Friday, November 11, 2016

JIN DAPAT MERASUK MANUSIA


Antara kebolehan yang diberi oleh Allah kepada makhluk jin ialah merasuk manusia, masuk dalam tubuh dan mempengaruhi fikiran sehingga tidak sedar dan jin itu bercakap dengan apa yang dia mahu melalui manusia itu. 

Firman Allah Ta’ala: “Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang-orang yang dirasuk syaitan kerana penyakit gila.” (al-Baqarah ayat 275)

Berkata Ibnu Kathir ertinya tidaklah berdiri orang-orang yang makan riba itu bangun dari kuburnya pada hari kiamat melainkan seperti bangunnya orang-orang yang hilang akal ketika dirasuk syaitan.

Ayat ini menunjukkan bahawa syaitan atau pun jin kafir boleh merasuk manusia, masuk ke dalam dirinya dan bercakap tidak dengan akalnya lagi. Allah Ta’ala membandingkan dengan orang yang makan riba, dibangkitkan oleh Allah daripada kuburnya macam orang gila yang dirasuk syaitan.

Ini menunjukkan riba salah satu daripada dosa besar yang diharamkan oleh Allah dalam ayat-ayat al-Quranul Karim yang jelas dan nyata dan diberi amaran oleh Rasulullah SAW. 

Orang yang makan riba kerjanya hendak mengambil duit dan harta orang dengan cara yang mudah melalui kekayaan yang ada pada dia dengan memberi pinjam kepada orang-orang miskin dan mengambil untung daripada pinjaman itu tanpa mengira apa nasib orang miskin dan tanpa ada pertimbangan yang betul.

Para ulamak membahagikan riba kepada dua jenis iaitu riba nasya’ dan riba qodal. Riba nasya’ ialah menetapkan bayaran mengikut masa yang tetap kepada orang yang berhutang yang disabitkan keras dalam al-Quranul Karim.

Riba qodal ialah memberi pinjaman barang seperti beras, gandum dan seumpamanya dan dibayar balik dengan beras dan gandung juga iaitu jenis yang sama. Riba ini diharamkan dengan keras dan nyata kerana di dalamnya ada unsur-unsur penipuan sesama manusia.

Disebut dalam hadis malam Israk dan Mikraj ditunjukkan kepada Rasulullah SAW, orang yang makan riba itu berenang di dalam darah dilontar ke dalam mulutnya batu-batu. Orang yang makan riba dianggap berenang dalam darah manusia, zalimnya mereka yang makan riba ini.

Hari ini Allah Ta’ala membuktikan buruknya riba boleh menjatuhkan negara-negara besar dunia dengan sebab riba. Apa lagi orang perseorangan.

Para ulamak ahli sunah waljamaah berdalil dengan ayat ini bahawa jin itu dapat memasuki badan manusia yang dirasukinya. Berkata Abdullah bin Ahmad bin Hambal aku bertanyakan ayah ku ada orang-orang berkata bahawa jin itu tidak boleh masuk ke dalam badan manusia. Ayah aku menjawab wahai anakku mereka bohong. Inilah ayat yang memperkatakan tentangnya. 

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa jin boleh masuk dalam tubuh manusia mengalir bersama dengan perasaan isi hatinya. Ini sangat bahaya. Oleh kerana itu kita disuruh berzikir.

Imam Ahmad bin Hambal, imam mazhab Hambali ialah murid kepada imam Syafie dan dia bila sudah alim berijtihad lain daripada imam Syafie. Imam Syafie sangat gembira kerana anak muridnya alim, bijak dan boleh berijtihad walaupun memberi pendapat lain daripadanya. 

Pengikut-pengikutnya ramai dan hari ini mazhabnya menguasai masjid Mekah dan Madinah. Oleh sebab itu di Mekah dan Madinah Fatihah dibaca tanpa bismillah. Syafie kata wajib sebut bismillah tetapi dia kata sunat sahaja. 

Kita dibenarkan ikut mazhab lain, tidak menjadi salah kerana mereka adalah daripada sumber yang satu iatu Quran dan hadis nabi SAW

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berijtihad memberi pandangan mengenai hukum syarak dalam perkara yang tidak ada nas yang nyata daripada Quran dan hadis nabi SAW jika ijtihadnya betul maka dapat dua pahala, barang siapa yang berijtihad dan salah dapat satu pahala.”

Ijtihad ialah orang yang berkemampuan ilmu Quran, hadis, usul fiq, ilmu asas-asas bahasa Arab yang menguasai Quran dan hadis, hukum syarak baharu layak berijtihad. Timbulnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak dalam perkara cabang, dalam perkara asas tidak ada perbezaan. Dalam perkara yang nyata tidak ada khilaf seperti wajib sembahyang, wajib puasa dan sebagainya.

Mengenai bismilah dalam Fatihah timbulnya khilaf kerana nabi SAW dalam sembahyang membaca bismilah kadang-kadang membaca bismilah kuat dan kadang-kadang membaca perlahan. Sahabat-sahabat pula dihantar ke negeri-negeri yang berlainan.
Ibni Abas dihantar ke Taif, Abdullah bin Umar dihantar ke Mekah dan Muaz bin Jabar dihantar ke Yaman. Bila sahabat yang duduk berjauhan ini memberi pandangan berdasarkan masa dia ada dengan nabi. Sahabat-sahabat ini ada anak murid di tempat masing-masing dan memberi pandangan yang berbeza. Walaupun begitu mereka tidak bertengkar sebagaimana sekarang.

Imam Ahmad bin Hambal adalah murid imam Syafie berdalilkan ayat itu menjelaskan bahawa syaitan boleh merasuk dalam diri manusia. Ini tidak ada khilaf kerana ada nas ayat Quran. Bila ada nas ayat Quran maka tidak jadi pertelingkahan di kalangan ulamak.

Syaitan suka berupa anjing hitam

Diriwayatkan dari Ibni Abas RA: “Seorang perempuan membawa anaknya kepada nabi SAW, dia berkata ya Rasulullah sesungguhnya anak saya ini dihinggapi penyakit gila dan tidak sedar diri. Penyakit itu datang waktu makan tengah hari dan di waktu makan malam. Lalu Rasulullah SAW menyapu dadanya dan berdoa. 

Tiba-tiba budak itu muntah dan keluar daripadanya seperti anak anjing hitam yang baru lahir terus melarikan diri.”

Menunjukkan ada syaitan dalam diri budak itu. Allah Ta’ala tunjuk kepada orang yang hadir bagaimana muntah itu menjadi anjing dan terus lari. Itulah dia syaitan, anjing hitam. Ada hadis-hadis yang menyebut biasanya syaitan ini suka berupa dengan anjing hitam.

Hadis riwayat Abu Daud maksudnya:

Dari Ummi Abban binti Ruadi’ dari bapanya, dari datuknya, datuknya telah pergi mengadap Rasulullah SAW dengan membawa anaknya yang gila atau anak saudaranya, katanya ya Rasulullah bersama-sama saya ialah anak saya atau anak saudara saya, saya membawanya kepada kamu supaya kamu berdoa kepada Allah untuknya. Sabdanya bawalah dia, aku pun pergilah kepadanya di mana dia berada pada kenderaan aku pun melepaskannya, aku membuang pakaian musafir dan menyalinnya dengan pakaian yang cantik, aku memegang tangannya dan membawanya mengadap Rasulullah SAW. 

Sabdanya: dekatkan dia kepada aku dan palingkan belakangnya kepada aku. Rasulullah SAW memegang dan memukul belakangnya sehingga aku nampak putih ketiaknya dia bersabda: keluar hai musuh Allah. 

Tiba-tiba si sakit memandang seperti biasa tidak lagi seperti dahulu kemudian Rasulullah SAW mendudukkan dia di hadapannya dan berdoa di sampingnya air lalu dia menyapu muka dan berdoa untuknya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh seorang sahabat di mana cucunya Ibni Abban binti Ruadi’ meriwayatkan daripada ayahnya, ayahnya daripada neneknya dan neneknya sahabat nabi. Nenek ini membawa seorang budak yang gila mengadap nabi SAW. Nabi kata paling belakang dia dan nabi pegang dan nabi memukul belakang dia dan berkata keluar wahai musuh Allah. Lalu budak itu pun sedar serta merta. 

Ini mukjizat nabi. Kita orang biasa pun jika kita ikhlas menggunakan ayat-ayat Quran orang sakit sembuh dengan izin Allah. Bila budak itu sedar nabi baca doa di hadapan air dan menyapu mukanya dengan air. 

Hadis ini menunjukkan boleh berubat dengan cara itu, tidak menjadi kesalahan.

Disebut dalam kitab al-Murjam kisah imam Ahmad RA di mana khalifah al-Mutawakkir menghantar utusannya kepada imam Ahmad memberitahunya bahawa isterinya/gundik telah hilang akal dan memintanya supaya berdoa kepada Allah agar disembuhkan.
Lalu imam Ahmad mengeluarkan terompahnya daripada tempat wuduknya dan diberi kepada utusan khalifah katanya pergilah ke rumah amirul mukminin duduklah di kepala gundik itu dan katakan kepada jin yang merasuk itu yang mana kamu lebih suka sama ada keluar daripada gundik ini atau dipukul dengan terompah ini sebanyak tujuh puluh kali.

Apabila utusan itu pulang dan melakukan apa yang disuruh oleh imam Ahmad tiba-tiba jin itu berkata melalui ucapan gundik itu saya dengar dan saya patuh kalaulah imam Ahmad memerintah saya supaya jangan lagi tinggal pada gundik ini nescaya saya mentaatinya kerana dia seorang yang taatkan Allah dan sesiapa yang taatkan Allah nescaya ia dapat menundukkan segala-galanya.
Ini cerita bagaiman khalifah al-Mutawakkir iaitu khalifah selepas al-Makmun. Al-Mukmun ialah anak kepada Harun al-Rashid. Al-Makmun menterjemahkan kitab-kitab bahasa Farsi ke dalam bahasa Arab. Kitab perubatan, kitab ilmu hisab dan kitab sains tidak menjadi masalah, tetapi kitab mengenai falsafah menjadi masalah.

Akibatnya menterjemahkan kitab-kitab mengenai falsafah, di zaman dialah orang menggunakan akal untuk membahas mengenai sifat-sifat tuhan. Sifat-sifat tuhan banyak yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia menyebabkan lahirnya mazhab Muktazilah.
Mazhab ini mengatakan kalam Allah itu baharu, termasuk Quran itu baharu. Kalam Allah adalah sifat Allah Ta’ala. Mengikut kaul yang sekuat-kuatnya kalam Allah kodim bukannya baharu iaitu bukannya makhluk. Keadaan ini menyebabkan orang ramai menjadi sesat dan al-Makmum mengikut mazhab Muktazilah ini. 

Dia memaksa ulamak-ulamak memberi fatwa supaya mengikutnya. Mufti yang mengikutnya memberi fatwa memaksa ulamak-ulamak supaya mengikut Muktazilah. 

Ada ulamak-ulamak yang mati dipancung, ada ulamak dipenjara. Antara yang dipenjara ialah imam Ahmad. Ada ulamak yang menipu kerana hendak melepaskan diri dengan mengatakan Taurah, Zabur, Injil dan Quran adalah makhluk. 

Keempat-empat ini sambil menunjuk empat jarinya mengatakan makhluk. Dia niat jarinya makhluk, menipu dengan cara itu dan mereka terlepas.
Imam Ahmad dipenjara dan disebat dan berlumuran darah. Lalu orang membujuk imam Ahmad supaya membuat pengakuan tipu macam orang lain atau pun jangan melawan. 

Imam Ahmad kata: “Sekiranya orang alim mendiamkan diri kerana hendak menjaga diri dia sahaja tidak mengambil kira orang ramai sesat-sesatlah maka bilakah kebenaran itu akan dapat dinyatakan.” Dia sanggup mempertahankan akidah ahli sunah waljamaah sehinggala al-Makmum mati. 

Bila dia mati al-Mutawakkir menjadi khalifah mengganti ayahnya. Al-Mutawakkir kembali kepada mazhab ahli sunah wal-jamaah.

Kisah ini menceritakan bagaimana salah seorang isteri atau hamba kepada khalifah al-Mutawakkir (masa itu dibenarkan ada hamba) dirasuk oleh syaitan lalu al-Mutawakkir menghantar wakil untuk minta imam Ahmad berdoa supaya sembuhkan penyakit isteri dia yang hilang akal.

Imam Ahmad mengambil terompah dan menyuruh wakil itu duduk di depan pesakit dan kata kepada jin sama ada hendak lari atau pun hendak kena pukul. Jawab jin itu bercakap melalui pesakit yang tidak sedar ini oleh kerana yang suruh aku lari imam Ahmad maka aku lari kerana imam Ahmad sangat bertakwa kepada Allah. Maka pesakit itu sembuh secara otomatik. 

Ini menunjukkan dalil jin itu merasuk manusia. Perkara ini dipercayai oleh berbagai-bagai bangsa di dunia bukan sahaja orang Islam, orang bukan Islam pun percaya.

Banyak kisah berkenaannya bahkan kadang-kadang kita melihat perkara itu berlaku di hadapan kita dan para ulamak yang muktabar menceritakan kepada kita dan dinyatakan cara-cara mengubatinya di dalam kitab-kitab yang muktabar. Antaranya kitab al-Abkar karangan imam Nawawi dan kitab-kitab yang lain dengan berdasarkan kepada ulasan syarak yang kuat berdasarkan kitab Allah dan sunah Rasulullah SAW. 

Cara berubat ialah dengan ayat Quran dengan doa iaitu cara yang diajar oleh nabi SAW, jangan dengan cara syirik. Cara puja seperti: “Heh datuk” dan jamu pula kepada jin itu dengan nasi kunyit yang digantung pada dahan kayu dalam semak. Jin tidak makan nasi. Ini semua kerja-kerja syirik.

Mengubati orang dirasuk jin adalah perkara yang diharuskan oleh syarak kerana menjadi sunah nabi SAW dan kadang-kadang menjadi wajib kerana ia termasuk di dalam perkara pertolongan kepada orang yang dizalimi dan menolong orang yang dizalimi itu wajib kepada orang yang berkemampuan dan mestilah dengan cara yang diizinkan oleh syarak seperti membaca ayat kursi dan ayat-ayat yang lain atau dengan bacaan-bacaan doa dan zikir atau apa-apa sahaja yang diizinkan oleh syarak maka janganlah beristi’anah, minta tolong dengan yang lain daripada Allah kerana itu adalah sebahagian daripada cara-cara syirik dan janganlah menjampi atau berazimat dengan perkataan-perkataan atau nama-nama yang tidak diketahui maknanya.

Perlu diketahui juga bahawa segala tindakan dan ucapan yang dilakukan oleh orang yang dirasuki itu tidaklah dikira maksiat kerana apa yang berlaku itu bukannya secara akal. Orang gila dan orang tidak sedar diri bila bercakap tidak dikira dosa, diampun oleh Allah kerana tidak berakal. Jangan percaya apa yang diceritakan, serah kepada Allah Ta’ala.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment