Wednesday, November 16, 2016

HAJI WADAK



Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya:

“Dan daripada Abu Bakar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda dalam khutbahnya pada hari Nahar iaitu hari raya Haji di Meena ketika menunaikan haji selamat tinggal kerana selepas itu nabi s.a.w. jatuh sakit dan wafat:

“Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan maruah kamu haram kamu cabulinya sebagaimana haram kamu melakukan sesuatu pada hari ini yakni pada hari mengerjakan haji dan pada bulan ini yakni bulan haji dan di negeri ini (negeri Mekah) negeri tanah haram adakah aku telah menyampaikan wahai tuhan (aku sudah menunaikan amanah aku).” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ucapan nabi dalam khutbah wadak adalah wasiat.

Di sini menyatakan bahawa darah manusia, harta benda manusia, maruah manusia ada harganya yang tidak boleh dihina. Tidak boleh membunuh orang dengan cara zalim kerana darah haram kita mencabulinya. Tidak boleh menumpahkan darah termasuklah melukakannya. Oleh itu orang melukakan orang atau membunuh orang dikenakan hukuman qisas.
 
Diwajibkan ke atas kamu hukum qisas macam ‘diwajibkan ke atas kamu berpuasa’.

Hukum qisas ialah hukum yang dikenakan kepada seorang yang mencederakan orang lain atau pun membunuh orang lain sama ada sengaja atau pun tidak sengaja.

Sebagai contoh kemalangan jalan raya adalah tidak sengaja, ada dendanya dalam hukum qisas yang mengikut Quran dan hadis nabi s.a.w. Undang-undang hari ini tidak mengikut Quran dan hadis akibatnya masalah jenayah dan kemalangan jalan raya tidak boleh diatasi.

Firman Allah Ta’ala: 

“Pada kamu dalam hukuman qisas itu boleh membawa kehidupan wahai ulil albab.”

Ulil albab ialah mereka yang ada akal fikiran dan ada kebijaksanaan. Jika ada kebijaksanaan sungguh jalankan hukum qisas. Kalau hukum qisas tidak dilaksanakan bukan ulil albab, bukan orang yang ada fikiran yang betul.

Harta benda dan maruah kamu ada hukumannya. Mencuri, merompak, menyamun ada hukuman hudud dengan syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Hukuman hudud ialah hak Allah Ta’ala yang tidak boleh diampun oleh orang lain. Tetapi hukuman qisas ialah hak hamba, maka hamba boleh mengampunkan. Orang yang menjadi mangsa boleh mengampunkan kesalahan itu.
 
Disebut dalam hadis nabi s.a.w. seorang perempuan bangsawan telah melakukan jenayah mencuri di zaman nabi s.a.w.

Pemimpin masyarakat tidak berani berjumpa nabi untuk membuat rayuan kepada nabi s.a.w. Lalu disuruh Usamah bin Zaid r.a cucu angkat nabi s.a.w menyampaikan kehendak mereka supaya perempuan yang mencuri itu tidak dikenakan hukuman hudud.

Akibatnya berubah wajah nabi s.a.w. dan berkata kepada Usamah: “Wahai Usamah berani kamu minta syafaat tentang hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala”.

Kemudian nabi s.a.w. keluar ke masjid dan menyampaikan ucapan selepas sembahyang berjamaah: “Sesungguhnya binasa umat yang terdahulu apabila orang bangsawan membuat kesalahan dibebaskan dan apabila orang yang lemah membuat kesalahan dipotong tangannya dan aku demi tuhan sekiranya anak perempuan kesayangan aku Fatimah binti Muhamad mencuri nescaya aku potong tangannya.”

Ini menunjukkan bahawa hukuman hudud yang berkait dengan harta benda tidak boleh dimaafkan bila diserah kepada pemerintah.

Di antara maruah ialah berzina dan mengumpat.

Tidak ada hukuman hudud mengenai mengumpat tetapi diberi amaran keras dalam Quran dan hadis nabi s.a.w.

Ini bermakna mengumpat adalah dosa besar dan hendaklah minta halal daripada orang yang kita mengumpat itu. Kalau tidak mampu minta halal berdoa supaya tuhan ampun dosanya sebagai timbal balas. Tetapi meminta maaf adalah lebih baik.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment