Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum
yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala
puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan
diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat
kerana Allah.
Inilah
yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata
nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah.
Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadis-hadis yang
banyak.
Merokok, keluar darah haid atau
nifas dan hilang akal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan
puasa.
Adapun yang tidak disepakati,
boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila
berada di dalam Ramadhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa
hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah
keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit,
menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. Hukumnya. Tidak batal puasa kerana yang
membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut
dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu,
Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).
Manakala pandangan pembatalan
puasa dengan berbekam yang berdalil hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan
sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadis dari
Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa.
(Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadis dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji
Wida' dan terkemudian dari hadis yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir
al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali
Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan
sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut
dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat
tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang
berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan
dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar
tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa
adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau
lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu,
maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka
hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md
‘Uqlah, hlm 211).
Ini juga dipersetujui oleh Syeikh
Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak
sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil
Kalam fil Fatawa).
Tidak dinafikan terdapat fatwa
yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya
kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan
pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak
haid untuk puasa penuh :Hukumnya :
Harus dengan syarat tidak membawa
mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang
berwibawa.
Namun yang terbaik adalah tidak
menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh
Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai
jenis ibadah.
4) Penyembur
gas untuk pesakit lelah: Hukumnya :
Baru-baru ini
pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada
membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero
dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal
dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan
para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas
kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan
terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna
ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.
Demikian pandangan awal dari
Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi
kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih
terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian
ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para ulama masih
perlu bergantung kepada maklumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa
tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah,
menyebut hukumnya tidak batal kerana gas
itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah
jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke
bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama
berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun
serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah
satu keperluan mendesak buat pesakit
athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu
lapar.
Pandangan terpilih adalah TIDAK
BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan
berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali
semburan dibuat.
Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas
sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini
terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya
hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim
yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan
pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang
diperlukan secara mendesak.
Selain itu, jisim yang termasuk ke
dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana
beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa
berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan,
kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau
untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain
killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan
puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226).
Demikian juga hukumnya suntikan
kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan
perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah
:
Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga
terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa.
Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd
Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir
Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis
makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk
melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.Hukumnya
: Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama
Syafie mengatakannya
terbatal. Justeru, jauhilah
berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah
jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu
berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih
menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh
Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat.
Hukumnya :
Tidak batal puasa menurut majoriti
mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan
mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik
kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.
Selain itu, ia juga mencarikkan
keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh
keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda :
"Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka
semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban).
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa.
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal
menurut majoriti ulama.Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-Ertinya : "Nabi S a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam
keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan
nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan
satu lagi adalah : - Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi
oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab
nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama :
Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami saling berpandangan antara satu sama
lain, maka nabi berkata :- "aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan
antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya
(nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang
diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah
"berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal
nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106)
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak
harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa
kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid.
Wanita tamat haid pada waktu malam
dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah
walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh,
seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi
haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat
bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh
majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya
adalah :- Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat
untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu
Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi. Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau
perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi
semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak?
Zahir dalam mazhab Hanbali
menyatakan, ia membatalkan puasa. Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e,
Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa
keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa.
Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa
setubuh.
Mencium dan menyentuh melalui
onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib
qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya
kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut
sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159) Manakala
mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih
cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar
bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga
adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di
siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia
tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan
kahak.
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa
disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn
Quddamah, 4/159).
Manakala Kahak yang selagi ia
belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada
had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan.
Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir.
Kahak yang sudah sampai pada
mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada
pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal
.
Sebahagian ulama berpendapat HARAM
menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut
haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa.
Manakala yang berada di
bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi.
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak
membatalkan puasa.
Dalilnya adalah hadis yang
menunjukkan Nabi s a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh,
namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang
biasa?.
Jawapnya ia tidak membatalkan
puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika
berpuasa.
Anas bin Malik pula adakalanya
merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat
bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya boleh batal
apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana
yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum
dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau
membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan
Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan
niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa
wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya.
Imam Ibn
Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah
berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat
membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
No comments:
Post a Comment