Friday, November 11, 2016

JIN MENDAMPINGI MANUSIA

Sesungguhnya jin yang kafir itu selalu mengganggu manusia. Oleh itu Rasulullah SAW selalu memberi peringatan dengan sabdanya: “Sesungguhnya syaitan itu sentiasa hadir di sisi seseorang di setiap keadaan sehingga ketika berada di sisi makanannya, syaitan sentiasa mendampingi manusia termasuklah ketika hendak makan, syaitan pun hendak makan sama juga.”

Ini sebabnya kita disuruh membaca ‘BISMILLAH’ dan berdoa ketika hendak makan untuk menghindar daripada syaitan dan mendapat keberkatan apa yang kita makan.

Sabda Rasulullah SAW: “Ertinya tidak terlepas seseorang itu daripada didampingi oleh temannya daripada jin, mereka berkata engkau juga bagaimana ya Rasulullah? Rasulullah SAW bersabda: “Dan aku juga kecuali aku telah diberi pertolongan oleh Allah untuk menghadapinya maka dia tidak boleh menyuruh aku melainkan kepada kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim.)

Hadis ini menunjukkan bahawa tiap-tiap orang manusia didampingi oleh korin daripada syaitan, korin daripada malaikat. Malaikat ada syaitan pun ada. Malaikat mendesak kepada yang baik-baik dan syaitan mendesak kepada yang jahat-jahat. 

Syaitan boleh masuk dalam tubuh kita mengalir bersama darah, meniup perasaan dalam fikiran kita supaya berfikir dengan macam-macam fikiran. 

Oleh itu kita disuruh sentiasa meminta doa supaya Allah Ta’ala melindungi kita, bahkan termasuklah nabi SAW semulia-mulia manusia juga diganggu oleh syaitan. Tetapi nabi ada kekebalan, dia diberi perlindungan oleh Allah SWT.

Apakah langkah-langkah yang tidak baik yang dilakukan oleh jin itu memberi kesan kepada manusia. 

Oleh kerana manusia bergaul dengan jin di atas muka bumi kadang-kadang berlaku perlawanan dan percanggahan antara satu sama lain sebagaimana manusia dengan manusia juga bercanggah. Jin dengan jin juga bercanggah dan boleh jadi berlawan antara jin dengan manusia dengan sebab perangai jahat yang ada pada masing-masing. Manusia ada yang jahat dan jin pun ada yang jahat. Mungkin juga percanggahan berlaku kerana tersalah. 

Memang ada kala jin-jin yang jahat itu membawa keburukan dan kerusakan kepada manusia yang lemah jiwanya sehingga jin-jin yang jahat itu dapat menyesatkan atau merasukkan mereka apabila seseorang itu tenggelam dalam genggamannya atau termakan oleh jarum penipuannya sehingga meminta perlindungan dengan jin itu atau meminta pertolongan untuk mendapat sesuatu manfaat atau mengkhodamkan jin itu bagi merosakkan saudara di kalangan manusia yang dianggap musuh. Kadang-kadang seseoang itu dirasuk oleh jin ketika ia lupa mengingati Allah dan membaca al-Quran. 

Oleh itu Rasulullah SAW mengajar kita memohon isti’anah yakni pertolongan dengan Allah SWT daripada syaitan. Kadang-kadang manusia menjadikan jin sebagai khodam untuk menggunakan ilmu sihir. Kadang-kadang jin menggunakan manusia menjadi khodam bukan sahaja menyebabkan manusia jadi jahat bersama dengan manusia tetapi jadi kafir bersama dengan jin yang kafir itu. Begitulah jin pun sama jadi jahat dengan sebab ikut manusia yang jahat dan jadi kafir juga sebab mengikut manusia yang kafir.

Nabi SAW mengingatkan kita supaya mendekatkan diri dengan Allah SWT. Menyebut nama Allah, membaca ayat-ayat al-Quran, kalam Allah iaitu kata-kata Allah dan berdoa memohon pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT. 

Antara sabda Rasulullah SAW ialah: “Apabila seseorang itu terasa cemas ketika tidurnya katakanlah A’UZUBI KALIMAATILLAHIT TAAMATI MINRRADABIHI WA’IQABIH WASYARRI ‘IBAADIH WAMIN HAMAZA TISYSYAYATIN WAANYAHDURUN (Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaannya, balasannya, kejahatan hamba-hambanya, hembusan-hembusan syaitan dan kehadiran mereka, maka syaitan itu tidak akan memberi mudarat kepadanya). (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Ini menunjukkan apabila seseorang itu diganggu oleh syaitan sama ada masa dia jaga dengan menimbulkan perasaan-perasaan yang menyusahkan dia, menakutkan dia, waswas dan seumpamanya atau pun bertasyakkul dengan rupa-rupa yang menakutkan dia maka hendaklah dia berdoa kepada Allah SWT meminta perlindungan daripadanya.
Antara doa ialah yang disebut itu atau pun doa yang disebut dalam al-Quranul Karim iaitu A’UZUBILLAHI MINASYSYAITAN NIRRAJIM. 

Berbagai-bagai lagi doa boleh digunakan yang disebut dalam hadis nabi dan dalam Quran.

Sabda Rasulullah SAW: “Kalau seseorang itu apabila ia menyetubuhi isterinya ia berkata BISMILLAH ALLAHUMMAJA NIBNA WAJAN NIBISYAITAN NAMA RAJAKTANA (maksudnya: dengan nama Allah wahai tuhan ku jauhkanlah kami dan jauhlah keturunan yang Engkau rezekikan kepada kami daripada syaitan.”

Ditakdirkan mendapat anak daripada pertemuan itu nescaya tidak memberi mudarat akannya oleh syaitan selama-lamanya.
Ini menunjukkan bahawa syaitan mendampingi seseorang termasuklah ketika dia bersama dengan isteri, ketika makan dan seumpamanya. Oleh kerana itu kita diajar dengan isti’adah dan diajar juga apabila hendak masuk dalam tandas baca: 

A’UZUBILLAHI MINALKUB BIWALQABAIS 

(bermaksud minta berlindung daripada syaitan). Bilik air adalah antara tempat-tempat yang syaitan suka duduk. Maka kita minta berlindung daripada syaitan-syaitan itu. 

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment