Tuesday, November 8, 2016

DAPAT MASUK SYURGA HANYA DENGAN RAHMAT ALLAH



Rasulullah SAW memberitahu bahawa baginda telah dikunjungi malaikat Jibril AS dan berkata kepadanya bahawa ada seorang hamba Allah beribadat selama lima ratus tahun di atas sebuah bukit yang lebar dan panjangnya tiga puluh hasta kali tiga puluh hasta. 

Bukit itu dikelilingi oleh lautan yang masin seluas empat ribu farsakh dari setiap penjuru. Di bawah bukit itu Allah SWT mengeluarkan sumber air tawar yang segar selebar satu jari. Di situ juga Allah SWT menumbuhkan sepohon delima berbuah sebiji sehari.

Ahli ibadat itu turun setiap petang mengambil wuduk sambil memetik buah delima dan memakannya. Kemudian dia mendirikan solat dan berdoa kepada Allah SWT supaya dimatikannya dalam sujud dan tubuhnya tidak disentuh oleh bumi sehingga dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan sujud. 

Permintaannya diterima oleh Allah SWT. 

Sepanjang turun naik Jibril AS ke langit didapatinya abid itu sedang sujud.

Kata Jibril AS: “Kami dapati dalam ilmu bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah SWT.”

Allah SWT memerintahkan supaya orang itu dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat-Nya, sebaliknya dia berkata dengan amalnya.

Lalu Allah SWT perintahkan Jibril AS supaya mengira semua amalannya dengan nikmat penglihatannya. Tiba-tiba nikmat penglihatannya itu mengelilingi ibadatnya selama lima ratus tahun, sedangkan nikmat yang lain belum dikira. 

Maka Allah SWT berfirman supaya memasukkannya ke dalam neraka. 

Ketika dia ditarik ke neraka, ahli ibadat itu berkata: “Masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu.”

Allah SWT memerintah malaikat supaya kembalikan ahli ibadat itu, lalu Dia bertanya: “Wahai hamba-Ku siapakah yang menjadikan kau daripada tiada kepada ada?”
Jawabnya: “Engkau tuhanku.”

Allah SWT bertanya lagi: “Apakah kerana amalmu atau rahmat-Ku?”
Jawabnya: “Dengan rahmat-Mu.”

Allah SWT bertanya lagi: “Siapakah yang memberi kekuatan kepada mu untuk beribadat selama lima ratus tahun?”

Jawabnya: “Engkau tuhanku.”

Allah SWT bertanya lagi: “Siapakah yang meletakkan engkau di atas bukit yang mengeluarkan air tawar di tengah-tengah lautan yang masin dan mengeluarkan buah delima setiap petang padahal pokok itu berbuah setahun sekali. Lalu engkau minta kepada-Ku untuk mati sujud, siapa yang membuat semuanya itu?”

Jawabnya: “Engkau tuhanku.”

Allah SWT berfirman: “Semua itu dengan rahmat-Ku dan kini Aku masukkan engkau ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.”

Malaikat Jibril AS berkata: “Sesuatu terjadi dengan rahmat Allah Ta’ala.”

Jelas menunjukkan ibadat bukan anak kunci untuk membuka pintu syurga. Walau banyak mana sekalipun ibadat seseorang itu, termasuklah nabi sendiri tidak boleh masuk syurga kecuali dengan rahmat Allah.

(BUKU PERMATA RAMADAN OLEH DR HAMDAN MUHAMMAD)

No comments:

Post a Comment