Saturday, November 5, 2016

ISRAK DAN MIKRAJ – DI MEKAH



Nabi sampai di Mekah sebelum waktu Subuh, sedikit sahaja lagi masuk waktu Subuh. Bila tiba waktu pagi nabi di dalam keadaan berdukacita dan sedih macam mana hendak cerita kepada mereka di Mekah. 

Mengikut satu riwayat nabi memberitahu ibu saudaranya. 

“Kamu jangan cerita kepada orang, ini berat. Cerita naik ke langit ini sangat berat. Apa yang kamu beritahu sebelum ini pun orang tidak percaya. Ini cerita pergi ke Baitul Makdis, naik ke langit dan balik ke Mekah pula dalam masa satu malam, siapa hendak percaya”. Kata ibu saudaranya.

Nabi mesti menyampaikan kerana ini perintah Allah. Nabi dalam keadaan sedih pergi ke masjid dan duduk dekat Kaabah, tiba-tiba orang pertama datang ialah Abu Jahal. Dia bertanya nabi dalam keadaan mempersenda-sendakan, “Ada apa-apa berita”.

Jawab nabi, “Naam, ya, ada berita”.

“Apa dia berita itu”, tanya Abu Jahal.

Kata nabi, “Aku dibawa berjalan semalam”.

Abu Jahal tanya, “Ke mana?”

Jawab nabi, “Aku dibawa pergi ke Baitul Maqdis”.

Kemudian kata Abu Jahal, “Kemudian pagi ini kamu ada di sini pula”.

Kata nabi, “Ya”.

Abu Jahal tidak menunjukkan bahawa dia tidak percaya, dia menyembunyikan apa yang ada dalam hati dia. Dia fikir dalam hatinya, inilah peluang terbaik untuk aku hancurkan perjuangan Muhamad. 

Lalu dia berkata, “Adakah kamu bersetuju jika aku panggil orang untuk kamu cerita kepada mereka”.

Kata nabi, “Ya, sila panggil orang, memang aku hendak ceramah”.

Lalu Abu Jahal mengerah orang datang. Mekah masa itu bukanlah ramai sangat penduduk. Dengan sekali laungan sahaja mereka berkumpul. 

“Sekarang kamu cerita”, kata Abu Jahal.

Kata nabi SAW, “Aku dibawa berjalan semalam”.
 
Jawab orang ramai, “Ke mana?”

Jawab nabi, “Ke Baitul Maqdis”.

Kata mereka, “Pagi ini kamu ada di sini pula”.

Kata nabi, “Ya”.

Ada kalangan mereka yang menepuk tangan, ada yang meletak tangan atas kepala dan ada yang macam-macam kelakuannya untuk membohongi apa yang diceritakan oleh nabi SAW.

Kata Mutain bin Ali, “Semua perkara yang kamu bawa ini sebenarnya luar biasa. Kamu membawa benda-benda yang besar dan pelik, wahai Muhamad, dan aku naik saksi pada hari ini kamu adalah pembohong”.

Padahal Mutain bin Ali ini orang yang nabi minta himayah (perlindungan) pada masa nabi hendak masuk ke Mekah daripada Taif. Sebelum berlaku Israk dan Mikraj nabi dihentam dengan batu di Taif, nabi minta perlinungan daripada Matain. Matain mengerah anak-anaknya melindungi nabi SAW. Malangnya bila dengar cerita ini dia berkata nabi bohong. 

“Kami menunggang ke Baitul Maqdis sebulan pergi dan sebulan balik. Macam mana kamu kata satu malam sahaja, wahai Muhamad. Demi berhala allat dan al-uzza aku tidak percaya wahai Muhamad”

Jawab Abu Bakar yang ada sama di situ, “Ya Mutain, alangkah buruknya apa yang kamu kata. Kamu bercakap buruk kepada anak-beranak kamu sendiri, bukan orang lain.
Kamu memotong cakap dia, sebelum dia habis bercakap kamu sudah memotong, biar dia selesai cerita dulu. Dengar dulu penjelasannya. Aku naik saksi bahawa Muhamad ini adalah benar”.

Bila Abu Bakar berkata begitu, masing-masing senyap.

Lalu mereka berkata, “Jika kamu pergi ceritalah bagaimana Baitul Maqdis, bagaimana binaan, bagaimana keadaannya dan bagaimana keadaan bukit-bukaunya, bagaimana orang musafir daripada Mekah yang pergi ke sana”. Di kalangan mereka ramai yang sudah pergi ke Baitul Maqdis. 

Lalu nabi SAW menceritakan apa yang dia ingat mengenai Baitul Maqdis. Nabi bercerita tempat ibadat, beberap depa dengan bukit. Nabi cerita, cerita sehingga mereka banyak sangat bertanya, berapa pintu masjid, berapa tiang masjid dan macam-macam pertanyaan. Ini kerja merekalah.

Pertaanyaan yang pelik-pelik menyebabkan nabi tidak mampu menjawabnya. Bila nabi tidak mampu jawab Allah membawa masjid di hadapan nabi SAW.

Hari ini ada TV, ada internet, ada wasap dan sebagainya maklumat daripada jauh boleh diterima dengan segera. Ini adalah sedikit ilmu yang diberi kepada manusia. “Dan tidak diberikan kepada kamu ilmu melainkan sedikit sahaja”. Hari ini kita melihat TV, internet, wasap, facebook dan macam-macam sepatutnya menambahkan iman kita kepada Israk dan Mikraj, kerana Israk dan Mikraj ini daripada ilmu Allah Ta’ala yang tidak terhingga.

Apabila masjid di depan mata nabi boleh menjawab semua soalan. Semua yang nabi sebut itu betul. 

Abu Bakar berkata, “Betul, betul, betul, aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasulullah”. Maka Abu Bakar diberi gelaran Assiddiq.

Mereka berkata kepada Abu Bakar, “Kamu percaya kepada dia, semalam pergi ke Baitul Maqdis , pagi ini ada di sini pula”. 

Kata Abu Jahal kepada Abu Bakar, “Kamu percaya kepada dia”.

“Aku percaya”, kata Abu Bakar. 

Maknanya, oleh kerana Muhamad yang memberitahu maka betullah, tetapi kalau kamu memberitahu maka bohonglah. 

“Dan aku percaya kalau dia memberitahu lebih daripada itu, kalau dia memberitahu berita-berita langit pun aku percaya, semuanya aku percaya”, kata Abu Bakar.

Mereka pun bertanya pula mengenai rombongannya yang bermusafir dengan unta.
Nabi menceritakan bahawa dia berjumpa dengan rombongan unta di Rauhah, nama tempat. Seekor daripada unta mereka hilang. Mereka tinggal khemah untuk mencari unta yang hilang dan aku berhenti di khemah mereka. Dalam khemah ada mangkuk air lalu aku minum semua air dalam mangkuk itu.

Aku berjumpa dengan satu rombongan unta lagi. Satu daripadanya unta merah yang membawa dua karung. Satu karung warna hitam dan satu lagi warna putih. Bila aku lalu untanya menjadi liar ketakutan dan tulangnya menjadi patah. Rombongan unta ini sedang berada di Tanaim dan aku jangka mereka akan tiba di sini pada hari Rabu. 

Bila tiba hari Rabu mereka tunggu ketibaan rombongan ini. Mereka tunggu daripada pagi, sampai ke petang, rombongan unta itu belum juga tiba. Matahari hampir hendak jatuh dan rombongan unta belum juga tiba, maka dukacitalah nabi SAW. 

Bila matahari jatuh masuk hari Kamis selalu. Jadi kalau hari Kamis maka nabi bohonglah. Lalu tuhan tambah waktu hari. Tuhan lambatkan perjalanan matahari sehingga rombongan unta itu tiba. Ini kekuasaan Allah Ta’ala.

Bila rombongan itu tiba mereka menyoal dan semua soalan itu betul. Semua yang nabi cerita itu betul belaka termasuklah cerita air dalam mangkuk. Salah seorang daripada mereka menceritakan, “Aku tinggal air dalam mangkuk, bila balik air kering, tiada kesan tumpah. Macam mana air itu boleh jadi kering. Akhirnya mereka ketiadaan hujah lagi. 
Bila tiada hujah mereka berkata, “Ini semua sehir, betullah al-walid”. Al-walid ialah orang yang menuduh nabi sebagai ahli sehir. 

Allah menurunkan ayat bermaksud, “Dan tidaklah Kami jadikan perkara-perkara yang engkau lihat pada malam Israk dan Mikraj melainkan ujian kepada manusia”.

Israk dan Mikraj ini untuk memberi semangat kepada nabi SAW dan juga kepada umatnya yang berjuang Islam supaya Istiqamah di jalan yang lurus, jangan terpengaruh dengan seruan Yahudi dan Nasruni, dengan maksiat, dengan kemungkaran, kena ikut perkara-perkara yang baik dan benar. 

Itu bermakna perjalanan Israk dan Mikraj iatu perjalanan hidup kita sehingga kita bertemu dengan tuhan sehinggalah Allah Ta’ala mewajibkan sembahyang lima waktu.

Sembahyang lima waktu ini untuk menolong kita dalam hidup ini, tolong kita mencari rezeki, tolong kita berkeluarga, tolong kita dalam kerja pejabat, tolong kita dalam bercucuk-tanam, tolong kita dalam perniagaan dan tolong dalam semua perkara, kerana dalam sembahyang penuh dengan doa-doa. 

Doa-doa yang ada dalam sembahyang bukan sahaja doa berkenaan akhirat tetapi termasuk juga doa mengenai dunia.

“Segala puji Allah tuhan sekalian alam”. Seluruh alam diperintah oleh Allah Ta’ala daripada dunia sampai ke akhirat. Alam yang nyata dan alam yang ghaib semua perintah tuhan.
“Tunjukkanlah jalan yang betul”. Tunjukkanlah jalan yang betul, jalan yang benar.
“Hidup aku dan mati aku adalah kerana Allah”

Doa masa duduk antara dua sujud, ”Berilah rezeki kepada aku”. Rezeki yang halal, yang baik.

Sembahyang ini untuk menolong bukan sahaja di akhirat tetapi atas dunia juga.
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada kejahatan dan mungkar”. Jika orang itu pencuri, penyamun tetapi sembahyang tidak tinggal, Insya Allah dia akan menjadi baik akhirnya. Berkat sembahyang akan membuat dia balik ke pangkal jalan. 

Jika orang itu nampak baik tetapi tidak sembahyang orang ini akan terus hanyut begitulah, mungkin tidak akan mendapat hidayat Allah Ta’ala.

Jadi sembahyang menjadi pengikat yang penting. Kita susah, kita sibuk atau kesulitan macam mana sekalipun sembahyang tidak boleh tinggal sama sekali. 

Oleh sebab itulah disuruh sembahyang sama ada sakit, sama ada aman, sama ada perang, semua keadaan selagi ada akal kena sembahyang. Hatta di medan perang pun kena sembahyang. Berlompat, berlari, atas kenderaan tidak batal sembahyang, sembahyang siddatul khauf. Ada hukumnya dalam Quran.

“Peliharalah kamu akan sembahyang dan sembahyang wusto (sembahyang Asyar) dan berdirilah kamu dalam keadaan taat kepada Allah, jika sekiranya kamu takut maka berdirilah kamu sembahyang dalam keadaan menunggang kenderaan ataupun berjalan”.
Disebut dalam hadis dalam peristiwa satu peperangan musuh berada di satu kawasan dan orang Islam berada di suatu kawasan belum lagi berperang tetapi dalam keadaan bahaya, orang Islam sembahyang Zohor. 

Bila sudah sembahyang Zohor orang kafir bermesyuarat sama-sama mereka, dan antara mereka berkata orang Islam ada satu lagi sembahyang selepas daripada ini iaitulah sembahyang sebelah petang. Sembahyang ini di sisi orang Islam sangat besar fadilatnya.

Oleh itu kita serang semasa mereka sembahyang Asyar. Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat, “Jika sekiranya kamu dalam ketakutan maka sembahyanglah kamu dalam keadaan berjalan kaki dan menunggang kenderaan”. 

Boleh sembahyang di medan perang dan dibenarkan sembahyang berjemaah. Dibenarkan melakukan gerakan yang berulang-ulang, tidak batal sembahyang. Ini disebut dalam Quran.

Perkara sembahyang perkara amat penting. Oleh sebab itu nabi SAW menyuruh kita ajar anak sembahyang semenjak daripada kecil lagi. Nabi kata, “Ajar anak kamu sembahyang bila umur tujuh tahun, pukul dia jika dia tidak sembahyang bila umur dia sepuluh tahun”. Umur sepuluh tahun kalau tidak sembahyang pukul, iaitu pukul yang tidak mencederakan. 

Ini bermakna dalam pendidikan Islam ada memukul anak untuk mengajar anak yang membuat salah. Dalam pendidikan barat tidak boleh pukul, tidak boleh merotan, kena biar begitu sahaja. Di sekolah rotan tidak boleh digunakan akibatnya anak murid jadi mat rempit.

Disebut dalam kitab Musalli, raja Farsi, Arni Syarwan, raja yang adil sebelum kerasulan nabi Muhamad lagi. Di masa remajanya ayah Arni Syarwan menghantar anaknya mengaji dengan seorang guru yang bijak. Arni Syarwan ini kelihatan cerdik, bijak dan baik dan gurunya cukup puas hati. Pada satu hari dia panggil Arni Syarwan ini dan merotannya tanpa sebarang kesalahan pun. 

Bila Arni Syarwan ini menjadi raja selepas ayahnya mati, dia memanggil gurunya dan bertanya mengapa merotannya semasa sekolah dulu sedang dia tidak membuat sebarang kesalahan. Kata gurunya, “Aku rotan kamu kerana hendak mengajar kamu, kerana aku tengak kamu baik, cerdik, bijak dan tidak membuat kesalahan apa-apa. 

Aku rotan kamu kerana aku hendak kamu merasa bagaimana orang buat zalim kepada kamu. Jadi aku rotan kamu secara zalim. Bagaimana kamu rasa bila aku membuat zalim kepada kamu. Itu baru rotan kamu sudah marah. Jadi kamu kena ingat sebagai raja kamu tidak boleh membuat zalim kepada orang”.

Ini cara pengajaran. Inilah dia pendidikan Islam. Pendidikan Islam kita cukup serba-serbi. Alhamdulillah. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment