Monday, November 7, 2016

FADILAT BULAN RAMADAN




Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Berkata Salmanur Farisi RA Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah kepada kami di akhir hari bulan Syaaban lalu baginda bersabda, 

“Wahai manusia sesungguhnya tiba kepada kamu bulan yang besar, bulan yang diberkati, pada yang padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa di siang harinya wajib, dan beribadat di malam harinya sunat, sesiapa yang menghampirkan padanya dengan mengerjakan ibadat sunat daripada amal kebajikan adalah baginya seolah-olah ia menunaikan amal yang wajib pada bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan padanya sesuatu fardu amal yang wajib adalah seperti dia menunaikan tujuh puluh amal yang wajib pada bulan yang lain.

Ia adalah bulan kesabaran dan sabar itu ganjarannya syurga, bulan bertimbang rasa, bulan yang ditambah rezeki kepada orang beriman, sesiapa yang memberi buka puasa kepada orang yang berpuasa adalah keampunan bagi dosa-dosanya dan kemerdekaan bagi lehernya daripada api neraka dan adalah baginya seperti pahala orang berpuasa itu dengan mengurangkan pahala orang yang diberi berbuka pausa itu sedikit pun.

Lalu para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, bukanlah tiap-tiap orang kami dapat menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa”.

Maka Sabda Rasulullah SAW maksudnya, “Allah memberi pahala ini kepada sesiapa yang memberi berbuka puasa kepada orang berpuasa dengan sebiji buah tamar atau pun setegak air atau pun setegak susu yang diminum, ia adalah bulan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kemerdekaan daripada api neraka.

Berbanyaklah kamu pada bulan ini empat perkara, dua perkara untuk kamu meredakan dengan keduanya akan tuhan kamu dan dua perkara lagi ialah yang kamu mesti menjadi keperluan kamu untuk menunaikannya.

Maka adapun perkara yang kamu buat untuk mendapat redha tuhan kamu iaitulah kamu mengaku dan percaya bahawa tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan kamu memohon ampun, beristighfar kepada Allah dan adapun dua perkara yang kamu perlu dan berhajat kepada keduanya iaitulah kamu memohon daripada Allah akan syurga dan kamu berlindung dengan Allah daripada api neraka dan sesiapa yang memberi minum seorang yang berpuasa nescaya Allah memberi minum kepadanya daripada kolam-Ku di hari kiamat, minuman yang menjadikannya tidak dahaga selama-lamanya sehingga dia masuk ke dalam syurga”.

Hadis ini adalah berkenaan fadilat bulan Ramadan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui khutbah atau ceramah yang diucapkan pada hari akhir bulan Syaaban apabila esoknya mereka akan menyambut ketibaan bulan Ramadan.

Hadis ini menyebut beberapa kelebihan yang dicapai oleh orang-orang yang menunaikan perkara bulan Ramadan. Sekiranya dia menunaikan perkara yang disuruh pada bulan Ramadan maka dia mendapat kelebihan yang sangat besar.

Terdapat juga beberapa hadiah yang istimewa yang diberi oleh Allah kepada orang-orang yang beriman yang menunaikan kewajipan bulan Ramadan. Hadiah yang terbesar ialah Lailatul Qadar yang dikenali dengan malam Qadar yang diberi kelebihan seribu bulan. Apa sahaja ibadat yang dikerjakan oleh seseorang itu dengan iman ikhlas berbetulan dengan malam Qadar itu akan diberi kepadanya pahala seribu bulan.

Mengikut hadis-hadis yang sahih para ulamak mencari kelebihan Lailatul Qadar ini sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan dengan beriktikaf di dalam masjid mengerjakan ibadat bukan sahaja menunaikan ibadat puasa pada siang hari mereka hidupkan malamnya dengan membuat ibadat sepanjang malam dengan tujuan mendapat kelebihan Lailatul Qadar iaitulah malam Allah memerintah malaikat turun ke bumi dengan diketuai oleh malaikat Jibril di mana bukan sahaja diberi fadilat pahala yang berlipat ganda pada malam itu diberi juga doa yang diperkenankan, istighfar yang diterima oleh Allah Ta’ala di samping pahala yang sangat besar.

Antara hadiah di bulan Ramadan ialah puasa diwajibkan waktu siang hari kelebihan pahalanya tidak terhingga sehingga orang yang meniggalkan satu hari puasa dengan sengaja tidak boleh mengganti pahalanya walaupun dia berpuasa sepanjang hayat.
Di waktu malamnya disediakan ibadat-ibadat yang sunat terutama sembahyang tarawikh sebagaimana yang diriwayatkan oleh para ulamak di dalam kitab mengikut amalan nabi SAW dan amalan para sahabat iaitulah bersembahyang tarawikh lapan rakaat dan diikuti witir sekurang-kurangnya satu rakaat atau pun tiga rakaat atau pun bersembahyang dua puluh rakaat sebagaimana dilakukan khalifah Omar ibni al-Khattab di zamannya. 

Ada ulamak mengatakan sehingga tiga puluh rakaat dan ada yang beramal dengan tiga puluh sembilan rakaat. Ini adalah amalan sembahyang tarawikh. Orang kita mengetahui setakat dua puluh sahaja. 

Barang siapa yang mengerjakan amal sunat di bulan Ramadan diberikan pahala amal yang wajib. Dan barang siapa mengerjakan amal yang wajib yang sudah sedia ada di bulan Ramadan diberi kepadanya tujuh puluh kali ganda amal yang wajib yang dilakukan pada bulan yang lain.

Bulan Ramadan bukan sahaja menghadapi kesabaran bahkan nabi kita Muhamad SAW berperang di bulan ini. Di bulan inilah berlakunya peperangan Badar iaitulah 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Di bulan ini juga berlakunya pembukaan Mekah apabila nabi SAW menggerakkan bala tenteranya pada 10 Ramadan menuju ke Mekah dan di akhir Ramadan 
Mekah ditawan oleh tentera Islam. Di bulan ini juga berlakunya peperangan Enjalut iaitulah peperangan yang mengalahkan tentera Tartar yang berlaku di Enjalut, Palastin.
Ini menunjukkan bahawa bulan ini bukan bulan sekadar kita berpuasa sahaja bahkan berlaku jihad di zaman dahulu menentang musuh-musuh Islam. Di dalam jihad ini mengandungi sabar di samping sabar berpuasa walaupun mereka diizinkan berbuka puasa dan nabi SAW dalam perjalanan ke Mekah untuk menawan Mekah baginda berbuka puasa untuk menunjukkan kepada para sahabatnya bahawa mereka yang bermusafir dibenarkan berbuka puasa terutamanya musafir yang berkait dengan jihad.

Bulan Ramadan juga mengajar kita bertimbang rasa terhadap orang-orang yang beriman. Bulan ini ditambah rezeki yang diberkati oleh Allah Ta’ala, bukan bermakna bila bersedekah mengurangkan rezeki. Bersedekah boleh menambahkan rezeki dengan cara yang ditetapkan oleh Allah Ta’ala.

Di bulan ini juga diberi peluang kepada sesiapa yang menyediakan makanan dan minuman kepada orang berbuka puasa, diberi fadilat diampunkan dosa-dosanya, dibebaskan daripada azab api neraka dan diberi kepadanya pahala orang berpuasa dengan tidak mengurangkan pahala orang yang berbuka puasa itu sedikit pun.

Para sahabat bertanya kami tidak mampu hendak menyediakan jamuan kepada orang berbuka puasa. 

Rasulullah kata, “Kamu diberi pahala walaupun sebiji buah tamar, walaupun dengan segelas air, segelas susu yang diminum. Susu adalah amalan-amalan walaupun sedikit tetapi mempunyai pahala yang sangat besar”.

Nabi menghuraikan lagi pada bulan ini, “Allah Ta’ala membahagi kepada tiga bahagi, permulaannya rahmat daripada Allah, pengampunan daripada dosa dan akhirnya dimerdehkakan daripada api neraka”.

Di bulan ini hendaklah ditunaikan empat perkara untuk mendapat keredhaan Allah Ta’ala. Empat perkara lagi ialah perkara yang perlu bagi seseorang itu terutamanya pada hari kiamat kelak. Perkara untuk mendapat keredaan tuhan ialah kita mengaku bukan sahaja dengan lidah bahawa tiada tuhan dengan sebenar melainkan Allah bahkan kita tunaikan dengan tuntutan dua kalimah syahadat. 

Menegakkan Lailaha illallah di dalam diri kita, di dalam masyarakat kita, di dalam keluarga kita dan tanah air kita. Dengan makna semuanya bertuhankan Allah Ta’ala, tunduk kepada hukum dan peraturannya, menolak yang lain daripda Allah Ta’ala yang dinamakan syirik.
Beristighfar, minta ampun dan Allah Ta’ala kasih kepada orang beristighfar kepada-Nya dan Allah Ta’ala menjanjikan keampunan dosa walau banyak mana sekalipun selagi orang itu bertaubat, selagi orang itu beriman kepada Allah Ta’ala. Dia bertaubat dengan taubat nasuha dan Allah Ta’ala membuka pintu taubat selagi nyawa belum sampai ke halkum dan selagi matahari belum naik dari arah barat. 

Dibenarkan bertaubat berulang-ulang kali. Seorang yang bertaubat dengan betul-betul ikhlas, meyesal dan berazam tidak hendak melakukan dosa itu lagi. Tiba-tiba dia buat dosa pula kerana tidak mampu menahan hawa nafsunya dan seumpamanya, dia beristighfar dan bertaubat pula dan tuhan mengampunkan lagi dosa dia walaupun berulang kali melakukan dosa itu dengan syarat dia bertaubat dengan ikhlas. Dia melakukan dosa kerana kelemahan-kelemahan yang ada pada dirinya.

Itulah peluang taubat yang diberi oleh Allah Ta’ala dan Allah Ta’ala tidak membenarkan orang beriman berputus asa merasakan tuhan tidak ampun dosa dia. Kita mestilah percaya kepada janji tuhan bahawa Dia mengampunkan dosa selagi seseorang itu tidak syirik, tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Dua perkara lagi yang perlu kita buat ialah kita minta syurga dan berlindung daripada api neraka. Pertama minta Allah Ta’ala memberi syurga dan kedua berlindung dengan Allah daripada api neraka. Dua perkara ini kena minta dengan tuhan terutama di bulan Ramadan ini, bulan diperkenankan doa dan ini diajar oleh nabi SAW.

Kalau ada orang kata ilmu tasawuf dia tinggi sangat tidak perlu minta syurga dan tidak payah minta berlindung daripada api neraka, mana tinggi tasawuf dia dengan nabi SAW, sudah tentu tidak boleh tinggi daripada nabi SAW. Jadi kalau ada ajaran tidak perlu minta syurga dan tidak perlu minta berlindung daripada api neraka itu adalah ajaran yang karut, ajaran yang sesat walau dalam kitab mana sekalipun. 

Semua ajaran agama tidak boleh bercanggah dengan hadis dan tidak boleh bercanggah dengan ayat Quran. Jika bercanggah dengan hadis dan bercanggah dengan ayat Quran mesti ditolak.

Diulangi lagi supaya kita menyediakan air untuk diberi minum kepada orang berpuasa. Allah Ta’ala menjanjikan orang yang menghilangkan dahaga orang yang berpuasa diberi kepadanya minuman di kolam Kausar. Seorang yang minum di kolam Kausar tidak akan dahaga selama-lamanya sehingga dia bertemu dengan syurga yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala.

Itu adalah kelebihan-kelibihan yang banyak di bulan Ramadan dahn banyak lagi hadis yng menceritakan kelebihan bulan Ramadan.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment