Saturday, November 5, 2016

ISRAK DAN MIKRAJ – LANGIT KE-7



Seterusnya nabi SAW sampai ke langit yang ketujuh. Malaikat Jibril meminta buka. Malaikat yang menjaganya bertanya, “Siapa”. Kata Jibril, “Aku Jibril”.

Ditanya, “Siapa bersama dengan kamu”. Jawab Jibril, “Muhamad”. 

Dia bertanya lagi, “Siapa Muhamad, adakah dia telah menjadi rasul”. Jawab Jibril, “Ya”.

Lalu malaikat yang menjaga langit yang ketujuh mengalu-ngalukan kedatangan nabi SAW dan mendoa untuknya. Tiba-tiba di langit yang ketujuh nabi SAW berjumpa dengan nabi Ibrahim al-khalil SAW. Dia bersandar di pintu syurga di atas kerusi yang dibuat daripada emas membelakangi al-Baitul Makmur iaitu kiblat kepada malaikat-malaikat di langit. Bersama dengannya kaumnya. 

Maka nabi SAW memberi salam kepadanya dan dia menjawab salam. “Selamat datang anak yang solih dan nabi yang solih”. Nabi SAW daripada keturunan nabi Ibrahim AS daripada puteranya Ismail. 

Allah Ta’ala memberi kedudukan yang tinggi kepada nabi Ibrahim AS. Lebih tinggi daripada rasul ulul Azmi yang lain menyebabkan dia duduk di langit yang ketujuh.

Mengapa Allah Ta’ala memberi kemulian yang tinggi kepada nabi Ibrahim?
Kerana nabi Ibrahim berjuang menghadapi cabaran yang besar. Berdepan dengan kerajaan yang memerintah dunia, kuasa besar dunia yang tunggal zaman itu iaitulah kerajaan Babilon yang dipimpin oleh raja Namruk. 

Raja Namruk mengaku dirinya menjadi tuhan dan mengada-ngadakan tuhan yang lain daripada Allah sehingga nabi Ibrahim dihukum bakar ke dalam api yang bernyala. Nabi Ibrahim diberi mukjizat tidak hangus dibakar. 

Nabi Ibrahim dihalau oleh raja Namruk dan oleh ayahnya sendiri, berhijrah ke Palastin bersama dengan keluarganya. Perjuangan yang sangat hebat, yang sangat gigih. Kemudian diperintah oleh Allah Ta’ala menghantar puteranya Ismail yang masih kecil bersama dengan isterinya, Hajar di bumi Mekah yang kering kontan. 

Kemudian apabila Ismail besar, Allah Ta’ala memerintah Ibrahim supaya menyembelih Ismail sebagai ujian daripada Allah. Ibrahim seorang nabi yang mempunyai mertabat yang tinggi di sisi Allah.

“Dan ingatlah apabila tuhan menguji nabi Ibrahim AS dengan beberapa kalimah lalu nabi Ibrahim menyempurnakan perintah Allah”. Semua perintah Allah dipatuhi oleh nabi Ibrahim.

Lalu Allah berfirman, “Wahai Ibrahim, Aku jadikan kamu imam”. Imam bermakna pemimpin.

Nabi Ibrahim menjawab, “Mana zuriat keturunanku”.

Tuhan menjawab, “Janji-Ku ini tidak termasuk orang-orang yang zalim”. Siapa dia orang zalim itu. Orang zalim ialah mereka yang tidak mengikut hukum Allah Ta’ala. Banyak mana diberi wang kepada kita, banyak mana kesenangan diberi kepada kita, jika tidak ikut hukum Allah Ta’ala zalim namanya. Ramai di kalangan kita tidak faham apa makna zalim di sisi Islam. 

Firman Allah Ta’ala maksudnya, “Dan sesiapa yang tidak setuju dengan ajaran yang dibawa oleh nabi Ibrahim maka dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri”. 

Jika tidak ikut nabi Ibrahim orang itu bodoh kata tuhan. Walau orang kata dia cerdik sekali pun jika tidak ikut agama Ibrahim maka dia adalah orang yang memperbodohkan dirinya sendiri.

Apa dia agama Ibrahim?

Tuhan berfirman, “Wahai Ibrahim Aslim, Islamlah”. 

Apa makna Islam?

Islam bermakna menyerah diri kepada Allah Ta’ala.

Allah kata wahai Ibrahim sembelih anak kamu. Ibrahim hendak sembelih sungguh tetapi tuhan batalkan selepas daripada itu. Tuhan kata kamu kena hantar isteri dan anak kamu ke Mekah, tempat yang kering kontan dan tidak ada apa satu pun. Ibrahim tidak bertanya apa-apa terus patuh, terus hantar isteri dan anaknya ke Mekah.

Ini bila tuhan kata riba haram, judi haram, arak haram, mereka kata tidak boleh ikut, nanti hasil negara tidak mencukupi. Kita akui Islam bagus, tetapi perubahan masa kena diambil kira juga.

Apa makna perubahan masa?

Ada perkara yang kita tidak boleh ikut perubahan masa. Judi, zina, arak yang ada nas dalam Quran kena laksanakan, tidak boleh diubah. Sembahyang lima waktu sehari semalam tidak boleh berubah. Ada perkara-perkara tidak boleh diubah, tidak boleh ikut perubahan masa.

Allah Ta’ala berfirman, “Bermesyuaratlah kamu dalam urusan kamu”. 

Ini boleh berubah. Zaman nabi sepuluh orang sahabat ahli mesyurat. Zaman sekarang hendak pakai dua puluh orang, tiga puluh orang atau empat puluh orang tidak menjadi masalah kerana perkara ini boleh berubah-ubah mengikut perubahan masa. 

Wajib haji ialah di Mekah. Ini tidak boleh ubah. Buat haji di New York tidak sah, buat haji di Tokyo tidak boleh dan tidak sah haji. Haji mesti di Mekah. Cara hendak pergi ke Mekah buat haji boleh berubah. Dulu naik unta. Sekarang naik bas, kereta api, kapal laut atau kapal terbang. Ini boleh berubah.

Ada orang berkata ulamak-ulamak tidak tahu hendak ikut perubahan. Apa dia perubahan. Ulamak-ulamak faham ada perkara ikut perubahan dan ada perkara tidak boleh ikut perubahan. Bahkan ulamak-ulamak mustahid seperti imam Syafie, fatwanya masa di Madinah, masa di Mekah dan masa di Iraq dikenali dengan kaul kodim. 

Bila imam Syafie pergi ke Mesir, ada fatwanya berlainan dengan fatwanya di Mekah, di Madinah dan di Iraq dan dikenali dengan kaul Jadid. Ini masyhur dalam kitab fekah. Fatwanya Imam Syafie adalah berlainan dalam bab hukum.

Imam Abu Hanifah dengan imam Syafie berlainan, kerana tempat yang berlainan. Tetapi sembahyang lima waktu serupa. Dalam bab asas tidak boleh berubah. Dalam bab beberapa cabang boleh berubah. Perkara ini mesti difahami.

Jadi nabi Ibrahim nabi yang menyerah diri, Islam. Islam sungguh, apa yang tuhan kata Ibrahim patuh. Tuhan kata kamu kena sembelih anak nabi Ibrahim patuh. Tuhan kata pencuri kena kerat tangan, tidak boleh, tidak praktikal. Ini Islam macam mana!

Oleh kerana nabi Ibrahim Islam sungguh, “Aku Islam kerana tuhan sekalian alam”

“Nabi Ibrahim dan nabi Yaakub”. Nabi Yaakub bapa kepada Bani Israil dan nabi Ismail bapa kepada orang Arab yang melahirkan nabi Muhamad SAW. Daripada bangsa Yahudi inilah lahirnya Karl Marks, Lenin, Adam Smith dan macam-macam nama yang melahirkan macam-macam teori.

Bangsa Yahudi mesti ikut agama nabi Ibrahim. Tetapi tidak, dia reka ajaran baru. Nabi Ibrahim memberi wasiat tuhan sebut, “Wahai anak cucu nabi Ibrahim, anak cucu nabi Yaakub, nenek kamu nabi Ibarahim dan nabi Yaakub memberi wasiat kepada anak cucu mereka sesungguhnya Allah Ta’ala telah memilih kepada kamu satu agama jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang Islam”

Apa yang menjadi masalah orang Yahudi melawan nabi-nabi. Bukan sahaja melawan nabi-nabi tetapi disembelihnya nabi-nabi dan dibunuhnya nabi-nabi. Zaman tidak ada nabi pula, ulamak-ulamak yang mengikut sunah nabi, yang membawa ajaran nabi ditentang sebagaimana ditentang nabi-nabi.

Mengikut hadis, “Ulamak ialah waris nabi-nabi ASTS”. Ulamak-ulamak yang tidak sambung perjuangan nabi adalah bukan waris nabi tetapi pengkhianat kepada pusaka yang ditinggalkan oleh nabi-nabi.

Pada malam Israk dan Mikraj Allah Ta’ala temukan nabi kita Muhamad SAW dengan nabi Ibrahim di langit yang ketujuh. Nabi Ibrahim berkata, “Sampaikanlah salam kepada umatmu, suruh mereka membanyakkan tanaman syurga kerana bumi dalam syurga terlalu subur lagi luas”. 

Lalu dikatakan apa dia tanaman syurga

Jawabnya, “WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM”. Itu tanaman syurga dan itu mengikut satu riwayat.

Mengikut satu riwayat yang lain, “Sampaikan salamku kepada umatmu, beritahu kepada mereka bumi syurga itu sangat baik, subur dan luas. Tanamannya ialah 

SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR”. 

Barang siapa yang menyebut zikir itu akan tumbuhlah satu pohon dalam syurga.

Tiba-tiba nabi SAW melihat di sisi nabi Ibrahim ada satu kaum, satu puak manusia yang duduk di sisinya yang mukanya putih bersih laksana kertas putih yang bersih. Satu kaum lagi mukanya ada warna, tidak berapa cerah. 

Lalu mereka yang ada kekeruhan itu masuk ke dalam sungai. Mereka mandi mereka keluar hilang warna itu. Kemudian mereka masuk semula ke dalam sungai, mereka mandi mereka keluar hilang warna, masuk yang ketiga keluar kemudian mereka menjadi putih bersih.

Nabi SAW bertanya, “Siapakah mereka itu wahai Jibril”.

Kata malaikat Jibril, “Mereka yang putih warnanya ialah mereka yang beriman yang mengerjakan amal solih yag tidak mengeruhkan amalan mereka dengan maksiat dan kejahatan. Adapun mereka yang keruh warnanya ialah mereka yang bercampur-adukkan imannya dengan perkara yang jahat yang bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubat mereka. 

Adapun sungai yang pertama bernama Rahmatullah, yang kedua Nikmatullah dan yang ketiga Takahum Rabbuhum Syaraban Torura. Tuhan memberi minum kepada mereka dengan minuman yang bersih”.

Disebut dalam hadis bahawa sembahyang lima waktu laksana sungai yang ada di hadapan rumah, terlalu dekat. Bila kita mandi di sungai itu lima kali sehari adakah akan tinggal daki lagi di tubuh. Sudah tentulah tidak akan tinggal lagi daki ditubuh. Itulah dia sembahyang lima waktu yang dibandingkan oleh nabi SAW.
.
Dan dikatakan kepada nabi SAW itulah dia kedudukan umatmu. Ada di kalangan umatmu yang beriman, yang baik dan solih, dan ada di kalangan umatmu yang jahat.

Kemudian nabi SAW melihat masuk ke dalam al-Baitul Makmur itu dan diberitahu kepadanya tujuh puluh ribu para malaikat dan yang masuk tidak keluar lagi. Bagaimana mereka boleh masuk, tidak penuh kerana malaikat adalah makhluk ruhani bukan makhluk macam kita, bukan makhluk yang berjisim. 

Kemudian nabi SAW dihidangkan pula dengan tiga minuman iaitulah susu, air dan arak. Lalu nabi SAW memilih susu dan malaikat Jibril berkata itulah dia fitrah semula jadi manusia.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment