Tuesday, November 8, 2016

BICARA SEMASA



UCAPAN PRESIDEN TG HAJI ABDUL HADI

Kepada mereka yang baru mengikut perjuangan PAS merasakan gelombang yang berlaku sehari dua ini sangat teruk sehingga ada yang mabuk laut, yang pening.

Saya mengikuti PAS sejak tahun lima puluhan menyaksikan krisis yang menjatuhkan kerajaan Terengganu tahun 1961 dan menyaksikan krisis kejatuhan Kelantan tahun 1978. PAS menerima masalah dalaman sendiri menyebabkan dua kerajaan negeri tumbang.

Saya juga membaca krisis yang dialami oleh PAS seawal ditubuhkan sebelum merdeka, diambang menghadapi pilihan raya tahun 1955 ketika PAS kehilangan Presiden yang keluar parti. Tahun enam puluhan Setiausaha Agung keluar parti. Peristiwa 78 di Kelantan menyebabkan tujuh lapan orang pimpinan pusat keluar parti. Tetapi PAS tidak tumbang.
 
Apa yang berlaku sehari dua ini sedikit sangat. Kepada mereka yang baru hendak belajar politik sudah rasa berat.

Masalah yang berlaku di Selangor bukan masalah kita. Tetapi masalah yang dibuat oleh rakan kita yang terpaksa kita menolong memikulnya. Kita telah membuat keputusan untuk menyerahkan kerajaan negeri Selangor dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat, rakan kita dalam Pakatan Rakyat.

PKR telah berjaya memerintah Selangor satu penggal, kerajaan yang bersih, tidak ada ruang bagi kerajaan pusat untuk menghentamnya kerana tidak ada kesilapan dan kesalahan.

Tibaa-tiba dijadikan masalah. Mula-mula dikatakan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kedekut, bakhir, susah hendak keluar duit. Saya berjumpa beliau. Dia kata: “Duit negeri Selangor bukan duit saya, itu duit rakyat, saya tidak boleh keluarkan duit itu sewenang-wenang, mesti mengikut peraturannya.”

PAS memilih dan menyokong Tan Sri Khalid menjadi MB kerana amanahnya. Ini sangat penting. Kita berpengalaman memerintah kerajaan negeri, di Kelantan lebih daripada dua puluh tahun dan Tok Guru Nik Aziz menjadi MB.

Ada orang kita lupa PAS dua puluh tahun lebih di Kelantan memerintah kerajaan dengan amanah. Kita lupa peranan PAS di Kelantan duduk ingat DAP yang baru sepenggal memerintah Pulau Pinang. Duduk fikir Selangor yang baru sepenggal.

Kita memerintah Kelantan dalam keadaan tiada hasil negeri, negeri miskin tetapi boleh memerintah selama dua puluh tahun lebih. Pulau Pinang kaya dan Selangor hasilnya banyak baru hendak masuk dua penggal.

Ada orang kita berasa bangga, orang PAS berasa bangga dengan keadaan Selangor dan Pulau Pinang.  Mengapa kita tidak berasa bangga dua puluh tahun kita memerintah Kelantan dalam keadaan negeri yang miskin.

Sepatutnya kita kena sedar diri kita sendiri. Ini kerana kita baru hendak belajar politik termasuk yang kita lantik menjadi pemimpin ada yang baru hendak belajar politik. Inilah masalahnya. 
  
Tan Sri Khalid dituduh dengan tuduhan-tuduhan yang disebut dalam media. Buat dialog dengan adun-adun dan ahli parlimen. Setelah dibuat dialog beliau menjawab soalan-soalan oleh ahli-ahli parlimen dan adun-adun dengan dibantu oleh pegawai-pegawai mereka di Jabatan Menteri Besar dan GLC.

Ramai kalangan ahli politik bukan ahli ekonomi, bukan ahli koprat. Sepatutnya kita jangan bercakap dalam perkara yang kita tidak tahu. Kalau kita bercakap juga bermakna mendedahkan kebodohan kita.

Diputuskan supaya MB Selangor dihadapkan ke dalam panel Majlis Pakatan Rakyat, Majlis Presiden. PAS diwakili oleh 3 orang, DAP 3 orang dan PKR tiga orang menjadi wakil untuk berdepan dengan MB Selangor.

PAS diwakili oleh Datuk Mustafa Ali, Solahuddin Ayub (Naaib Presiden) dan Presiden. Daripada PKR Datuk Sri Anwar Ibrahim, Saifudin Nasution dan Rafizi. Daripada DAP Lim Kit Siang, Tony Phua dan Anthony Loke.

Bila berdepan dengan Tan Sri Khalid. Dikemukakan soalan-soalan dan beliau menjawab soalan-soalan itu. Semua soalan dijawab dan beliau lepas jawab, jawapannya amat memuaskan sehingga tidak ada hujah lagi pihak yang menyoalnya. Semua yang hadir bersetuju dengan jawapan-jawapan beliau dan didapati dia perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah Selangor. Itu keputusannya.

Kita dikejutkan supaya dikosongkan satu kerusi di Kajang, kerusi yang sudah kita menang dan Adun diminta letak jawatan. Kita diberitahu tanpa mesyuarat pun. Kita menyatakan kita tidak setuju. Ini bukan caranya. Rakyat baru lagi mengundi, dibuat keputusan pilihan raya pula.

Oleh kerana sama-sama dalam PR kita kerah anak-buah kita berkempen di Kajang. Kita membuat rosolusi PAS akan ikuti pilihan raya di Kajang. Masalah MB tidak berbangkit. Ini keputusan.

Lepas beberapa hari timbul masalah MB. MB akan ditukarkan dan mulalah tersebar surat-surat tuduhan terhadap MB itu. Kita sebagai sebuah parti Islam tuduhan itu mesti disaksikan dan diolah dengan adil. Jika hukum dengan begitu sahaja, zalim namanya.

Kita baca Quran: “Jangan cenderung kepada orang zalim nanti disambar oleh api neraka.”

Kita parti Islam, DAP bukan parti Islam. PKR kita tidak tahulah, rujuk atau tidak ayat Quran, terpulang kepada merekalah. Kita kena tengak ayat-ayat Quran ini.

Kemudian berlakulah krisis perlantikan Menteri Besar Selangor. Calon yang dicadangkan tidak disetuju oleh ulamak kerana bercanggah dengan hukum Islam. Syarat hukum Islam mestilah seorang yang layak, yang mampu memikul jawatan ketua kerajaan.

Nabi sebut hadis: “Barang siapa yang mewakilkan urusan orang Islam dia melantik seseorang memegang jawatan bukan kerana kelayakan dia, tetapi kerana kecenderungan dia, kerana sebab-sebab puak dia, bukan kerana kebolehan dia, diseret ke dalam neraka jahanam.”

Orang PAS sanggup ke? Tentulah kita orang PAS, kita parti Islam tidak sanggup. Maka berlakulah pergolakan sehingga hari ini dan kita kena berpegang bahawa PR berpijak di atas asas-asas yang termaktub di dalam perlembagaan:

1. Mendukung demokrasi
2. Memegang konsep dan prinsip Islam Agama Persekutuan
3. Raja Berperlembagaan. Kita tidak jadikan raja macam tunggul kayu. Ada peranannya. Ada kalangan kita hendak membuat raja macam tunggul kayu. Raja bagaimana buruk sekalipun tidak boleh dijadikan macam tunggul kayu. Bukan kerana fanatik tetapi akhlak kena begitu. Terutama sekali kita orang Melayu yang beragama Islam.

Oleh sebab itu ahli-ahli kena faham bila berlaku hal yang semacam ini, nabi sebut dalam satu hadis: “Kamu ibarat berada dalam satu bahtera, ada orang yang duduk dipetak atas dan ada orang yang duduk dipetak bawah. Lalu orang-orang yang duduk dipetak bawah bermasalah dengan mereka yang duduk di petak atas.

Jika hendak senang mendapat air orang duduk di petak bawah menebuk kapal, dapat air cepat dan kapal pun tenggelam dan semuanya mati. Atau pun kita sabar, jangan tebuk kapal itu dan semua akan selamat, yang duduk di petak atas selamat dan yang duduk di petak bawah pun selamat.”

Kita kena jaga supaya jangan ada puak-puak kita ini bila gelombang kuat hendak tebuk kapal. Ini kena jaga, jangan ada yang tebuk kapal ini.

Sesi soal jawab:

1. Fasal Hudud hendak dibawa ke parlimen:

Kita kena sedar bahawa hendak melaksanakan undang-undang jenayah dengan sepenuhnya mestilah mengikut proses bukan sahaja dalam kaedah politik barat termasuk juga kaedah politik Islam. Nabi kita Muhamad SAW tidak melaksanakan undang-undang jenayah syariat dan undang-undang sebagai sebuah negara melainkan setelah adanya negara.

Mengikut undang-undang perlembagaan, mengikut kaedah ilmu politik dan mengikut undang-undang antarabangsa sesebuah negara yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan hal-hal tersebut mestilah ada lima syarat:

1. Kena ada negeri
2. Kena ada rakyat
3. Kena ada pemimpin yakni kerajaan yang memerintah
4. Kerajaan yang sah,
5. diiktiraf sebagai sebuah negara atau kedaulatan.

Mesti cukup lima syarat ini. Kalau tidak mencukupi Allah Ta’ala tidak mewajibkannya. Orang tidak ada wang tidak wajib baginya pergi ke Mekah tetapi niat mesti ada.

Mesti ada negeri. Oleh sebab itu nabi Muhamad SAW berhijrah ke Madinah mencari negeri untuk  membolehkan pemerintahan.

Kena ada rakyat. Kalau kita pergi ke sebuah pulau kemudian isytihar kita kerajaan sedangkan di pulau itu tidak ada manusia. Kita seorang sahaja yang ada. Lain-lain adalah binatang. Ini tidak boleh jadi sebuah negara.

Mesti ada rakyat dan pemimpin yang memerintah sama ada secara individu atau kolektif. Quran menyebut raja dan Quran menyebut khalifah. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua sistem ini ada dalam Quran. Sistem beraja dan sistem khalifah ada dalam Quran dan sistem syura pun ada. Apa yang penting, raja, presiden dan perdana menteri mesti adil.

Mesti ada undang-undang yang sah dan akhir sekali kena ada kedaulatan.

Kelantan, kita ada negeri dan ada pemimpin tetapi tidak ada kuasa sebagai negara yang berdaulat dengan sepenuhnya. Kita bergantung dengan usaha-usaha melalui kerajaan pusat.

Oleh kerana perlembagaan negara yang diikat oleh British walaupun ditulis di situ Islam Agama Persekutuan dalam masa yang sama dia kata bidang agama adalah kuasa negeri. Kuasa negeri tidak boleh melangkah Jadual 9. Jadual 9 ini tidak lebih daripada 356 iaitu tiga tahun jil, denda RM5,000.00 dan enam kali sebatan. Ini kuasa kerajaan negeri.

Dalam hal ini kita perlu membawa ke parlimen untuk membuat pindaan perlembagaan. Untuk menyelesaikan masalah ini perlu ada rundingan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.

Maka kerajaan negeri telah melantik pasukan-pasukannya dan kerajaan pusat melantik pasukan-pasukannya apabila kerajaan pusat mengatakan kesediaan dia untuk membincang dengan Kelantan dan sekarang dalam perundingan. Kita kena faham ada prosesnya.

2. Wakil rakyat Pengkalan Kubur, dulu PKR yang bertanding. Sekarang macam mana.

Ada prosesnya. Ada perundingan antara PAS Kelantan dengan PKR Kelantan. Perundingan sedang dibuat antara kedua-dua parti. PAS masih lagi dalam pakatan dan kita kena ikut syarat-syaratnya. Nabi kata: “Orang Islam mesti patuh kepada syarat-syarat dia kecuali syarat-syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

3. Rombongan berjumpa Tengku Razali

Mula-mula berjumpa Tengku Razali ialah PKR. Ajak Tengku Razali masuk PKR. Kemudian DAP berjumpa Tengku Razali dan mengajaknya masuk DAP. Tengku Razali tidak bersetuju hendak masuk kedua-dua parti ini.

Kemudian rakan-rakan kita datang berjumpa kita supaya PAS pujuk Tengku Razali masuk PAS. Tetapi Tengku Razali tidak setuju dan masih hendak duduk dalam BN. Parti lain pujuk dulu. Itu hakikat yang sebenarnya.

4. Penubuhan parti baru.

Penubuhan parti baru adalah perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen. Sesiapa yang hendak tubuh parti sila tubuh. Mereka yang berlainan pendapat dalam PAS berasa hendak tubuh parti sila tubuhkan, baik mereka keluar dan tubuh parti lain. Kalau mereka keluar dan tubuh parti lain senang bagi kita. Kalau duduk di dalam ibarat kalau nyamak seekor menyebabkan kita tidak lena tidur.
 
5. Dua adun

Kita ada jawatankuasa disiplin yang menerima aduan-aduan daripada ahli-ahli, daripada cawangan, daripada negeri-negeri. Jawatankuasa disiplin kena meneliti laporan daripada mereka, siasat terlebih dahulu baharulah bertindak. Dulu kita pernah pecat setelah kita dapat bukti yang membolehkan kita pecat.

6. Pendirian dalam Pakatan Rakyat.

Kita masih lagi dalam PR dan kita berpegang kepada konsep PR yang disebut iaitu Islam Agama Persekutuan, raja berperlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, hak bumiputra, hak kaum lain adil.

7. Perlantikan AJK PAS pusat

Ini bergantung kepada pencalonan kawasan-kawasan. Kawasan-kawasan yang mencalonkan siapa AJK PAS pusat. Kawasan yang melantik mereka, mengundi dalam Muktamar dan JKP pusat boleh melantik sendiri beberapa orang JKP pusat.

Kenapa berlaku hal-hal semacam ini. Pernah orang bertanya Saidina Ali: “Wahai amirul mukminin fasal apa zaman Rasulullah tidak ada perbalahan, zaman Abu Bakar tidak ada perbalahan dan zaman Saidina Omar orang tidak berbalah tetapi zaman Amirul Mukminin ini ada perbalahan, mengapa?”

Saidina Ali jawab: “Orang zaman nabi, Saidina Abu Bakar dan zaman Saidina Omar pengikutnya orang macam aku, tetapi zaman aku pengikut orang macam kamu.”

Jadi kena pandai memikirlah dalam masalah ini.

8. Adakah pemimpin mengikut program?

Sebelum mesyuarat pusat ada usrah terlebih dahulu. Kita memilih ayat-ayat Quran dan hadis-hadis nabi untuk diusrahkan dalam mesyuarat pusat. Bukan sahaja cawangan ada usrah pusat pun ada usrah dan ada liqa fikri.

Liqa fikri ialah perbincangan pemikiran. Ulamak-ulamak pula membuat nadwah dan mengajak semua hadir. Ada lujnah tarbiah.

Biasalah bila ada tarbiah ada orang yang berjaya dan ada yang tidak berjaya.

9. Perlantikan orang perempuan sebagai menteri besar.

Untuk melantik pemimpin banyak syarat-syaratnya. Antaranya pemimpin itu sendiri ada kebolehan dan kelayakan untuk menjadi pemimpin.

Jika daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan untuk menjawab soalan di parlimen, untuk menyoal di dewan negeri dan di parlimen, tidak boleh berdialog dalam dewan macam mana hendak menjadi pemimpin.

Jika tidak ada syarat-syarat ini maka tidak boleh jadi pemimpin, bukan kerana perempuan atau lelaki.

Perempuan sebagai ketua pun ada perbahasan. Ulamak-ulamak berbahas oleh soalan berkait dengan ilmu; Firman Allah Ta’ala: “Di mana orang-orang lelaki tuhan kata memimpin orang-orang perempuan. Bagi orang lelaki sekali ganda daripada orang perempuan dalam pusaka.” Itu keputusan Allah Ta’ala.

Ada hadis pula: “Tidak bahagia umat yang melantik pemimpinnya orang perempuan.”

Dalam bab hadis ini ulamak berbahas. Ada mengatakan bahawa orang perempuan boleh jadi ahli majlis mesyuarat sebab Ummu Salamah RA memberi pandangan dia dalam masalah Hudaibiyah yang terkenal dan Aisyah memberi pandangannya.

Ada ulamak mengatakan orang perempuan boleh jadi menteri yang sesuai dengan dia, kerja pejabat yang sesuai dengan dia. Jadi pengarah pendidikan. Tidak munasabah orang perempuan menjadi pengarah mergastua.

Kerja memasak, menganyam dan menjahit sesuai dengan orang perempuan. Kerja mentadbir dan mengurus kewangan sesuai dengan orang perempuan tetapi kerja nelayan tidak sesuai dengan orang perempuan.

Kerja menyusu anak sesuai dengan orang perempuan dan tidak sesuai dengan orang lelaki. Tuhan sudah membuat pengkhususan.

Dalam masalah negara intifak ulamak mengatakan jadi raja, presiden, jadi ketua-ketua kerajaan tidak boleh intifak ulamak. Namun demikian Syiekh Yusuf al-Qadawi dalam Patawanya intifak ulamak tidak boleh perempuan menjadi ketua kerajaan.

Tetapi dibolehkan sekiranya kepimpinan secara kolektif, iaitu ada ahli mesyuarat yang mengendalikan urusan. Qadawi membandingkan dengan Balqish, raja negeri Yaman. Balqish ini raja kafir, bila mengadap nabi Sulaiman dia masuk Islam.  Mengikut riwayat yang pertama dia terus dengan nabi Sulaiman AS. Riwayat ini sangat daif.

Perkara sebenarnya kita menolaka calon di Selangor itu kerana dia tidak layak daripada awal-awal lagi dan bukan kerana dia seorang perempuan. Untuk menjaga negeri Selangor memerlukan seorang yang kuat dan berkelayakan.

10. Kenapa PAS menghantar tiga nama

Kita terima surat daripada istana sumua parti hendaklah menghantar lebih daripada dua nama. Lebih daripada dua nama bermakna tiga, empat dan seterusnya. Kalau kita hantar satu nama atau dua orang akan kita tidak faham.

Jadi PAS faham. Pihak lain terpulanglah sama ada hendak hantar satu atau lebih nama. Pemimpin PAS tidak cerdik jika hantar satu nama kerana istana menyuruh kita hantar lebih daripada dua nama.

11. Pemimpin diminta hantar dua nama

Kenyataan mengatakan pemimpin diminta menghantar dua nama adalah tidak betul. Istana minta hantar lebih daripada dua nama. Surat daripada istana ditujukan kepada ketua-ketua parti. Bermakna ketua-ketua parti berhak untuk menandatangani surat.

Budi bicara kita dalam parti PAS semenjak dulu mengikut perlembagaan. Perlembagaan PAS mengatakan Presiden ada hak untuk membuat keputusan dalam beberapa perkara berkait dengan parti dan ahli-ahli parti, timbalan, naib-naib kena dukung apa yang dibuat oleh presiden.

Perlu disebutkan bahawa sepanjang kita memerintah tahun 59 memerintah Terengganu dan Kelantan sehingga tahun 78 sejak saya ikuti dalam jawatankuasa PAS pusat dalam tahun 78 perlantikan Menteri Besar tidak dirujuk kepada jawatankuasa PAS pusat. Presiden parti yang membuat keputusan.

Bila kita menang di Kelantan tahun 90, Ustaz Fadhil menelefon saya dan Setiausaha Agung untuk melantik Tuan Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan. Kita hantar surat yang ditandatangani oleh presiden tidak perlu rujuk kepada jawatankuasa PAS pusat.

Begitu juga bila menang Terengganu tindakan dibuat tanpa mesyuarat pusat. Jadi diberi kepada pimpinan utama membuat keputusan kerana masa diperlukan sangat cepat.

12. Memberi jawatan penting kepada mereka yang baru masuk PAS

Memberi jawatan penting kepada mereka yang baru menjadi ahli diajar oleh nabi SAW. Nabi ajar: “Mereka yang menjadi pilihan di masa jahiliah pilihan juga di masa Islam kerana mereka faham untuk mengendalikan apa-apa urusan.”

Nabi kita Muhamad SAW melantik tokoh-tokoh zaman jahiliah menjadi governor, menjadi panglima tentera dan menjadi petugas-petugas penting walaupun dia masuk Islam baru dua tiga hari. Dia dilantik menjadi pemimpin dan menyuruh orang bawah taat kepadanya kerana dia mempunyai kepimpinan.

Berlaku macam-macam di zaman nabi. Ada yang nabi memberi tugas dua tiga empat orang sebagai penulis wahi dan salah seorang daripadanya murtad. Bila keluar daripada agama Islam habislah jawatannya. Islam tidak rusak dengan sebab itu.

13. Kurang tarbiyah.

Kita ada tarbiyah tetapi kita tidak letak markah pada tarbiyah. PAS adalah parti terbuka. Siapa yang ingin masuk sila masuk. Dalam tahun lima puluhan dan enam puluhan dulu antara yang masuk PAS ialah ketua belaga ayam dan menjadi pemimpin di peringkat kampung. Belaga ayam adalah haram.

Dia masuk PAS selepas polis tangkapnya kerana tiada lesen. Kita didik dia akhirnya menjadi orang yang kuat. Di sini nabi sebut dalam satu hadis: “Kadang-kadang Allah Ta’ala menolong agama dengan orang jahat.”

Ada orang, dia alim dan baik tetapi penakut bila berdepan dengan musuh. Dalam menghadapi cabaran yang hebat kita melantik dia walaupun dia jahat. Nabi sebut dalam hadis: “Jihad itu wajib tiap-tiap ketua yang dilantik sama ada seorang yang baik atau seorang yang jahat jadi ketua.”

Lain daripada menjadi imam sembahyang. Ini ada dalam hukum fikah yang kita kena faham. Imam sembahyang kena pandai membaca Fatihah, ketua jihad kena tahu macam-macam perkara. Dia tidak pandai membaca Fatihah dengan betul tetapi pandai dalam bab menentang musuh. Ada orang dapat membaca Fatihah dengan betul tetapi tidak tahu berjuang. Kita perlu nilai dalam masalah perjuangan.

14. Antara PAS dengan Pakatan Rakyat mana yang perlu diutamakan dari walad.

PAS tempat kita bergantung iaitu teras kita, Pakatan Rakyat rakan tahaluh iaitu persefahaman kita dengan pihak lain. Jadi pergantungan mesti dengan teras dan bukan dengan pihak lain. Dalam hal ini nabi mengadakan tahaluh dengan orang-orang musyrikin, mengadakan tahaluh dengan orang Yahudi. Tiba-tiba rakan tahaluh itu melanggar perjanjian maka nabi membatalkan perjanjian.

Jadi kita akan rujuk dari satu masa ke satu masa sama ada syarat dipatuhi atau pun tidak. Bila syarat tidak diikuti maka kita mesti setia kepada parti dan tidak setia kepada Pakatan Rakyat. Ini kita perlu faham dan ini kaedah dalam kita berpolitik.

15. Senarai nama termasuk juga daripada orang PAS

Mengenai senarai nama, PKR dan DAP minta PAS sokong satu nama sahaja. PAS kata tidak boleh. Dengan satu nama Sultan tiada pilihan. Jika Sultan tiada pilihan maka kita tidak betul dari segi budi bicaranya. Jadi PAS letak nama yang lain tetapi PKR dan DAP menolak cadangan kita.

Bila mereka menolak cadangan kita maka terpulang kepada kita sendirilah kerana mereka tidak boleh mengikat kita kerana Sultan menghantar surat kepada masing-masing bukan dihantar secara kumpulan. Masing-masing partilah yang menjawab dan kita ada hak kita sendiri untuk menjawabnya. Siapa yang ada dalam nama itu hanya tuhan yang tahu dan Sultan yang tahu.

16. Adakah terhakis sokongan?

Kita jangan takut kerana ujian yang berlaku mematangkan perjuangan itu. Ini kaedahnya dan banyak ayat Quran yang menyatakan tuhan mesti uji kita. Dalam perjuangan mungkin ramai orang munafik dan kita tidak tahu.

Bila berlaku ujian maka mereka yang tidak bersungguh akan disisihkan dan yang ikhlas akan bersama dengan perjuangan kita. Perbersihan akan berlaku dengan adanya ujian.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment