Saturday, November 5, 2016

ISRAK DAN MIKRAJ – LANGIT KE-6



Nabi SAW dibawa ke langit yang keenam. Malaikat Jibril AS meminta dibuka untuk nabi SAW. Malaikat yang ditugaskan untuk menjaganya bertanya, “Siapakah ini”

Jibril menjawab, “Jibril”

Dan ditanya lagi, “Siapa bersama denganmu”.

Jawab malaikat Jibril, “Muhamad”

Ditanya lagi, “Adakah dia diutuskan menjadi rasul?”.

Kata malaikat Jibril, “Ya”.

Lalu malaikat itu mengucap selamat datang dan mengalu-ngalukan kedatangan nabi SAW dengan sambutan doa dan memujinya. Setelah dibuka pintu dan nabi SAW masuk ke langit yang keenam dan berjumpa dengan nabi-nabi, ramai nabi-nabi.

Ada nabi-nabi yang bersama dengannya pengikut yang sedikit, dan ada nabi-nabi yang bersama dengannya kaumnya, puaknya, dan ada nabi-nabi yang berjalan seorang diri yang tidak ada pengikut untuk ditunjukkan kepada nabi SAW bagi memberi semangat kepadanya. Itulah perjuangan nabi-nabi zaman dahulu. 

Ada nabi mempunyai ramai pengikut, ada yang sedikit sahaja pengikutnya dan ada juga nabi yang tidak ada pengikut. Di dalam surah Yasin, menceritakan sebuah negeri yang diutuskan tiga orang rasul, iaitulah negeri Antarkia yang terletak di Selatan Turkey dan di utara Syria. 

Ketiga-tiga orang nabi ini yang beriman dengannya hanya seorang sahaja yang dikenali dengan Habibun Najar. Habib bekerja tukang kayu. Habib yang beriman itu dibunuh.

Pada malam Israk dan Mikraj ditunjuk ada nabi-nabi yang tidak ada pengikut, seoramg diri, sebatang karah. Tiba-tiba nabi SAW melihat jumlah yang terlalu ramai, hitam, kelihatan sehingga memenuhi ufuk sayup mata memandang.

Lalu nabi SAW bertanya malaikat Jibril, “Apakah perhimpunan ramai ini?”.

Diberitahu kepada nabi SAW, “Itulah dia Musa bersama dengan kaumnya”. Nabi Musa bersama dengan kaumnya dan sila angkat kepalamu, kata Jibril.

Tiba-tiba nabi SAW melihat jumlah yang mengelilingi penjuru dunia, sayup mata memandang. Lebih ramai lagi daripada umat nabi Musa AS. Diberitahu kepada nabi SAW itulah umatmu. Di kalangan mereka itu terdapat tujuh puluh ribu mereka yang masuk syurga tanpa hisab.

Seorang sahabat yang bernama Aukasyah bertanya, “Ya Rasulullah, adakah saya termasuk di kalangan mereka?”.

Jawab Rasulullah, “Ya, kamu termasuk juga”.

Seorang sahabat yang lain bertanya pula, “Saya wahai Rasulullah?”.

Sabda Rasulullah SAW, “Aukasyah telah mendahului mu”.

Aukasyah ialah seorang sahabat yang mati syahid di salah satu medan peperangan. Bukan baca doa Aukasyah dan masuk syurga. Bukan begitu, tidak semudah itu masuk syurga. Aukasyah berjuang dan mati syahid.

Para sahabat berfikir siapakah mereka yang masuk syurga tanpa hisab. Lalu nabi memberitahu, “Mereka yang masuk syurga tanpa hisab itu ialah mereka yang bertawakkal kepada Allah Ta’ala yang tidak percaya kepada jampi, yang tidak percaya kepada nasib, nujum, yang bertawakkal hanya kepada Allah Ta’ala. Ini bukan perkara mudah. 

Orang ini walau macam mana sakit sekali pun bertawakkal kepada Allah Ta’ala. Dia berubat tetapi berubat dengan cara Islam. Nabi juga berjampi dengan ayat-ayat Quran dan doa. 
Apa yang tidak dibenarkan ialah jampi-jampi yang tidak diketahui maknanya atau yang ada di dalamnya perkataan-perkataan syirik. Biasanya jampi syirik ini ditolong oleh Iblis dan sakit menjadi sembuh. Orang yang berubat dengan jampi syirik ini tidak termasuk kalangan orang masuk syurga tanpa hisab.

Apabila nabi berjumpa dengan nabi Musa, nabi SAW memberi salam kepadanya dan dia menjawab salam nabi SAW, “Selamat datang saudara yang solih dan nabi yang solih”.
Salam ini kepada orang Yahudi ‘Salom’, kita kata salam, dia kata ‘salom’. Ini menunjukkan bahawa ada persamaan ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS.

Bila membaca doa kita sebut ‘amin’. Orang Yahudi pun kata amin dan orang Kristian pun kata amin. Tetapi apa yang menjadi masalah ialah mereka menyengutukan Allah Ta’ala, meminda dan mengubah agama mereka.

Lalu nabi Musa bersabda, “Ramai orang menyangka bahawa akulah semulia-mulia manusia di sisi Allah padahal dia ini lebih mulia daripada aku di sisi Allah”. 

Apabila nabi SAW berundur, tiba-tiba nabi Musa menangis lalu ditanya mengapa menangis. Kata nabi Musa, “Ada budak selepas aku yang dilantik menjadi nabi umatnya masuk syurga lebih ramai daripada umat aku. Kaum Bani Israil mendakwa akulah semulia-mulia keturunan Adam padahal ini orangnya semulia-mulia keturunan Adam. Dia berada di alam dunia dan aku sekarang berada di alam akhirat. Kalau tidak kerana kedudukannya di sisi Allah nescaya aku tidak perduli kepadanya”.

Oleh kerana nabi Muhamd SAW mulia di sisi Allah maka kita hendaklah menerima hakikat kedudukan nabi Muhamad SAW. Perkara ini sebenarnya diketahui oleh orang-orang Yahudi.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment