Tuesday, November 8, 2016

ZAT ALLAH




Maksud hadis-hadis:

Riwayat Abu Shikh:

“Daripada Ibni Abas RA daripada nabi SAW, sabdanya: Fikirkanlah mengenai apa jua yang diciptakan Allah tetapi janganlah kamu fikirkan tentang zat Allah.”
Riwayat Abu Shikh:

“Daripada Abu Zar RA daripada nabi SAW, sabdanya: Fikirlah mengenai segala makhluk Allah dan janganlah kamu fikirkan tentang zat Allah kerana yang demikian menyebabkan kamu binasa dalam kesesatan.”

Riwayat Abu Shikh:

“Daripada Ibni Umar RA daripada nabi SAW, sabdanya: Fikirkanlah segala nikmat Allah dan pemberiannya dan janganlah kamu memikirkan mengenai zat Allah.”

Semua hadis ini menunjukkan batas sempadan kepercayaan kita kepada Allah SWT. Kepercayaan kepada adanya tuhan adalah menjadi fitrah atau sifat semula jadi manusia sama ada orang Islam atau pun orang bukan Islam, sama ada mereka yang mendapat pelajaran atau mereka yang tinggal di hutan belantara yang langsung tidak ada pelajaran. Termasuklah mereka yang cakap-cakapnya tidak percaya kepada tuhan. 

Tetapi apabila dalam keadaan bahaya di lautan yang luas ditimpa ribut yang kuat di tengah malam yang gelap gelita atau pun semasa berada dalam kapal terbang, bila ditimpa ribut dalam keadaan terumbang-ambing melayang dan dalam keadaan bahaya di masa itulah dia percaya adanya tuhan.

Di sinilah benarnya firman Allah Ta’ala: “Dan jika engkau tanya mereka siapakah yang menjadikan  langit dan bumi, semua mereka menjawab Allah, sama ada orang Islam atau pun bukan Islam percaya kepada adanya Allah.”

Kepercayaan kepada adanya tuhan dengan betul tidak cukup dengan akal kerana akal tidak mampu untuk berfikir tentang hakikat zat Allah SWT, sifat-sifat Allah dan nama-namanya yang tidak terhingga: “Yang tidak ada sepertinya sesuatu pun.”

Percaya kepada Allah cukup dengan apa yang diajar oleh nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS. Nabi-nabi dan rasul-rasul adalah orang yang dilantik oleh Allah Ta’ala, di kalangan orang wajib besifat benar, amanah, cerdik dan berani menyampaikan ajaran yang sebenar. Itulah rasul-rasul ASTS yang dipilih oleh Allah Ta’ala yang mengajar kita tuhan yang sebenar ialah Allah, satu sahaja, tidak ada lagi tuhan yang lain.

Kepercayaan kepada tuhan cukup dengan melihat dalil-dalilnya, tanda-tandanya yang ada pada diri kita sendiri, yang ada kepada makhluk-makhluk di keliling kita dan nikmat yang diberi kepada kita.

Firman Allah Ta’ala: “Dan pada diri kamu sendiri adakah kamu tidak melihat tentang kejadian kamu sendiri yang sangat manakjubkan, boleh berfikir, mata boleh melihat, mulut boleh bercakap, telinga boleh mendengar, boleh bernyawa, boleh bergerak dan sebagainya. Pohon kayu, binatang, bukit-bukau dan gunung-ganang, langit, bumi dan segala-galanya adalah tanda kekuasaan Allah Ta’ala.”

Pada makhluk kamu tidak mampu hendak fikir, tentang diri kamu sendiri kamu tidak mampu hendak fikir, tentang makhluk di hadapan kamu, kamu tidak mampu hendak fikir.
Lekrik adanya tenaga lektrik. Cukup dengan dalil kipas berpusing, lampu bernyala menandakan adanya tenaga letrik yang menggerakkannya. Sekiranya kamu hendak mengetahui lebih, ambil pisau dan membelah wayarnya dan sentuh dengan tangan, kamu mati. Bagaimana dengan zat Allah Ta’ala.

Kalau difikiir tentang zat Allah Ta’ala, sifat Allah dengan berlebihan maka menjadi rosak dan sesat. Banyak kalangan manusia yang dianggap bijak yang dinamakan ahli-ahli falsafah cuba hendak mengkaji tentang ketuhanan dengan menggunakan akal sahaja menjadi sesat. 

Mereka melantik batu menjadi tuhan, melantik kayu menjadi tuhan, melantik lembu menjadi tuhan dan melantik makhluk yang bodoh, makhluk-makhluk yang menjadi alat kepada mereka dipuja dan disembah. Maka menjadi sesat dan menyeleweng.

Ada antara mereka yang mengatakan bahawa mereka juga percaya kepada Allah, cuma menjadikan batu-batu itu sebagai perantaraan. Itu juga kebodohan di kalangan manusia yang tidak mendapat petunjuk daripada Allah Ta’ala.

Bagi kita orang Islam, kita terima petunjuk Allah Ta’ala yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS yang mengajar kita bagaimana hendak menyembah Allah Ta’ala.
Bersembahyang mengadap kiblat supaya sembahyang tidak jadi celaru, maka Allah memerintah nabi Ibrahim mendirikan Ka’abah sebagai kiblat di Makkatul Mukarramah untuk menyatukan hala sembah kita kepada Allah. Ini tidak bermakna kita menyembah batu-batu itu. Sekiranya Ka’abah diruntuhkan dan batu-batunya dibawa ke sini kita tidak boleh mengadap kepada batu itu. 

Kita mesti mengadap ke arah Masjidil Haram: “Kamu hendaklah halakan hadap mu ke arah al-Masjidil Haram.” Itu arahan daripada Allah SWT.

Batu Hajaral Aswad ialah batu yang didatangkan dari syurga dihadiahkan kepada Adam AS yang teringat ke syurga. Bagi menghormati keberkatannya maka nabi mengajar bila towaf di Mekah kita kucup kepada batu Hajaral Awad itu. 

Kita bukan menyembah kepada batu itu. Saidina Omar al-Khattab RA ketika towaf hendak mengucup batu Hajaral Aswad berkataaraH: “Wahai batu Hajaral Aswad engkau ialah batu yang tidak memberi apa-apa mudarat dan manfaat, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah kucup kamu nescaya aku tidak kucup kamu.” 

Menandakan bahawa kita tidak puja makhluk. Kita orang Islam hanya mengadap Allah sahaja. Cukup dengan ilmu yang diberitahu oleh nabi, yang diberitahu oleh para ulamak yang menerima daripada nabi SAW dengan betul. 

Jangan kita cuba mencungkil lebih daripada itu untuk menjauhkan diri kita daripada menjadi sesat. Kita tidak mampu hendak melihat zat Allah Ta’ala. Kita hendak melihat matahari pun tidak mampu kerana boleh menjadi buta mata kita.

Disebut dalam hadis qudsi: Allah Ta’ala menjadi pemisahan antara hambanya dengan tuhan, pemisahan daripada cahaya dan ada riwayat mengatakan api. Sekiranya dibuang pemisahan dan dinding itu nescaya semua makhluk akan hancur berkecai menjadi abu kerana tidak larat dengan kekuasaan dan kebesaran Allah Ta’ala.

Nabi Musa AS yang diberi peluang oleh Allah Ta’ala bercakap dengan-Nya dengan cara yang dibuka hijab-Nya oleh Allah Ta’ala, nabi Musa minta melihat tuhan: “Wahai tuhan tunjukkan kepada aku, aku hendak melihat Kamu.”

Tuhan berkata; “Tidak boleh, Aku tidak boleh beri lihat lagi sekarang ini. Hari kiamat baharu boleh melihat tuhan. Silat lihat bukit Turusaina wahai Musa.”

Apabila Allah Ta’ala menjelma dengan kebesarannya nabi Musa tersungkur pengsan dan gunung Turusaina menjadi hancur lebur sama rata dengan tanah kerana tidak tahan menghadapi kebesaran Allah Ta’ala.

Oleh kerana itu jangan kita mencari jalan yang sesat, cukup dengan melihat dalil kekuasaan Allah Ta’ala.

Dalam dunia hari ini ramai ahli sains yang membuat kajian sains mengikut kemampuan mereka, masuk Islam bila mereka membaca al-Quran. Ini berlaku dalam dunia hari ini menunjukkan bahawa orang-orang yang bijak dan menggunakan akal dengan ikhlas diberi petunjuk oleh Allah STW, mendengar Islam lalu masuk Islam.

Kita Alhamdulillah dikurniakan oleh Allah dengan nikmat Islam menjadi pengikut nabi Muhamad SAW, nabi dan rasul akhir zaman yang tidak ada lagi nabi selepas daripadanya. Sekiranya ada orang mengajar atau buku-buku yang ditulis mengenai hakikat tuhan berlainan daripada apa yang dinyatakan oleh al-Quran dan hadis maka itu sesat dan hendaklah ditolak dengan sekeras-kerasnya. 

Kita mesti jaga iman kita sungguh-sungguh. Cukup dengan percaya kepada Allah, tunduk kepada Allah dan kebesarannya, kita tidak mampu hendak mengetahui hakikat-Nya kerana kita terlalu lemah dan kita bergantung kepada Allah hidup dan mati kita.

KULIAH SUBUH YT

No comments:

Post a Comment