita tidak tahu. Itu dalam ilmu Allah Ta’ala. Kita orang Islam kena berpegang dengan agama kita bersungguh-sungguh belajar ilmu Islam dengan orang amanah dengan ilmunya.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment