Tuesday, November 15, 2016

LANGIT TERBELAH



Firman Allah Ta’ala al-Insyiqaq ayat 1-5: 

“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Apabila langit terbelah, serta mematuhi perintah tuhannya dan sudah semestinya ia patuh dan apabila bumi diratakan serta mengeluarkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong serta mematuhi perintah tuhan dan semestinya ia patuh maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya.”

Ayat-ayat di atas permulaan surah al-Insyiqaq (insyiqaq bermakna berpecah/terbelah) terbelahnya langit iaitulah peristiwa hari kiamat yang amat dahsyat. Surah Insyiqaq termasuk dalam surah Makiyah, surah yang diturunkan di Makkatul Mukarramah ketika nabi SAW mula dilantik menjadi rasul. 

Permulaan akidah, kepercayaan kepada kekuasaan Allah SWT. Di antaranya ialah berlakunya hari kiamat di mana seluruh alam ini termasuk langit dan bumi akan dibinasakan oleh Allah mengikut ketetapan ajal, tempuh masa yang ditentukan oleh Allah yang berada di bawah kekuasaan-Nya.

Allah menjanjikan ciptaan alam yang lain iaitu alam akhirat selama-lamanya dalam keadaan manusia dibangkitkan semula dan dihisab mengikut tugas dilaksanakan dalam kehidupan dunia ini.
Oleh kerana makhluk manusia adalah makhluk teristimewa dikurniakan akal, ruh dan tubuh badan mempunyai kemampuan bergerak dan boleh mentadbir makhluk-makhluk lain yang ada di atas muka bumi.

Dengan keistimewaan itu manusia mendapat kelebihan besar di akhirat sekiranya patuh kepada Allah dalam kehidupan dunia. Maka Allah mengingatkan manusia bukan sahaja tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah tetapi adanya hari kiamat dan alam akhirat yang mesti berlaku.

Surah-surah yang diturunkan di Mekah lebih banyak menyatakan perkara akidah, asasnya beriman kepada Allah dan penutupnya beriman kepada hari akhirat. Dengan perhitungan dosa, pahala dan balasan yang berlaku mengikut perhitungannya.
Dengan akal yang diberikan oleh Allah kepada manusia, dengan ilmu dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada manusia boleh mengkaji dan menyelidik. Mengikut kajian terkini ahli-ahli sains yang dahulunya tidak percaya kepada hari kiamat sekarang sudah percaya dunia akan kiamat.

Suatu masa dulu mereka telah mencipta roket untuk menembak tahi bintang supaya bumi ini selamat. Tetapi gagal, tidak ada kemampuan untuk menghadapinya. Ahli sains menyerah kalah kerana tidak mampu melawan kekuasaan Allah Ta’ala.

Di Jepun selalu berlaku gempa bumi. Mereka membuat bangunan yang ada ‘spring’ supaya tidak runtuh bengunan bila belaku gempa bumi. Bila berlaku gempa yang kuat bangunan itu runtuh juga.
Tsunami yang berlaku tidak dapat dikesan lebih awal. Ianya berlaku dengan tiba-tiba. 

Itu semua adalah dalil berlakunya kiamat.

Surah yang kita baca ini menyatakan keadaan yang lebih dahsyat lagi iaitulah terbelahnya langit. Ini menggambarkan kiamat berlaku dengan amat dahsyat. Langit lebih besar daripada bumi. Bumi ibarat sebiji pasir yang duduk di tengah-tengah ruang yang kosong bersama dengan bintang-bintang cakrawala yang banyak.

Bumi yang kita duduk kita berasa terlalu besar. Berbagai bahan ada di dalamnya. Bila dibanding dengan semua bintang-bintang di alam yang luas laksana pasir yang sangat halus.

Bukan sahaja bumi langit yang besar itu pun akan dimusnahkan. Ini makhluk Allah Ta’ala dan manusia perlu sedar bahawa kita mempunyai kelemahan.

Dimulakan surah ini dengan peristiwa terbelahnya langit menyebabkan bintang-bintang bertaburan berlaga dengan bumi dan di antara satu sama lain. Matahari hancur lebur. Semuanya dibinasakan. 

Kemudian manusia dibangkitkan dan baharulah sedar apa yang diberitahu atas dunia semuanya benar. Tidak ada guna di akhirat baharu percaya. Kita perlu percaya sekarang di atas dunia. 

Allah Ta’ala jadikan perkara-perkara disebut dalam Quran yang ada di alam dunia ini adalah benar. Apa-apa yang diberitahu oleh rasul termasuk rasul akhir zaman adalah benar. Oleh itu peristiwa hari kiamat adalah benar. Peristiwa manusia akan dihisab adalah benar.

Di hari kiamat orang-orang yang tidak beriman akan sedar Quran diwahikan kepada nabi Muhamad SAW adalah benar. Tetapi kesedaran di akhirat sudah tidak berfaedah.

Berlakunya langit terbelah dan menandakan berlakunya hari kiamat yang sangat dahsyat. Langit mendengar peristiharan dan perintah tuhan serta patuh perintah tuhan. Terbukti benarnya perintah tuhan itu. Tempohnya di atas dunia selesai bila dibelahnya langit dan musnahlah segala isinya. 

Apabila bumi diratakan dengan makna tiada lagi bukit bukau, sungai dan laut, semua yang ada dicampak dan segala isi perutnya menjadi kosong. Emas, minyak, gas dan galian-galin lain habis dikosongkan. Jadi bumi memuntahkan segala isinya. 

Semuanya mendengar dan taat kepada Allah. Langit, bumi, bukit bukau dan semuanya taat kepada Allah Ta’ala dan membuktikan kepatuhan itu. Maka berlakulan peristiwa hari kiamat yang sangat dahsyat yang akan disaksikan oleh manusia, jin dan malaikat. 

Manusia akan berdepan dengan alam baru iaitu alam hari kiamat.

KULIAH TAFSIR YT

No comments:

Post a Comment