Daud berkata Dr Hatta tidak wajar membuat
keputusan sendiri tanpa melalui proses perbicaraan dan berkemungkinan beliau
keliru antara baiah mengosongkan kerusi sebagai anggota Parlimen dan lafaz
taklik.
"Kalau dia langgar sumpah, dia
boleh bayar kifarat. Tapi berbeza dengan taklik... kalau dia lafaz taklik macam
tu (cerai talak tiga), maka kena ikutlah. Untuk kes taklik tak ada
kifarat," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Baharu, Khamis.
Pada Rabu, PAS Kelantan mengesahkan
taklik lafaz cerai talak tiga yang dikenakan parti itu ke atas wakil rakyatnya
di negeri ini adalah bagi mengelak mereka melompat parti adalah sah di sisi
perundangan Islam.
Daud berkata jika terdapat keraguan
berhubung talak, perkara itu perlu ditentukan oleh mahkamah.
"Dia kena sahkan di mahkamah... sahkan
dulu. Kalau dia kata tak jatuh, buat permohonan dan kemukakan alasan. Kemudian
mahkamah akan buat keputusan.
"Kalau seseorang itu ragu-ragu tentang
talak ini, dia kena tentukan di mahkamah untuk sahkan atau tidak. Undang-undang
(Malaysia) kata begitu. Dia tak boleh kata begitu, bertaklik tapi tak jatuh
(talak), tak selesai. Mungkin dia keliru dengan kifarat," katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita
selepas melancarkan Parti Pekerja-pekerja Malaysia di Tanah Merah malam tadi,
Dr Hatta mendakwa perkahwinannya tidak terbubar kerana telah membayar kifarat
kepada baiah berkenaan.
Katanya beliau telah merujuk masalah berkenaan
kepada beberapa ulama di dalam dan luar negara, antaranya
penasihat Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) Ahmad Awang, Mufti Perlis Dr
Mohd Asri Zainul Abidin dan ulama Mesir Sheikh Yusuf al-Qaradawi.
"Kita dinasihat oleh penasihat umum
kita, Ustaz Ahmad Awang (berhubung lafaz cerai). Tak menjadi masalah, kehidupan
diteruskan, perjuangan diteruskan. Kita bayar kifaratlah kepada baiah, beri
makan 10 orang... itu dah memang tercatat. Ustaz-ustaz, ulama-ulama tahu benda
itu.
"Saya mempunyai cukup alasan dan panduan
untuk tidak mengambil pandangan sedemikian (jatuh talak) walaupun datang
daripada seorang Menteri Besar, ataupun seorang Timbalan Menteri Besar... hatta
mufti (Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad) sekalipun," katanya.
Ditanya mengenai anjuran Daud sebelum ini
supaya beliau ke Mahkamah Syariah untuk mendaftarkan penceraiannya, Dr Hatta
berkata: "Saya tak akan pergi.. tak ada kaitan."
PAS pada Selasa mengesahkan sebanyak 22 bekas
pemimpinnya termasuk Dr Hatta bukan lagi anggota parti berkenaan sebaik sahaja
mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) yang diambil alih oleh
Gerakan Harapan Baru (GHB) dan akan dijenamakan semula sebagai Parti Amanah
Negara (Amanah).
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob
berkata PAS memperkenalkan baiah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh
negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan
kerusi mereka jika meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.
Katanya bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di
Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri
masing-masing.
- Bernama
No comments:
Post a Comment