Sunday, November 6, 2016

KAUM SAMUD (KAUM NABI SOLEH)




Firman Allah Ta’ala maksudnya:

“Demikian juga kaum Samud telah mendustakan peringatan dan amaran yang disampaikan oleh rasul mereka nabi Soleh, lalu mereka berkata patutkah kita menurut manusia daripada jenis kita lagi yang berseorangan, jika demikian sesungguhnya kita berada dalam keadaan sesat dan gila. 

Tidaklah patut wahi peringatan itu diturunkan kepadanya pada hal orang-orang yang lebih layak ada di antara kita, bahkan dialah seorang pendusta lagi sombong angkuh. Mereka akan mengetahui kelak siapakah orang pendusta lagi sombong angkuh itu. 

Sesungguhnya Kami menghantar unta betina yang merupakan mukjizat sebagai satu ujian bagi mereka lalu Kami perintahkan rasul Kami tunggulah apakah yang mereka akan lakukan serta bersabarlah akan tentangan mereka, dan khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air telaga mereka terbahagi di kalangan mereka dengan unta itu.

Tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya pada hari gilirannya, mereka selepas itu berasa bosan dengan keadaan unta yang tersebut dan bercadang hendak membunuhnya. Maka mereka memanggil kawan mereka yang sanggup membunuh lalu ia pun bertindak sampai dapat membunuh unta itu. 

Maka perhatikanlah bagaimana buruknya azab-Ku dan kesan amaran-amaran-Ku. Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu tempikan yang dahsyat lalu menjadi mereka hancur lebur seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah-pecah hancur yang digunakan oleh pembuat bangsal binatang ternakan”.

Ayat-ayat yang kita baca ini menceritakan kisah kaum Samud iaitulah kaum selepas kaum ‘Ad, kaum nabi Hud yang telah dibinasakan oleh Allah dengan angin yang kuat

Setelah binasa kaum ‘Ad lahirlah orang-orang beriman, yang kafir telah dibinasakan.
Bila nabi Hud sudah mati kaumnya hanyut semula, jadi sesat. Mengikut para ulamak, Samud adalah keturunan kaum ‘Ad. Mereka diberi kemajuan oleh Allah Ta’ala. 

Mereka boleh bercucuk tanam dengan air yang cukup dan boleh membangun kawasan mereka yang luas daripada Hijaz sehingga Syam. Sebuah negeri yang lebih besar daripada Malaysia lagi. Negara kaum Samud itu mengandungi sebahagian daripada Arab Saudi, sebahagian daripada Jordan dan sebahagian lagi daripada Syria. 

Mereka ialah kaum sebelum nabi Ibrahim AS. Apabila mereka mengerjakan maksiat Allah Ta’ala mengutuskan rasul di kalangan mereka iaitu nabi Soleh AS. Mereka kenal nabi Soleh ini, seorang yang baik, yang berakhlak mulia dan bijak di kalangan mereka. 

Allah Ta’ala wahikan nabi Soleh AS supaya berdakwah mengajak kaum Samud yang diberi kekayaan dan kemewahan itu supaya balik kepada Allah Ta’ala kerana mereka melarat kepada menyembah berhala, meminum arak dan mengerjakan berbagai-bagai maksiat.
Mereka diajak beriman kepada Allah Ta’ala dan berakhlak dengan akhlak yang baik tetapi mereka membohongi dengan amaran-amaran dan ayat-ayat Allah yang dibawa oleh nabi Soleh AS.

“Lalu mereka berkata adakah kita hendak ikut seorang manusia di kalangan kita yang dilantik menjadi rasul”

Sebab apa dia dilantik menjadi rasul padahal ada orang lain lagi yang kaya dan mempunyai duit banyak. Kita pun fikir duit, fikir subsidi, macam kaum Samudlah.

Ada di kalangan kita orang yang hebat, yang kaya, mengapa tidak dilantik menjadi rasul. Mengapa dilantik nabi Soleh. Nabi Soleh boleh beri apa. Bersyarah bolehlah, bersyarah sana bersyarah sini. Bersyarah tidak memberi apa-apa, tidak boleh memberi duit. 

Jika dilantik yang kaya di kalangan kita menjadi rasul, lepas bersyarah boleh memberi duit. Lepas ceramah beri benda, beri kesenangan. Inilah perangai zaman dahulu.

“Kita hendak ikut seorang manusia di kalangan kita, padahal ramai di kalangan kita ini orang yang lebih layak, kalau kita ikut dia sesungguhnya kita berada dalam kesesatan dan gila”.

Kalau ikut dia (Soleh) sesat, gila dan tidak boleh apa-apa. Ikut sahaja bukan boleh apa-apa, gila. Ini perangai, perangai jahiliah termasuklah perangai kaum Samud yang dilaknat oleh Allah. 

“Adakah diberi peringatan, ajaran daripada tuhan kepada dia. Kenapa pengkhususan kerasulan diberi kepada Soleh ini di kalangan kaum Samud sedang ada lagi orang lain yang harta banyak, yang duit banyak, yang lebih baik keadaannya daripada dia”

Mengapa dilantik Soleh sebagai rasul, dia tidak boleh memberi apa-apa.
“Bahkan dia seorang pembohong dan seorang hendak menjadi orang besar”
Dia ini pembohong, dia hendak jadi orang besar. 

Orang kita pun ada juga yang cakap macam kaum Samud ini. Hendak jadi orang besar belaka, hendak senang lenang belaka, bukan apa hendak mewah belaka. Kita ikut dia tidak mendapat apa-apa pun, kita macam inilah juga. Ini sikap kaum Samud terhadap nabi Soleh.

Dia tidak fikir sama ada orang bawa ajaran Allah atau lain daripada ajaran Allah. Kita mesti fikir sama ada orang itu membawa ajaran Allah atau ajaran lain. Kaum Samud tidak pernah fikir begitu. 

“Pembohong, hendak menjadi orang besar, orang hebat, hendak jadi ketua. Itu tujuan nabi Soleh”.

Mereka sanggup tuduh nabi Soleh dengan tuduhan begitu maka kita yang tidak nabi Soleh ini apa sangat. Ada orang sanggup mengata ke nabi begitu. Nabi hendak memerintah negara juga, hendak menjadi pemimpin, tetapi pemimpin yang membawa syariat Allah.

“Yang mengambil petunjuk dengan perintah kami, bila mereka sabar”. 

Ini pemimpin yang perlu dipilih, pemimpin yang sabar dan memakai petunjuk Allah Ta’ala. Tetapi kaum Samud tidak begitu. Tuduhan mereka hendak menjadi pemimpin, hendak jadi orang besar, mereka tidak mengira syariat Allah atau pun tidak.

“Mereka akan tahu esok hari bila mereka mati mereka akan tahu siapa yang sebenarnya pembohong besar”.

Siapa yang hendak jadi orang besar yang sebenarnya. Tunggulah, jika kamu tidak mahu ikut hari ini, tunggu dan kamu akan tahu siapa yang sebenar sombong, nabi Soleh atau pemimpin-pemimpin yang kamu puja itu.

”Sesungguhnya kami utuskan kepada mereka seekor unta betina mukjizat untuk menjadi ujian kepada mereka”

Lalu mereka mencabar nabi Soleh AS supaya menunjukkan mukjizat. Nabi Soleh kata mukjizat apa. Lalu mereka tunjuk batu besar yang berada pada tanah tinggi. Sila kamu keluarkan seekor unta betina daripada batu besar itu.

Lalu nabi Soleh AS bersembahyang dua rakaat dan berdoa. Doa seorang rasul dimakbul oleh Allah. 

Tiba-tiba batu yang besar itu mengerang seperti suara unta betina yang hendak melahirkan anak. Lalu keluar seekor unta betina yang besar, mukjizat nabi Soleh AS. Unta ini pula melahirkan anak. Susunya terlalu banyak dan boleh diminum oleh kaum Samud seluruhnya. Inilah mukjizat nabi Soleh.

Namun begitu di kalangan pembesar cuma seorang sahaja yang beriman. Sebahagian besar mereka yang beriman ialah fakir dan miskin, mereka yang lemah sahaja yang beriman. Mereka yang miskin dan lemah yang tidak beriman pula terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin yang kaya, kerana pemimpin boleh memberi duit, boleh memberi kesenangan.

Nabi Soleh hanya dapat memberi susu unta sahaja. 

Tuhan kata, “Unta ini menjadi ujian kepada mereka”.

“Tunggu mereka, dan sabar”.

Ini untuk memberi peluang kepada mereka supaya beriman. 

Setelah Allah Ta’ala tunjukkan mukjizat ada yang beriman dan ada yang mengatakan ini main silat mata sahaja. Main silat mata sahaja. Orang main silat mata boleh buat keluar unta daripada batu yang besar ke! Ini bukan silat mata, ini bukan sehir, ini mukjizat nabi yang luar biasa. 

Tuhan kata, “Sabar wahai Soleh di atas kejahatan mereka, dan beritahu kepada mereka sesungguhnya air ini hendaklah dibahagikan di antara unta dan mereka, masing-masing ada giliran yang ditetapkan”

Gilirannya ialah satu hari untuk unta dan satu hari untuk mereka. Giliran unta minum mereka tidak boleh mengambil air itu. Mereka mengambil susu unta sahaja. Susu unta dibahagi untuk semua orang tetapi air tidak boleh ambil. 

Esok pula unta pergi makan rumput, mereka boleh mengambil air daripada telaga itu. Ini adalah ujian Allah Ta’ala kepada mereka. 

“Lalu mereka memanggil pembesar-pembesar mereka, memanggil salah seorang yang ditugaskan untuk menyembelih unta nabi Soleh AS, unta Allah”

Unta Allah maknanya unta Allah jadikan sebagai mukjizat kepada nabi Soleh.
Mengikut riwayat mereka hendak membunuh unta dan hendak membunuh nabi Soleh. Mereka pergi ke rumah nabi Soleh, tetapi kebetulan nabi Soleh tidak ada di rumah, nabi Soleh berada di masjid.

Ketika hendak ke Tabut nabi lalu di kampung kaum Samud dan nabi berkata, “Bila lalu di kampung ini kena menangis, takut kepada Allah Ta’ala”. Ada seorang sahabat mengambil air daripada telaga untuk menghuli gandum, lalu nabi menyuruh gandum yang dihuli itu diberi makan unta, tidak boleh makan kerana negeri ini dilaknat oleh Allah Ta’ala.

Nabi juga berkata kepada sahabat dia, “Kamu jangan minta mukjizat sebagaimana kaum nabi Soleh minta mukjizat”. Minta unta kemudian sembelih unta itu. Cukup dengan mukjizat Quran.

Quran adalah mukjizat ilmu. Bacalah Quran, dalam Quran ada semua ilmu. Jangan minta perkara luar biasa. Kadang-kadang tuhan tunjuk juga perkara luar biasa. Bila ditunjuk benda luar biasa mereka tidak ikut juga, mereka kata seher pula. 

“Lalu mereka memanggil seorang yang ditugaskan di kalangan mereka untuk menjalankan tugas menyembelih unta, lalu mereka menyembelih unta itu”.

Mengikut satu riwayat nama orang yang menyembelih unta ialah Qudar bin Salim.

“Lalu Kami utuskan kepada mereka satu tempik sahaja, tempik malaikat Jibril”
Setelah diberi tempoh tiga hari, nabi Soleh memberitahu tunggu tiga hari akan turun azab menimpa kamu. 

Mengikut satu riwayat hari pertama pucat, hari kedua menjadi merah muka mereka dan hari ketiga menjadi hitam. Lalu mereka sedar akan menimpa azab. Masa itu tidak diterima taubat. Lalu malaikat Jibril ditugaskan oleh Allah Ta’ala menurunkan bala dengan satu tempik sahaja.

“Satu tempikan malaikat Jibril lalu mereka menjadi laksana daun-daun kayu dan kulit-kulit kayu yang diletak pada ranting-ranting yang dibuat bangsal untuk binatang ternakan”
Bila ranting itu buruk dan dan kulit batangnya menjadi debu dan luruh. Putus jantung mereka, dengan suara yang kuat jantung putus. Mereka semuanya dimatikan dalam sekelip mata. 

Mengapa pula semua mati sedangkan seorang sahaja yang menyembelih unta.
Mereka yang lain adalah penyokong. Ketua memberi arahan supaya menyembelih unta itu. Rakyat atau orang ramai menyokong ketua itu. Ketua dan penyokong semuanya mati. 

Oh saya tidak membuat apa-apa, saya duduk di rumah sahaja. Duduk di rumah pun tetapi kamu setuju juga. Oleh sebab itu semuanya menerima azab Allah. Ketua dan penyokong semuanya dimatikan dengan satu tempikan malaikat Jibril.

Mereka dibinasakan oleh Allah Ta’ala laksana daun-daun kering dan kulit-kulit pada batang kayu yang dijadikan tiang bangsal binatang. Begitulah nasib kaum Samud yang menentang nabi Soleh AS

“Dan sesungguhnya kami mudahkan al-Quran itu untuk pengajaran”

Kami jadikan Quran untuk pengajaran. Bacalah Quran. Mudah sahaja baca Quran. Sekarang ini lagi mudah. Bukan sahaja ada pada buku, tetapi ada dalam youtube, dalam internet dan dalam telefon tangan. Sekarang ada terjemahannya pula. Tidak tahu bahasa Arab, tengak terjemahan.

Kami mudahkan Quran itu untuk menyebut, untuk membaca dan untuk menjadi pengajaran.
“Dan sesungguhnya Kami mudahkan Quran untuk menjadi peringatan yang dibaca, yang didengar dan yang diambil pengajaran”

Tuhan bertanya, “Adakah orang mengambil pengajaran daripada Quran itu?” Pertanyaan tuhan itu dalam banyak tempat dalam Quran khususnya selepas menceritakan kisah kaum yang dimurkakan.

Kalau ada orang yang mengambil pengajaran selamat, jika ada orang tidak mengambil pengajaran langsung maka tidak selamat.

Pihak yang mengkaji sejarah pergi dengan menggunakan alat-alat yang canggih untuk mengetahui tahun berapa berlaku sesuatu peristiwa itu. Kemudian mengkaji bagaimana hendak membena bangunan seperti itu. Bukannya hendak mengambil pengajaran daripada kisah itu. 

Pergi ke Mesir kaji sejarah, pergi dekat kaum ‘Ad, kaum Samud kaji sejarah. Sekadar hendak mengkaji sejarah sahaja tetapi tidak mengambil pengajaran daripada sejarah.
Quran tidak menyebut tahun berapa berlaku peristiwa itu, tidak menyebut tarikh, tetapi kesan-kesannya masih ada. Tarikh tidak disebut dalam Quran kerana pengajaran dan peringatan itu sepanjang zaman kepada manusia.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment