Tuesday, November 8, 2016

BICARA GHAZWAH BADAR KUBRA



Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia keterangan-keterangan daripada petunjuk dan yang membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah.”

Bulan Ramadan bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah Ta’ala, bulan yang dibahagikan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya, “Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan daripada dosa dan penutupnya dimerdehkakan daripada api neraka.”

Syarat kita mestilah menerima jemputan Allah Ta’ala untuk menjadi tetamu-Nya di bulan yang mulia ini, bukan sahaja mengerjakan ibadat puasa yang sudah kita tahu wajibnya dan menjadi rukun Islam, bukan sahaja menunaikan ibadat yang wajib ditunaikan biasanya sembahyang lima waktu dan lain-lain, bukan sahaja mengerjakan ibadat-ibadat sunat, menghidupkan Ramadan dengan menikmati hidangan ruhani dan jasmani, termasuklah tubuh-badan kita iaitu makan dan minum semuanya diberi pahala oleh Allah Ta’ala.

Apa yang penting ialah kita mendidik diri kita mencapai tujuan daripada puasa Ramadan “supaya kamu bertakwa kepada Allah.”

Takwa yang dinyatakan maknanya oleh Rasulullah SAW: “Takwa di sini, ditunjukkan ke arah jantung yang mengalirkan darah ke seluruh anggota, mengalirkan perasaan yang masuk ke dalam fikiran kita, sama ada memilih untuk mengerjakan taat, meninggalkan maksiat atau melawan Allah Ta’ala.”

Ibadat puasa mendidik kita untuk menjadi orang yang taat kepada Allah Ta’ala. Sanggup meninggalkan makan minum yang menjadi rukun hidup, betapa makan minum itu rukun hidup sehingga tidak ada makanan yang lain ada yang haram dimaafkan oleh Allah Ta’ala. Diizinkan memakan yang haram kerana darurat menunjukkan makan-minum menjadi rukun hidup.

Kita berkerja kuat siang hari kerana mencari wang, untuk apa cari wang, untuk mencari makan-minum, cari pakaian, cari tempat tinggal dan sebagainya tan kita sedar bahawa rezeki daripada Allah Ta’ala. Allah Ta’ala yang memberi semua itu. 

Tiba-tiba Allah Ta’ala mengajar kita meninggal makan-minum siang hari dalam bulan Ramadan. Kenapa kita sanggup tinggal makan-minum? Kerana taat kepada Allah Ta’ala. Ini untuk mengajar bahawa taat kepada Allah Ta’ala lebih penting daripada makan-minum dan seluruh kehidupan kita.

Puasa mengajar kita bertakwa kepada Allah Ta’ala dan perintah Allah itu terkandung di dalam al-Quran. Allah Ta’ala memilih Quran diturunkan dalam bulan Ramadan. Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, kemudian diturunkan kepada nabi Muhamad SAW selama dua puluh tiga tahun. 

Quran yang diturunkan itu menjadi petunjuk kepada manusia dan keterangan daripada petunjuk, membezakan antara yang betul dan yang salah. Allah Ta’ala jadikan betul dan salah ini berlakunya perlawanan, berlakunya pertembungan semenjak nabi Adam AS melawan iblis. 

Begitulah nabi Nuh dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, yang berakhir dengan nabi Muhamad SAW.

Adalah menjadi satu hikmat yang besar apabila Allah Ta’ala mengilhamkan Rasulullah SAW menyusun al-Quran itu dimulakan dengan surah al-Fatihah. Surah yang wajib dibaca pada tiap-tiap rakaat sembahyang. 

Di dalam surah Fatihah ada doa: “Tunjukkanlah kami jalan yang betul.”
Mengapa perlu kita minta tunjuk jalan yang betul? Adakah masih tidak percaya kepada Islam? Diulang tiap-tiap rakaat sembahyang. Kerana jalan yang betul ini banyak cabangnya dalam kehidupan dunia. 

Kita menghadapi kumpulan-kumpulan yang banyak, puak-puak yang banyak sama ada yang dinamakan agama-agama, yang dinamakan ideologi-ideologi, yang dinamakan parti-parti politik yang berjuang untuk menegak ideologi dan fahaman masing-masing.
Semua mengaku merekalah yang betul. Tidak ada yang mengatakan dia tidak betul. Kita yang menegakkan Islam, kita kata Islam betul, Yahudi kata Yahudi betul, Kristian kata Kristian betul, Hindu kata Hindu betul, Budha kata Budha betul termasuklah parti politik mengatakan parti merekalah yang betul.

Kita kata kita hendak tegakkan Islam mereka kata mereka hendak tegak Islam. Semua mengaku merekalah yang betul. Mana satu yang betul. Di sinilah: “Tunjukkanlah kami jalan yang betul.” 

Selepas al-Fatihah surah al-Baqarah: “Alif Laam Mim, kitab ini, tiga puluh juzuk Quran yang dibaca ini memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.” 

Hanya orang-orang yang bertakwa sahaja yang menjadi Quran sebagai petunjuk.

Puasa Ramadan mentarbiah kita menjadi orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala. Perintah Allah Ta’ala yang ada dalam Quran ini lebih penting daripada duit, lebih penting daripada makan minum dan lebih penting daripada segala-galanya termasuk diri kita sendiri.

Sekiranya kita buka Quran surah yang paling akhir sekali: “Katakanlah aku minta perlindungan dengan tuhan yang menjadikan manusia, tuhan disembah oleh manusia daripada syaitan yang mengelirukan hati manusia, syaitan itu terdiri daripada jin dan manusia.” Rupanya ada juga manusia syaitan. Bukan sahaja jin yang kita tidak nampak termasuk juga makhluk manusia.

Hikmat surah ini di akhir al-Quran yang tiga puluh juzuk itu untuk diamal dan kita berdepan dengan syaitan-syaitan yang mengganggu, bukan sahaja mengganggu di dalam hati tetapi juga dalam perjalanan hidup.

Allah Ta’ala pilih bulan Ramadan bukan sahaja turun Quran, berlakunya “Yaumal Furqan” iaitu hari yang membezakan antara perkara yang betul dan perkara yang salah. Perlawanan antara kumpulan yang menegakkan ajaran Allah yang terkandung dalam kitab yang berakhir dengan Quran dengan mereka yang menentangnya.

Allah Ta’ala pilih berlakunya peristiwa Badar dalam bulan Ramadan. Kita acap kali mendengar kisah peperangan Badar ini. Hanya mendengar cerita sahaja.

Firman Allah Ta’ala: “Dan sesungguhnya Allah telah memberi pertolongan kepada kamu dalam peristiwa Badar dalam keadaan kamu kecil jumlahnya, dipandang rendah dan hina ketika orang Islam dalam keadaan lemah.” Allah Ta’ala hendak membuktikan Islam daripada Allah yang Maha Besar, yang Maha Berkuasa. Islam adalah agama Allah.
Firman Allah Ta’ala: “Dialah tuhan, Allah tuhan sekalian alam yang telah mengutuskan rasulnya Muhamad SAW dengan petunjuk dengan agama yang benar iaitu agama Islam, yang benar hanya Islam, lain daripada Islam semuanya salah, semua sesat.”
Islam adalah agama yang benar dan mestilah memuliakan agama ini walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin. 

Allah Ta’ala kata: “Untuk menzahirkan di atas Deen. Perkataan Deen orang Melayu terjemah dengan agama, orang Eropah terjemah dengan religion. Perkataan religion lebih kecil maknanya daripada perkataan agama. Deen ialah seluruh yang ada dalam Quran. Hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya, benda-benda yang ada dan kaitan dengan manusia.”

Firman Allah Ta’ala: “Sesungguhnya deen di sisi Allah ialah Islam.” Termasuk di dalamnya ibadat dan seluruh cara hidup: politik, ekonomi, dalam negara dan antarabangsa, alam dunia dan angkasa lepas dari dunia sehingga akhirat.”

Untuk menzahirkan dinul Islam mengatasi segala ajaran yang lain sama ada yang dinamakan agama, yang dinamakan ideologi, teori dan apa sahaja namanya Islam mesti mengatasi segala-galanya. 

Allah Ta’ala pilih berlakunya “Yaumal Furqan” hari yang membezakan yang betul-betul dan salah, oleh yang menegakkan al-Quran dan yang menentangnya. Dipilih peristiwa yang menarik pada hari Badar yang dirakamkan dalam al-Quranul Karim.

Quran bukan buku cerita, Quran bukan surat khabar dan Quran bukan majalah. Quran adalah kitab petunjuk makjizat sehingga hari kiamat. Kisah yang ada dalam Quran berlangsung sehingga hari kiamat.

Allah Ta’ala mengatur sebaik sahaja diizinkan kepada Rasulullah SAW menentang musuh-musuh yang menghalang cahaya agama Islam termasuk berperang: “Diizinkan kepada orang-orang yang diperangi sesungguhnya mereka itu telah dizalimi dan Allah Ta’ala Maha Berkuasa untuk pertolongan kepada mereka, mereka itu ialah Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang dihalau keluar daripada negeri Mekah. Tidak ada kesalahan yang dibuat oleh nabi dan sahabatnya, bukan menipu, bukan merompak tetapi kesalahannya ialah: “Rabbunallah.”

Rab ialah tuhan yang menjadikan kami dan mentadbirkan urusan kami. Disebut “Alhamdulillahi rabbil ‘alamin” dengan makna bahawa kita percaya tuhan menjadikan kita, yang mentadbir seluruh kehidupan kita supaya seluruh kehidupan manusia hendaklah ditadbirkan dengan syariat Allah. 

Inilah yang dimarah oleh pemimpin-pemimpin jahiliah Mekah dan pemimpin jahiliah di sepanjang zaman. Jadi nabi dan para sahabatnya dihalau dan Allah Ta’ala mengizinkan nabi menentang penentangnya dan dijanjikan pertolongan.

Allah Ta’ala mengatakan sekiranya tidak ada perlawanan di antara mereka yang menegakkan Islam  dengan mereka yang menentangnya nescaya rosaklah rumah-rumah ibadat penganut Yahudi, penganut Kristian, sembahyang-sembahyang agama dan masjid-masjid orang Islam yang disebut di dalamnya nama Allah.
Walaupun kita orang Islam kata Islam adalah benar dan orang lain salah kita tidak memaksa orang lain masuk Islam. Kita mengajak orang masuk Islam tetapi kita tidak memaksa orang masuk Islam. 

Masuk Islam mestilah dengan iman, dengan rela hati. Kalau masuk Islam dengan paksaan, mereka akan menjadi Islam menipu dan Islam munafik. Jika mereka tidak masuk Islam, mereka jangan ganggu Islam, kerana jika mengganggu Islam kami lawan, kami tentang habis-habisan. Allah Ta’ala mengizinkan untuk berlawan: cakap lawan dengan cakap dan senjata dengan senjata. 

Islam mengutamakan keamanan dan peperangan adalah yang terakhir. Bila berperang Allah Ta’ala mengatakan: “Kalau mereka hendak berdamai, berdamailah dan bertawakkal kepada Allah Ta’ala.” 

Masa berdamai kita tunjukkan Islam adil dan baik. Kami tidak mengganggu kamu hendak beramal dengan agama kamu. Itulah adil dan baiknya Islam. Walaupun demikian golongan jahiliah ini bukan senang menukar pendirian mereka. 

Di zaman nabi mereka tengak sendiri nabi Muhamad adalah orang yang baik yang benar, yang amanah, bukan orang jahat, mereka tidak ikut jugak. Kenapa? Kerana mereka tidak diberi hidayat oleh Allah Ta’ala. Orang ramai tahu nabi baik orang ramai ikut nabi dan tidak ikut mereka maka mereka marah dan berlaku pertembungan. Pertembungan yang tidak diatur. Allah Ta’ala takdirkan berlaku lain daripada apa yang diatur.

Mula-mula nabi hendak ajar rombongan kabilah musyrikin yang dipimpin oleh Abu Sofian.
Abu Sofian ialah mertua nabi SAW kerana nabi berkahwin dengan anaknya, Ummi Habibah RA. Abu Sofian sebelum masuk Islam dia pemimpin besar Mekah. Dia mengepalai perniagaan ke Syam. 

Mula-mula nabi cuba menyekat rombongan itu dalam perjalanan ke Syam tetapi terlepas. Kemudian nabi cuba dalam perjalanan balik daripada Syam tujuan hendak rampas barang-barang dagangan kerana Abu Sofian pernah merampas hak orang Islam di Mekah. Ini diizinkan oleh syarak. Tiba-tiba kabilah Abu Sofian terlepas juga. 

Abu Sofian menghantar utusan ke Mekah memberitahu Abu Jahal bahawa rombongan mereka dalam keadaan bahaya. Lalu Abu Jahal menyediakan bala tentera yang jumlahnya seribu orang lengkap dengan senjata perang. Nabi keluar bukan hendak berperang tetapi hendak pintas kabilah Abu Sofian. 

Jumlah tentera nabi sedikit dan kelengkapan tidak cukup. Kuda cuma ada dua ekor sahaja. Abu Jahal mempunyai pasukan berkuda, pasukan pemanah, baju rantai dan topi besi. Nabi dan para sahabatnya berjumlah tiga ratus tiga belas orang sahaja dan tidak lengkap dengan senjata.

Kabilah Abu Sofian terlepas dan terpaksa bertembung dengan bala tentera Abu Jahal. Ini diatur oleh Allah Ta’ala pada bulan Ramadan, bulan berpuasa, bulan diturunkan Quran dan bulan mentarbiah orang Islam. Diatur dan dipilih oleh Allah Ta’ala untuk menjadi pengajaran kepada kita.

Dalam peristiwa Badar ini ada perkara yang merupakan pertolongan Allah secara luar biasa dan perkara yang mengikut kebijaksanaan manusia. Untuk bertembung dengan bala tentera Abu Jahal yang besar jumlahnya, nabi tidak membuat keputusan sendiri.

Nabi bermesyuarat dengan sahabat dia: “Beri pandangan kamu wahai tuan-tuan. Kita balik dulu ke Madinah atau pun hadap terus musuh.”

Kata al-Miqdad ibnu Aswad RA yang mewakili muhajirin: “Wahai Rasulullah kami tidak kata wahai Rasulullah sebagaimana orang Yahudi Bani Israil berkata kepada nabi Musa AS, bila nabi Musa ajak berjihad masuk ke Palastin Allah Ta’ala janjikan kemenangan, Bani Israil jawab wahai Musa pergilah kamu dengan tuhan kamu, kami hendak duduk di sini kami tidak mahu pergi. 

Kami tidak kata begitu wahai Rasulullah. Kami berkata wahai Rasulullah pergi kami bersama dengan Allah dan Rasul.”

Oleh kerana Miqdad ini orang Mekah apa kata pula orang Ansar, orang Madinah. Orang Mekah mungkin semangat mereka lebih kerana dihalau dari kampung halaman mereka dan harta mereka dirampas. Orang Madinah lain pula pandangannya.

Nabi berkata lagi: “Beri pandangan kamu wahai tuan-tuan”

Kata Saad bin Muaz: “Wahai Rasulullah kami sudah berjanji dengan Rasulullah, berbaiah dengan Rasulullah, bersetia dengan Rasulullah, bukan sahaja berjanji hendak masuk Islam tetapi berjanji hendak berjuang dengan Rasulullah. Rasulullah hendak bawa kami ke mana sahaja kami akan sujud. Bukan sahaja hadap Abu Jahal, kalau pergi jauh lagi pun kami pergi wahai Rasulullah.”

Bila mendengar jawapan ini nabi pun berasa sangat bergembira. Lalu diambil keputusan berperang. Tempatnya di Badar. Nabi menyuruh bina markas besar macam pilihan raya ada markas besar. Perang pun ada markas besar. 

Bila melihat nabi memilih tempat mendirikan markas besar, seorang sahabat yang tahu tentang kedudukan bukit-bukau dan lembah-lembah di Badar berkata: “Wahai Rasulullah, Rasulullah memilih tempat ini dengan wahi dari Allah atau pun fikiran akal Rasulullah sendirii.”

Jawab Rasulullah: “Ini bukan wahi tetapi pandangan peribadi.”

Kalau pandangan peribadi: “Saya tidak setuju, kena pilih tempat lain kerana di Badar ini ada tiga mata air, tiga cerung. Cerung ini ada dihadapan kita, musuh ada di sebelah sana. Jika buat markas di sini kita dapat air dan musuh pun dapat air. Pada pandangan saya lebih baik kita mara ke depan biar mata air di belakang kita. Kita dapat air tetapi musuh tidak dapat air.”

Rasulullah kata: “Ini satu pandangan yang baik dan mendoa kebaikan kepada sahabat yang memberi pandangan itu.”

Di sini menunjukkan dalam perjuangan kena ada ikhtiar, ada strategi, ada tektik. Maka dipilih tempat yang dicadangkan menyebabkan Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya tidak ada air. Nabi dan para sahabat ada air. Bila tidak ada air dahaga dan tidak dapat mandi pula lagi panas, lagi naik marah. Ini diatur oleh Allah Ta’ala.

Jadi berhadaplah dua pasukan. Ceritanya banyak sudah orang dengar. Iktibar daripada peperangan Badar mungkin ramai tidak mengetahui.

Bila berhadap nabi berdoa kepada Allah Ta’ala dan Abu Jahal pun berdoa juga kepada Allah Ta’ala. 

Apa doa Abu Jahal: “Ya Allah ya tuhanku inilah orang yang memutuskan hubungan anak-beranak, keluarga, silatur rahim, yang memecahbelahkan anak-beranak, membawa ajaran yang sesat, binasakanlah dia pada hari ini.” Sembahyang hajat juga Abu Jahal pun.

Tergamak dia kata nabi sesat. Jadi jangan berasa pelik kalau orang kata mereka berjuang Islam sesat. Nabi orang kata sesat dan tukang pecah belah masyarakat. 

Nabi juga berdoa kepada Allah Ta’ala dan diriwayatkan nabi mengangkat tangan tinggi sehingga nampak putih di bawah ketiak: “Ya Allah ya tuhanku jika binasa pasukan yang kecil ini tidak ada lagi orang menyembah Mu wahai tuhan.”

Kenapa nabi berdoa begitu. Tidak berdoa kalau kalah habislah tanah air kami akan dijajah, keluarga kami akan ditawan dan harta kami akan dirampas. Mengapa nabi tidak berdoa begitu? Tetapi nabi berdoa: “Kalau kalah tiada lagi orang menyembah kamu ya Allah, habislah Islam.”

Ini menunjukkan yang penting ialah Islam dulu, Islam diutamakan. Abdikan diri kepada Allah. Bukan tanah air tidak penting, bukan keluarga tidak penting, bukan harta tidak penting, semuanya penting, yang lebih penting ialah Islam, mengabdikan diri kepada Allah Ta’ala. Bila Islam ditegakkan tanah air selamat, negara selamat, keluarga selamat dan bangsa selamat. 

Kalau bangsa diselamatkan, harta diselamatkan, tanah air diselamatkan tetapi Islam diletak di belakang semua tidak selamat. Untuk menentu kita selamat ialah Islam. 

Di sinilah perjuangan Islam bukan perjuangan nasionalism, bukan perjuangan kenegaraan, bukan perjuangan tanah air. Tanah air penting, jika orang menyerang tanah air Islam wajib dipertahankan. Orang menceroboh keluarga kita wajib dipertahankan. 

Orang hina bangsa pertahankan bangsa kita. Tetapi ini semua bukan dasar, bukan matlamat. Dasar penting ialah Islam. 

Ini makna perang Badar yang mesti kita faham.

Peperangan yang menemukan satu bangsa dan satu keluarga. Nabi sebelah Islam. Bapa saudara nabi di sebelah jahiliah. Abu Bakar sebelah Islam, anaknya di sebelah jahiliah. Abu Ubaidah di sebelah Islam, ayahnya di sebelah jahiliah. 

Fikirlah bagaimana perasaan nabi hendak berdepan bapa saudara, Abu Bakar hendak berdepan dengan anak dan Abu Ubaidah hendak berdepan dengan ayah, hendak berdepan dan berperang dengan orang-orang yang dikenali. 

Hendak berperang fikirlah bagaimana perasaan. Hancur perasaan. Tetapi oleh kerana iman yang kuat, keyakinan yang kuat mereka tetap menghadapinya.

Firman Allah Ta’ala surah al-Mujadilah: “Engkau tidak dapati wahai Muhamad orang yang sungguh beriman kepada Allah dan hari akhirat mencurahkan kasih sayang, orang yang menentang Allah dan Rasul walaupun orang yang menentang Allah dan Rasul itu ayah mereka sendiri, anak mereka sendiri, saudara-mara mereka sendiri, keluarga mereka sendiri, mereka tidak peduli, mereka itu adalah orang yang Allah masukkan dalam hati mereka ruh keimanan, keyakinan dan kekuatan cinta kepada Islam.”

Itulah mereka yang hadir dalam peperangan Badar. Mereka yang diuji Allah harta mereka, diri mereka, kasih sayang dengan keluarga. Islam dulu, mana dulu? Islam dulu. Ini kehebatan ahli Badar. 

Maka Allah Ta’ala memberi kemenangan kepada mereka. Kemenangan yang luar biasa, kemenangan yang dicatat dalam sejarah. Ahli Badar disanjung oleh Allah Ta’ala.
Allah Ta’ala berfirman dalam hadis kursi: “Wahai ahli Badar buatlah apa yang engkau hendak buat Aku ampun dosa kamu.” Mereka mempunyai keistimewaan di kalangan sahabat-sahabat yang lain. 

Bila berlaku peristiwa nabi hendak membuka Mekah, kebetulan bulan Ramadan juga, pemimpin musyrikin diketuai oleh Abu Sufian RA mengadakan perjanjian dengan nabi dan dalam perjanjian dibenarkan bertahaluf (bersefahaman dengan orang kafir). 

Dalam perjanjian Hudaibiyah tidak dibenarkan menceroboh antara satu sama lain. Tiba-tiba Bani Bakar yang baik dengan musyrikin Mekah menyerang Kuzaah yang bertahaluf di bawah nabi SAW, langgar perjanjian. 

Maka nabi menggerakkan tenteranya untuk menyerang Mekah untuk merdekakan Mekah. Mekah masa itu bukan dijajah oleh Amerika, bukan dijajah oleh British tetapi diperintah oleh mertua nabi sendiri.

Nabi menggerak bala tentera secara rahsia untuk menyerang Mekah. Tiba-tiba ada seorang sahabat telah membocorkan rahsia, menulis surat mengatakan nabi hendak menyerang Mekah. Jibril memberitahu nabi ada seorang perempuan membawa surat di satu kebun untuk dikirim kepada musyrikin Mekah. 

Lalu nabi menyuruh Saidina Ali dengan Said bin Zubir mengejar perempuan itu. Bila berjumpa perempuan ditanya mana surat. Jawab perempuan itu: “Tiada.”
Said bin Zubir kata: “Kalau kamu kata tidak ada aku lurah kain kamu.”

Akhirnya perempuan itu mengeluarkan surat itu daripada dalam sanggurnya.
Surat itu dibawa balik dan menyerah kepada nabi SAW. Nabi menyuruh sahabat baca dan surat itu daripada Hatib bin Abi Bataah membocor rahsia nabi hendak menyerang Mekah. Nabi kata: “Ya Hatib ini apa dia?”

Saidina Omar kata: “Bunuhlah dia ya Rasulullah.”

Nabi kata: “Jangan. Tidak boleh bunuh dia ahli Badar. Allah Ta’ala sudah berfirman kepada ahli Badar, “Wahai ahli Badar buatlah apa yang kamu hendak buat Aku ampun dosa kamu.”


Badar menjadi pengajaran kepada kita apa makna Islam. Islam mesti tinggi daripada yang lain. Tinggi daripada bangsa, tinggi daripada tanah air, tinggi daripada segala-galanya. Islam yang menyelamatkan semua. 

Bila Islam ditegakkan semuanya selamat. Tegakkan yang lain dan Islam diletak di belakang semuanya tidak selamat. Islam adalah kurniaan Allah Ta’ala.

Golongan yang ditarbiah oleh Badar inilah melahirkan generasi-generasi yang hebat. Setelah nabi memimpin selama sepuluh tahun Allah Ta’ala wafatkan nabi SAW golongan yang ditarbiah ini berjaya menyambung Islam. 

Lepas nabi wafat berlaku peristiwa riddah. Beberapa kabilah Arab murtad. Madinah dan Mekah dikepung orang yang ditarbiah inilah berjaya menegak Islam walaupun golongan murtad ini dibantu oleh kuasa besar dunia iaitu Farsi dan Rome. Golongan murtad dikalahkan, Farsi dan Rome tumbang. Jatuh kedua kuasa besar dunia. 

Saidina Omar berkata: “Kita adalah umat yang dikurniakan Allah Ta’ala dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan lain daripada Islam kita mendapat penghinaan daripada Allah Ta’ala.”

Ahli Badar kuat dengan Islam. Kita orang Islam di akhir zaman kena kuat dengan Islam. Kalau tinggal Islam kita akan jadi lemah. 

Sebaik sahaja Islam ditinggalkan negeri orang Islam dijajah. Bukan sahaja dijajah tetepi dipecah-pecahkan dibahagi sesama penjajah. Ada yang ditakluk oleh Inggeris, ditakluk oleh Perancis, ditakluk oleh Belanda, ditakluk oleh Rusia dan ditakluk oleh China.


Orang Islam jumlahnya terlalu ramai tetapi lemah kerana tinggalkan Islam, Islam diletak di belakang. Walaupun orang Islam tinggalkan Islam, cahaya agama Islam yang ada dalam Quran tidak boleh dipadamkan. Kiblat orang Islam tidak boleh dihapuskan.

Seorang orientalis (orang barat yang belajar Islam) mengatakan bila negeri-negeri orang Islam jatuh, dijajah dan dipecah-pecahkan, orang Islam berpecah tetapi Islam tidak boleh dihapuskan. Katanya lagi rahsianya ialah ada dua batu yang sangat keras. 

Walaupun negerinya dapat ditakluk dua batu ini tidak dapat dihancurkan dengan apa teknologi sekalipun. Kalau kita pergi dekat kita yang hancur. Yang pertama al-Quranul Karim dan yang kedua ialah Makkatul Mukarramah. Selagi ada Quran dan selagi ada Mekah orang Islam tidak boleh dihapuskan.

Jika nabi hendak menegakkan Islam terpaksa menghadapi ujian kita yang bukan nabi terpaksa menghadapi ujian juga.

Firman Allah Ta’ala: “Adakah kamu ingat kamu boleh masuk syurga dengan percuma padahal belum lagi datang kepada kamu ujian-ujian yang dialami oleh mereka yang terdahulu, pengikut-pengikut nabi zaman dahulu, mereka menghadapi ujian kesengsaraan dan penderitaan. Mereka diuji dengan ujian yang dahsyat, mereka digoncang dengan sehebat-hebatnya. 

Ada yang mati, ada yang dipenjara dan ada yang lapar sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersama dengannya bila lagi hendak datang pertolongan Allah. Ingat pertolongan Allah itu hampir.”

Allah Ta’ala hendak mengajar kita Islam sangat mahal harganya. Perkara yang mahal harganya tidak boleh dimiliki dengan mudah. Batu yang murah harganya kita boleh pungut di tengah jalan dengan mudah. Tetapi emas yang mahal kena gali, kena pecah batu, kena bakar, kena katak dan sedikit sahaja yang dapat tetapi mahal harganya. 

Islam lebih mahal daripada emas dan lebih mahal daripada segala-galanya maka kita akan menghadapi segala ujian dan Allah Ta’ala akan bayar pada hari kiamat kelak dengan harga yang mahal. Allah Ta’ala berjanji dunia boleh dan akhirat pun boleh. Akhirat yang lebih penting daripada segala-galanya. Inilah semangat yang ada pada golongan generasi Badar yang perlu kita mengambil pengajaran.


Disebut dalam hadis: “Kelebihan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dengan perjuangan tetapi termasuklah mereka yang bersimpati dengan perjuangan.”

Disebut dalam kitab-kitab hadis suatu masa nabi balik daripada peperangan Tabuk nabi singgah di satu lembah nabi kata: “Ada rakan-rakan kita di Madinah mereka tidak sama dengan kita, tidak mengikut kita berjuang kerana mereka uzur dan sebagainya mereka mendapat pahala juga kerana hati mereka bersama dengan kita.”

Begitulah kita, hati kita mesti bersama dengan saudara-saudara kita yang terlibat dengan ujian seperti di Palastin, di Syiria, di Irag, Myammar dan lain-lain lagi.

Nabi kata: “Barang siapa yang tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam dia bukan puak kita.”

Kalau orang Islam susah, orang Islam kena tindas, sikap kita tidak ada apa-apa bagi kita, asal boleh pergi masjid, boleh buat umrah acap kali cukuplah. Orang lain hendak mati matilah. Ini bukan puak kita kata nabi. 

Orang tidak mengambil tahu hal kesusahan orang Islam bukan puak kita. Kita puak nabi Muhamad SAW, kita perlu ambil tahu cerita-cerita penderitaan orang Islam di mana-mana. Baca Quran tahu cerita-cerita dalam Quran untuk menjadi pengajaran sehingga hari kiamat.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment