Wednesday, November 16, 2016

HAK SESAMA ISLAM



Disebut dalam Quran: “Sesungguhnya orang beriaman itu adalah saudara-mara.”

Allah Ta’ala menyebut juga: “Maka hendaklah kamu memperelokkan hubungan sesama kamu.”

Sebagai orang Islam kita mesti jaga hubungan sesama kita dan memperelokkan hubungan itu sebagai memenuhi tuntutan Allah s.w.t.

Antara yang dituntut kepada kita semua dalam hubungan kita sesama Islam ini ialah hak yang perlu kita tunaikan sebagaimana nabi sebut hendaklah kita memberi salam. Berdasarkan hadis ini pada zahirnya wajib salam itu. Tetapi para ulamak mengatakan salam itu sunat sahaja bukan wajib. Kita sunat memberi salam tetapi orang yang menerima salam itu wajib jawab.

Bila kita berjumpa dengan orang kita hendaklah mendahului dengan salam (bermakna selamat sejahtera) dan nabi s.a.w. sendiri dalam sirah bila jumpa dengan orang nabi dulu memberi salam dan dialah dulu menghulur tangan bersalam dengan orang. Itu adalah sifat Rasulullah s.a.w.

Jadi bila kita berjumpa dengan orang kita ucapkan salam. Dan salam ini paling kurang ASSALAMU ’ALAIKUM. Jika hendak elok lagi ASSALAMU ’ALAIKUM WARAH MATULLAH. Jika hendak lebih baik lagi ASSALAMU ’ALAIKUM WARAH MATULLAHI WABARAKATUH.

Jika orang memberi salam kepada kita mengikut ulamak wajib kita menjawabnya. Cara menjawabnya Quran ada sebut: “Apabila kamu disapa dengan ucapan sapaan jawablah yang lebih baik.”

Jadi jika orang memberi salam ASSALAMU ’ALAIKUM maka kita jawab WA’ALAIKUMU SSALAM WARAH MATULLAH. Perlu jawab lebih sedikit. Jika jawab WA’ALAIKUMU SSALAM pun tidak mengapa. Tetapi Quran sebut jawapan hendaklah lebih daripada orang yang memberi salam.

Jika orang itu berkata ASSALAMU ’ALAIKUM WARAH MATULLAH kita jawab WA’ALAIKUMU SSALAM WARAH MATULLAHI WABARAKATUH, tambah sedikit lagi.

Jika dia sebut ASSALAMU ’ALAIKUM WARAH MATULLAHI WABARAKATUH. Kita jawab WA’ALAIKUMU SSALAM WARAH MATULLAHI WABARAKATUH. Jawab salam lebih baik tambah sedikit. Kita kena jawab sebaik mungkin. Tetapi serupa pun tidak mengapa. Yang penting jawab, wajib jawab.

Para ulamak menyebut dalam kitab-kitabnya beri salam dahulu sebelum memulakan ucapan. Ada orang bila berceramah menyebut ALHAMDULILLAHI RABBIL ‘ALAMIN dan seterusnya baru sebut ASSALAMU ’ALAIKUM WARAH MATULLAHI WABARAKATUH. Ini sebenarnya tidak kena ibarat makan nasi dulu baru basuh tangan. Sepatutnya basuh tangan dulu baru makan.

Kaedah memberi salam, orang berjalan kaki memberi salam kepada orang duduk. Orang muda kena memberi salam kepada orang tua. Orang tidak ramai kena memberi salam kepada orang lebih ramai. Orang atas kenderaan kena memberi salam kepada orang berjalan kaki. Orang berjalan kena memberi salam kepada orang duduk. Itulah kaedahnya. Jika dibuat sebaliknya tidaklah berdosa tetapi nampak sangat kita tidak belajar.

Dalam hadis lain menyebut salam boleh memberi kasih sayang.

Dalam satu hadis sahabat pernah tanya nabi s.a.w. “Tidakkah engkau mahu aku tunjuk satu perkara apabila kamu buat kamu menjadi kasih sayang antara satu sama lain.”

Sahabat kata apa dia yang Rasulullah?

Nabi kata: “Sebarkanlah salam.”

Maknanya kita kena latih memberi salam kerana dengan salam ini mewujudkan kemesraan. Apa lagi kita memberi salam kepada orang yang kita tidak kenal. Salam menjadi pembuka kata antara kita dengan orang.

Para sabahat nabi jika kita baca sirah amat memberangsangkan masalah salam ini. Bila berjalan dua orang seorang ke kanan dan seorang lagi ke kiri dan bertemu beri salam pula. Ini menggambarkan kesungguhan para sahabat mengamalkan salam.

Kita tidak mungkin mencapai tahap itu. Tetapi bila berjumpa dengan orang di mana-mana pun hendaklah memberi salam dan bila pergi ke rumah orang hendaklah memberi salam. Hendak masuk rumah sendiri pun eloklah memberi salam.

Mengikut ulamak salam dibuat sesama Islam. Nabi s.a.w. melarang kita memberi salam kepada orang yang bukan Islam.

Dalam satu hadis nabi kata: “Janganlah kamu mulakan salam itu kepada orang Yahudi dan orang Nasrani.”

Ini bermakna kita tidak boleh memberi salam kepada orang yang bukan Islam. Itu asasnya. Jika orang bukan Islam memberi salam kepada kita bagaimana menjawabnya?

Dalam hadis nabi ajar kepada kita bila orang Yahudi beri salam nabi jawab:”WA’ALAIKUM.”. Orang Yahudi bila memberi salam kepada nabi menyebut: “ASSAMU ‘ALAIKUM” bermakna celaka atas kamu wahai Muhamad. Jadi nabi jawab:  ”WA’ALAIKUM.”  Maknanya balik semula ke atas kamu.


JEMPUTAN

Apabila dijemput maka hendaklah kamu menerima jemputan tersebut. Pada zahirnya hadis menyebut secara umum jemputan apa sekali kita kena pergi. Tetapi perbincangan ulamak mengatakan jemputan yang wajib dihadir ialah kenduri kahwin atau yang sama dengan kenduri kahwin.

Jika jemputan biasa seperti jemputan makan durian tidak wajiblah. Tetapi kenduri kahwin wajib hadir kecuali jika jemputan dibuat secara umum seperti diumum di masjid. Jemputan bersurat juga dikira umum. Tetapi jika orang datang rumah jemput maka wajib pergi jika tidak ada keuzuran.

MINTA NASIHAT

Apabila diminta nasihat maka nabi kata hendaklah kamu memberi nasihat setakat yang kita boleh. Nasihat perkara yang kita tahu. Jika kita tidak tahu jangan beri nasihat.

BERSIN

Apabila seseorang bersin dan mengucap ALHAMDULILLAH. Mengikut ulamak wajib dijawab YARHAMUKALLAH jika dia menyebut ALHAMDULILLAH. Jika tidak menyebut ALHAMDULILLAH tidak wajib dijawab.

Jawab bersin setakat tiga kali sahaja. Bersin lebih dari tiga kali tidak perlu dijawab walaupun dia menyebut ALHAMDULILLAH.

BILA SAKIT HENDAK MELAWAT

Apabila dia sakit hendaklah kita lawati. Mengikut pandangan kebanyakan ulamak melawat orang sakit hanya sunat sahaja.

Bila melawat kita hendaklah membaca doa dan memberi nasihat kepadanya supaya tenang hatinya. Banyak doa yang disebut dalam hadis. Mana-mana doa bolehlah dibaca. Bila melawat orang sakit jangan duduk lama-lama kecuali diizinkan oleh si sakit dan jangan bercakap perkara-perkara yang memberi tekanan kepadanya. Selepas berdoa dan bercakap perkara yang menenangkan eloklah tinggalkan.

Nabi sebelum dilantik menjadi nabi lagi sifatnya suka melawat orang sakit.

KEMATIAN

Apabila dia mati hendaklah kita sembahyang jenazahnya dan hantar dia ke kubur. Mengikut hadis mengurus si mati adalah fardu kifayah dan jika terdesak menjadi fardu ain.

Sembahyang mayat terlalu mudah. Amat malang jika anak sendiri tidak sembahyang mayat ibu bapanya. Tidak mampu memberi khidmat terakhir kepada ibu bapa sendiri. Kadang-kadang anak mati ayah tidak sembahyang.

Mengikut hadis sembahyang mayat diberi segunung pahala dan mengikut mayat ke kubur diberi segunung pahala lagi.

KULIAH YT


No comments:

Post a Comment