Saturday, November 5, 2016

ISRAK DAN MIKRAJ – TETAMU ALLAH



Firman Allah Ta’ala maksudnya:

“Hati nabi Muhamad SAW tidak mendustakan apa yang dilihatnya jika demikian patutkah kamu hendak membantahnya mengenai yang telah dilihatnya itu dan demi sesungguhnya nabi Muhamad SAW telah melihat malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal sekali lagi. 

Di sisi Sidratil Muntaha yang di sisinya terletak syurga Jannatul Makwa, nabi Muhamad SAW melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah semasa Sidratil Muntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam ghaib yang tidak terhingga.

Penglihatan nabi Muhamad SAW tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat akan pandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda yakni yang membuktikan luas pemerintahan dan kukuasaan tuhan”

Ayat-ayat ini menunjukkan peristiwa Israk dan Mikraj apabila Rasulullah SAW diangkat ke langit yang ketujuh menjadi tetamu Allah SWT. Nabi dibawa ke tempat yang paling mulia yang tidak boleh dicapai oleh malaikat-malaikat mukarrabin dan rasul-rasul yang terdahulu daripadanya, dibawa ke Sidratil Muntaha di mana nabi SAW melihat perkara-perkara yang menakjubkan.

“Dan tidaklah pemikiran nabi Muhamad SAW yang lahir daripada hati nurani dan akal fikirannya membohongi apa yang dia lihat”
.
Di sini terdapat kekhilafan di kalangan para ulamak. Ada yang mengatakan melihat zat Allah Ta’ala yang tidak sama dengan makhluk. Ada yang mengatakan melihat malaikat Jibril AS.
Kaum yang Asyaf iaitu mengikut riwayat Ibni Mas’ud dan lain-lain melihat malaikat Jibril AS dengan rupanya yang asal sebagaimana kali pertama melihat ketika menerima wahyu di gua Hiraq. Di sini melihat malaikat Jibril pada kali kedua, melihat dalam keadaan tidak ragu dan tidak syak lagi.

Namun demikian mengikut riwayat Ibni Abas RA dan beberapa orang sahabat antaranya Abu Zar dan lain-lain RA dengan makna Allah SWT yang tidak sama dengan makhluk.
Di sini terdapat kekhilafan pula di kalangan ulamak. Kaul yang pertama mengatakan melihat dengan penglihatan hati dan fikiran, bukan melihat dengan mata kasar. Riwayat kedua mengatakan melihat dengan matanya sendiri akan zat Allah Ta’ala yang tidak sama dengan makhluk. Mengikut satu riwayat yang lain, melihat tanda-tanda kebesaran Allah dengan melihat hijab sahaja. 

Hijab ialah nur yang mendinding antara hamba dan Allah daripada melihat zat-Nya. Sekiranya dibuang nur, nescaya semua yang dilihat oleh Allah menjadi abu. Ini kehebatan Allah Ta’ala. 

Sebagaimana disebut dalam surah terdahulu apabila nabi Musa AS minta hendak melihat Allah Ta’ala maka Allah menunjukkan nur yang memisahkan antara Allah dengan zat-Nya, gunung Turusaina menjadi sama rata dengan tanah dan nabi Musa tersungkur pengsan.
Di sini jelas makhluk tidak mempu hendak melihat Allah Ta’ala di alam dunia. Inilah pendapat kaul yang asyaf.

Oleh itu pendapat yang dipakai oleh kebanyakan ulamak pada malam Israk dan Mikraj itu nabi kita Muhamad SAW melihat malaikat Jibril AS dengan rupa asal yang menakjubkan.

“Adakah kamu membantah dengan apa yang telah dilihat oleh nabi Muhamad SAW”.
Apabila membantah bermakna ragu. Adakah kamu ragu dengan apa yang dilihat oleh nabi Muhamad pada malam Israk dan Mikraj, melihat Jibril dengan rupanya yang asal.
“Sesungguhnya dia telah melihat malaikat Jibril pada kali yang lain”. 

Nabi melihat malaikat Jibril ketika diangkat menjadi tetamu Allah Ta’ala pada malam Israj dan Mikraj di sisi Sidratil Muntaha. Asal makna sid ialah pokok bidara. Pokok bidara menjadi sempadan yang terakhir sekali bagi makhluk untuk mengetahui rahsia langit. Malaikat tidak boleh pergi lebih daripada itu.

Nabi Muhamad SAW dibawa naik setakat itu sahaja. Ahli-ahli sains hari ini mengakui bahawa di sana ada sempadan yang tidak boleh ditembusi oleh cahaya. Mata hari yang dianggap cakrawala yang berkali ganda lebih besar daripada bumi jika masuk ke kawasan itu maka mata hari akan hancur. Ini menandakan kekuasan dan kebesaran Allah Ta’ala.

Apabila nabi SAW sampai di situ malaikat Jibril AS berundur kerana tidak boleh naik lagi. Maka nabi naik ke Sidratil Muntaha sempadan yang tinggi yang diizin oleh Allah Ta’ala iaitu pokok bidara. Sesetengah ulamak mengatakan ia berada di langit yang ketujuh. Sesetengah pula mengatakan umbi pokok bidara berada di langit yang keenam dan bahagian atasnya di langit yang ketujuh.

Nabi SAW melihat Jibril di Sidratil Muntaha pada malam Israk dan Mikraj tempat sempadan yang tidak boleh dinaiki oleh makhluk-makhluk walaupun oleh malaikat yang mukarrabin. 

“Ketika pokok bidara dihilangkan oleh cahaya makhluk-makhluk yang dijadikan oleh Allah Ta’ala, menghilangkan padangan Sidratil Muntaha kerana munculnya makhluk yang lain yang menutup Sidratil Muntaha dan di situlah nabi menerima sembahyang lima waktu yang diwajibkan oleh Allah Ta’ala pada malam Israk dan Mikraj”. 

Ini menunjukkan betapa besarnya sembahyang lima waktu. Di sana ada hadis-hadis yang banyak yang menceritakan tentang Sidratil Muntaha sebelum dihilangkan daripada pandangan. Nabi SAW melihat Sidratil Muntaha daun-daun bidara besar laksana telinga gajah. 

Satu riwayat lagi mengatakan laksana kolah-kolah yang dibuat di kampung Hajar. Nabi melihat warnanya berubah-ubah, yang sangat cantik yang tidak boleh digambarkan melainkan Allah Ta’ala.

Ada hadis mengatakan kupu-kupu yang berterbangan yang bercahaya yang indah yang menghilangkan Sidratil Muntaha. Pandangan yang manakjubkan sehingga hilang daripada pandangan nabi SAW

“Di sisinya terletak syurga al-Ma’wa, syurga tempat tinggal mereka yang beriman mengerjakan amal yang solih”. 

Ada ulamak mengatakan di situ ada ruh orang-orang yang bertakwa dan ada pula mengatakan di situ ada ruh para syuhada iaitu mereka yang mati syahid.
Ada ulamak mengatakan Syurga Ma’wa berada di kanan arasy. Arasy ialah singgahsana yang berada di atas langit dan bumi. Langit dan bumi terlalu kecil berbanding dengan arasy. Langit dan bumi ini berada di bawah arasy. Itu adalah kehebatan dan kebesaran Allah Ta’ala. 

Mengikut hadis, nabi melihat ada empat batang sungai. Dua batang sungai ke dunia dan dua batang lagi ke syurga. Sungai ke dunia ialah sungai Nil di Mesir dan sungai Furaq di Iraq. Ini menunjukkan sungai-sungai adalah kurniaan dan rahmat daripada Allah Ta’ala. Allah Ta’ala boleh mengeringkan sungai bila-bila masa sahaja.

Para pengkaji dengan mengguna alat-alat moden pada hari ini tidak dapat mengesan di manakah hulu kedua-dua batang sungai ini. Kedua-dua hulu sungai ini berada di syurga Ma’wa, alam ghaib, tidak dapat dikesan walaupun dengan alat-alat moden. Cukuplah bagi kita beriman kepada Allah Ta’ala dengan apa yang diberitahu oleh nabi Muhamad SAW.

“Ketika Sidratul Muntaha hilang daripada pandangan dengan melihat tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala, tidak beralih pandangan nabi Muhamad SAW dan tidak melampaui daripadanya”

Oleh kerana melihat perkara yang menakjubkan sehingga nabi SAW tidak berpaling ke kiri dan ke kanan dan tidak melihat lebih daripada itu kerana pemandangan itu tersangat menakjubkan yang menandakan kebesaran Allah Ta’ala yang tidak terhad.
“Sesungguhnya dia telah melihat daripada tanda-tanda tuhannya yang sangat besar, yang maha agong yang tiada bandingan dan tidak ada tandingan”

Keistimewaan ini diberi kepada Rasulullah SAW. Ada ulamak mengatakan di situlah nabi SAW melihat malaikat Jibril mempunyai enam ratus sayap dan dilihat berada di atas hamparan yang menutup langit dan bumi. Satu riwayat mengatakan tiap-tiap satu sayap memenuhi langit dan bumi. Rupanya sangat besar yang tidak dapat dilihat selama ini.
Allah Ta’ala menunjukkan itu semua bersesuaian dengan kerasulan nabi Muhamad SAW yang diutus menjadi rasul untuk seluruh dunia, untuk semua manusia dan jin dan rasul penutup. Berbeza dengan rasul-rasul sebelumnya untuk kaum sahaja. 

Dengan melihat keadaan pada hari ini, sistem komunikasi dan pengangkutan yang cekap membolehkan manusia berhubung dan bergerak ke sana ke mari dengan cepat, maka cukup dengan seorang rasul sahaja.

Dengan mukjizat al-Quranul Karim, bagaimana nabi Muhamad SAW diutuskan daripada bumi Mekah yang kering kontan, yang tidak ada hasil langsung, untuk menandakan kebesaran Allah Ta’ala, ajarannya tersebar ke seluruh pelusuk dunia. 

Tidak ada siapa yang boleh sekat. Orang Mekah yang cuba hendak menyekat tidak berjaya, kuasa-kuasa besar yang cuba menyekat pun tidak berjaya. Allah Ta’ala menunjukkan semua kuasa besar itu habut yang halus sahaja di bawah kekuasaan Allah Ta’ala.
Jika dibanding dengan alam yang hebat pada malam Israk dan Mikraj kuasa-kuasa besar dunia yang ada hanya habut yang halus sahaja di sisi Allah. Perkembangan Islam tidak boleh dihalang. Mereka berjaya menjatuhkan khilafah Islamiah yang berpusat di Turkey yang bermula dengan kerajaan Islam pertama di Madinah, kemudian kerajaan Amawiyah di Dimash, berpindah kepada kerajaan Abasiah di Iraq dan akhirnya berpindah ke Turkey.

Apabila tiada lagi kerajaan Islam, negeri-negeri orang Islam dijajah, ditakluk dan penjajah cuba menyekat perkembangan ajaran Islam dengan pelbagai cara tetapi cahaya Islam gagal disekat. Cahaya agama Islam masuk juga ke seluruh pelusuk dunia. 

Cahaya agama Islam gagal dipadamkan. Walaupun tiada lagi kerajaan Islam, Allah Ta’ala gantikan dengan kumpulan-kumpulan Islam, jemaah-jemaah Islam yang berjuang untuk mengembalikan semula kerajaan Islam, mengemabalikan semula negara Islam.
Hari ini mereka menyekat kumpulan-kumpulan Islam ini. Mereka tidak membenarkan kumpulan Islam mendirikan kerajaan Islam. Mereka akan menghalang dengan apa cara sekali pun kerana mereka tidak mahu ada lagi kuasa besar Islam dalam dunia ini. 

Setelah cara itu tidak berjaya, mereka mengubah dan membuat cara baru. Orang Islam melalui kumpulan Islam, jemaah Islam, parti Islam menentang penjajah dan dakwah Islam berkembang menyebabkan akhirnya mereka terpaksa balik selepas melantik anak-anak negeri menjadi pemimpin di atas semangat nasionalisma, semangat kebangsaan.

Orang Arab dengan kebangsaan Arab, orang Indonesia dengan kebangsaan Indonesia dan Melayu dengan semangat Melayu, Turkey dengan semangat Turkey. Negeri-negeri ini diberi kemerdekaan atas semangat kebangsaan masing-masing dan syariat Islam tidak dijadikan dasar negara.

Pemerintah bukan penjajah tetapi anak negeri dengan memakai undang-undang penjajah, bukan undang-undang Islam. Cara ini juga tidak berjaya kerana Islam masih berkembang.
Hari ini mereka membuat cara baru iaitu Islam boleh memerintah tetapi di negerinya sahaja, kawasannya sahaja, tidak dibenarkan meluaskan sampai wujudnya kuasa besar Islam.
Orang Islam boleh bercakap Islam tetapi tidak dibenarkan berpolitik Islam. Berdakwah boleh tetapi jangan menyebut fasal pemerintahan Islam. Ini adalah cara baru untuk menyekat pertumbuhan kuasa besar Islam.

Semua cara itu akan gagal kerana Islam bukan rekaan manusia. Islam adalah daripada Allah Ta’ala. 

Ayat-ayat yang kita baca ini untuk menunjukkan kebesaran Allah Ta’ala kepada nabi SAW pada malam Israk dan Mikraj yang menyatakan kuasa-kuasa besar yang ada atas dunia adalah habut yang halus bagi Allah Ta’ala dan cahaya agama Islam tidak boleh disekat dan dipadamkan melainkan apabila dunia ini hendak ditamatkan.
Barang siapa ikut Islam selamat, tidak ikut Islam tidak selamat.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment