Friday, November 18, 2016

UMAT RISALAH NABAWIAH (A)



Firman Allah Ta’ala bermaksud:

Wahai manusia bertakwalah kamu kepada tuhan kamu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu yakni nabi Adam a.s. dan Dia menjadikan Hawa daripada tulang rusuk nabi Adam sebagai pasangan dan disebarkan daripada mereka berdua lelaki dan perempuan,

dan bertakwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, yang akan bertanya kamu berkenaan dengan-Nya, khusus berkaitan dengan hubungan silatul rahim di antara kamu, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan memerhati apa yang kamu lakukan.”

Dalam ayat itu, Allah Ta’ala menyatakan kejadian manusia bermula dengan pasangan lelaki dan perempuan.

Allah Ta’ala menjadikan manusia lelaki dan perempuan, suami dan isteri di serata muka bumi dengan satu tugas dan peranan yang diletakkan oleh Allah Ta’ala untuk memakmurkan bumi dengan beribadat kepada Allah dan beramanah mentadbir urusan bumi dengan melaksanakan syariat Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala menjadikan manusia seluruhnya berbagai-bagai bangsa dan puak.

Allah biakkan ramai manusia dan di kalangan manusia itu Allah lahirkan umat Islam dan di kalangan umat Islam Allah lahirkan umat risalah nabawiah yang mendukung perjuangan Islam dan berjuang menyambung risalah perjuangan nabi-nabi dan rasul-rasul a.s.w

Kajadian umat manusia yang ramai melibatkan lelaki dan perempuan.

Firman Allah Ta’ala:

“Wahai manusia sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, Adam dan Hawa berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain dan yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.

Sesungguhnya Allah Maha Tahu dan Maha Mengetahui.”

Allah jadikan ramai umat manusia di atas muka bumi menjalankan tugas mereka secara tabi’ (secara semula jadi) mestilah hidup bermasyarakat yang memerlukan tamadun dan hadharah kerana manusia tidak boleh menjalankan tugas atas muka bumi secara bersendirian atau masing-masing sama ada diri masing-masing, bangsa masing-masing dan negeri masing-masing.

Seseorang manusia tidak boleh menghasilkan semua keperluannya melainkan membahagi-bahagikan tugas. Ada manusia yang bercucuk tanam, ada yang berniaga, ada yang menangkap ikan dan ada yang berhubung antara satu sama lain.

Untuk menghasilkan semuanya memerlukan manusia hadir. Daripada perkataan hadir inilah timbul perkataan hadharah.

Untuk menghadirkan, manusia memerlukan satu tempat yang dinamakan Madinah atau pun bandar. Maka lahirlah perkataan tamadun. Manusia bergaul antara satu sama lain, tukar menukar antara satu sama lain dan tolong menolong antara satu sama lain.

Oleh kerana manusia mempunyai kelemahan, ada kalangan mereka ditipu oleh syaitan. Allah Ta’ala telah mendidik Adam dan Hawa sebelum dihantar ke bumi. Adam dan Hawa diajar supaya mengabdikan diri kepada Allah, diajar untuk menggunakan menikmat yang diberi oleh Allah dan diajar batas halal dan haram dan lain-lain.

Allah Ta’ala mengajar Adam digoda dan ditipu oleh iblis menyebabkan Adam dan Hawa dihalau ke bumi. Adam dan Hawa menyedari kesilapan dosa ditipu oleh Idris.

Kelemahan Adam menular di kalangan zuriatnya. Ada kalangan mereka ditipu oleh iblis walaupun Allah menurunkan nabi-nabi dan rasul-rasul a.s.w. Manusia terbahagi dua, ada yang mengikut nabi-nabi dan rasul-rasul dan ada yang menentang.

Firman Allah Ta’ala:

“Adalah manusia itu awalnya satu umat, semuanya bersama nabi Adam a.s. Kemudian mereka membiak ramai. Selepas wafat nabi Adam ada manusia yang lupa daratan maka Allah mengutuskan nabi-nabi untuk memberi berita gembira baik dunia dan akhirat, kepada sesiapa yang mengikut nabi-nabi dan celaka dan neraka bagi mereka yang melawan nabi-nabi dan ajaran Allah.

Dan Allah turunkan bersama nabi akan kitab supaya menghukum manusia apa-apa yang menjadi pertelingkahan di kalangan mereka. Tidaklah menjadi pertelingkahan melainkan kerana ada yang melampaui batas melawan kitab Allah s.w.t. kerana sikap melampau, bongkok dan sombong.”

Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki iaitulah orang-orang yang beriman dalam apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan di kalangan mereka dengan izin-Nya dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Ia kehendaki ke jalan yang betul.

Kemudian berlakulah pertarungan di antara mereka yang mengikut nabi dan yang melawan nabi.

Firman Allah Ta’ala:

“Kalau sekiranya Allah tidak menjadi manusia itu berlawanan di antara satu dengan lain, golongan yang mengikut nabi dan yang melawan nabi nescaya dibinasalah rumah-rumah ibadat penganut agama Yahudi, gereja-gereja penganut Kristian, tempat-tempat sembahyang agama-agama lain dan masjid-masjid orang Islam.

Demi sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong agama-Nya dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Allah memilih di kalangan umat Islam yang sanggup berlawan kerana bukan semua umat Islam sanggup berlawan. Ramai orang Islam mengambil jalan mudah, tidak mahu bergaduh, cukup menjadi orang Islam sekadar sebahyang, puasa, ada wang banyak beri zakat dan buat haji dan umrah.

Sedangkan Allah mewajibkan ada kalangan umat Islam berlawan dengan golongan yang menolak Islam.

Allah Ta’ala berfirman:

“Dan hendaklah ada di kalangan orang-orang beriman itu satu umah (satu kumpulan) yang melaksanakan kewajipan menyeru kepada yang baik (Ulamak tafsir mengatakan menyeru kepada yang baik di sini ialah menyeru kepada Islam sebagaimana yang diajar oleh nabi Muhamad s.a.w, yakni Islam semua dan bukan separuh-separuh.

Bermula dengan mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, bernikah kahwin, berniaga sehingga mendirikan kerajaan yang melaksanakan syariat Allah Ta’ala),

dan mencegah kemungkaran (iaitulah mendirikan kerajaan dan kalau tidak mampu mendirikan kerajaan mesti menegur kerajaan dan melawan kerajaan yang melakukan mungkar), mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

Muslimin dan muslimat

Contoh ayat Quran: “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa” dan “Wahai orang yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah”.

Kedua-dua ayat itu tidak menyebut lelaki atau perempuan.

Tetapi dalam ayat ini Allah berfirman:

“Dan orang lelaki yang beriman dan orang perempuan yang beriman mereka bertolong menolong di antara satu sama lain untuk menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mentaati Allah dan rasul, kumpulan inilah yang akan mendapat rahmat daripada Allah dan sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila Allah s.w.t. mendahulukan di dalam senarai ayat yang disebut ini dengan ‘menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran’ kemudian mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mentaatilah Allah dan rasul.

Padahal dalam bilangan rukun Islam dimulakan dengan dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji. Dalam bilangan rukun iman dimulakan dengan beriman kepada Allah, kepada kitab, rasul, malaikat, hari akhirat dan qoda’ dan qadar.

Tetapi dalam ayat ini Allah menyebut dengan amal makruf nahi mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mentaatilah Allah dan rasul. Ini bertujuan memberi penekanan betapa kewajipan menunaikan amal makruf dan nahi mungkar kerana kewajipan ini banyak cabarannya dan banyak ujiannya.

Ramai orang boleh sembahyang, ramai orang boleh mengeluarkan zakat dan ramai orang boleh mentaati Allah secara umum tetapi tidak ramai orang bersedia untuk menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran kerana kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran ini memerlukan kewajipan yang dinamakan jihad fi sabilillah.

Jihad bermakna bersungguh, terpaksa mengorbankan harta benda dan jiwa raga, mengorbankan nikmat yang diberi oleh Allah bagi menentang mereka yang melawan Islam untuk memenangkan Islam.

Oleh kerana besarnya kewajipan ini, nabi s.a.w. setelah mendidik generasi muhajirin selama tiga belas tahun yang melibatkan golongan Islam di Makkatul Mukarramah yang diseksa dan diuji, dibelasah, ditekan dan ditindas melibatkan sahabat-sahabat yang mati dibunuh kerana mempertahankan Islam. Antara yang dibunuh itu ialah Sumayah r.a. dan suaminya Yasir.

Penyumbangan harta benda melibatkan Abu Bakar dan Ummil Mukminin Khadijah r.a.

Perjuangan Islam ini bergerak ke Madinah untuk mendirikan sebuah kerajaan kerana mendapat halangan dan tentangan di Mekah.  Orang-orang Madinah bersedia menerima kedatangan nabi s.a.w.

Mereka sanggup menyerahkan tanah air mereka, diri mereka dan harta benda mereka untuk berjihad bagi mendirikan sebuah kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah s.w.t.

Baiatul Aqabah

Nabi s.a.w. melakukan baiatul Aqabah. Apa yang menarik dalam baitul Aqabah ini melibatkan kaum lelaki dan perempuan, mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat.

Dalam baiah itu terlibat dua orang wakil muslimat bersama muslimin diminta supaya berbaiah:

“Aku minta kamu semua yang hadir ini berjanji setia kepada aku:

Pertama dengar perintah aku masa rajin dan masa malas (bila aku perintah mesti taat walaupun masa malas).

Kedua, menyumbangkan harta semasa senang dan susah untuk memenangkan Islam. Orang yang senang menyumbang banyak, orang yang susah beri mengikut kemampuan dan yang tidak ada langsung harta beri khidmat diri untuk menegakkan Islam.

Mereka yang tidak mampu sekurang-kurangnya berdoa kepada Allah. Jadi tidak ada yang terkecuali

Ketiga, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran

Keempat, bersedia untuk bangun menyatakan yang benar, tidak peduli celaan dan hinaan orang.

Kelima, bersedia untuk bersama dengan aku bila aku di Madinah nanti mempertahankan aku, melindungi aku menghadapi musuh mempertahankan Islam dengan harta dan jiwa raga kamu sebagaimana kamu mempertahankan keluarga dan harta kamu dan Allah menjanjikan syurga kepada kamu.

Maka lahirlah kumpulan Islam dan pahala yang besar

Firman Allah Ta’ala:

“Dialah tuhan yang telah mengutuskan rasul-Nya Muhamad s.a.w. dengan petunjuk yang benar supaya agama Islam ini mengatasi segala ajaran lain. Islam mesti memerintah, berdaulat dan mentadbir mengatasi ajaran lain walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.”

Untuk menjalankan kewajipan mendirikan agama Islam maka Allah Ta’ala menyeru: “Wahai orang-orang yang beriman adakah kamu suka Aku tunjuk kepada kamu satu perniagaan yang menguntungkan, modalnya ialah kamu beriman kepada Allah dan rasul dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa raga kamu, itulah yang lebih baik kepada kamu sekiranya kamu tahu.”

Keuntungannya di hari akhirat, Dia mengampunkan dosa-dosa kamu. Dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar diampun oleh Allah sekiranya kamu berjihad dan Dia memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Diberi kepada kamu syurga Adan dan di dalam syurga Adan itu ada mahligai-mahligai yang indah. Itulah kemenangan yang paling besar iaitu kemenangan di hari akhirat.

Di dunia tuhan beri juga kemenangan bila tiba masanya. Ada yang sempat dan ada yang tidak sempat. Berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

“Wahai orang-orang yang beriman jadilah kamu penolong-penolong agama Allah yakni memenangkan agama Allah sebagaimana yang dilakukan oleh Hawariyin, sahabat-sahabat nabi Isa a.s. apabila nabi Isa dikepung oleh bala tentera raja Hiradus.

Tentera raja Hiradus telah menyembelih nabi Yahya dan menggergaji nabi Zakaria.

Kemudian mereka memburu nabi Isa a.s. Ketika nabi Isa dikepung oleh tentera Hiradus nabi Isa berkata:

“Siapakah di kalangan kamu yang sanggup menjadi penolong-penolong aku di dalam menegakkan agama Allah.”

Di saat yang cemas dan bahaya ini bangkit hanya dua belas orang yang dikenali dengan hawariyin. Dua belas orang sahaja. Hawariyin berkata:

“Wahai Rasulullah kamilah orang yang bersedia untuk menjadi penolong-penolong agama Allah.”

Sebahagian Bani Israil beriman dan sebahagian lagi tidak beriman dan akhirnya Allah memberi kemenangan kepada golongan yang beriman. Bagaimana dua belas orang boleh mencapai kemenangan?

Ini adalah ujian Allah Ta’ala. Allah Ta’ala tidak jadikan kemenangan perjuangan Islam dalam masa yang dekat.

Firman Allah Ta’ala:

“Sekiranya perjuangan Islam ini benda yang dekat yang nampak keuntungannya, nampak RM50, nampak RM1,000, nampak kesenangan dan kemewahan dan perjalanan yang dekat;

dua tahun lagi atau lima tahun lagi boleh menang, nescaya ramai orang ikut kamu wahai Muhamad. Tetapi perjuangan ini jauh dan penuh dengan kesulitan serta kepayahan.”

Allah Ta’ala jadikan kesulitan dan kepayaan adalah sebagai ujian. Bila tiba masanya Allah Ta’ala beri kemenangan. Kemenangan akan diuji lagi dan kemudian diberi kemenangan pula.

Ini adalah ujian daripada Allah untuk memertabatkan kumpulan jemaah Islam iaitu kumpulan yang menegak Islam yang dipilih oleh Allah Ta’ala dengan pahala yang berlipat kali ganda. Dermanya berlipat kali ganda, masanya berlipat kali ganda dan tenaganya berlipat kali ganda.

Firman Allah Ta’ala:

“Bandingan orang yang membelanjakan harta bendanya pada jalan untuk memenangkan agama Allah laksana orang yang menanam satu biji benih, tumbuh daripadanya tujuh tangkai dan setiap tangkai keluar seratus biji menjadi tujuh ratus kali ganda.

Allah menggandakan kepada sesiapa yang Ia kehendaki dengan kurnia-Nya dan Allah Maha Luas Kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”

Beri sedekah sepuluh kali ganda. Derma masjid sepuluh kali ganda. Sumbangan kepada fakir miskin sepuluh kali ganda. Sumbangan kepada anak yatim sepuluh kali ganda. Tetapi sumbangan jihad tujuh ratus kali ganda.

Mengapa Allah Ta’ala jadikan begitu?

Memang mudah memberi derma kepada fakir miskin kerana boleh nampak mereka dhaif, rumahnya buruk dan nampak macam-macam. Tetapi untuk memberi sumbangan kepada perjuangan supaya memenangkan Islam tidak nampak.

Kalau sumbang banyak kita menjadi susah kerana projek akan ditahan, pangkat akan ditahan dan kehidupan menjadi susah.

Firman Allah Ta’ala:

“Syaitan menjanjikan kefakiran kepada kamu dan menyeru kamu kepada kejahatan.”

Kalau menolong kerja-kerja Islam musuh Islam akan menekan, akan tindas dan akan lawan. Berniaga susah, pangkat sukar naik, biasiswa mungkin tidak akan diberi dan mungkin akan dipotong. Sukar mendapat pekerjaan.

Syaitan menjanjikan kefakiran, menjanjikan kemiskinan dan menjanjikan keburukan tetapi Allah Ta’ala menjanjikan kurnia kepada kamu. Hanya mereka yang percaya kepada janji kurnia Allah sahaja boleh menyertai perjuangan ini kerana terpaksa menghadapi banyak cabaran.

Dalam ayat yang lain Allah mengatakan mereka yang melibatkan diri dalam perjuangan untuk jihad lebih afdal daripada memakmurkan masjidil Haram.

Firman Allah Ta’ala:

“Adakah kamu jadikan khidmat kamu memberi minum air zamzam kepada jamaah haji yang datang ke Mekah dan kamu memakmurkan masjidil Haram lebih baik daripada orang yang beriman kepada Allah dan berjihad kepada jalan Allah, tidak sama di sisi Allah Ta’ala.”

Tuhan mengatakan tidak sama. Walaupun mereka yang memakmurkan masjidil Haram itu diberi seratus ribu kali ganda daripada memakmurkan masjid yang lain. Tetapi mereka yang melibatkan diri dengan pengorbanan untuk memenangkan agama Islam menghadapi kesusahan, fadilatnya lebih afdal lagi.

Banyak hadis memberi kelebihan kepada jihad. Setiap titik peluh dan setiap kesusahan diberi pahala oleh Allah Ta’ala.

“Debu yang mengenai baju, mengenai kasut, mengenai tubuh, pakaian dan mengenai orang berjuang untuk menegakkan agama Allah tidak dikenakan api neraka kecuali susu yang telah diperah kembali semula ke dalam laputnya.”

Inilah kelebihan yang dijanjikan oleh nabi s.a.w. Hanya mereka yang sanggup menerima cabaran sahaja layak menerima fadilat ini.

Mengikut hadis lain ibadat orang berjihad dikira bermula dia keluar rumah hingga balik semula ke rumahnya. Ini bermakna setiap saat dikira ibadat.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment