Tuesday, November 1, 2016

HURAIAN AL-ASMAUL HUSNA



Penerangan dan penjelasan daripada nama-nama Allah  yang terbaik.
Allah.

Allah ialah nama yang paling besar menunjukkan di atas zat-Nya yang maha tinggi yang bersifat dengan segala sifat ketuhanan yang bermakna tiada tuhan yang sebenar melainkan Dia. Tiada lagi tuhan yang lain. Tiada makbud (yakni yang disembah) yang sebenar melainkan Dia. Tiada makhlub (yakni yang dituntut dan diminta) yang sebenar melainkan Dia. Tiada maujud (yakni tidak ada wajib) yang sebenar melainkan Dia.

Ia sahaja yang bernama Allah. Tidak dinamakan dengan nama itu kepada yang lain sama ada di zaman jahiliah atau di zaman Islam. Demikianlah menurut riwayat Abu Hanifah dan iman Shafie dan jumhur ulamak (kebanyakan ulamak).

Perkataan Allah (kalimah Allah) ialah nama yang paling besar di kalangan nama-nama tuhan. Walaupun nama-Nya banyak, tiap-tiap satu nama Dia sahaja yang bernama dengan nama itu. Tetapi nama Allah ialah yang paling besar di antara nama-nama Allah sehingga tidak boleh diterjemah dalam semua bahasa di dalam dunia, (walaupun disebut tuhan, disebut God, disebut hudaya (bahasa Farsi), tetapi tidak boleh memenuhi makna perkataan Allah. Begitulah hebatnya kalimah Allah ini) menunjukkan di atas zat-Nya yang maha tinggi (yakni diri tuhan yang Maha Tinggi, tidak ada siapa yang boleh mengatasi-Nya).
 
Bersifat dengan segala sifat ketuhanan, semua sifat ketuhanan duduk dalam perkataan Allah yang bermakna tiada tuhan yang sebenar melainkan Dia. Allah bermakna Dia sahaja tuhan. Perkatan Allah daripada perkataan al-iIaeh kemudian dibuang e jadi Allah untuk memudahkan sebutan.

Ilmu bahasa Arab lebih banyak dari bahasa-bahasa lain. Oleh sebab itulah tuhan memilih al-Quran  dalam bahasa Arab, tidak memilih dalam bahasa lain, kerana bahasa Arab ialah bahasa yang paling tinggi di kalangan bahasa-bahasa dalam dunia. Allah Ta’ala memilih bahasa Arab, bahasa hari kiamat, bahasa dalam syurga dan bahasa yang digunakan di padang mahsyar. Bahasa Arab ialah bahasa yang sangat kaya dan amat tinggi nilainya. Banyak ilmu berkait dengan bahasa sahaja.

Sesiapa yang hendak memahami tafsir Quran tidak cukup dengan terjemahannya sahaja, mesti belajar ilmu bahasa Arab dan kena belajar ilmu nahu, ilmu sorof, ilmu balaghah yang terkandung di dalamnya ilmu bayan, ma’ani, badi’, isti’arah dan ilmu adat arabi yang membahaskan syair-syair Arab dan ucapan orang-orang Arab di zaman dahulu yang boleh dibanding dan tidak boleh dibanding dengan Quran.

Orang Arab bila mendengar bacaan Quran tersandar kerana ayat-ayatnya tersangat hebat. 

Quran adalah mukjizat, bukan sahaja mukjizat dalam hukum-hakam tetapi juga mukjizat dalam ilmu bahasa Arab.

Kalimah Allah tidak boleh diterjemah ke dalam bahasa lain. Walaupun orang kafir menggunakan kalimah Allah tetapi penggunaannya salah. Orang Kristian kata Allah, orang Yahudi juga kata Allah dan orang musyrikin Arab juga kata Allah, tetapi tidak memenuhi maknanya.

Allah menyebut dalam Quran, “Dan jika engkau tanya mereka siapakah yang menjadikan langit dan bumi nescaya mereka menjawab Allah. Bagaimana mereka boleh dibohongkan”.
Mereka menyebut Allah tetapi mereka menyembah berhala, mereka menyembah bintang, mereka menyembah malaikat dan ada juga yang menyembah jin. Jika menyebut Allah tidak boleh menyembah yang lain-lain lagi.

Orang Kristian menyebut Allah, orang Yahudi menyebut Allah, dalam masa yang sama orang Kristian kata Isa anak Allah dan orang Yahudi kata Uzir anak Allah. Sedangkan Allah tiada anak dan tidak diperanakkan.

Firman Allah Ta’ala surah al-Ikhlas bermaksud, “Katakanlah Allah Esa (satu), kepada-Nya dihadapkan, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada baginya yang sama dengan sesuatu pun”.

Apabila nabi Muhamad SAW menulis surat kepada raja-raja yang menganut agama Kristian antaranya raja Rome, raja Mesir dan raja Habasah , surat ditulis,

Bismillahir Rahmanir Rahim
“Daripada Muhamad Rasulullah kepada raja Mesir, raja Rome dan raja Habasah
Selamat sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Wahai golongan ahli kitab, marilah dengan kalimah antara kami dan kamu”.

Kalimah yang sama itu ialah Allah. Kami sebut Allah kamu juga sebut Allah tetapi apa makna Allah.

Kita tidak boleh beribadat melainkan kepada Allah sahaja. Kita tidak boleh menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Tidak boleh melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Dan kita tidak boleh mengambil di kalangan kita sama ada ulamak-ulamak, paderi-paderi, pendita-pendita, raja-raja ataupun pemimpin-pemimpin, melantik mereka menjadi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, jika sekiranya mereka berpaling katakanlah kami adalah orang-orang Islam”.

Apa makna melantik pemimpin-pemimpin sebagai tuhan selain daripada Allah?

Maknanya memberi hak kepada pemimpin-pemimpin itu mengadakan undang-undang, mengadakan cara hidup yang bercanggah dengan apa yang difirmankan oleh Allah di dalam kitab-Nya.

Contohnya, hukum hudud tuhan sebut dalam Quran, hukum Qisas tuhan sebut dalam Quran, tiba-tiba pemimpin-pemimpin membuat undang-undang lain, buat peraturan lain. Ini bermakna melantik pemimpin itu menjadi tuhan selain daripada Allah kerana tidak boleh mengadakan syariat, hukum-hakam dan cara hidup melainkan dalam perkara yang diizin oleh Allah Ta’ala. Perkara yang Allah Ta’ala izin tidak mengapa.

Dijelaskan oleh firman Allah Ta’ala bermaksud, “Adakah mereka itu mempunyai sekutu-sekutu, yang lain daripada Allah yang boleh membuat hukum syariat, dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah Ta’ala”.

Apabila memberi hak kepada pemimpin-pemimpin, sama ada wakil rakyat yang dipilih, raja yang diangkat, perdana menteri yang dilantik, presiden yang dilantik, menteri besar yang dilantik, ketua yang dilantik atau siapa sahaja yang diberi hak untuk mengadakan peraturan-peraturan bermakna melantik tuhan selain daripada Allah kerana sudah ada peraturan-peraturan Allah.

Peraturan Allah sudah ada yang dinas dalam Quran tetapi masih lagi mengadakan peraturan-peraturan lain yang tidak diizinkan oleh Allah Ta’ala. Ini makna “ARBABAMMINDU NILLAH”  yakni jangan kamu melantik ketua-ketua kamu menjadi tuhan-tuhan yang lain daripada Allah.

Dijelaskan oleh hadis nabi SAW di hadapan Adi bin Hatim yang datang mengadap nabi dalam keadaan memakai solib bermaksud, “Mereka itu telah melantik pendita-pendita dan paderi-paderi mereka tuhan-tuhan yang lain daripada Allah”.

Lalu Adi menjawab kami sembahyang tidak menyembah paderi, kami sembahyang tidak menyembah pendita, kami juga menyembah Allah”

Jawab Rasulullah SAW, “Wahai Adi kamu memakai hukum-hukum yang direka dan dibuat oleh paderi-paderi kamu, perkara yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan, sedangkan sudah ada hukum yang jelas daripada Allah, kamu meninggal hukum Allah dan memakai hukum yang dibuat oleh paderi-paderi kamu”.

Ini termasuklah juga ahli-ahli parlimen atau wakil rakyat yang membuat undang-undang yang tidak diizin oleh Allah. Tugas ahli parlimen ialah bermesyuarat antaranya untuk membuat undang-undang di parlimen. Minum air di kedai kopi siapa-siapa pun boleh. Ahli parlimen yang dipilih ialah untuk meluluskan undang-undang di parlimen, meluluskan peraturan, meluluskan perkara-perkara dasar, yang diamalkan oleh kerajaan.

Apabila ahli parlimen meluluskan undang-undang yang bercanggah dengan Islam, maka semua yang memilihnya pikullah pada hari kiamat. Ini makna memilih dan menyokong pemimpin-peminpin.

Allah Ta’ala menyebut di dalam al-Quran, “Pada hari dibalik-balikkan muka-muka mereka di dalam neraka, pada hari itu berkatalah penyokong-penyokong dan pengikut-pengikut mereka, wahai tuhan di atas dunia dulu kami mentaati Allah dan mentaati rasul dan mereka berkata lagi wahai tuhan kami, kami telah taat kepada pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua kami, merekalah yang telah menyesatkan kami.”

Dalam ayat lain Allah Ta’ala berfirman maksudnya, “Ingatlah apabila pemimpin-pemimpin yang diikut, pemimpin-pemimpin yang dipilih di atas dunia, berlepas diri daripada pengikut-pengikutnya pada hari kiamat kelak. Berkatalah pengikut-pengikut, wahai tuhan kami sekiranya Engkau hidupkan semula kami ke dunia kami tidak akan ikut dan tidak akan menyokong lagi pemimpin-pemimpin ini, demikianlah Kami jadikan amalan mereka di atas dunia dahulu membawa penyesalan kepada mereka dan mereka tidak dapat mengeluarkan diri daripada api neraka”.

Itu adalah ayat Quran, Quran yang berkata, bukan nabi yang berkata dan bukan ulamak yang berkata. Quran adalah sumber rujukan yang paling tinggi.

Ayat Quran mengatakan pengikut-pengikut yang memilih dan menyokong pemimpin yang tidak betul ini tidak akan menyokong lagi pemimpin-pemimpin itu kiranya diberi hidup semula atas dunia.Tetapi hari kiamat ialah hari keputusan, tidak sekali-kali diberi peluang balik semula ke dunia. Terpulanglah sama ada kita percaya kepada Quran ataupun tidak.

Bila kita menyebut Allah bermakna dia sahaja tuhan yang bersifat dengan segala sifat ketuhanan. Tiada lagi tuhan yang lain, tiada ma’bud, tiada yang disembah melainkan dia sahaja. Kalau sembah solib, sembah patung, sembah berhala, sembah jin bermakna sudah menyeleweng walaupin sebut Allah.

Bila berubat orang sakit sebut “Hei jin tanah, jembalang tanah, jin gunung jembalang gunung, aku minta sembuh daripada penyakit dengan berkat kata LAILAHAIL LALLAH MUHAMADAN RASULULLAH”. Sebut juga LAILAHAIL LALLAH. Sebut LAILAHAIL LALLAH tetapi syirik kerana menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Tidak ada yang dituntut, yang diminta yang sebenar melainkan dia. Walaupun kita nampak lori yang membawa beras, van yang membawa bantuan kepada kita dan orang yang menolong kita, yang sebenarnya yang menolong kita ialah Allah. Lori, van dan orang itu sebab sahaja. Yang sebenar dituntut ialah Allah SWT.

Tiada yang ada yang sebenar melainkan Allah (maujud). Yang ada yang wajib, yang tidak menerima tiada sekali-kali. Ada yang lain-lain adalah ada yang harus. Manusia bermula daripada tiada, kemudian ada dan kemudian mati. Lepas itu hidup pula di akhirat. Ada pun ada Allah ini ialah ada yang wajib. Dia sebenar yang ada yang wajib, yang lain ada yang harus.

Ia sahaja yang bernama Allah yang tidak pernah dinamakan nama itu kepada yang lain. Orang jahiliah tidak berani hendak menamakan patungnya dengan nama Allah. Dalam masa yang sama dia juga menyebut nama Allah Ta’ala terutama sekali masa dia berdoa.

Dia berkata kami tidak menyembah patung, kami juga menyembah Allah, patung itu sebagai perantaraan sahaja. Kita sembah Allah sungguh. Dia kata pula kenapa mengadap ke Ka’abah. Bagi kita Ka’abah itu tempat mengadap sahaja. Kalau Ka’abah itu dipindah ke Malaysia kita kena mengadap ke Mekah juga. Ini menunjukkan bahawa kita mengadap Allah, bukan mengadap batu itu. 

Bagi orang kafir, bila dia pindah patungnya ke lain tempat, dia tetap mengadap patung itu. Pindah ke Batu Café mengadap ke patung di Batu Café dan bila pindah ke Pulau Pinang mengadap ke patung di Pulau Pinang. Kita orang Islam mengadap Allah bukan kepada batu Ka’abah itu.

Apabila kita towaf, tiba di hadapan batu Hajaral Aswat kita istilam (maknanya kucup atau isyarat dengan tangan). Isyarat dengan tangan ialah kita menyebut “Bismillah Allahu Akbar. Angkat tangan dan letak tangan di mulut (kucup). Kita tidak memuja batu itu.
  
Saidina Omar bila towaf dan sampai ke Hajaral Aswat, Saidina Omar berkata, “Wahai Hajaral Aswat, aku tahu kamu ini batu, yang tidak memberi munafaat dan tidak memberi mudarat, kalau sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW mengucup kamu, aku tidak mengucup kamu. Aku mengucup kamu kerana nabi mengucup kamu, bukan kerana aku memuja kamu”.

Riwayat mengatakan batu itu dibawa daripada syurga. Ulamak mengatakan demikian. Oleh sebab itu batu itu dikucup. Bila nabi mengucup maka sunat kita mengucupnya.

Di Hudaibiyah ketika nabi SAW mengadakan bai’ah dengan sahabat dia, sahabat berbaiah dengan memegang tangan nabi SAW yang pada masa itu nabi bersandar pada pokok di Hudaibiyah itu. Selepas beberapa ketika orang pergi memuja pokok itu. Maka Saidina Omar pun arah pohon itu ditebang. Kita orang Islam tidak boleh memuja pohon kayu, kita berhadap kepada Allah SWT. Memuja pohon kayu adalah kerja syirik.

Tiada yang dituntut melainkan Allah. Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Allah yang tiada tuhan melainkan Dia, yang hidup kekal lagi terus menerus berdiri menguruskan makhluk ini”. (Ayat kursi)

Allah, tiada tuhan melainkan Dia, “Al-hayyu” yang maha hidup, yang bersifat dengan hayat. “Al-Qayyum “ yang berdiri dengan sendirinya (kita menyebut kiamuhu linapsih), tidak berhajat kepada yang lain. Jadi sifat tuhan duduk dalam Allah.

Firman Allah Ta’ala surah Yunus ayat 3 bermaksud, “Yang demikian itulah Allah, tuhan kamu maka sembahlah dia”. Allah tuhan kamu maka sembahlah Ia.”

Firman Allah Ta’ala bermaksud, “Demikian itu yang memiliki sifat-sifat tersebut di atas ialah tuhan kamu, tiada tuhan selain Dia, pencipta segala sesuatu maka sembahlah Dia”.

Semua perkara ini duduk dalam kalimah Allah, iaitulah yang memiliki segala sifat ketuhanan, tiada tuhan melainkan Dia, yang menjadikan segala-galanya, tidak boleh menyembah melainkan Dia.

Firman Allah Ta’ala surah Toha ayat 14 bermaksud, “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tiada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku”.  Ayat ini ialah firman Allah Ta’ala kepada nabi Musa ketika nabi Musa membawa isterinya pulang ke Mesir.

Dalam perjalanan pulang ke Mesir bila sampai di gunung Turusaina nabi Musa melihat api lalu nabi Musa menyuruh isterinya tunggu di situ kerana ia hendak mengambil api. Nabi Musa pergi dan bila sampai dekat api itu berlakulah satu kehebatan Allah Ta’ala berfirman dengan surah Toha ayat 14 itu, “Sesunggunya Aku ini ialah Allah. Allah Ta’ala berkata dan tunjuk kepada nabi Musa”. Api itu menjadi syarat untuk nabi Musa datang sahaja.

Tuhan bertanya, “Apa yang ada di tangan kamu wahai Musa?”

Nabi Musa menjawab, “Tongkat, aku guna untuk menghalau kambing dan ada tujuan-tujuan yang lain”. Tujuan lain nabi Musa tidak beritahu. Tuhan sudah tahu tongkat. Tuhan tanya kerana sayang kepada nabi Musa.

Tuhan menyuruh nabi Musa campak tongkatnya. Bila dicampak, tongkat itu menjadi ular yang besar. Nabi Musa cabut lari ketakutan, tetapi di depan ada ular, pusing kanan ada ular, pusing kiri ada ular dan pandang belakang ada ular.

Lalu tuhan berkata, “Wahai Musa jangan takut, tidak layak seorang rasul takut”.

Kemudian tuhan menyuruh nabi Musa memasukkan tangan ke dalam poket bajunya, bila tangan dikeluarkan tangannya mengeluar cahaya. “Itu adalah dua tanda kerasulan yang Aku beri kepada kamu. Pergilah berjumpa Firaun dan sesungguhnya Firaun sangat zalim, sangat taughut”

Nabi Musa berkata, “Aku takut, lantik Harunlah, adik-beradik aku menjadi rasul”

“Tidak, aku utus kamu menjadi rasul dan Aku melantik Harun sebagai pembantu kamu”
“Innani anallah”, Allah Ta’ala sendiri yang menamakan diri-Nya Allah. Sesungguhnya Akulah Allah. Ayat ini menunjukkan begitu.

Nama Allah juga terkandung dalam ucapan kalimatut tauhid, kalimah mengesakan tuhan iaitu LAILAHA ILLALLAH.

Bila orang hendak masuk Islam disuruh mengucap ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH WAASYHADU ANNA MUHAMADAN RASULULLAH. Kena sebut ASYHADU ALLA ILAHA ILLALLAH, tidak boleh sebut ILLARRAHMAN, ILLARRAHIM atau ILLALRAFUR tetapi kena sebut ILLALLAH (kena sebut Allah).

Kita hendak sembahyang kena sebut ALLAHU AKBAR, tidak boleh sebut ARRAHMANU AKBAR atau ARRAHIMU AKBAR. Ini hebatnya ALLAHU AKBAR.

Zikir yang paling besar pahalanya sehingga menyamai pasir-pasir yang ada dibumi ialah SUBHANALLAH ada Allah, ALHAMDULILLAH ada Allah dan ALLAHU AKBAR ada Allah di dalamnya.

Bila kita berzikir dengan SUBHANALLAH  WALHAMDULILLAH ALLAHU AKBAR 33 kali selepas sembahyang atau SUBHANALLAH 33 kali, ALHAMDULILLAH 33 kali dan ALLAHU AKBAR 33 kali. pahalanya menyamai pasir-pasir di bumi dan diampunkan dosa-dosa yang banyak kerana kalimah Allah ada di dalamnya.

Banyak kelebihan zikir itu diberi kerana mengandungi kalimah yang mulia yang memberi makna tauhid yang semurni-murninya mengesakan Allah yang sebenarnya memberi kebahgiaan dan keselamatan yang diberi nama di dalam Quran dengan berbagai-bagai nama.

Quran menyebut nama kepada Allah, KALIMATUL IKHLAS (kalimah ikhlas), KALIMATUL IHSAN (kalimah ihsan, berbuat baik), KALIMATUL ‘ADLE (kalimah Adil), ATTAIYIBUL MINALKAUL, ALKALIMATUL TAIYIBAH (kalimah yang terbaik), ALKALIMATUSSABITAH (kalimah yang tetap), KALIMATUTAQWA (kalimah taqwa), ALKALIMUL BAKHIAH, KALIMATULLAHIL ‘ULIYA, ALMASALUL ‘ALA, KALIMATUSSAWAB (kalimah yang adil), KALIMATUL NAJAH (kalimah yang memberi keselamatan), DAKWATUL HAK (seruan yang sebenar), KALIMATUL ‘AHDI (kalimah perjanjian).

Di sinilah bila orang murtad kena hukum bunuh kerana LAILAHA ILLALLAH Ialah perjanjiannya dengan Allah. Bila murtad bermakna mungkir janji dengan Allah Ta’ala maka layak dihukum bunuh. 

KALIMATUL ISTIQAMAH (kalimah istiqamah, yang paling betul maknanya), MAKALILUS SAMA WATIWALAR (anak kunci segala langit, yang mengikat segala langit dengan bumi), ALKAULUSSADID, ADDINUL KHALIS, ASYIRATAL MUSTAQIM, KALIMATULHAK, ALURWATUL WUSQA (simpulan yang kukuh) dan KALIMATUSSIDK (kalimah yang benar).

Nama yang memberi makna yang besar dan merangkumi pengertian yang menyeluruh. Oleh itu nama Allah disebut di dalamnya di samping menunjuk kalimah Allah itu adalah sebenarnya LAFZUL JALALAH iaitu lapaz yang teragong iaitu lapaz yang Maha Besar.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment