Perhatikan pula bila kamu masuk ke bilik seorang manusia seperti
kamu duduk di atas kerusi, kemudian kamu keluar dari bilik itu. Bila kamu masuk
semula tiba-tiba dia duduk di atas tikar, tidak lagi di atas kerusi. Kamu faham
bahawa dia berpindah dengan sendirinya, kerana sifatnya boleh berpindah dengan
sendiri tidak seperti buku.
Seterusnya perhatikanlah manakala makhluk ini baharu maka dia
tidak ada dengan sendirinya, mesti ada yang mengadakannya, maka ketahuilah
bahawa Allah yang menjadikannya itu tidak seperti makhluk ini, mestilah
bersifat kesempurnaan kerana Dia berdiri dengan sendiri pada zat dan sifat-Nya tidak berhajat kepada
yang lain pada segala-galanya. Ia bersifat dengan segala sifat kesempurnaan.
Cukuplah sekadar itu semoga kita tidak melampaui batas dengan kemampuan akal
yang lemah ini.
Dijelaskan bahawa di antara dalil bahawa adanya Allah Ta’ala dan
Allah Ta’ala bersifat dengan sifat kesempurnaan Yang Maha Suci daripada segala
sifat kekurangan ialah melalui makhluk, melalui kejadian alam yang kita nampak
tengak dengan mata kita dan boleh memikir dengan akal kita.
ALAM TIDAK TERJADI DENGAN SENDIRI
Disebut contoh yang pertama ialah sebuah buku yang diletak di atas
meja. Itu pada awal kita tengak, apabila kita pergi ke lain dan balik semula
kita dapati buku beralih tempat letak. Kita tahu sifat buku itu tidak boleh
bergerak dengan sendiri, mestilah ada yang memindah buku itu. Itu sifat buku
(makhluk) yang tidak boleh bergerak dengan sendiri. Bagaimana buku itu
berpindah? Sudah pasti ada yang
memindahkannya.
Begitulah juga alam, tidak ada dengan sendiri, mesti ada yang
menjadikannya.
Dalam contoh kedua, manusia mula-mula duduk di atas kerusi
kemudian dia duduk di atas tikar. Tuhan memberi kemampuan kepadanya boleh
bergerak dengan sendiri.
Semua makhluk tidak terjadi dengan sendiri. Mesti ada yang
menjadikannya. Bermula daripada dalam perut ibu tidak semestinya suami-isteri
boleh melahirkan anak. Ada yang tidak melahirkan anak. Anak yang dilahir bukan
ikut kemahuan dia. Ini menandakan ada yang maha berkuasa menjadikan alam ini.
Begitulah alam yang lebih besar. Matahari dan bulan yang duduk di
atas kepala kita beredar di bawah kawalan oleh yang menjadikannya. Matahari
yang tidak ada nyawa dan lebih besar daripada bumi beredar dari timur ke barat
setiap hari.
Bumi beredar dan berputar tetapi kita tidak rasa bumi bergerak.
Hari ini ada alat yang boleh mengesan pergerakan bumi. Kita boleh melihat
bagaimana peredaran bumi dan mata hari menentukan musim hujan, musim panas dan
musim sejuk. Waktu siang dan malam berubah-ubah.
Bumi dan matahari tidak boleh mentadbir dirinya sendiri. Mesti ada
tuhan yang mentadbirnya. Tuhan itu ialah tuhan yang satu yang diberitahu kepada
kita oleh Allah dan rasul-Nya.
SEMUA MANUSIA PERCAYA ADANYA TUHAN
Dari segi fitrah, manusia terpelajar atau tidak, masyarakat
bandar, luar bandar atau yang tinggal dalam hutan belantara semua percaya
adanya kuasa ghaib yang menguasai alam. Oleh kerana tidak belajar dan tidak
mengkaji mereka tidak mengetahui siapa kuasa ghaib itu. Oleh itu mereka
menyembah macam-macam. Ada yang menyembah batu, menyembah pohon kayu, menyembah
patung dan lain-lain.
Kepada manusia yang cerdik Allah Ta’ala utuskan nabi-nabi dan
rasul-rasul. Nabi-nabi dan rasul-rasul inilah yang memberitahu nama tuhan yang
sebenar ialah Allah. Allah dia sahaja tuhan dan tidak ada tuhan yang lain.
Allah mempunyai nama-nama dan tiap-tiap satu nama itu milik bagi
Allah Ta’ala. Nama-nama Allah Ta’ala
begitu banyak kerana untuk menyatakan kelebihan Allah Ta’ala yang satu itu
tidak cukup dengan satu nama.
Allah Dia sahaja tuhan, Arrahman yang Maha Pemurah kepada semuanya
di dunia dan di akhirat. Arrahim yang pemurah dalam keadaan yang tertentu
sahaja, Azzahiru yang zahir, yang nyata adanya Dia dengan dalil-dalil dan
bukti, Albatin yang kita tidak dapat melihat. Itu Dia Allah yang satu.
Oleh kerana tidak dapat menyebut dengan satu nama sahaja maka
disebut dengan nama-nama yang banyak. Nama-nama yang banyak ini adalah bagi
tuhan yang satu sahaja iaitulah Allah SWT.
Nabi-nabi dan rasul-rasul memberitahu semuanya itu kepada kita.
Kita memohon kepada Allah agar dibersih hati kita daripada sebarang perasaan
yang memesong iman kita daripada-Nya. Segala taufik dan hidayah daripada-Nya
jua. Jadi kita mengharapkan petunjuk daripada Allah Ta’ala yang menunjukkan
kita jalan yang sebenar.
Kita manusia walaupun mempunyai akal, boleh menggunakan fikiran,
boleh membuat kajian tetapi manusia tetap mempunyai kelemahan-kelemahannya yang
tersendiri. Oleh itu manusia tidak mengikut nabi-nabi dan rasul-rasul
menyebabkan menjadi sesat. Ada yang membawa ajaran tidak percaya kepada tuhan,
tetapi bila terdesak percaya adanya tuhan. Bila kapal terbang mengalami
kerosakan enjin, percaya adanya tuhan. Bila dipukul ribut kuat di laut masa
itulah sifat semula jadi yang ada pada manusia percaya adanya tuhan.
Ada pula manusia yang percaya kepada adanya tuhan, bagaimana
hendak mengenal dan menyembah tuhan. Mereka memakai akal dan menolak petunjuk
nabi-nabi dan rasul-rasul, walaupun cerdik tetapi menjadi sesat kerana
menyembah batu, menyembah kayu, menyembah lembu dan lain-lain.
MENUTUP AURAT
Dari segi hukum hakam, mereka membuat undang-undang sendiri dalam
perkara yang tidak diizin oleh Allah Ta’ala. Ada perkara-perkara yang tuhan
izinkan dan boleh membuat mengikut akal kita sendiri.
Sebagai contoh, hendak bermesyuarat di pejabat atau di hotel, membuat
bangunan satu tingkat atau dua tingkat. Jalan raya boleh dibuat sama ada satu
lorong atau dua orang. Perkara yang tidak ada dalam Quran, boleh digunakan
akal.
Ada perkara yang Allah tetapkan peraturan-Nya. Ini haram dan ini
halal. Menutup aurat adalah wajib dan tidak boleh dipinda kerana ketetapan
daripada Allah Ta’ala. Memakai fesen apa
dan warna apa tidak menjadi kesalahan. Tetapi menutup aurat wajib, masa
sembahyang dan juga bukan masa sembahyang.
Allah Ta’ala ingin memuliakan manusia. Kulit manusia berbeza
dengan kulit binatang. Binatang kulitnya tebal dan di negara sejuk Allah Ta’ala
jadikan kulit binatang berbulu. Manusia ada sifat malu maka manusia perlukan
pakaian. Maka Allah Ta’ala mewajibkan menutup aurat mengikut maruah dan harga
diri mereka.
Mereka yang membuka aurat bermakna tidak ada harga diri dan sama
dengan binatang. Allah Ta’ala memberi kemulian kepada mereka tiba-tiba mereka
menghina diri kerana menyama diri dengan binatang. Golongan wanita pula sudah mendedah
aurat, menghias diri, dengan mengenakan warna di kelopok mata dan sebagainya.
Ini sudah lari daripada murtabat harga diri manusia.
SYIRIK
Syirik, menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain bukan sahaja
menyembah patung dan berhala tetapi termasuklah juga mengadakan
peraturan-peraturan dan cara hidup yang lain daripada ketetapan Allah Ta’ala.
Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Adakah mereka itu mempunyai
sekutu-sekutu yang boleh membuat hukum syariat dan peraturan, ini halal ini
haram.”
Allah Ta’ala tidak izin kita membuat peraturan lain daripada apa
yang telah ditetapkan.
Bila kita belajar ilmu aqidah maka kita faham sifat-sifat Allah
Ta’ala. Antaranya Allah Ta’ala bersifat dengan ilmu (tahu), Allah Ta’ala
bersifat dengan kalam (berkata-kata), bila kita membuat peraturan yang lain
daripada peraturan Allah Ta’ala, misalnya Allah Ta’ala berkata orang mencuri
kena kerat tangan, nabi ajar syarat-syaratnya, tetapi kita ikut dan kita pakai
undang-undang lain, pencuri dikenakan jil sahaja.
Ini bermakna kita tidak yakin ilmu Allah Ta’ala (Allah Ta’ala
tahu), al-Quran adalah kalam Allah Ta’ala. Bila kita belajar sifat 20 Allah
Ta’ala bersifat dengan ilmu dan kalam.
Ramai orang belajar sifat 20 tetapi menyokong undang-undang yang
tidak Islam. Menunjukkan mereka tidak faham apa yang mereka belajar. Jika
mereka benar-benar faham apa yang di pelajari mereka tidak boleh menerima apa
sahaja perjuangan, apa sahaja cara yang menolak syariat dan hukum Allah SWT.
HUKUM QISAS
Antaranya firman Allah Ta’ala bermaksud, “Wahai orang-orang yang
beriman diwajibkan ke atas kamu hukuman Qisas dalam perkara pembunuhan dan
kecederaan”.
Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Dan bagi kamu dalam hukum Qisas
itu membawa kehidupan, membawa keselamatan, menjaga nyawa wahai orang yang
berakal, jika sekiranya kamu bertakwa kepada Allah Ta’ala”.
Apa dia hukum Qisas?
Oleh kerana kita belajar fekah bab sembahyang, bab Haji dan Umrah
sajahaja, maka bab jenayah tidak tahu.
Hukum Qisas ialah hukum jenayah yang dinyatakan oleh Allah Ta’ala
dalam Quran, “Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa;
diwajibkan ke atas kamu hukum Qisas”.
Ayat perintah wajib berpuasa serupa dengan perintah wajib hukum Qisas.
Malangnya bila puasa kita berpuasa, bila hukum Qisas kita menolak
dan kita memakai hukum lain. Hukum Qisas ialah hukum pembunuhan dan kecederaan
sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.
Dengan sengaja seperti orang membunuh orang dengan sengaja,
mencedera orang dengan sengaja. Dengan tidak sengaja seperti kemalangan jalan
raya. Semuanya itu ada hukum Qisasnya yang disebut dalam Quran dan dalam hadis.
Tetapi kita memakai undang-undang sendiri seperti saman ekor,
mengenakan hukuman denda dengan tujuan mendapatkan duit. Ini tidak boleh
menyelesaikan masalah kerana lari daripada hukum Allah Ta’ala.
SIMPULAN AJARAN ISLAM DIROMBAK
Ada hukum Allah Ta’ala yang berkait dengan kemalangan yang dibahas
dalam kitab fekah. Ada denda tetapi denda ada caranya. Tetapi kita pakai
undang-undang manusia walaupun ada wahi daripada Allah Ta’ala dan nabi sudah
mengajarnya.
Malangnya belajar sifat 20 sampai fasih, tetapi menyokong juga
undang-undang yang tidak Islam. Setuju dengan peraturan-peraturan lain daripada
peraturan Allah Ta’ala. Mengapa? Sebab boleh wang, boleh projek dan benda.
Nabi menyebut dalam hadis, “Tali yang mengikat ajaran Islam yang
disimpul kemas-kemas akan dirombak, manusia akan merombak simpulan tali yang
mengikat ajaran itu” Ini berlaku di akhir zaman.
Apabila satu tali dirombak manusia menjadi berselerak, menjadi
haru-biru, kelam-kabut dan mereka terpaksa bergantung dengan simpulan yang
masih ada, dengan ajaran yang masih ada. Simpulan pertama dirombak ialah ajaran
berkait dengan hukum iaitu hukum mengenai pemerintahan negara. Hukum-hukum ini
dirombak dan memakai hukum lain.
Simpulan yang akhir dirombak ialah sembahyang. Bila sembahyang
dirombak tunggulah, dunia akan dihancurkan bila-bila masa sahaja. Dunia
dimusnahkan bila tiada lagi orang menyembah Allah Ta’ala di atas muka bumi. Itu
berlaku di zaman yang paling akhir sekali.
KENAL ALLAH TA’ALA
Sekiranya kita kenal Allah Ta’ala, bukan sahaja kita beribadat
bersungguh-sungguh kepada Allah Ta’ala termasuklah kita mencari makan, kita
memerintah negara, berpolitik, berekonomi dan segala-galanya mengikut peraturan
Allah Ta’ala maka selamat di dunia dan selamat di hari akhirat.
Ada perkara yang kita boleh buat, kita buatlah perkara yang kita
boleh buat. Ada perkara yang kita tidak mampu membuatnya kerana syarat tidak
mencukupi maka kita beriman dan berusaha, jangan menolaknya.
Contohnya sembahyang kita boleh buat, puasa boleh buat, Haji ada
orang boleh buat dan ada orang yang tidak boleh buat. Orang tidak boleh membuat
haji kerana tidak ada wang, jangan pula berkata Haji tidak wajib. Haji tetap
wajib.
Begitulah juga perlaksanaan hukum syariat yang berkait dengan
jenayah, berkait dengan jihad dan sebagainya, jika tidak ada kuasa atau tidak
mampu maka jangan menafikan. Jangan berkata tiada politik dalam Islam, tiada
pemerintahan dalam Islam.
Tidak boleh berpendirian demikan kerana berkait dengan akidah,
berkait dengan iman kita. Wajib percaya dengan hukum Allah Ta’ala. Masalah
tidak mampu membuatnya adalah satu perkara yang lain.
Pergantungan kita ialah kepercayaan kita kepada Allah Ta’ala.
Amalan kita adalah mengikut kemampuan yang ada pada diri kita. Apa yang kita
mampu kita buat dan apa yang kita tidak mampu kita bertawakalah kepada Allah
Ta’ala mengikut kemampuan yang ada kepada kita. “Allah Ta’ala tidak
mengtaklifkan, tidak membebankan diri seseorang, melainkan mengikut kelapangan,
kebolehannya dan kemampuannya. Allah Ta’ala tidak menghukum apa yang kita tidak
mampu membuatnya.
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment