Sunday, November 6, 2016

BALASAN KAUM SAMUD DAN ‘AD




Tafsir Surah al-Haq ayat 1-10.

“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi amat mengasihani.
Saat yang tetap berlaku itu, apakah sifat dan keadaan yang tetap berlaku itu dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu. Saat itu ialah hari kiamat. 

Samud dan ‘Ad telah mendustakan hari kiamat yang menggemparkan dan mengharubirukan itu. Maka masing-masing menerima azab dunianya. Adapun Samud yakni kaum nabi Soleh maka mereka telah dibinasakan dengan petir yang melampaui batas kedahsyatannya. 

Adapun ‘Ad, kaum nabi Hud maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang yang melampau-lampau kencangnya yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam dan delapan hari terus menerus. 

Kalaulah engkau menyaksikannya maka engkau akan melihat kaum itu berkelimpangan mati seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang tumbang dan lumpang.
Dan yang demikian dapatkah lagi engkau melihat di sisi mereka yang masih hidup dan selain daripada mereka datanglah Firaun dan orang-orang yang terdahulu daripadanya serta penduduk negeri-negeri yang ditunggangbalikkan dengan melakukan perkara yang salah iaitu masing-masing menderhakakan kepada rasul yang diutuskan oleh tuhan mereka. Lalu Allah menyiksakan mereka dengan azab yang sentiasa bertambah”.

Ayat-ayat yang kita baca ini adalah permulaan surah al-Haq. Al-haqqah ialah hari kiamat. Hari yang benar-benar berlaku. 

Surah ini termasuk dalam surah Makkiah iaitu surah yang diturunkan di Makkatul Mukarramah yang bertujuana untuk menguatkan akidah, keimanan nabi dan sahabat-sahabatnya yang memulakan perjuangan di Makkatul Mukarramah ketika tidak ada negara, tidak ada kerajaan untuk menguatkan keazaman dan semangat mereka menyampaikan Islam daripada Allah Ta’ala yang sangat benar. 

Disuruh mereka bersabar, bertahan meneruskan perjuangan dengan janji-janji semangat. Janji-janji yang benar di antaranya ialah surah al-Haq. 

Disebut di dalam surah al-Haq ini ialah perkara-perkara akidah khususnya akidah beriman kepada Allah Ta’ala dan rasul-rasul AHTW dan beriman kepada adanya hari kiamat. 

Jangan ingat dunia ini kekal selama-lama, macam manusia juga ada ajal, pohon kayu ada ajal mati, binatang yang besar pun ada ajal mati juga. Begitu juga dunia ini, alam ini, langit dan bumi ada ajalnya dengan berlakunya kiamat yang mesti berlaku.

Allah menyebut surah ini dengan kisah perjuangan nabi-nabi menentang kaumnya. Kaum-kaum yang menentang nabi itu dibinasakan oleh Allah Ta’ala dalam sekelip mata. Sebelum berlakunya hari kiamat Allah Ta’ala tunjuk kiamat yang kecil, dihukum kaum-kaum yang melawan Allah Ta’ala seperti kaum ‘Ad, kaum Samud, kaum Firaun, kaum Lut dan lain-lain lagi.

Bila tiba masa Allah Ta’ala hendak jatuhkan hukuman jatuh hukumannya, walau kuasa besar macam mana sekalipun, rebah, tumbang dan hancur berkecai, tidak boleh bertahan.
Allah menyebut juga tentang hari kiamat. Orang-orang yang beriman bersama dengan rasul mendapat kebahgiaan dan orang-orang yang kufur melawan Allah dan rasul mendapat kecelakaan.

Allah menegaskan di dalam surah ini tentang Quran dan perlantikan nabi Muhamad SAW daripada Allah SWT yang wajib kita kena percaya, beriman kepadanya dengan sungguh, dengan keyakinan.

“Al-haaqqah”.

Al-haaqqah ialah hari kiamat. Kalangan ulamak mengatakan daripada al-haq, yang benar. Kiamat adalah hari yang benar berlaku dengan nyata, tidak boleh diragui. Perkara-perkara yang ada di dalamnya juga adalah benar antaranya syurga dan neraka adalah benar. 

Bukan sahaja manusia dihidupkan semula, mereka dibicarakan di hadapan Allah. Allah membuat keputusan mengikut perangai, keyakinan, amalan, masing-masing di atas dunia.
Mereka yang beriman dimasukkan ke dalam syurga dan yang tidak beriman dimasukkan ke dalam neraka. Itu adalah ahaq, perkara yang benar-benar berlaku sebagaimana hari kiamat adalah benar-benar berlaku dan kita mesti meyakininya.

Allah menyebut kisah umat zaman dahulu yang melawan Allah dan rasul-Ny sebagai amaran kepada kaum yang kemudian daripadanya supaya jangan melawan Allah Ta’ala.

"Telah mendusta kaum Samud dan kaum ‘Ad dengan berlakunya hari kiamat”.

Kaum Samud ialah kaum nabi Soleh AS yang diberi kepandaian boleh memahat batu yang keras, bukit yang besar, dipahatnya dan dijadikan bangunan-bangunan yang indah yang kukuh dan kuat, tahan banjir, tahan rebut dan tahan gempa bumi. Itu mengikut anggapan mereka.

Kaum ‘Ad pula ialah kaum gergasi, tubuh badan mereka berkali ganda besar daripada manusia lain. Mereka mampu mendirikan bangunan tinggi, pencakar langit.
Bangunan pencakar langit ini bukan zaman sekarang sahaja. Zaman dulu sudah ada bangunan-bangunan tinggi. Kaum ‘Ad pernah mendirikan bangunan yang tinggi. 

Kaum Samud diletakkan antara Syam dan Hijaz. Syam ialah Palastin, Syiria, Lubnan dan sebahagian Jordan. Hijaz ialah negeri-negeri Arab Saudi hari ini. Negeri kaum Samud ialah antara Madain Salleh dengan Jordan. 

Mereka yang melancung boleh melihat kawasan itu masih lagi ada bangunan-bangunan daripada batu besar, bukit yang dipahat, menandakan kisah Quran adalah benar.
Kaum ‘Ad ialah antara Oman dengan Hadaral Maut, kawasan padang pasir, kawasan bukit berpasir. Di situ ada tamadun kaum ‘Ad yang mendirikan bangunan-banguan yang tinggi. Allah Ta’ala menyebut satu persatu.

“Maka adapun kaum Samud mereka dibinasakan dengan Tauriah. Ada ulamak mengatakan Tauriah ini ialah petir yang lebih daripada hadnya. Suara yang terlalu kuat yang tidak mampu ditahan oleh telinga. Gendang telinga pecah, jantung pun pecah kerana suara dan gempa terlalu kuat. Tuhan jadikan suara dan gempa itu melampaui benteng-benteng pertahanan yang mereka buat.

Ada ulamak mengatakan Tuariah dengan makna dosa-dosa yang melampaui batas. Mereka melakukan dosa yang melampaui batas. 

Ada ulamak mengatakan Tauriah ialah pemimpin, ketua yang mengepalai penyembelihan unta mukjizat nabi Soleh AH.  Rakyat yang menyokongnya semua dibinasakan. Pemipin yang memberi pandangan, yang mengarahkan semua dibinasakan olah Allah Ta’ala.

Mereka mencabar nabi Soleh supaya menunjukkan mukjizat jika rasul sungguh. Nabi Soleh pun berdoa kepada Allah Ta’ala batu yang besar mengeluarkan seekor unta betina yang banyak susunya. Mana logiknya batu beranak unta betina. Itulah kekuasaan Allah Ta’ala mukjizat yang diberi kepada nabi Soleh AH. 

Nabi Soleh ajak beriman kepada Allah, unta adalah mukjizat. Mereka tidak mahu ikut nabi Soleh walaupun sudah ditunjuk mukjizat. Manusia hendak dibuktikan dengan perkara luar biasa baru hendak percaya. Kadang-kadang tunjuk perkara luar biasa seperti unta itupun mereka tidak mahu ikut juga. 

Itu umat zaman dahulu dan umat zaman sekarang pun begitu juga. Semuanya hendak wang, hendak kesenangan, siapa yang dapat memberi kesenangan dia akan sokong tanpa mengira betul atau salah dari segi Islam. Mereka berasa menyokong Islam tidak akan senang, ikut Islm periuk nasi akan terbang, ikut Islam susah naik pangkat. Ini semua adalah ujian Allah Ta’ala. 

Bukan sahaja mereka tidak mahu ikut nabi Soleh, mereka melawan pula nabi Soleh. Unta mukjizat disembelih. Sebaik-baik unta itu disembelih Allah Ta’ala binasakan semua yang melawan nabi Soleh, ketuanya dan semua penyokong dibinasakan oleh Allah Ta’ala. Mereka yang selamat ialah yang beriman kepada Allah Ta’ala sahaja.

“Ada kaum ‘Ad”

Kaum ‘Ad ialah kaum nabi Hud, tubuh badannya berkali ganda lebih besar daripada kaum lain. Tuhan kata besar, kita tidak mengukurnya. Dalam kitab-kitab duduk berbahas pula saiz kaum ‘Ad ini. Itu bukan urusan kita. 

Macam ada kalangan kita pergi Mekah duduk bilang tiang masjid. Kita pergi Mekah bukan hendak membilang tiang masjid tetapi buat ibadat. 

Mengenai kaum ‘Ad patut dibicarakan ialah kaum besar dan mampu mengangkat batu dan mendirikan bangunan pencakar langit. Tetapi mereka kufur, mereka mengerjakan maksiat, mereka melawan nabi Hud lalu Allah binasakan mereka dengan angin. 

Ada ulamak mengatakan angin yang sejuk yang membakar, sejuk tetapi membakar, sebagaimana membakarnya api yang menyala. Angin kencang yang lebih dari ukuran biasa ini menghancurkan mereka. 

“Allah Ta’ala memerintah angin itu meniup kaum ‘Ad tujuh malam dan lapan hari”

Ada ulamak mengatakan angin itu bermula pada hari Ahad dan berakhir pada hari Ahad.
Ada ulamak mengatakan hari Jumaat hingga hari Jumaat. 

Ada juga yang mengatakan hari Rabu dalam keadaan terus menerus, tidak berhenti, yang menghapuskan semuanya yang kafir itu.

“Maka engkau melihat kaum yang zalim, yang jahat itu mati bergelimpangan seolah-olah mereka batang tamar yang mati, yang kosong yakni tiada pulurnya”

Begitulah Allah Ta’ala membinasakan kaum yang dianggap besar dan kuat dengan angin sahaja. Mereka bergelimpangan mati laksana batang-batang tamar yang kosong iaitu di dalamnya reput.

“Maka adakah engkau melihat ada lagi saki-baki bagi mereka, mereka dibinasakan oleh Allah dengan sepenuh-penuhnya selama tujuh malam lapan hari”

“Dan datang pula Firaun dan siapa yang sebelum Firaun, dan kaum Lut yang telah maksiat”
Kampung-kampung kaum Lut, iaitu Sab’ah, Sa’arah, Amrah, Dumai dan Sadum. Sadum kampung terbesar sekali. Kaum Lut dibinasakan oleh Allah kerana membuat maksiat yang terkutuk iaitu melakukan hubungan sejenis (liwat).

Begitu juga kaum Firaun yang berjuta-juta bala tenteranya. Mereka telah membuat phyramid yang kita dapat lihat hingga hari ini di Mesir. Satu-satu batu-batanya sebesar lori. Bata kita Cuma sepanjang sejengkal, bata mereka sebesar lori yang dipahat berbentuk empat persegi. 

Bagaimana mengangkatnya?

Mesti ada alatnya. Ini menunjukkan sudah ada tamadun zaman itu. Bila mereka melawan Allah Ta’ala mereka dibinasakan Allah di dalam laut merah.

Kaum Lut dibinasakan oleh Allah Ta’ala dengan melingkup negeri mereka. Allah menyuruh malaikat Jibril mengangkat negeri mereka. Negeri mereka diangkat daripada lapis yang paling bawah, dilingkup dan dihempaskan. 

Masih ada lagi kesannya dikenali dengan Laut Mati di Jordan. Airnya terlalu masin menyebabkan ikan tidak dapat hidup. Tanah di atas adalah tanah di bawah, bumi yang lapis bawah dan kawasan yang paling rendah di atas muka bumi.

Bila nabi dan sahabatnya hendak pergi ke Tabut nabi lalu negeri kaum Samud dan didapati masih ada lagi telaga, masih ada lagi rumah-rumah. Sahabat nabi ramai dan ada yang pergi mengambil air telaga untuk menghuli gandum. 

Nabi melarang, jika lalu di negeri yang dilarang oleh Allah Ta’ala, lalu cepat-cepat, lalu dengan khusuk, dengan insaf, dengan takut kepada Allah Ta’ala dan jangan minum telaganya dan gandum yang sudah dihuli itu diberi makan unta.

Kita pula pergi ke Laut Mati ambil tanah membuat ubat. Bila jumpa benda pelik ambil buat ubat selalu. Negeri yang nabi suruh kita takut kepada Allah Ta’ala, tidak boleh ambil berkat. Jika hendak ambil berkat ambil air zamzam, ambil berkat dengan bekas minum nabi dan rasul-rasul bukan benda-benda di negeri yang Allah Ta’ala laknat.

“Maka mereka semua itu”.

Merek ialah kaum ‘Ad, Samud, kaum Lut dan kaum Firaun dan lain-lain ialah mereka yang derhaka kepada rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah Ta’ala kepada mereka.
“Lalu Allah mengambil mereka dengan cara di luar kemampuan mereka berfikir dan diluar kemampuan mempertahankan diri mereka”.

Angin yang membinasa kaum ‘Ad, adalah luar biasa, petir yang membinasa kaum Samud adalah laur biasa, negeri kaum Lut yang dilingkup adala luar biasa dan Firaun bersama jutaan tenteranya dibinasakan di Laut Merah adalah luar biasa. 

Semua peristiwa yang disebut dalam Quran menjadi pengajaran kepada umat Muhamad SAW supaya umatnya mengikut ajaran nabi, ikut Quran dan jangan tunjuk sombong sangat kerana aku kaya, polis aku ramai dan tentera aku ramai, tidak mengapa tidak mengikut Islam pun. 

Tuhan jadikan tempoh lama itu untuk mereka yang melawan Islam ialah untuk bertaubat. Jika tidak bertaubat juga maka tuhan akan jatuhkan hukuman yang tidak boleh dihalang. Hari kiamat dibicarakan dan akan dikeluarkan senarai kejahatan yang panjang dan layak masuk neraka. 

Oleh itu sebelum mati kita mesti bertaubat kalau kita membuat salah, kita membuat dosa.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment