Friday, November 18, 2016

TAWAKAL YANG BETUL


Sabda Rasulullah s.a.w:

“Dari Umar r.a. aku telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda

Kalaulah kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu sebagaimana diberi rezeki kepada burung yang keluar pada waktu pagi dalam keadaan kosong tembolot dan balik waktu petang dalam keadaan penuh tembolotnya.”  Hadis riwayat Tarmizi katanya hadis Hasan.

Hadis ini menyatakan kita mesti bertawakal kepada Allah Ta’ala bermakna menyerah diri dan mengharapkan kurnia Allah dengan melakukan usaha dan ikhtiar. Berusaha dan berikhtiar kemudian bertawakal kepada Allah.

Jika bertawakal tanpa usaha dan ikhtiar bermakna kita jadikan tuhan sebagai hamba. Ini sangat tidak betul.

Hadis ini menyebut burung sebagai contoh.

Burung adalah makhluk yang sangat bertawakal kepada Allah Ta’ala. Waktu pagi burung keluar dalam keadaan tembolotnya kosong kerana mencari rezeki waktu siang hari.

Dia terbang ke sana sini untuk mendapat rezeki yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Maka Allah Ta’ala memberi rezeki yang cukup dalam hidupnya.

Begitulah kita manusia sekiranya bertawakal kepada Allah Ta’ala, kita berusaha dan berikhtiar kita akan ditolong oleh Allah Ta’ala. Sama ada kita mendapat rezeki cukup atau tidak cukup kita tetap ditolong oleh Allah Ta’ala.

Jika cukup ‘ALHAMDULILLAH’ dan jika tidak cukup kita hendaklah sabar dan mendapat pahala dengan kesabaran kita. Jika diberi lebih kita bersyukur dan mendapat pahala bersyukur daripada Allah Ta’ala. Sentiasa dalam keadaan baik kerana dalam kedua-dua keadaan kita mendapat pahala.

Inilah kelebihan manusia daripada makhluk-makhluk lain yang tidak ada perhitungan dosa dan pahala. Kehidupan manusia lebih mencabar daripada makhluk-makhluk yang lain.

Jika kita bertawakal, bersabar dan bersyukur maka kita mendapat kelebihan di sisi Allah Ta’ala dunia dan akhirat.

Oleh sebab itu Allah Ta’ala jadikan manusia menguasai makhluk-makhluk lain. Dalam masa yang sama manusia hendaklah sedar bahawa tuhan yang menjadikannya dan bukan terjadi dengan sendiri.

Oleh itu hendaklah sentiasa bergantung dengan tuhan yang menjadikannya.

Ini menunjukkan bahawa bertawakkal mestilah dengan usaha dan ikhtiar.

Kisah di zaman nabi seorang Badwi datang ke masjid dengan menaiki unta. Tiba di masjid dia terus masuk ke dalam masjid dan sembahyang. Selepas selesai sembahyang dia keluar dan mendapati untanya tidak ada.

Dia bertanya:

“Mana unta saya.”

Orang ramai tanya:

“Kamu tambat atau tidak unta kamu”

Dia menjawab:

“Tidak, sudah tawakal kepada Allah.”

Lalu orang ramai kata:

“Tambat dulu unta, baharu tawakkal kepada Allah Ta’ala.”

Itu tawakal yang tidak betul. Dia menyuruh tuhan menjadi gembala untanya.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment