Tuesday, November 15, 2016

KEWAJIPAN ORANG MUKMIN TERHADAP PARA MALAIKAT



Oleh kerana para malaikat hamba-hamba Allah yang terpilih dan mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah maka orang-orang mukmin yang beriman kepada malaikat akan memberi walad yakni kepercayaan dan kesetiaan dan memberi sepenuh kasih sayang kepada mereka serta mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan mereka.

Kita mesti percaya dan beriman dengan sungguh-sungguh tentang adanya malaikat dan sifat-sifat yang ada padanya.

Antara sifat malaikat ialah sangat taat kepada Allah, tidak sekali-kali derhakakan Allah dan mereka sangat sayang kepada orang-orang beriman dan minta ampunkan dosa orang-orang yang beriman setelah mereka sendiri tidak berdosa. 

Mereka meminta rahmat Allah diberi kepada orang-orang beriman dan mereka sentiasa mengiringi bersama-sama dengan orang beriman untuk menyenangkan orang-orang yang beriman itu di dunia dan di akhirat. 

Oleh kerana itu kita hendaklah hormat kepada malaikat dan buat perkara-perkara yang disukai oleh malaikat. Jangan buat perkara-perkara yang tidak disenangi oleh malaikat. 


Antara perkara yang tidak disenangi oleh malaikat ialah kufur, syirik dan perkara-perkara dosa dan maksiat. Oleh itu maka cara menghormati malaikat seseorang itu hendaklah mengikhlaskan agamanya kerana Allah SWT. 

Membersihkan iktikad yakni kepercayaan dan amalan dari segala bentuk syirik dan menjauhkan diri dari segala maksiat dan dosa.

Para malaikat tidak memasuki rumah yang mengandungi maksiat atau diisi dengan benda-benda yang dimurkai oleh Allah seperti gambar-gambar dan patung-patung. Gambar-gambar makhluk yang benyawa. 

Malaikat tidak menghampiri orang yang bergelomang dengan dosa.


Sabda Rasulullah SAW: 

“Tiga perkara yang tidak dihampiri oleh malaikat iaitu bangkai orang kafir, orang yang bergelomang dengan khalup (iaitu sejunis bauan kebanyakan bahannya ialah za’faran. 

Za’faran ialah sejenis hahan bauan) dan orang yang berjunub sehingga dia berwuduk, sehingga ia mengambil air sembahyang walaupun belum mengambil hadas besar lagi.” Sunan Abu Daud.

Sabda Rasulullah SAW: 

“Nabi SAW telah berjanji dengan malaikat Jibril pada suatu masa yang ditetapkan ia datang menumuinya tiba-tiba terlambat sehingga nabi SAW menjadi cemas dia bersabda: 

Allah tidak sekali kisah para urusan-Nya kemudian dia berpaling lalu terpandang seekor anak anjing yang berada di bawah katilnya dan bersabda: Hai Aisyah bilakah anjing ini masuk. 

Aisyah menjawab: Demi Allah saya tidak tahu. Lalu dia menyuruh supaya anak anjing itu dikeluarkan, maka Rasulullah SAW pun keluar menemui malaikat Jibril dan memberitahunya apa yang terjadi.

 Jibril berkata kepadanya sesungguhnya kami tidak masuk ke dalam rumah yang ada gambar dan anjing.”

Hadis ini menunjukkan malaikat benci pada gambar makhluk yang bernyawa dan anji ng. Gambar pemandangan yang tidak bernyawa tidak menjadi salah. 

Sesetengah ulamak mengecuali anjing buruan, anjing untuk menjaga kebun dan anjing untuk menjaga rumah. Ada ulamak mengatakan anjing ini pun hendaklah diletak jauh daripada rumah. Anjing dalam mazhab Syafie najis mughalazah.

Hadis ini menunjukkan malaikat Jibril yang sudah berjanji dengan nabi SAW tidak datang dan nabi dalam keadaan menunggu-nunggu kedatangan malaikat Jibril yang berjani hendak datang. 

Sudah tentulah ada perkara yang berlaku kerana nabi SAW bersabda Allah dan utusan-utusan-Nya termasuk malaikat tidak memungkiri janji sekali-kali. 


Tiba-tiba nabi terpandang ada anak anjing di bawah katil dan nabi menyuruh dikeluarkan anak anjing itu. Setelah dikeluarkan baharulah malaikat datang memberitahu sebab dia tidak masuk dalam rumah yang ada gambar dan anjing. 

Sabit dalam hadis-hadis sahih bahawa malaikat juga berasa jejek dengan bau busuk dan kekotoran yang tercemar oleh manusia seperti dinyatakan oleh Rasulullah: 

“Sesiapa yang memakan bawang putih, bawang besar, daun kucai maka janganlah dia menghampiri masjid, sesungguhnya malaikat berasa jejek apa yang dirasa oleh manusia kerana makanan ini menyebabkan bau busuk.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Makruh makan bawang putih, bawang besar dan daun kucai kecuali yang dimasak kerana apabila dimasak hilanglah bau busuk. 

Petai dan jering juga makruh dimakan kerana baunya busuk dan malaikat benci kepada bau yang busuk. 


Rasulullah dengan sabdanya:
“Apabila seseong itu bersembahyang maka janganlah dia meludah di hadapannya kerana sesungguhnya dia kecundang bermunajat kepada tuhan selagi dia bersembahyang
dan jangan meludah di sebelah kanan kerana di kanannya ada malaikat, berludah di sebelah kiri atau di bawah kaki kemudian timbuskan.”
Ini sembahyang di atas tanah. Tidak boleh meludah di hadapan kerana kita mengadap Allah Ta’ala, tidak boleh meludah di sebelah kanan kerana ada malaikat. Ludah di sebelah kiri dan kambus.
Masjid sekarang semuanya simen. Jadi ludah dalam sapu tangan dan sembunyikan. Kita menghormati malaikat sebagaimana kita menghormati orang yang kita nampak.
KULIAH YT

No comments:

Post a Comment