Sunday, November 6, 2016

BENCANA YANG MENIMPA KAUM ‘AD





Dalam ayat ini Allah menceritakan bencana yang menimpa kaum ‘Ad, kaum nabi Hud. Mereka tinggal di Ahkob iaitulah di kawasan bukit-bukit pasir yang terletak di Hazaralmaut dan Oman, sebahagian Hazaralmaut dan sebahagian Oman dan sebahagian lagi Arab Saudi. 

Mereka mempunyai tubuh badan yang gagah perkasa, mereka boleh mendirikan bangunan-bangunan yang kukuh dan tinggi.

Tamadun mendirikan bangunan tinggi ini bukan sekarang sahaja, zaman dahulu sudah ada. Jangan kita anggap sekarang ini hebat tamadunnya. 

Pengkaji-pengkaji sejarah melihat bagaimana tamadun Firaun yang membawa batu-batu yang besar dan berat. Hari ini kita menggunakan jentera-jentera berat. Dulu mereka sudah ada alat mengangkut batu-batu yang berat ini untuk mendirikan bangunan-bangunan yang hebat.

Antaranya kaum ‘Ad yang mendirikan bangunan yang hebat, tiang-tiangnya adalah balak daripada batu, bukan balak kayu. Batu yang berat dan keras dikerat, dipahat dan dijadikan balak untuk dijadikan tiang-tiang bangunan. 

Hari ini digunakan simen dibancuh dengan air dan pasir untuk dijadikan tiang-tiang bangunan. Bagi kaum ‘Ad, batu yang keras dipahat untuk dijadikan balak untung tiang bangunan-bangunan yang mereka dirikan. Menunjukkan bagaimana kemajuan dan tamadun yang dicapai oleh mereka.


Allah mengutuskan kepada kaum ‘Ad saudara mereka daripada bangsa mereka dan disebut Akha ‘Adin 

“Dan sebutlah kepada mereka kepada penduduk Mekah dan kepada seluruh manusia tentang sejarah Akha ‘Adin saudara kepada ‘Ad yang diutus oleh Allah menjadi rasul iaitulah nabi Hud AS”

Nabi Hud dilantik oleh Allah daripada kaumnya sendiri dan kaum ‘Ad mengetahui Hud seorang yang baik, yang benar, yang amanah, yang cerdik, yang pitah bercakap dan bersyarah menyampaikan ucapan-ucapan yang bernas dan memberi nasihat yang baik.

“Ketika memberi amaran kepada kaumnya di negeri Ahkob, negeri bukit-bukau pasir dan sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah rasul-rasul yang telah lalu yang mendahului nabi Hud iaitulah nabi Nuh dan rasul-rasul yang lain yang diutuskan oleh Allah menyampaikan ajaran Allah dan rasul-rasul selepas nabi Hud diutuskan oleh Allah”

Allah Ta’ala mengutuskan rasul-rasul yang ramai bukan sahaja Hud termasuklah rasul yang sebelumnya dan rasul yang kemudian daripadanya menyampaikan ucapan yang sama iaitu 

“Bahawa kamu jangan menyembah melainkan Allah sahaja”.

Inilah ucapan rasul-rasul semenjak nabi Adam AS hinggalah nabi Muhamad SAW.

“Jangan sembah melainkan Allah”

Sembah dalam ibadat dan sembah hukum syariat, undang-undang dan peraturan. Semua sekali, bukan sahaja ibadat


Kaum ‘Ad ini menyembah tuhan yang lain daripada Allah dan melakukan kerja mungkar dan jahat yang lain dalam peraturan dan cara hidup mereka. Kamu hendaklah tunduk kepada Allah dalam melakukan ibadat, dalam menunaikan kehidupan kamu ikut hukum-hukum Allah SWT kerana hukum Allah itu sangat baik.

“Sesungguhnya aku takut, bimbang nanti menimpa kamu azab yang sangat besar”
Akan tiba azab yang sangat besar peristiwanya yang menimpa kamu, akan tiba harinya. Semua yang dilarang adalah buruk, adalah jahat.

Contoh: Islam mengharamkan riba. Orang yang makan riba mengatakan riba ini darurat, riba ini keperluan ekonomi, kalau tidak ada riba macam mana hendak buka bank, macam mana hendak berniaga, Islam kata tidak boleh, haram, mereka kata tidak! Ini adalah kebaikan untuk kemajuan ekonomi. 

Hari ini dunia dilanda dengan krisis kewangan kerana bank jadi bankrap, jadi muflis, kerana bank memberi pinjaman riba. Mengikut kepercayaan dia pinjaman riba ini menguntungkan bank. Peringkat awal menguntungkan kerana kerajaan pinjam, pemimpin-pemimpin pinjam dan pinjam dengan riba. 

Riba menjadikan hutang meningkat lebih daripada asal. Bila meningkat hutang asal, hutang pokok tidak mampu dibayar dan riba pun tidak boleh dibayar. Keadaan akan menjadi begitu. Seorang meminjam, seratus orang meminjam, seribu orang meminjam dan akhirnya ramai meminjam kerana nafsu untuk mendapat riba. Bila ramai orang yang dapat membayar hutang bank pun muflis. Keadaan ini telah menimpa dunia.

Islam menyuruh bermuamalat secara baik, secara mudharabah, ataupun mukharabah ataupun al-Qardulhasan. 

Satu dari caranya ialah memberi pinjaman tanpa sebarang faedah. Tolong sahaja faedahnya ialah dapat pahala.

Kedua ialah secara Mudharabah, memberi pinjaman untuk berniaga dan keuntungannya dibahagi mengikut peratus dipersetujui. Ini bermakna ada kerjasama, ada perkongsian yang dibenarkan oleh Islam.


Krisis ekonomi yang berlaku sekarang ialah disebabkan oleh riba. Balanya ialah riba yang diharamkan oleh Islam. Zaman dahulu bala zaman dahulu, zaman sekarang bala zaman sekarang.

Nabi Hud memberi amaran kepada kaum ‘Ad, “Aku takut kamu ditimpa oleh azab yang besar”.

“Mereka berkata, adakah engkau membawa kepada kami untuk menghalang kami, untuk memesongkan kami, untuk menyesatkan kami”

Mereka berkata nabi Hud membawa ajaran sesat, nabi Hud memesongkan mereka, menghalang mereka daripada menyembah tuhan mereka, menyekat mereka daripada beribadat kepada berhala kepada beribadat kepada Allah. Kamu membawa benda bohong untuk menyesatkan kami. Apa yang kami amalkan adalah ajaran yang benar.

“Sila kamu bawa amalan yang engkau berikan kepada kami kalau engkau seorang yang benar wahai Hud”

Jika kamu kata tidak mengikut ajaran kamu akan mendapat azab yang besar, mana azab itu, sila bawa azab itu. Mana dia bala, kalau lawan Islam turun bala selalu. 

Allah Ta’ala maha pemurah lagi maha penyayang, maha kasihan kepada hambanya, Allah Ta’ala menangguhkan azab supaya hamba itu bertaubat kepada Allah Ta’ala.

Kaum zaman dahulu diberi tempoh beberapa tahun, kaum akhir zaman diberi tempoh sikit-sikit sehingga berlakunya kiamat. Bila berlaku kiamat hancur habis dunia ini. Ini sangat dahsyat berlaku di akhir zaman.


Sekarang sudah ada tanda-tanda banyaknya gempa bumi, banyaknya banjir yang disebabkan oleh akalan-akalan manusia.

Allah Ta’ala tidak menurunkan bala selalu ialah untuk memberi peluang kepada manusia bertaubat. 

Mereka cabar nabi Hud AS, “Kalau kamu benar, kamu betul wahai Hud mana dia azab yang kamu janjikan”

Kata nabi Hud, “Sesungguhnya ilmu tentang azab itu bila datang di sisi Allah, itu bukan urusan aku”. Azab urusan Allah bukan urusan aku.

“Tugas aku ialah menyampaikan apa yang Allah tugaskan aku menjadi rasul”

Rasul-rasul memang bijak berhujah. Nabi Hud berkata azab itu urusan Allah bukan urusan aku. Urusan aku menjadi rasul menyampaikan ajaran Allah supaya kamu beriman kepada Allah, percaya kepada Allah, beribadat kepadanya, beramal dengan ajaran hukum-hukum dan syariat Allah. 

“Aku fikir kamu adalah kaum jahil”

Aku rasa kamu tidak faham, tidak mengerti. Aku memberitahu perkara benar tetapi kamu tidak mengerti. Ikutlah ajaran yang benar kalau tidak patuh azab akan berlaku.

“Maka tatkala mereka itu melihat awan tebal yang menghala ke arah lembah tempat tinggal mereka mereka kata inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kita tiba-tiba sampai hari untuk mendatangkan azab ke atas mereka”

Mereka melihat awan yang tebal, mereka berkata inilah awan yang akan menurunkan hujan yang akan menyuburkan tanah kita, macam biasalah awan hendak menurunkan hujan.
“Kata nabi Hud bahkan ia adalah apa yang kamu minta segera didatangkan iaitu angin yang ada di dalamnya azab yang sangat pedih”. 

Awan itu adalah awan azab yang akan menimpa kamu, kamu minta sangat azab, hah itu dia!

“Azab itu membinasakan tiap-tiap sesuatu dengan perintah tuhan. Maka jadilah mereka tidak kelihatan lagi melainkan tempat tinggal mereka sahaja. Begitulah Kami membalas kaum yang melakukan kezaliman”.


Mengikut para ulamak bila angin itu turun menimpa mereka, mereka melihat bagaimana unta-unta yang besar yang ada barang di atasnya diterbangkan oleh angin, unta yang besar diangkat oleh angin dan mereka melihat orang-orang yang hebat itu diterbangkan oleh angin, angin mengangkat orang dan mengangkat unta yang berat itu dan menghempas orang-orang itu ke atas batu bukit dan batu bangunan. Mereka dibinasa dengan cara yang menakutkan.

Mereka yang berada di atas rumah, masuk ke dalam rumah-rumah masing-masing dan mengunci pintu-pintunya. Namun begitu angin yang kencang mencabut pintu-pintu rumah mereka yang kukuh itu dan mengeluarkan mereka dari rumah-rumah dan debu-debu mengambus mereka. Mereka mati di bawah pasir yang mengambus mereka. 

Itu adalah azab yang dahsyat yang menimpa mereka. Angin mengeluarkan suara yang menakut dan menggerunkan.

“Angin membinasakan tiap-tiap sesuatu dengan perintah tuhannya”.

Iman Bukhari meriwayatkan satu hadis daripada ummul mukminin RA, “Pada suatu hari kelihatan nabi SAW suka sehingga kelihatan di dalam mulutnya, tiba-tiba kelihatan awan, lalu Aisyah berkata wahai rasulullah mengapa bila melihat awan, bila melihat angin berubah wajah”
Jawab Rasulullah SAW, “Aku ingat kepada peristiwa yang berlaku kepada kaum ‘Ad”.

Hud, bila mereka melihat awan mereka mengatakan awan yang  menurunkan hujan, tiba-tiba azab yang dahsyat yang menimpa mereka. Aku teringat peristiwa itu”, hadis riwayt Bukhari dan Muslim.
Mengikut para ulamak Allah Ta’ala menyelamatkan Hud dan orang-orang beriman bersama dengannya berselindung di tempat tertentu dan angin tidak menimpa mereka melainkan dengan cara yang lembut, yang selesa dan menyaman mereka 

”Dan jadilah mereka tidak kelihatan lagi melainkan tempat-tempat tinggal mereka”
Apa yang tertinggal ialah saki baki tempat tinggal mereka yang boleh dilihat.

“Seperti itulah kami memberi balasan terhadap kaum yang melakukan kejahatan”

Itulah cara Allah Ta’ala menghukum kaum yang melakukan kejahatan di kalangan umat yang terdahulu. Tujuannya ialah untuk menjadi pengajaran kepada umat yang ada pada hari ini 

Tetapi malangnya pengkaji-pengkaji sejarah yang kafir pada hari ini dan orang Islam pun terikut-ikut, mengkaji dan berfikir bagaimana hendak membuat bangunan seperti itu pula. Macam mana seni bina, macam mana mereka membuat bangunan, bagaiman arkitek mereka, macam mana jurutera mereka, itu sahaja kajian mereka. Mereka tidak pernah memikir bagaimana azab dan mengapa azab menimpa kaum itu.


Ulamak menghukumkan makruh melawat tempat-tempat yang dilaknat oleh Allah seperti Laut Mati, Phyramid, kaum ‘Ad dan kaum Samud.  Jika melawat untuk mengambil iktibar dan pengajaran adalah diizinkan. 

Ketika berlakunya peperangan Tabut nabi dan tenteranya bila tiba di kawasan kaum Samud nabi menyuruh berjalan dengan segera, dan berjalan dengan rasa takut dan takwa kepada Allah Ta’ala. 

Tiba-tiba nabi dapati ada sahabat yang mengambil air daripada telaga negeri Samud. Air itu digunakan untuk menghuli gandum yang disediakan untuk membuat roti. Nabi memerintah air dan gandum itu jangan diminum tetapi diberi makan kepada unta. 

Orang kita bila pergi ke Laut Mati ambil garam dan tanah untuk membuat ubat. Ini kerana tidak faham, bagaimana hendak membuat ubat daripada tempat yang dilaknat Allah Ta’ala. Jika hendak membuat ubat ambillah air zamzam, buah tamar dan ayat Quran. Itu semua ada keberkatannya.
.
KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment