Surah
al-Baqarah ayat 231
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka
(hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan
cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu
pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak
melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka
sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri, dan janganlah kamu menjadikan
ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan).
Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah)
apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk
memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta
ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Berdasarkan ayat itu:
Ayat itu merupakan kesinambungan yang bersabit dengan ketentuan syarak
di dalam saat kita cuba membina kehidupan yang diberkati oleh Allah SWT.
Perkahwinan adalah satu nikmat dalam kehidupan kita. Allah menyebut
dalam ayat itu, “Dan ingatlah akan nikmat yang Allah anugerahkan kepada kamu”.
Nikmat di sini mengikut Ibni Kathir ialah nikmat perkahwinan, nikmat
bersatunya pasangan suami isteri yang diikat dengan hukum-hakam agama. Ini
dinamakan nikah. Nikah merupakan sunah yang besar daripada sunah nabi SAW.
“Nikah merupakan sunahku dan sesiapa yang bencikan perkahwinan dia bukan
kalangan umatku”. Sabda nabi SAW.
Surah
al-Baqarah ayat 231
Walaupun dalam ayat itu Allah mulakan dengan talaq atau penceraian
tetapi hakikatnya ialah Allah hendak menyebutkan supaya kita berada dalam suatu
sistem perkahwinan yang akhirnya mengikat perhubungan sesama kita. Perkahwinan
ialah suatu ikatan yang boleh menghubungkan dua makhluk manusia lelaki dan
perempuan.
Tetapi masalahnya kadang-kadang harapkan hujan di tengah hari tetapi
hujan di malam hari. Kadang-kadang perkahwinan tidak manis, di awal perkhawinan
manis tetapi hiba, sedih dan pahit dihujungnya. Itu kenyataannya. Apabila
sampai satu ketika berlakulah at-talaq iaitu perceraian tetapi ingat penceraian
merupaka sesuatu yang cukup dibenci oleh Allah SWT.
Dalam riwayat Abdullah bin Amar RA, nabi bersabda, maksudnya, “Antara
perkara yang paling Allah benci tetapi halal ialah penceraian”.
Surah
al-Baqarah ayat 231
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa kalau penceraian itu berlaku,
berlakulah dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali menimbulkan kezaliman
kepada isteri yang dipermain-mainkan. Lepas dan ikat semula dan kemudian lepas
pula. Peganglah elok-elok, jika hendak bercerai, cerailah elok-elok dan bila
hendak merujuk, rujuklah elok-elok. Jangan sampai rujuk dan cerai semata-mata
untuk menyakitkan si isteri.
Mengikut pandangan al-marhum Said Hawa yang mengatakan bahawa ayat ini
satu celaan daripada Allah kepada kaum manusia di zaman nabi kerana mereka
mempermain-mainkan perempuan bertujuan untuk menyiksa orang perempuan kerana
talaq berada di tangan lelaki.
Allah SWT menyebut barang siapa yang melakukan demikian maka dia telah
menzalimi diri sendiri. Zalim di sini bermaksud dia memikul beban dosa kerana
menganiai seorang perempuan bernama isteri.
Ayat ini menggambarkan kepada kita bahawa soal pernikahan mestilah
serius. Bila bercerai, bercerailah dengan baik. Jangan mempermain-mainkan hukum
hakam Allah kerana sunnah perkahwinan adalh sunnah yang besar dalam agama kita.
Kesimpulannya ayat ini menjelaskan bahawa perkahwinan harus dijaga dan
penceraian mestilah dalam keadaan yang baik dan selaras dengan hukum Allah SWT.
MENGAPA BANYAK BERLAKU PENCERAIAN
Perkahwinan merupakan satu ikatan. Ikatan perkahwinan ini disebut dalam
al-Quran sebagai “Ikatan yang cukup besar”. Ikatan bukan semacam syarikat,
tetapi ia merupakan akujanji atau boleh dikatakan baiah yang sangat kuat dan
penyaksiannya ialah Allah SWT. Perkahwinan ada kaitan dengan ibadat, dengan
sunnah, dengan syariat dan dengan kitab Allah SWT.
Perkahwinan tidak ada istilah cuba-cuba. Kalau setuju kita kahwinlah dan
kalau tidak serasi kita berpisahlah. Perkahwinan tidak boleh bermain-main, ada
waktu percubaan dan sebagainya. Ada yang membuat kenduri besar-besaran dan
bercerai tahun yang sama. Bukan begitu perkahwinan.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud, “Tiga perkara, memang
serius kalau main-main pun serius, tidak boleh lagi ada istilah cuba-cuba
iaitulah nikah, cerai dan membebaskan hamba”
Perkahwinan ada kaitan dengan sunnah dan ada yang tidak kena betulkan,
bukan batalkan. Batalkan atau penceraian itu adalah sebagai jalan terakhir
setelah segala usaha gagal. Perkahwinan adalah ibadat. Dalam solat pun bila
mengangkat takbir, kena teruskan dan kita rasa kurang rakaatnya kita tambah dan
sujud sawi.
Perkahwinan juga ibadat, bukan main-main, you duduk rumah you, I hendak
balik rumah emak I. Oleh kerana perkahwinan adalah ibadat maka hendaklah
dibetulkan, bukan dibatalkan.
Bila ibadat bermakna ada kaitan dengan pahala dan dosa. Ada kaitan
dengan syurga dan neraka. Orang perempuan tidak berbau syurga kalau minta cerai
tanpa sebab. Si isteri boleh memilih pula pintu syurga mana yang ia hendak
masuk kalau membuat ketaatan kepada suami dan sebagainya.
Perkahwinan merupakan suatu nikmat.
Apabila Allah SWT menganugerahkan nikmat itu kepada kita maka jangan
menjadi manusia yang sangat sombong dengan mengkuburkan nikmat ini
begitu sahaja. Setelah mendapat nikmat perkahwinan, sekarang ini orang
tidak segan silu mengiklan pula dalam akhbar, sekarang ini sudah bercerai,
sudah menjadi single dan available.
Jadi masyarkat perlu difahami bahawa perkahwinan adalah satu ikatan yang
sangat besar kerana ia ada kaitan dengan kalimatillah dan amanah Allah SWT.
KAHWIN SINGKAT
Perkahwinan merupakan satu bebanan amanah yang sangat besar. Akhir-akhir
ini sudah menampakkan satu trend seolah-olah kahwin cerai. Ini sebenarnya
menunjukkan tanda-tanda akhir zaman.
Kahwin singkat atau penceraian mungkin berlaku disebabkan oleh
kekurangan ilmu agama yang menjadi benteng kekuatan. Kahwin dan bila ada
kekuatan teruskan dengan bahteranya, kalau tidak batalkan di tengah jalan
walaupu kenduri besar-besaran.
Kekurangan ilmu boleh menyebabkan berlakunya segala keruntuhan. Mohd
al-Ghazali ada mengatakan bila kosongnya jiwa dengan ilmu maka akan masuklah
syaitan ke dalam jiwa yang akan merosakkan peradaban kita.
Kita jarang mendengar mereka bergelar ustaz kahwin sekejap bercerai.
Pasangan yang mudah bercerai ialah pasangan yang kurang melakukan sembahyang
dan akhlak mereka tidak melambangkan akhlak Islam.
Jadi jelas kekurangan ilmu agama menjadi penyebab berlakunya kahwin
singkat.
Kahwin singkat hendaklah dilihat sebagai isu umat atau isu negara. Isu
ini tidak boleh diletak kepada pasangan suami isteri dan keluarga mereka sahaja
tetapi mestilah ditangani oleh pemerintah agar keruntuhan zuriat dapat
dipertahankan.
DAH TAKDIR
Suami bila berkahwin satu lagi dia berkata takdir dan kalau bercerai dia
kata jodoh tidak panjang. Dia tidak pernah meneliti siapa sebenar yang
bersalah.
Trend masyarakat hari ini merasakan tidak kekok, tidak merasa malu bila
perkahwinan itu menjadi perkahwinan singkat. Kadang-kadang terpaksa hakim
memutuskan apa yang berlaku di atas katil.
Orang berkahwin kamu pun hendak berkahwin. Tetapi persedian dalam diri
mengenai agama tidak ada.
Perkahwinan harus dilihat sebagai satu pakej. Amat kesal pasangan yang
datang mengadu, bila dikorek-korek baharulah memberitahu, “Memang suami saya
tidak pernah solat pun. Isteri saya memang tidak pernah jaga pun”. Bila hendak
berkahwin tidak mengambil pakej dan bila bermasalah baru hendak mencari pakej.
Bila hendak membuat Umrah pandai pula mencari pakej daripada awal lagi. Inilah
yang menjadi masalah.
Perkahwinan juga merupakan satu pakej daripada awal lagi. Masa memilih,
pilihlah yang kita mengetahui perangainya. Masa hendak tidur bersama doa apa
yang kita perlu membaca. Bila mendapat anak apa pula tanggungjawabnya. Itulah
pakej yang perlu dipelihara dan dijaga.
Adakah kita hendak menyalahkan jodoh, takdir atau bagaimana. Jika kita
melihat semula di zaman Rasulullah SAW, seorang wanita telah datang menemui
Rasulullah SAW dan bertanya, “Kalau aku berkahwin apa yang perlu aku lakukan
dan apa pula yang tidak boleh aku lakukan?”.
Bila nabi memberitahunya, dia terus berkata, “Ya Allah susahnya, macam
itu aku tidak mahu kahwinlah!”. Dan nabi tidak menghalang wanita itu.
DAH TAKDIR
Sebenarnya bukan senang hendak menjadi isteri dan bukan senang hendak
menjadi suami. Justeru itu ilmu yang melengkap kita mengenai tanggungjawab
bahawa dengan perkahwinan kita membuat ibadat untuk mendapat pahala.
Bila berkahwin ada ijab dan kabur. Seorang wanita harus bersetuju dan
seorang lelaki bila disebut, “Aku terima nikah itu”, maknanya aku menerima dan
redha. Perkahwinan mesti ada redha sebab tidak ada kesempurnaan di kedua-dua
belah pihak, suami mahu pun isteri. Kekurangan itu ada, lalu kedua-duanya
dicantumkan untuk saling melengkapi antara suami dan isteri.
Kalau kita kahwin memikirkan, kahwin dengan you apa yang I dapat. You
tidak dapat tetapi you kena bagi. Ada suami bila bergaduh mengatakan I tidak
dapat apa pun. Dalam perkahwinan itu kita kena memberi baharulah menerima.
Dalam setengah keadaan haram bercerai. Isteri tidak boleh meminta cerai
dan suami berdosa kalau dia abai tanggungjawab. Inilah perkara yang perlu
difahami sebelum berkahwin. Kursus perkahwinan dibuat dua hari ada orang marah
dan sekarang ada yang ekspres, ada pula sindiket yang mencatat nama tetapi
hadir pun tidak dan mendapat sijil kursus.
Kita tidak mahu sekarang ini hadir majlis kenduri, majlis kesyukuran dan
besok hadir pula majlis penceraian. Kita bimbang trend ini terus terjadi dalam
masyarakat kita.
JODOH BERPANJANGAN
Hasrat kita berkahwin kita hendak kekal sehingga sampai ke akhir hayat.
Tetapi mana mungkin rumah tangga yang dibina itu diberkati Allah kalau
peringkat awal lagi sudah tidak halal. Kalau belum berkahwin pasangan itu sudah
pergi ke sana ke mari, makan sana dan makan sini maka keberkatan sudah hilang.
Peringkat awal lagi perhubungan sudah melanggar perintah Allah.
Dalam kontek bertunang sebagai contoh berapa banyak hari ini kesilapan
berlaku. Kadang-kadang ibu-bapa sendiri yang memberi peluang untuk dibawa
tunangnya keluar ke sana sini. Ini satu pandangan yang tidak betul. Pertunangan
bukanlah satu lesen yang membolehkan pasangan itu bergerak ke sana ke mari
berdua-duaan.
Kita perlu ingat rumah tangga adalah satu amanah Allah SWT. Jika membina
rumah tangga berasaskan agama maka kita sejahtera. Sebaliknya rumah tangga yang
tidak dibina atas asas agama akan mengharumi hidup yang penuh bermasalah yang
mungkin berlaku penceraian.
Rumah tangga adalah punca zuriat keturunan kita.
Mengikut hadis nabi SAW, “Zuriat itu merupakan suatu benda yang
sensitif”. Oleh itu kita kena membina rumah tangga yang melahirkan anak-anak
yang solihah, anak-anak yang berwibawa dari sudut peradaban, budi bicara,
sikap, watak dan sebagainya. Zuriat juga merupakan suatu amanah daripada Allah
SWT.
Pasangan suami isteri memanglah tidak sempurna dalam semua keadaan
tetapi kekurangan boleh ditampung dengan kebaikan. Jika suami membuat kesilapan
isteri tolong betulkan. Sebaliknya jika isteri membuat silap suamilah yang
membetulkannya.
Hadis daripada imam Attarmizi meriwayatkan bahawa doa nabi SAW ialah,
“Ya Allah perluaskan rumahku ini dengan kebahgiaan dan keberkatan”. Inilah yang
perlu dicari dan Insya Allah rumah tangga itu akan menjadi syurga di dunia dan
syurga di akhirat.
MEMUPUK KASIH SAYANG
Ramai orang menganggapkan bahawa cinta sejati itu perkara yang
indah-indah belaka. Cinta sejati itu kita perolehi setelah kita melalui cabaran
untuk mengenali hati budi antara satu sama lain. Peringkat pertama perkahwinan
iaitu tempuh lima tahun pertama itu baru peringkat mengenali antara satu sama
lain.
Anak yang kita pelihara bila dia besar baru kita tahu dia suka makan
ini, dia suka makan itu. Kita mengambil masa yang lama untuk mengenali tabiat
anak-anak kita. Singkat sangatlah masa kalau dua belas bulan tiba-tiba rasa
tidak serasi. Kita perlu mengambil masa yang lama untuk mengenali dan memupuk,
membajai dan menanam rasa cinta sejati kerana cinta itu tidak datang dengan
sendiri.
Untuk memupuk cinta ia harus ada permulaan yang baik. Benih yang baik,
tanah yang subur dan tempat yang strategik untuk kita tanam. Tetapi jika tidak
mendapat benih yang baik dan tempat yang strategik untuk menanam, tanah itu
sepatutnya ditanam getah tetapi ditanam kelap sawit memang susahlah jadinya.
Kita sedih mendengar pasangan yang sudah bertunang pergi ‘shopping sana
dan shopping sini’. Bertambah sedih lagi bila kita menghadiri majlis
perkahwinan, baru menikah pagi tadi, ditunjuk gambar video yang dipapar untuk
ditontoni oleh tetamu-tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan itu bahawa
mereka sebelum ini halal sedang mereka baru sahaja dihalalkan pagi tadi.
MEMUPUK KASIH SAYANG
Memupuk kasih sayang ini ada rukun. Kita ada rukun iman yang enam, hukum
Islam yang lima, kita ada rukun negara. Cinta pada iman ada rukun, cinta pada
Islam ada rukun, cinta pada negara ada rukun. Apa lagi cinta sesama manusia
perlu ada rukun. Rukun pertama mesti menghormati di antara satu sama lain. Mana
mungkin sesuatu pasangan itu boleh serasi kalau dia tidak boleh hormat. Isteri
rasa Allah mak kita kahwin pun tidak ada kufok.
Dalam Islam kufok itu penting supaya dapat menanam rasa hormat
menghormati yang dalam ayat selalu kita baca pun kena ada mawaddahnya,
rahmahnya dan sebagai. Betapa bahagianya
pasangan jika suami melihat isteri dengan penuh kasih sayang. Ini tidak, suami
cuma membawa kereta sahaja membeli belah di pasar raya, isteri ini turun pergi
membeli barang-barang. Membeli barang pun isteri, membayar barang pun isteri,
membawa barang pun isteri, suami tunggu dalam kereta sahaja. Tiga lawan satu,
tidak sayanglah macam itu.
Tidak ada kasih sayang, tidak romantik. Setidak-tidaknya bukalah pintu
atau bonet kereta. Sudahlah tidak buka, silap-silap marah pula, “Lambat benar
kamu ini, saya puas menunggunya?”. Lalu timbullah masalah tidak serasi, tidak
sehaluan.
Ada pula bercerai pun tidak, tetapi tidak duduk sebumbung. “Kita orang
sudah setahun tidak duduk sebumbung”. Isteri pun tidak , janda pun tidak. Kita
bimbang takut menjadi trend, kita sudah tidak malu memberitahu orang, “I ini
IT”. Ingatkan Institute Tecknology, tetapi ibu tunggal. Ada juga mengatakan ibu
tinggal. Macam-macam istilah ditimbulkan.
Bagi orang tua-tua kalau bercerai malu, tidak cerita ke orang pun. Malu
yang amat sangat dan tidak dapat hendak diceritakan. Tetapi hari ini sudah
tidak dijadikan sebagai suatu perkara yang mengaibkan yang perlu dijaga dalam
masyarakat kita.
PERKAhWINAN ADALAH AMANAH.
Perkahwinan merupakan amanah kita dengan Allah SWT. Kita mula bernikah
atas nama Allah, ijab kabul dengan nama Allah bukan nama keluarga si perempuan
atau lelaki. Ertinya kita namakan dengan satu ikatan janji setia Allah SWT.
Maka kalau kiita jaga betul-betul kita beroleh keberkatan yang berpanjangan.
Sesuatu yang ada dalam rumah tangga, jika kita kawal mengikut hukum
hakam agama boleh selesai dengan baik.
Maknanya suami jangan ego, isteri pun tidak ego. Masing-masing ada
semangat tolong bantu membantu antara satu sama lain. Apa yang kurang sama-sama
perkukuhkan dan sudah kukuh sama-sama perkasakan, kerana itulah pasangan kita,
itulah orang yang kita pilih menjadi pasangan kita. Mengapa kita hendak
merosakkan ikatan tersebut.
Kalau budaya kahwin sekejap merupakan satu trend, ini boleh membinasakan
negara yang kita diami ini yang akhirnya negara akan rosak. Maka jagalah nikmat
perkahwinan dan jangan indek pencemaran kahwin singkat menjadi trend.
IBADAT KAHWIN ADALAH IBADAT BERPANJANGAN
Dalam perkahwinan perlu ada redha, perlu ada setuju dan perlu ada
mengingati bahawa dia ada nikmat Allah SWT. Kalau dalam ibadat yang lain solat
pun kadang-kadang kita solat bertahun-tahun baharulah kita rasa khusuknya. Kita
bangun di tengah malam baharulah kita rasa perhubungan kita dengan Allah maka
dalam perkahwinan pun begitulah juga.
Ambillah sedikit masa untuk menilai hati budi di antara satu sama lain
baharulah kita boleh kata tidak serasi. Ibadat ada ibadat yang hari-hari
seperti solat, ada ibadat sebulan seperti puasa Ramadan, ada ibadat yang
berbentuk setahun seperti Haji dan ibadat kahwin ini adalah ibadat seumur
hidup.
Oleh kerana perkawinan merupakan ibadat seumur hidup maka hendaklah kita
pelajari. Bagi yang berkahwin kalau isteri sudah ada dalam tangan kita,
hargailah isteri, jangan sampai orang lain hendak mengambil isteri kita
baharulah kita rasa isteri itu bernilai pada kita.
Bagi yang belum berkahwin hendaklah kita persiapkan diri kita kerana
perkahwinan itu merupakan pakej dan kalau berlaku apa-apa dalam perkahwinan
sebenarnya manusia itu bertanggungjawab atas dirinya sendiri seperti kata
pantun,
“Bukan salak dari Palimbang,
salak dari indera giri,
bukannya salah dari orang,
salah diri sendiri”
KULIAH YT
No comments:
Post a Comment