Friday, November 11, 2016

JIN BERTASYAKKUR

Jin boleh menjelma dengan berbagai-bagai rupa yang boleh kita melihat antaranya ialah mereka boleh bertasyakkul iaitu menjelma atau menzahirkan diri mereka dengan rupa makhluk-makhluk yang zahir yang dapat dilihat, berupa manusia dan binatang.

Allah Ta’ala izinkan mereka bertasyakkul sebagaimana Allah Ta’ala izinkan malaikat boleh menzahirkan dirinya dengan makhluk yang dapat kita lihat.

Firman Allah Ta’ala suratul Anfal ayat 48: 

“Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik segala pekerjaan mereka dan mengatakan tidak ada seorang pun yang boleh menang menghadapi kamu pada hari ini dan sesungguhnya saya ini adalah pelindung bagi kamu manakala kedua pasukan itu lihat melihat berhadapan di antara satu sama lain, syaitan itu berpaling ke belakang seraya berkata aku berlepas diri daripada kamu kerana aku melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat. Sesungguhnya saya takut kepada Allah dan Allah tersangat keras seksaannya.”

Menurut Ibnu Ishak dan lain-lain sebab turun ayat ini ialah manakala orang-orang musyrikin keluar untuk berperang di Badar mereka ditemani oleh iblis yang menyerupakan dirinya seperti Surakah bin Malik al-Kinanah salah seorang pemimpin Bani al-Kinanah. Memang orang-orang Quraisy berasa bimbang kalau mereka diperangi oleh Bani Kinanah.

Iblis berkata jangan bimbang kerana akulah kawan kamu dan penolong kamu manakala dia melihat kedatangan tentera malaikat untuk membantu tentera Islam dia berpaling untuk melarikan diri lalu berkata kepadanya oleh al-Haris bin Hisyam: “Mahu ke mana wahai Surakah, awak mahu larikah lalu dia ditampar oleh iblis dan berkata kepadanya: aku melihat apa yang kamu tidak melihat dan aku takutkan Allah dan Allah itu memang keras seksanya.”

Ayat ini mengisahkan tentang peperangan Badar, peperangan yang pertama berlaku dalam sejarah Islam antara tentera Islam yang dipimpin sendiri oleh nabi SAW dengan tentera musyrikin. Tentera musyrikin besar jumlahnya, seribu orang dan tentera Islam hanya tiga ratus tiga belas orang sahaja.

Tentera Islam tidak mempunyai kelengkapan yang cukup tetapi tentera musyrikin lengkap dengan segala kelengkapan ketenteraan.

Tentera Islam walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan membuat keputusan berlawan. Di kalangan tentera musyrikin terdapat mereka berasa tidak sampai hati dan serba salah untuk bertempur dengan keluarga sendiri, sama sekampung dan kenal mengenal antara satu sama lain. Di saat itulah iblis datang merupakan dirinya dengan Surakah bin Malik memberi semangat.

Di sini menunjukkan bahawa makhluk jin boleh bertasyakkur iaitu berupa dengan makhluk yang boleh dilihat di alam nyata.

Jin yang menyerupakan dirinya dengan Surakah bin Malik itu memberi semangat kepada Abu Jahal untuk berperang dengan berkata: “Jumlah kamu seribu, tentera Muhamad sedikit sahaja dan tidak ada siapa yang boleh mengalahkan kamu pada hari ini. Lawan! Lawan!”

Pada awalnya mereka bimbang Bani Kinainah yang dipimpin oleh Surakah ini menyerang dari belakang. Bila iblis memberi semangat maka hilanglah perasaan kebimbangan itu.

Bila kedua pasukan ini berhadap, Allah menurunkan tentera malaikat dipimpin oleh Jibril AS. Bila iblis nampak Jibril dan tentera-tentera malaikat turun maka iblis yang menyerupakan Surakah bin Malik pusing belakang untuk lari. Salah seorang yang kenal Surakah berkata: “Kamu hendak lari ke?”

Kata iblis: “Aku nampak apa yang kamu tidak nampak dan aku takutkan Allah dan hukuman Allah terlalu keras.”

Ini kisah bahawa jin boleh menyerupakan dirinya untuk menipu manusia.

Kebiasaannya jin-jin kafir ini menipu bomoh-bomoh. Bomoh pula bila berubat orang, jangan bercakap hikmat daripada orang ini, hikmat daripada orang itu dan sebagainya. Jangan menuduh begitu kerana perkara ghaib yang hanya berada dalam ilmu Allah Ta’ala.

Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya syaitan telah melintangi aku terasa berat kepala aku kalau-kalau ia dapat memutuskan sembahyang. Lalu Allah membolehkan aku menahannya, aku berniat untuk menambatnya di tiang masjid sehingga kamu datang waktu Subuh dapat melihatnya lalu aku teringat kata-kata Sulaiman:

“Kurniakanlah kepada aku kerajaan yang tidak saigia dikurniakan kepada seseorang pun selepas aku” lalu aku mengembalikannya dapat melepaskan diri.”  Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menceritakan nabi sedang bersembahyang diganggu oleh syaitan. Mengikut satu riwayat ada sahabat nampak nabi sedang menghayun tangannya. Sahabat bertanya nabi mengapa hayun tangan ketika sedang sembahyang. Nabi berkata bahawa ada syaitan ganggu dia.

Ada riwayat mengatakan syaitan ganggu dengan ubor api sebab itu nabi menghulur tangannya untuk menangkap syaitan itu dan mengikatnya di tiang masjid supaya dapat dilihat lepas sembahyang Subuh. Nabi tidak melakukannya bila teringat kata-kata nabi Sulaiman AS.

Allah Ta’ala memperkenankan doa nabi Sulaiman menjadi raja memerintah manusia, jin termasuk syaitan, binatang dan burung yang terbang di udara. Itu adalah mukjizat nabi Sulaiman AS.

Cukup bagi kita umat Muhamad SAW percaya kepada perkara yang ghaib yang diberitahu oleh nabi kita Muhamad SAW. Umat zaman dahulu hendak melihat benda di hadapan mata baharu hendak percaya. Kita umat nabi Muhamad SAW mendapat pahala yang sangat besar kerana cukup dengan cerita yang diberitahu oleh nabi sahaja. 

Maksud hadis riwayat Malik, Ahmad Ibni Hambal, Muslim dan Abu Daud.

Dari Abi Said katanya: di kalangan kami ada seorang pemuda yang baru berkahwin kami keluar bersama-sama Rasulullah SAW ke Khandak yakni peperangan Ahzab, dia meminta izin pulang daripada Rasulullah SAW untuk mengunjungi isterinya, tiba-tiba dia melihat isterinya berdiri di pintu rumah lalu dia menghunus tombaknya ke arah isterinya kerana cemburu. Lalu isterinya berkata masuklah ke dalam rumah dan lihatlah apa yang ada di dalam rumah.

Apabila ia masuk ke dalam rumah didapati seekor ular berada ditempat tidurnya, dia pun menikam ular itu dengan tombaknya. Ular itu menggelempar dihujung tombaknya dan pemuda itu rebah tersungkur dan kedua-duanya mati. 

Apabila diberitahu kepada Rasulullah SAW lalu bersabda: Sesungguhnya Madinah terdapat jin-jin yang telah Islam, jika ternyata di hadapan kamu sesuatu maka berilah amaran selama tiga hari. Jika ia masih kembali lagi maka bunuhlah ia kerana ia adalah syaitan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa makhluk ghaib, jin boleh bertasyakkur iaitu boleh menzahirkan dirinya dengan rupa makhluk yang dapat dilihat. Antaranya ialah rupa binatang. Oleh kerana itu kita jangan mudah-mudah membunuh binatang yang ada dalam rumah. 

Kita hendaklah memberi peluang kepadanya untuk keluar iaitu memberi amaran kepadanya terlebih dahulu. Setelah diberi amaran tiga hari dia masih berdegil baharulah bertindak kerana dibimbangi binatang yang berupa itu ialah makhluk jin Islam. 

Jin Islam juga adalah saudara yang seagama dengan kita. Mungkin dia melakukan kesalahan maka beri peluang kepadanya sepaya berundur. Kalau tidak berundur juga menunjukkan binatang itu binatang sungguh atau pun jin kafir. Jin kafir boleh dibunuh kerana dia sudah menceroboh.
Hadis ini adalah hadis yang sahih, diceritakan oleh para sahabat dan cerita berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Menurut riwayat yang lain Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ada beberapa jin yang telah menganut Islam, jika kamu melihat binatang melata ini maka berilah amaran sebanyak tiga kali. Kalau ia tidak mengindahkan bunuhlah ia.” (Riwayat Turmizi.)

Hadis ini mempunyai maksud yang sama iaitulah beri amaran sebanyak tiga kali, hadis di atas amaran tiga hari. Tiga kali yang munasabahnya.
                                         Saidina Ali bin Abi Talib pernah menceritakan: “Demi Allah diceritakan oleh Saidina Ali, kata Saidina Ali demi Allah sesungguhnya Ammar bin Yasir seorang yang pernah memerangi jin dan manusia di zaman Rasulullah SAW, kami pun berkata, hai manusia memang dia memeranginya bagaiman pula tentang dia memerangi jin? 

“Saidina Ali berkata: kami bersama-sama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, beliau telah bersabda kepada Ammar, pergilah cari air untuk kami, lalu Ammar pun pergi tiba-tiab ia telah dihalang oleh syaitan (jin kafir) yang menjelma sebagai seorang hamba yang hitam. Ammar pun memegangnya dan Ammar dapat mengalahkannya. 

Syaitan itu berkata tinggalkan aku dan aku tidak akan mengganggu kamu untuk mengambil air. Ammar pun membebaskannya. Kemudian dia tidak membenarkan Ammar, Ammar memegangnya semula dan dapat mengalahkannya. Syaitan itu berkata lagi: lepaskan aku dan aku tidak mengganggu kamu lagi untuk mengambil air. Ammar pun membebaskannya semula.
Apabila dilepaskan dia menghalang lagi, Ammar menangkap dan mengalahkannya semula. Akhirnya dia pun membenarkan Ammar mengambil air. 

Rasulullah SAW bersabda kepada kami: 

Sesungguhnya syaitan telah menghalang Ammar mengambil air dengan merupakan dirinya seperti seorang hamba hitam dan sesungguhnya Allah telah memenangkan Ammar.

Saidina Ali berkata: kami pun menemui Ammar. Aku berkata kepadanya: Kamu sungguh perkasa wahai Abu Kozun, gelaran kepada Ammar, sesungguhnya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami apa yang berlaku. 

Ammar berkata: Demi Allah kalaulah aku tahu dia adalah syaitan nescaya aku membunuhnya, aku berniat untuk menggigit hidungnya kalau tidak kerana baunya yang busuk.” (Riwayat Abu Muin.)

Hadis ini menceritakan kehebatan Ammar bin Yasir RA. Ammar ialah seorang sahabat yang termasuk di kalangan ‘Assyabikunal Alwalun’ iaitu orang-orang yang awal masuk Islam bersama dengan ayah dan ibunya. Ayah dan ibunya dibunuh di masa berada di Mekah. 

Mereka suami isteri orang pertama mati syahid. Ammar dapat menyelamatkan dirinya dengan helah dan Ammar menjadi sahabat yang disayangi oleh Rasulullah SAW dan rapat dengan Saidina Ali Karramallahu Wajhah di dalam peperangan Syiffin. Ammar berperang di pihak Saidina Ali melawan Muawiyah.
Nabi telah bersabda dalam satu hadis: “Ammar akan dibunuh oleh suatu puak yang menderhaka.” 

Ini menunjukkan bahawa dalam peperangan ini Saidina Ali yang betul dan Muawiyah salah. Hadis ini menguatkan hujah kerana Ammar telah dibunuh dalam peperangan Syiffin dan Ammar bersama dengan Saidina Ali. Kita jangan terlajak mengkafirkan Muawiyah. 

Muawiyah membuat silap kerana melawan kerajaan yang sah iaitulah khulafah ar-Rasidin, khalifah yang keempat, Saidina Ali Karramallahu Wajhah. Dia menentang sebuah kerajaan Islam yang sah menunjukkan Saidina Ali adalah di kalangan khulafat yang sah. Muawiyah yang memeranginya adalah salah dalam peperangan itu kerana Ammar bin Yasir dibunuh ketika berpihak kepada Saidina Ali. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment