Wednesday, November 16, 2016

BAIAH TALAK; KOMEN BERUNSUR FIQH



1. Dalam isu baiah talak yang dilafazkan sesetengah pemimpin PAS, ada dua perkara yang perlu dibezakan. Yang pertama proses penyerahan mandat bertanding dan kedua proses ta'liq baiah.

2. Bagi proses pertama, PAS sebagai pemilik hak telah menyerahkan tugas menjadi calon kepada pihak kedua. Namun ia bukan penyerahan secara percuma seperti akad hibah. Sebaliknya Ia adalah akad tawkil yang menetapkan calon hanyalah menjadi wakil untuk menjalankan tugas parti. 

PAS sebagai muwakkil bila-bila masa sahaja boleh mengfasakhkan akad tawkil tersebut, begitu juga dengan wakil. Namun wakil wajiblah menyerahkan kembali hak yang diwakilinya kepada muwakkil setelah fasakh. 

Contohnya dalam bab jual-beli kereta. Ejen bertindak sebagai wakil kepada muwakkilnya iaitu tauke untuk menggunakan keretanya atas tujuan menjualnya. Tauke berhak memecat ejen bila-bila masa selagi tiada kontrak lain yang mengikat. Wakil juga berhak berhenti bila-bila masa, tetapi wajiblah menyerahkan kembali kereta tersebut kepada tauke.

3. Dalam akad talak ta'liq pula, mereka telah melafazkan sekiranya mereka khianat keluar parti, maka jatuhlah talak 3 terhadap isteri. Ulama termasuk Imam 4 mazhab bersepakat sesiapa yang melafaz demikian dalam keadaan berniat benar untuk mencerai maka ia akan tertalak jika dilakukan

Namun Ulama berkhilaf apakah ia benar-benar sah sekiranya tidak berniat. Majoriti Ulama menyatakannya tetap sah dan tertalak. Inilah pendapat yang rajih.

4. Begitu juga dalam bab menarik balik talak ta'liq tersebut, majoriti Ulama berpendapat talak ta'liq sudah tidak boleh ditarik balik lagi. Ia berbeza dengan sumpah biasa kerana kehebatan hubungan perkahwinan di sisi Islam. 

5. Inilah yang diamalkan hampir seluruh Jabatan Agama negeri. Selepas akad nikah, pengantin disyaratkan untuk melafazkan talak ta'liq. Jika tidak, Jabatan Agama tidak akan mengiktiraf perkahwinan tersebut dan hak sebagai suami isteri dan keluarga tidak akan diberikan kepada mereka. 

Jabatan Agama berhak melakukan demikian atas kapasiti sebagai pemerintah. Tujuannya supaya tidak berlaku penindasan terhadap wanita. Ianya menepati satu kaedah fiqh; tindakan pemerintah adalah berkait dengan maslahah

6. Pendapat Ibn Taimiah, Ibn Qayyim, dan Yusof Qardawi yang menyatakan ianya dikira sebagai sumpah biasa, adalah sekiranya niat melafaz ta'liq untuk mendidik isteri sahaja. Ia berbeza dengan apa yang diletakkan PAS, iaitu untuk menjaga maslahah kuasa pemerintahan Islam.

7. Maka PAS meletakkan syarat, sekiranya mereka mahu menjadi wakil, mereka perlu melafazkan baiah beserta ta'liq yang dinyatakan. Dengan maksud lain, PAS tidak akan menyerahkan kuasa wakil sekiranya tiada ta'liq.

8. Justeru dalam isu bai’ah yang di ta'liq dengan talak, ia perlu dilihat secara keseluruhan dari kedua-dua proses. Sekiranya mereka tetap mahu berpegang kepada pendapat terpencil yang menyatakan boleh ditarik balik talak sebelum berlaku, mereka perlu menyerahkan kembali apa yang diambil dari parti kerana ia berkait juga dengan akad tawkil.

Isu ini sedikit berbeza dengan lafaz talak ta'liq biasa. Talak ta'lik (mengikut pandangan terpencil) boleh ditarik balik dengan hanya membayar kafarah sumpah sahaja tanpa perlu persetujuan mana-mana pihak kerana perkara ini hanya berkait antara diri mereka dengan Allah sahaja. Tetapi baiah ta'liq tidak sama kerana akad ini turut berkait dengan pihak ketiga iaitu parti. 

9. Untuk menarik balik ta'lik, mereka bukan sahaja perlu membayar kafarah, tetapi turut wajib menyerahkan kembali hak parti iaitu kerusi yang didudukinya. Kerusi tersebut diamanahkan kepada mereka kerana mereka sanggup melafazkan ta'liq itu. Apabila hilang syarat tersebut, maka hilanglah jua hak itu dari mereka.

Sebagai contoh, seorang majikan yang mengsyaratkan pekerjanya untuk bersumpah tidak akan ponteng sekiranya mereka diterima bekerja, ianya dikira sah. Tetapi sekiranya pekerja itu mahu membatalkan sumpah, ia bukan sekadar perlu bayar kafarah, tetapi wajib meletakkan jawatan kerana jawatan itu diperoleh kerana sumpah yang dilafaz.

10. PAS tidak pernah memaksa calon supaya wajib menerima pencalonan dengan ta'liq cerai ke atas isteri. Mereka boleh menolak dari awal sekiranya tidak yakin mampu istiqamah atau tidak. Itupun tidak diamalkan di semua negeri.

Baiah ta'liq pernah diamalkan zaman Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari dinasti Umawiyah tetapi secara paksa. Imam Malik berpendapat ianya sah sekiranya baiah tersebut dilakukan secara sukarela, bukan paksaan. Ini adalah kisah yang masyhur sehingga al-Mansur memenjarakan Imam Malik dan akhirnya beliau mati dalam penjara.

11. Kewajaran PAS mensyaratkan ta'liq sedemikian juga memiliki sebab yang kukuh. Ini kerana perkara pencalonan melibatkan maslahah ramai sedangkan hubungan suami isteri hanya hubungan peribadi. Dalam kaedah fiqh, maslahah ramai perlu didahulukan dari maslahah peribadi.

12. Islam juga menggariskan lima maslahah umum yang dijaga oleh Islam mengikut turutan. Yang paling utama menjaga agama, kedua menjaga nyawa, ketiga akal, keempat keturunan atau maruah dan kelima harta. Apabila bertembung antara lima maslahah ini, maka perlu didahulukan yang lebih tinggi.

Perkahwinan adalah termasuk maslahah ketiga iaitu menjaga maruah/keturunan. Sedangkan soal pemerintahan adalah untuk menjaga agama yang merupakan maslahah tertinggi antara lima tersebut. Kerana itu jugalah sebuah perkahwinan boleh terbatal sekiranya salah seorang pasangan bertukar menjadi penyembah berhala.

13. Dari suatu sudut yang lain, apa yang dilakukan PAS adalah sangat baik demi menjaga kestabilan politik dan kuasa umat Islam. Parti lain yang tidak mengamalkannya telah menyebabkan negara huru hara. Kejatuhan kerajaan PR Negeri Perak adalah kerana dua tiga orang ahli DAP PKR yang melompat parti. 

Apatah lagi PAS Kelantan tahun 2004 di bawah kepimpinan Tok Guru Nik Aziz dalam keadaan yang sangat genting, hanya 2 undi sahaja melayakkan mereka memimpin sebuah negeri. Kerana itulah Tok Guru terpaksa mengadakan Ta'liq ini. Dengan itu, kerajaan ini terus bertahan sehingga tamat penggal.

14. Lafaz takliq tidak hanya dilakukan oleh PAS. Ia turut dipraktikkan oleh gerakan Islam lain di dunia. Antaranya ialah Parti Hamas di Palestin yang dipimpin oleh Ulama besar, al-Marhum Syeikh Ahmad Yasin. Malah Hamas lebih syadid. Mereka menghukum bunuh terhadap pengkhianat jemaah.

Selain PAS, Hamas merupakan salah satu gerakan yang meletakkan kefaqihan sebagai prioriti utama memimpin gerakannya. Dengan prinsip yang tegas ini, ternyata jemaah tersebut menjadi jemaah paling kukuh dan digeruni di dunia. Merekalah yang disebut Nabi SAW sebagai pejuang agama Allah yang sentiasa mengikut kebenaran dalam suatu Hadis.

15. Itu belum masuk bab dosa pengkhianatan terhadap rakyat yang mengundi mereka kerana dasar parti yang diperjuangkan. Sekiranya benar mereka diberikan undi kerana parti yang mereka wakili, maka segala gaji dan harta yang diperoleh dari sumber jawatannya setelah mereka mengkhianati parti adalah tidak lagi menepati apa yang diingini oleh pihak pengundi. Ianya menjadi syubhah dan dikhuatiri tidak lagi halal.

Samalah contohnya dengan mereka yang menjual barang. 

Sekiranya pembeli membeli barangannya atas dasar iklan yang disebarkan, sedangkan kandungan iklan itu tipu, maka segala hasil jualan atas dasar itu adalah haram hukumnya.

16. Untuk mengelak dari termakan harta yang haram, sebaiknya mereka berani untuk serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih. Selepas itu mereka boleh kembali bertanding di kerusi sama. Pilihlah parti lain pula yang dirasakan lebih bebas untuk keluar masuk begitu sahaja.

17. Terus berpegang kepada takhta turut melibatkan konflik antara kepentingan peribadi dan kepentingan masyarakat. Walaupun alasannya berbaur membela rakyat, ia juga tidak kurang dengan alasan membela diri.

18. Sekiranya ijtihad salah itu dimaafkan syarak sekalipun, apabila ia melibatkan soal harta makan minum syubhah terhadap anak isteri yang ditanggung, ia bakal memberi kesan kepada keberkatan kehidupan mereka. Nabi SAW dalam suatu hadis menyifatkan mereka yang diberi makan dari sumber yang haram tidak akan diterima doa mereka.

19. Keluar daripada khilaf adalah paling afdhal. Lebih-lebih lagi melibatkan sumber makan minum yang diberikan kepada anak isteri. Tindakan menyerahkan kembali mandat lebih menggambarkan sebuah jiwa takutkan Allah daripada mempertahankannya dengan mencari berbagai dalil membenarkan nafsu sendiri.

20. Tulisan ini tidaklah terlalu menjurus kepada perbahasan fiqh. Ini sekadar pendapat supaya kita tidak membaca perbahasan sekadar isu status talak ta'liq sahaja. Terlalu banyak hukum dan implikasi yang berkait dalam kes bai'ah ini.

Wallahualam. Nastaghfirullah.

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment