Sunday, November 6, 2016

KAUM NUH AS DAN TAUFAN




TAUFAN KAUM NUH  

Firman Allah Ta’ala bermaksud:

 “Sebelum mereka kaum nabi Nuh AS juga telah mendustakan rasulnya iaitu mereka mendustakan hamba Kami nabi Nuh serta mereka menuduhnya dengan berkata dia seorang gila dan dia telah diancam dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama.
Lalu ia berdoa merayu kepada tuhannya dengan berkata sesungguhnya aku ini dikalahkan oleh kaumku yang engkar oleh itu menangkanlah aku terhadap mereka. 

Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air di sana sini. Lalu bertemulah air langit dan bumi itu untuk melakukan satu perkara yang telah ditetapkan dan Kami bawa naik nabi Nuh berserta pengikut-pengikutnya di atas bahtera yang dibina dari keping-keping papan dan paku yang berlayar laju dengan peliharaan dan pengawasan Kami. 

Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur engkar dan Kami sesungguhnya Kami telah jadikan bahtera itu sebagai satu tanda yang menjadi pengajaran maka adakah orang yang mahu beringat dan insaf. 

Oleh itu perhatikanlah bagaimana buruknya azab-Ku dan kesan amaran-amaran-Ku dan demi sesungguhnya Kami telah mudahkan al-Quran untuk peringatan dan pengajaran maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pengajaran daripadanya”.

Seterusnya Allah Ta’ala mewahikan kepada nabi SAW kisah nabi Nuh AS supaya dibaca kepada umatnya dan dibaca di hadapan orang kafir yang menentangnya di zamannya. Oleh kerana Quran petunjuk sehingga hari kiamat dan dibaca juga kepada orang yang menentang Islam di zaman ini.

“Telah mendusta sebelum mereka oleh kaum Nuh”

Kaum Nuh ialah kaum pertama yang menyembah berhala selepas nabi Adam AS diwafatkan selama seribu tahun. Sebelumnya tiada kaum yang menyembah berhala walaupun mereka mengerjakan maksiat.

Selepas seribu tahun nabi Adam wafat kaum nabi Nuh mendirikan patung dan berhala, ditipu oleh syaitan lalu menyembah patung dan berhala dan mereka mengadakan peraturan-peraturan mereka sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah Ta’ala. Lalu Allah mengutuskan nabi Nuh AS. 

Nabi Nuh mengajak kaumnya beriman kepada Allah Ta’ala.

“Lalu mereka mendustakan hamba-hamba kami, mereka membohongi sehingga beberapa generasi dan beberapa kurun”

Usia nabi Nuh seribu tahun dan perjuangannya sembilan ratus lima puluh tahun. Mati satu generasi naik generasi lain. Tiap-tiap generasi ini membohongi nabi Nuh AS. Mati ayah sambung anak, mati anak sambung cucu, mati cucu sambung cicik dan seterusnya. Allah Ta’ala panjangkan usia nabi Nuh AS.

Nabi Nuh diuji dengan ujian yang dahsyat dalam masa sembilan ratus lima puluh tahun.
“Dan mereka berkata dia seorang yang gila, nabi Nuh gila dan mereka memaki hamun nabi Nuh AS dan mengancam untuk membunuhnya”

Antara mereka yang datang mendengar ceramah nabi Nuh, duduk di hadapan, menyelimutkan kepalanya dengan pakainnya sambil memasukkan jari-jarinya ke lubang telinganya. Mereka mempersenda-sendakan nabi Nuh AS. 

Mereka kata nabi Nuh ‘majnun’ (gila) kerana mengajak mereka meninggalkan maksiat, meninggalkan berhala, mengajak mereka bertuhan kepada Allah Ta’ala sahaja.
“Dan mereka menentang dengan zalim, dengan maki hamun dan ancaman untuk membunuh nabi Nuh AS”

Lalu nabi Nuh AS berdoa kepada tuhannya. Mengikut para ulamak kebiasaannya rasul-rasul berdoa bila Allah mengizinkannya untuk berdoa.

Doa nabi Nuh kepada Allah, “Sesungguhnya aku telah dikalahkan oleh mereka yang menentang aku, berilah kemenangan kepada aku, beri pertolongan kepada aku untuk menghadapi mereka yang zalim dan mereka yang jahat ini. Lalu Kami bukakan pintu-pintu langit dengan air yang banyak”

Bila dibuka pintu langit maka turunlah hujan-hujan yang banyak. Setengah ulamak mengatakan hujan tanpa awan.

“Dan Kami pancarkan daripada bumi akan mata-mata airnya”

Air daripada atas langit turun dan daripada bumi keluar. Dengan air yang terlalu banyak 

“Maka bertemulah air yang keluar dari langit dan dari bumi”.

Bukan sahaja air hujan bertemu dengan air perut bumi, bahkan air darat dan air laut pun bertemu. Maka berlakulah satu taufan yang dahsyat. Ada pendapat mengatakan taufan berlaku selama enam bulan dan semua dunia termasuk bukit-bukau dan gunung-ganang ditenggelami air.

“Di atas perkara yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala”

Menjadi air yang satu bercantum semua sekali dan ada ahli-ahli kaji bumi mengatakan berlakunya pecahan-pecahan bumi yang menjadikan benua-benua dan menjadikan pulau-pulau. 

Peristiwa yang dahsyat dalam sejarah 

“Dan kami selamatkan Nuh AS termasuklah pengikut-pengikutnya yang beriman segelintir sahaja bersama dengan pasangan-pasangan binatang yang diperintah oleh Allah Ta’ala untuk membawanya di atas bahtera yang dibangun daripada papan-papan dan paku-pakunya dijadikan bahtera yang besar dengan petunjuk dan perintah daripada Allah Ta’ala”

Nuh AS menjadi manusia pertama yang membena kapal dalam sejarah manusia. Mengikut pedapat kapal berbentuk tertutup dan mempunyai tiga tingkat. Saiz kapal ialah seribu (1,000) meter panjang, tiga ratus meter lebar dan seratus meter tinggi.
Kapal itu dimuatnya orang-orang beriman, satu riwayat mengatakan dua puluh orang lebih dan satu riwayat lagi mengatakan lapan puluh orang. Dimuat sama binatang-binatang berpasang-pasangan.

“Bahtera itu berjalan dengan pengawasan daripada Kami”

Allah Ta’ala mengawas dan mengawal perjalanan bahtera itu dan mengikut arahan daripada Allah Ta’ala. Ada ulamak menafsirkan dengan perhatian tentera Allah yang terdiri daripada malaikat-malaikat-Nya yang bersama-sama mengawal bahtera itu
.
“Menjadi balasan kepada sesiapa yang kufur, yang engkar, yang melawan Allah dan melawan rasul-Nya nabi Nuh AS”

Manusia tidak sedar siapa yang menjadikannya. Jika tuhan tidak menjadikannya tidak ada di atas dunia ini. Bila Allah Ta’ala mengutuskan rasul yang dipilih di kalangan mereka rasul yang cerdik, yang baik dan benar yang menyampaikan dengan ikhlas dan tidak meminta apa-apa upah daripada mereka.

Mereka tahu rasul ini baik dan tidak pernah berbohong, bila mengajak beriman kepada Allah tiba-tiba rasul ini dibohongi dan dizalimi oleh mereka yang kafir itu.
“Dan sesungguhnya Kami tinggalkan dia”

Kami tinggalkan peristiwa yang berlaku ini dan perkara yang ada di dalamnya, taufan yang besar, bahteranya dan lain-lain. Ada ulamak mengatakan kapalnya. Sebenarnya semua perkara yang berlaku dalam peristiwa itu bukan sahaja kapal tetapi termasuklah taufan yang besar itu yang menenggelamkan negeri, menenggelamkan bumi menjadi tanda kebesaran Allah Ta’ala.

 “Tidakkah kamu mengambil pengajaran daripada peristiwa yang menakutkan itu”.

Peristiwa yang berlaku itu sepatutnya dijadi pengajaran yang besar. Hari ini ahli sains seluruh dunia sedang sibuk membuat kajian, pergi ke khutub utara, pergi ke khutub selatan, ambil film dan siar dalam TV berulang kali, bagaimana bongkah daripada gunung air salji pecah dan menjadi cair. 

Mereka meramalkan kejadian menyebabkan air laut akan naik. Berlakunya gempa-gempa bumi di sana sini, tiap-tiap minggu berlaku gempa bumi yang dahsyat, gunung-gunung berapi meletus, berlakunya ribut taufan, itu adalah amaran daripada Allah Ta’ala.
Apabila manusia tomak haluba, mencari harta semata-mata, projek sana projek sini, rasuah sana rasuah sini, mengerjakan maksiat, mengerjakan yang haram dan mengerjakan perkara yang dilarang oleh Allah Ta’ala, Allah bertanya, “Adakah di sana orang mengambil pengajaran?

Ada ahli sains yang membuat kenyataan yang lebih laju lagi akan berlakunya bintang-bintang berlaga dengan bumi. Ada antara bintang itu lebih besar daripada bumi, bila berlaga akan menjadi hancur lebur dan berlakulah kiamat. 

Hari ini orang kafir juga jelas percaya kiamat akan berlaku. Orang kafir yang tidak percaya kiamat selama ini percaya dunia akan kiamat. Malangnya kita yang mengaku Islam ini leka dan lalai. Sepatutnya kita bersyukur dengan Islam, dengan ajaran Allah Ta’ala. 

Kita sepatutnya mengambil iktibar dengan perisitiwa yang berlaku, cuaca tidak menentu, panas, hujan, salji, taufan, gempa bumi dan sebagainya.

Pusingan bumi boleh berubah, disebut oleh nabi SAW bahawa matahari akan naik dari arah barat. Di masa itu pintu taubat ditutup oleh Allah Ta’ala. Jika ada orang bertaubat masa itu maka taubatnya tidak diterima oleh Allah Ta’ala. 

Dajjal akan turun dan akan turun nabi Isa AS. Zahirnya imam Mahadi dan berlakunya peperangan yang besar yang membinasakan orang-orang Yahudi, dihapuskan mereka. Ini adalah tanda-tanda hari kiamat yang diberitahu oleh Quran dan diberitahu oleh nabi SAW.

Ayat ini menyuruh kita mengambil contoh daripada taufan nabi Nuh. Kiamat lebih dahsyat, berjuta kali ganda daripada taufan nabi Nuh AS.

“Adakah di sana orang mengambil pengajaran lalu rasa takut dan kembali kepada Allah. Bagaimana keadaan azab-Ku dan amaran-Ku itu”

Bagaimana ukuran azab Allah Ta’ala. Bila turun azab Allah Ta’ala tiada siapa yang boleh menghalangnya. 

Bagaimana amaran Allah Ta’ala. Amaran itu mesti berlaku bukannya amaran main-main.

“Dan sesungguhnya kami mudahkan al-Quran itu untuk menjadi peringatan”

Allah Ta’ala permudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan, berbeza dengan kitab-kitab yang lain kerana penganut-penganutnya boleh baca apa yang ditulis dalam kitab sahaja, tetapi Quran bukan sahaja dibaca, ditulis dalam kitab bahkan dihafal oleh para-para ulamak.

Ayat-ayat Quran dihafal oleh para ulamak, berbeza dengan sami-sami, berbeza dengan paderi-paderi yang tidak ingat ayat dalam kitab mereka. Bagi orang Islam tuhan jadikan Quran dipelihara di dalam buku yang ditulis dan dipelihara di dalam dada-dada para ulamak. Ini kehebatan Quran yang dipelihara oleh Allah Ta’ala.

“Adakah kamu mengambil pengajaran daripada ajaran Allah ini?”

Sepatutnya kembali kepada Quran yang dipelihara oleh Allah Ta’ala. Tetapi ada kalangan kita baca sahaja, hafal sahaja tetapi ajarannya tidak diikut. Baca boleh pahala, hafal ada fadilatnya tetapi lebih daripada itu mesti beramal dengan Quran. 

Jadikan Quran sebagai petunjuk termasuklah kisah-kisah zaman dahulu, cerita nabi Nuh AS yang telah berlaku ribuan tahun yang dipapar dalam Quran adalah benar, sungguh berlaku. 

Bukan sekadar mendengar cerita tetapi mesti mengambil pengajaran bagaimana dahsyatnya hukuman Allah Ta’ala bila Allah Ta’ala menurunkan hukuman. 

Oleh kerana itu jadilah kita orang yang mengikut petunjuk Allah yang terkandung di dalam kitab-Nya al-Quranul Karim.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment