Saturday, November 5, 2016

ISRAK DAN MIKRAJ – SIDRATIL MUNTAHA



Kemudian baginda dibawa ke Sidratil Muntaha. Sidrat bermakna pohon bidara, daunnya digunakan untuk mandi mayat. Dan diberitahu itulah tempat yang menjadi sempadan makhluk yang ada di bawahnya, tidak boleh lagi naik lebih daripada itu. 

Ahli sains zaman sekarang membuat kajian mengatakan ada di kawasan itu tidak boleh ditembusi oleh cahaya sekali pun. Jika matahari yang besar pun sampai di situ hancur. Itu andaian tetapi Quran sudah memberitahu kita. 

Nabi SAW melihat di umbi pokok bidara itu keluar daripadanya sungai-sungai yang airnya bersih. Sungai susu yang tidak berubah rasanya, sungai arak yang lazat diminum dan tidak memabukkan, dan sungai madu yang ditapis. Madu sahaja, tidak ada lilin dan tidak ada lebahnya.

Sungainya terlalu besar. Begitu juga pohon bidara terlalu besar. Kalau berjalan tujuh puluh tahun tidak selesai, nabi kata. Dalam bahasa Arab bila disebut tujuh puluh memberi makna jumlah yang terlalu besar dan tidak boleh hendak banding.

Buah-buahnya besar seperti kolah-kolah kampung Hajar. Daun-daunnya laksana telinga gajah, terlalu besar daunnya. Diliputi oleh warna-warna yang tidak diketahui banyaknya melainkan Allah. Warna berubah-ubah, terlalu cantik dan indah.

Di umbinya pula ada empat batang sungai lagi. Dua sungai yang batin dan dua sungai yang zahir.

Lalu nabi bertanya, “Apakah dia sungai-sungai ini wahai malaikat Jibril?”.

Jawab malaikat Jibril, “Dua sungai yang batin yang di dalam itu ialah sungai dalam syurga dan dua sungai yang zahir itu ialah Nil dan Puraq”. Sungai Nil di Mesir dan sungai Puraq di Iraq. Nil dan Puraq ialah sungai yang diberkati oleh Allah Ta’ala. 

Macam mana hulunya boleh duduk di atas langit, ini ialah alam ghaib. Kita tidak mampu berfikir kebesaran Allah Ta’ala yang ditunjukkan oleh Allah Ta’ala kepada nabi SAW pada malam itu. Memang orang hendak mencari hulunya dan di mana punca airnya tidak bertemu.

Sungai Puraq dalam peta sampai ke Turkey. Sungai Nil melalui beberapa negara di Afrika dan mengharungi beberapa tasik pula. Ini ialah kebesaran Allah Ta’ala.

Di kawasan Nil dan Puraq ini dipilih oleh Allah Ta’ala menjadi tempat zahir nabi-nabi dan rasul-rasul ASTS dan tempat tamadun awal manusia. Di sini juga menjadi pergolakan antara Islam dan jahiliah semenjak zaman dahulu sehingga hari ini. 

Nil dan Puraq juga sempadan negara yang dimimpi oleh orang Yahudi. Orang Yahudi mengatakan negara mereka yang sebenar daripada sungai Nil di Mesir sehingga sungai Puraq di Iraq. Itu sempadan negeri mereka, negeri yang diasaskan oleh nabi Sulaiman AS. Mereka hendak ambil semula. 

Macam mana orang Yahudi hendak menerima plan atau peta perdamaian yang mewujudkan negara Palastin dan negara Yahudi. Orang Yahudi tidak akan menerima sekali-kali.  

Dalam kitabnya mengatakan negara mereka ialah daripada Nil sehingga ke Puraq, termasuk Mesir, termasuk Iraq dan termasuk juga Almadinatul Munawwarah.
Madinah termasuk dalam peta mereka dan sempadan dekat Yambuk di selatan Madinah. Tetapi Mekah tidak termasuk. Mereka pun tidak berani hendak masuk Mekah. Mereka juga membaca Azhabulfiil, orang Yahudi baca semua itu. 

Oleh kerana itu tidak ada dalam kepala orang Yahudi hendak berdamai, yang ada cuma dibuat-buat sahaja. Serangan Amerika ke atas Iraq adalah salah satu daripada perancangan untuk menolong Israil meluas wilayah mereka, kerana Iraq juga termasuk dalam peta mereka, Mesir juga termasuk, Jordan dan Syria juga termasuk negeri yang mereka idamkan. Allah Ta’ala tidak akan izinkan mereka.

Di Sidratil Muntaha nabi melihat rupa malaikat Jibril yang asal. Jibril mempunyai enam ratus sayap. Tiap-tiap satu sayap memenuhi ufuk. Dalam Quran pun sebut “Malaikat yang mempunyai sayap dua, tiga dan empat”. Ayat Quran menyatakan malaikat ada sayap.
Berguguran dari sayap Jibril warna-warni laksana permata yakub dan permata-permata lain yang tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah. 

Kemudian nabi SAW dibawa melawat ke kolam Kausar. “Sesungguhnya kami kurniakan kepadamu wahai Muhamad al-Kausar”. Al-Kausar ialah kolam yang diberi kepada nabi kita Muhamad SAW apabila air kolam ini diminum tidak akan dahaga selama-lamanya.
Oleh kerana itu ada pendapat mengatakan orang Islam yang masuk neraka mungkin dipelihara daripada dahaganya dan diselamatkan daripada neraka pada akhirnya. Tetapi jangan fikir ringan neraka ini.

Tiap-tiap orang nabi diberi kolam. Nabi kita diberi Kausar. Pada hari kiamat nabi-nabi menunggu kolam masing-masing. 

Disebut dalam hadis nabi Muhamad SAW menunggu umatnya datang dan nabi kenal umatnya melalui bekas-bekas wuduk yang dia sembahyang di atas dunia dulu menjadi paspot untuk dia masuk ke kawasan umat Muhamad SAW.

Tiba-tiba ada di kalangan orang yang ada tanda umat Muhamad dihalau daripada kolam Kausar. Lalu nabi bersabda, “Umati, umati, umati”. Umat aku, umat aku, umat aku, jangan halau mereka.

Kemudian diberitahu, “Wahai Muhamad kamu tidak mengetahui apa yang mereka lakukan selepas kamu wafat”. Maknanya mereka yang dihalau itu menyeleweng daripada ajaran nabi. Inilah yang kita takut. Sembahyang, sembahyang dah, puasa dah, pergi ke Mekah dah tetapi menyeleweng daripada ajaran nabi.

Kemudian nabi SAW dibawa masuk ke dalam syurga. Di dalamnya, “Barang yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tidak pernah didengar oleh telinga, yang tidak pernah terfikir dalam hati manusia”. Ini syurga.

Disebut di dalam hadis orang yang paling akhir masuk syurga tuhan beri kepadanya keluasan bumi syurga seluas sepuluh kali keluasan bumi dunia dan kuasa sebanyak tujuh kali ganda kuasa terbesar dunia. Inilah nikmat syurga yang paling kurang sekali.
Di pintu syurga nabi melihat tertulis orang memberi sedekah sepuluh kali ganda dan orang memberi hutang lapan belas kali ganda.

Nabi bertanya, “Wahai Jibril mengapa pula yang memberi hutang lebih afdal daripada memberi sedekah?”. Bila hutang dibayar wang akan diterima semula tetapi sedekah tidak, habis begitu sahaja.

Malaikat Jibril berkata, “Orang yang meminta sedekah itu bukan benar-benar terdesak, tetapi oang yang berhutang ialah orang-orang yang benar-benar berhajat dan terdesak”. Orang yang berhutang memang orang benar-benar susah dan tersepit.

Imam Malik dan ulamak sependapat dengannya berpegang dengan hadis ini. Walau bagaimanapun ramai ulamak berpendapat memberi sedekah lebih afdal. Ini khilaf di kalangan ulamak.

Pendapat lain berdasarkan kepada ayat Quran, “Bandingan orang yang membelanjakan harta bendanya pada jalan Allah laksana orang yang menanam satu biji benih lalu tumbuh daripadanya tujuh tangkai dan tiap-tiap satu tangkai ada seratus biji, jadi jumlahnya tujuh ratus kali ganda”.

Hadis mengatakan memberi hutang lapan belas kali ganda, Quran mengatakan sumbangan fi sabilillah mendapat tujuh ratus kali ganda. Jadi ulamak khilaf, berselisih pendapat dalam perkara ini.

Di dalam syurga ada sungai-sungai susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai arak yang lazat diminum, sungai-sungai madu yang ditapis bersih tiba-tiba di dalamnya kubah-kubah daripada mutiara, buah-buahan yang banyak. Buah-buah delima laksana timba-timba dan dikatakan buah delima laksana besar seekor unta. 

Di dalamnya burung-burung yang berterbangan. Setelah diceritakan kepada Abu Bakar di Mekah, lalu Abu Bakar bertanya, “Ya Rasulullah sedap burung dalam syurga”.
Jawab nabi SAW, “Dihidang kepada aku dan aku makan dan memang terlalu lazat. Aku harap engkau pun boleh makan nanti”.

Hidangan burung ini disebut dalam Quran, suratul Waqiah, “Antara makanan syurga itu ialah daging-daging burung apa yang kamu pilih. Perlu diketahui bahawa makanan dan minuman dalam syurga bukan untuk mengenyangkan dan menghilang haus. Tiada lapar dan dahaga dalam syurga. Makan dan minum adalah untuk kelazatan dan keseronokan semata-mata.

Nabi SAW melihat tepi-tepi kolam Kausar itu ada kubah-kubah berongga daripada mutiara, permata, dan dilihat tanahnya miski yang harum.

Kemudian nabi SAW ditunjukkan neraka pula. Di dalam neraka penuh murka Allah, hukuman dan azabnya. Kalau dicampak ke dalamnya batu-batu dan besi-besi nescaya api itu memakannya. 

Di dalam neraka juga nabi melihat manusia memakan bangkai. Ditanya, “Siapakah dia wahai malaikat Jibril?”.

Jawab malaikat Jibril, “Itulah dia mereka yang memakan daging manusia”. Itulah mereka yang mengumpat, yang mengancum sesama saudara seIslam.

Nabi melihat malaikat Malik yang menjaga neraka sentiasa masam muka, tidak senyum langsung. 

Malaikat lain ada juga senyum, tetapi malaikat yang menjaga neraka mukanya masam dan sentiasa kelihatan marah.

Nabi SAW memberi salam kepadanya dan dia menjawab salam. Neraka dikunci kerana kedatangan nabi SAW.

Kemudian nabi SAW diangkat ke Sidratil Muntaha. Tiba-tiba baginda SAW diliputi awan yang tebal. 

Malaikat Jibril berundur, Jibril tidak boleh naik lagi kerana Jibril daripada cahaya. Martabat malaikat Jibril sekadar itu sahaja. 

Nabi kemudian dibawa naik ke mustawan mengadap Allah SWT. Didengar padanya suara-suara kalam dan dilihat seorang lelaki yang hilang di dalam cahaya arasy. Nampak macam orang hilang dalam cahaya arasy. Lalu nabi bertanya pengiring yang mengiringi nabi pada masa itu (bukan malaikat Jibril), “Siapakah itu, adakah malaikat”.

Lalu dia menjawab, “Tidak, dia bukan malaikat”. “Adakah dia nabi”. “Tidak, dia bukan nabi”. “Dia itu siapa?”.

“Dia ialah seorang yang berada di alam dunia yang lidahnya berzikir dan hatinya bergantung ke masjid, yang tidak memaki kedua-dua ibu-bapanya”.
Ini payah. Hatinya ingat ke tuhan, ingat kepada masjid dan tidak memaki kedua-dua ibu-bapanya. Fadilatnya dilihat di Sidratil Muntaha.

Kemudian nabi mengadap Allah SWT dan tersungkur sujud dan tuhan berfirman kepadanya, “Ya Muhamad”. 

Jawab nabi SAW, “Labbaik, labbaik ya Rabb”. 

Labbaika perkataan dalam bahasa Arab dalam bahasa kita ‘ya’. Labbaika perkataan yang halus lebih daripada ya lagi. Orang Arab sebut Labbaika dengan makna ya, bala bermakna ya, naam dengan makna ya. Labbaika ini perkataan ya yang paling halus.

Oleh sebab itulah orang membuat Haji dan Umrah menyebut LABBAIKALLAHUM MALABBAIK LABBAIKALA SARI KALAKALABBAIK INNALHAMDA WANNIK MATALAK WALMULKALA SARIKALAK.

Ya wahai tuhanku. Tuhan berfirman, “Sal, minta”. Minta apa yang kamu hendak minta.
Sabda nabi SAW, “Wahai tuhan, Engkau telah jadikan nabi Ibrahim sebagai Khalil (kekasih-Mu) dan Engkau kurniakan kepadanya kerajaan yang besar, dan Engkau berkata-kata akan nabi Musa dengan kata-kata yang sungguh benar, dan Engkau beri kepada Daud kerajaan, menjadi pemimpin yang memerintah negara dan Engkau lembutkan baginya besi, Engkau beri kepadanya keupayaan mengarah bukit-bukau dan gunung-ganang. 

Engkau berikan kepada Sulaiman kerajaan yang sangat besar, Engkau beri kepadanya boleh menguasai jin, manusia dan syaitan-syaitan. Engkau berikan kepadanya kemampuan mengarah angin, engkau berikan kepadanya kerajaan yang tidak diberi kepada sesiapa pun selepasnya. 

Engkau ajarkan kepada nabi Isa Taurah dan Injil. Engkau berikan kepadanya mukjizat boleh menyembuh orang-orang yang sakit safak, balor yang tidak boleh diubat, menghidupkan orang yang mati dengan izin-Mu dan Engkau lindungkan dia dan ibunya daripada syaitan yang direjam. Maka tidak ada jalan bagi syaitan untuk menggodanya”.

Nabi tidak meminta apa-apa. Nabi sebut apa yang diberi kepada nabi lain. Ini menunjukkan kebijaksanaan nabi Muhamad SAW.

Diberi kepada nabi Ibrahim gelaran Khalil, kekasih tuhan, diberi kepada nabi Ibrahim kerajaan dan pemerintahan. Diberi kepada nabi Musa, nabi Daud, nabi Sulaiman dan nabi Isa dengan keistimewaan masing-masing. 

Lalu tuhan berfirman, “Aku jadikan mu Habib, kekasih”. 

Habib lebih besar daripada perkataan Khalil dan disebut oleh golongan ahli kitab bahawa nabi SAW disebut dalam kitab Taurah dengan Habibullah.

“Dan Aku utuskan Engkau untuk manusia seluruhnya bagi memberi berita gembira dan memberi amaran. Aku lapangkan bagi mu akan dadamu segala kesusahan dihilang daripada mu, Aku hilangkan segala kesalahan daripada dosa, kamu tidak ada dosa. Aku mulia dan agungkan sebutan mu. Tidak disebut Aku melainkan disebut mu bersama Aku. Kalau orang sebut Aku orang sebut mu juga wahai Muhamad.
“Dan Aku jadikan umat mu sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. Aku jadikan umat mu umat yang adil”. 

Umat Islam mesti adil, tidak boleh zalim

“Dan aku jadikan umat mu yang awal dan yang akhir”. 

Umat yang awal dibangkitkan pada hari kiamat dan dimasukkan ke dalam syurga dan yang akhir dilahirkan ke dunia. 

“Dan Aku jadikan tidak ada khutbah yang diucapkan oleh umat mu melainkan mereka mengucap dua kalimah syahadat dan mengaku bahawa kamu hamba-Ku dan rasul-Ku dan Aku jadikan di kalangan umat mu golongan manusia yang hati-hati mereka adalah kitab-kitab mereka”.

Ini keistimewaan yang ada pada umat Muhamad SAW walaupun di kalangan umat Muhamad tidak ada nabi lagi selepas nabi Muhamad SAW. Umat zaman dahulu ada nabi-nabi yang dilantik, umat Muhamad tiada nabi, tetapi ada orang-orang memelihara ilmu iaitu kitab-kitab mereka di dalam dada-dada mereka. Allah Ta’ala memelihara ilmu Islam di dalam dada para ulamak.

Kalaulah Quran dibakar hangus, hadis-hadis dibakar hangus, kitab-kitab dihanguskan, dimusnahkan ulamak-ulamak boleh menulis semula, boleh mengarang kitab semula. Ini bermakna ilmu-ilmu Islam bukan sahaja dipelihara di dalam kitab, di dalam buku-buku, dan sekarang di dalam skrip dan di dalam internet bahkan di pelihara di dalam dada-dada para ulamak. Ini tuhan janji pada malam Israk dan Mikraj.

“Dan Aku jadikan mu seawal-awal yang diciptakan dari segi pengumuman dan kenyataan dan yang akhir dibangkitkan”. 

Kelahiran nabi Muhamad diberitahu semenjak awal lagi. Manusia akan menjadi khalifah. Peranan khalifah yang paling besar ialah umat Muhamad SAW selepas nabi-nabi yang lain.
“Dan yang akhir dilahirkan ke dunia dan Aku kurniakan kepada mu dan umatmu menjadi umat yang awal dibicarakan pada hari kiamat”. 

Ketika dibicarakan di akhirat umatmu dahulu dibicarakan.

“Dan Aku beri kepada mu tujuh kepujian iaitulah suratul Fatihah yang tidak diberi kepada nabi-nabi sebelum mu”.

Aku beri kepada mu suratul Fatihah iaitulah satu kurnia yang sangat besar yang tidak diberi kepada mana-mana nabi sebelum mu.

“Dan Aku beri kepada mu akhir suratul Baqarah”, iaitulah LILLAHIMA FISSAMAWA TIWAMA FILARD,  AMANARRASULU hingga akhir.

“Ayat-ayat ini disimpan di bawah arasy yang mulia, tidak diberi kepada umat yang terdahulu dan Aku beri kepada mu kolam Kausar, dan Aku beri kepada mu lapan perkara yang istimewa yang ada pada mu iaitulah Islam, kedua Hijrah (Hijrah sama ada daripada kufur kepada iman, daripada jahiliah kepada Islam, daripada tempat kufur kepada tempat Islam, atau pun mempertahankan Islam berhijrah ke Madinah dan kemudian membuka Mekah), 

Yang ketiga jihad dan sedekah, puasa Ramadan, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, dan Aku telah tentukan pada hari Aku ciptakan segala langit dan bumi bahawa Aku mewajibkan kepada mu dan kepada umatmu lima puluh sembahyang, maka dirikanlah engkau dan umat engkau wahai Muhamad”. Lima puluh sembahyang sehari semalam.

Kemudian awan yang meliputi nabi berundur dan malaikat Jibril memegang tangan nabi membawa nabi turun. Turun dengan segera berjumpa dengan nabi Ibrahim dan nabi Ibrahim mengalu-ngalukan dan tidak mengatakah apa-apa. 

Bila berjumpa dengan nabi Musa, nabi Musa mengalu-ngalukan dan berkata, “Kamu buat apa wahai Muhamad naik di atas sana, tuhan memberi apa kepada mu wahai Muhamad”. Nabi Musa bertanya. 

Ini keistimewaan nabi Musa kerana dialah nabi yang berdepan dengan manusia yang paling zalim dalam sejarah manusia iaitulah Firaun. Nabi Musa menegar, mengkritik dan inilah perangai nabi Musa. Bila dia ikut nabi Khadir, tuhan menyuruh dia belajar, nabi Khadir buat apa sahaja dia tegar. Ini sikap nabi Musa dan dia seorang gagah perkasa, yang berani dan tegas.

Lalu nabi Musa bertanya Muhamad, “Tuhan perintah apa kepada mu”.

Jawab nabi SAW, “Tuhan mewajibkan kepada aku dan umat aku lima puluh sembahyang sehari semalam”.  Nabi suka sangatlah kerana tuhan sudah memberi lima puluh waktu dan besar pahalanya tanpa menyedari kemampuan umat mengerjakannya.

Nabi Musa berkata, “Wahai Muhamad naik semula, mengadap tuhan semula dan minta tuhan ringankan kepada mu dan kepada umatmu. Umatmu tidak mampu menunai lima puluh waktu. Sesunggunya aku telah menguji manusia sebelum mu.

Aku pernah mendidik kaum Bani Israil dengan bersungguh-sungguh supaya mereka menunaikan perintah Allah, perintah yang lebih sedikit, yang lebih ringan daripada lima puluh mereka tidak melakukannya. 

Umatmu lebih lemah daripada segi tubuh badan, hati, penglihatan dan pendengaran, aku berasa umatmu tidak mampu melakukannya”. 

Kaum Bini Israil sangat sukar didik. Bermacam-macam cara digunakan oleh nabi Musa tetapi kurang berjaya.

Satu kisah Bani Israil yang disebut dalam Quran perlu dijadikan renungan. 

Bani Israil minta cuti hari Sabtu dan tuhan izinkan. Hari Sabtu kena buat ibadat dan tidak boleh buat kerja langsung. Kaum Bani Israil yang tinggal di tepi laut bekerja memukat ikan. Allah uji mereka, tiap-tiap hari Sabtu kawan ikan masuk, banyak ikan masuk dengan jinak dan rapat ke darat. Ulamak-ulamak mereka melarang memukat ikan pada hari Sabtu.

Mereka tidak tahan dengan ujian tuhan. Hari Sabtu mereka pergi memukat juga walaupun dilarang. Mereka memukat pada hari Sabtu dan mengambil ikan dalam pukat pada hari Ahad. Mereka menipu tuhan. Akhirnya tuhan jadikan mereka kera-kera yang nyata. Ini yang berlaku dalam sejarah Bani Israil yang disebut dalam Quran.

Nabi kita Muhamad SAW berkata hari ini Jumaat untuk kita orang Islam, esok hari Sabtu untuk kaum Yahudi dan lusa hari Ahad untuk kaum Nasora, iaitu pengikut nabi Isa AS. Ini disebut dalam hadis. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment