Tuesday, November 15, 2016

MALAIKAT MEMBANTU PEPERANGAN



Kadang-kadang Allah Ta’ala menurunkan bala tentera malaikat dengan syarat kumpulan Islam mesti memenuhi syarat-syaratnya.
Nabi menyebut dalam hadis: “Kalau hendak musafir 3 orang, kalau hendak berperang dua belas ribu orang.”

Kalau tentera Islam ada dua belas ribu orang tiada sebarang musuh yang boleh mengalahkannya. Jika kalah mesti ada sebab-sebab tertentu, mungkin syarat-syarat Islam yang diperlukan tidak mencukupi.

Hari ini di Razaf keluarga yang paling gembira ialah keluarga yang ramai anak-anaknya mati syahid. Mereka diberitahu orang mati di medan perjuangan boleh memberi syafaat kepada tujuh puluh orang keluarga yang masuk neraka. Mereka gembira kerana mereka berilmu dan faham fadilatnya. 

Allah Ta’ala memberitahu malaikat juga berperang bersama orang mukmin memberi semangat dan membantu orang mukmin. Antaranya Allah Ta’ala telah membantu orang-orang mukmin dalam peperangan Badar.

Firman Allah Ta’ala suratul Anfal ayat 9: 

“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan mu lalu ia perkenan-Nya bagi mu sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala tentera sebagai bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.”

Ayat ini menceritakan Allah Ta’ala menurunkan seribu malaikat.

Firman Allah Ta’ala surah al-Imran ayat 123-125:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di dalam peperangan Badar padahal kamu pada ketika itu orang-orang yang lemah kerana itu bertakwalah kepada Allah supaya mensyukuri-Nya
ketika kamu mengatakan kepada orang-orang mukmin apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan dari langit.
Ia cukup jika kamu bersabar dan bersiap sedia dan mereka datang menyerang kamu dengan ketika itu juga nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.”

Ayat ini menyatakan Allah Ta’ala turun dengan lima ribu malaikat dalam perang Badar. Ayat terdahulu menyatakan seribu malaikat. Mungkin diturun secara berturut-turut. 

Firman Allah Ta’ala suratul Anfal ayat 10-13: 

Al-'Anfāl:10 - Dan Allah tidak menjadikan bantuan (bantuan malaikat) itu melainkan berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Al-'Anfāl:11 - (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu).
Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).
Al-'Anfāl:12 - (Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman.
Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"
Al-'Anfāl:13 - (Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Ayat ini menyatakan ketika berlaku perang Badar Allah Ta’ala menurunkan malaikat, menurunkan hujan menyebabkan nabi dan para sahabat menjadi mengantuk sehingga ada sahabat terlucut pedang di tangannya. 

Para ulamak mengatakan jika mengantuk ketika berjihad ialah pertolongan Allah tetapi mengantuk ketika sembahyang ialah syaitan.

Orang berjihad memang ada perasaan takut. Bila tuhan beri terlelap hilanglah perasaan takut. Ini adalah pertolongan Allah.

Firman Allah Ta’ala surah al-Imran ayat 126-127: 

“Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan melainkan sebagai khabar gembira bagi kamu dan akan bertenanglah hati kamu kerananya dan kemenangan itu hanyalah dari Allah yang maha kuasa lagi maha bijaksana.

Ayat ini berkait dengan peperangan Badar. Apabila Allah Ta’ala menurunkan bala tentera malaikat untuk membantu tentera Islam yang sedikit jumlahnya dan tidak banyak senjatanya menghadapi tentera musuh yang ramai jumlahnya dan banyak senjatanya.
Ayat ini menyatakan huraian kepada ayat-ayat terdahulu berkenaan dengan Allah Ta’ala menurunkan bala tentera malaikat untuk membantu orang-orang yang beriman bersama dengan Rasulullah SAW.

Terdapat kekhilafan di kalangan para ulamak. Adakah tentera malaikat itu berperang atau pun mereka turun saja-saja.
Ada kalangan ulamak mengatakan tentera malaikat turun untuk sama-sama berperang dengan orang-orang yang beriman.
Ini ditafsirkan oleh para-para sahabat yang hadir dalam peperangan Badar. Mereka melihat orang-orang yang tidak dikenali berperang bersama-sama dengan mereka. 

Dilihat bagaimana kepala orang-orang kafir dipancung dan melihat bagaimana musuh-musuh itu rebah dengan tidak sempat mereka membunuhnya. Ini menunjukkan penglibatan para tentera malaikat.

Ada ulamak mengatakan para malaikat tidak berperang. Mereka hanyalah turun untuk memberi semangat kepada orang-orang yang beriman. Dimasukkan ke dalam hati orang-orang beriman itu ketenangan dan keberanian.

Antara dalil mereka mengatakan malaikat tidak berperang kerana Allah Ta’ala menyebut: 

“Dan tidaklah Allah menjadikannya malaikat yang diturunkan itu melainkan untuk menyampaikan berita gembira kepada kamu dan untuk menenangkan hati-hati kamu supaya kamu tidak merasa takut dan tidak ada kemenangan itu melainkan datang daripada sisi Allah yang maha perkasa lagi maha bijaksana.”

Kemenangan itu bukan perbuatan manusia, bukan rekaan manusia tetapi kemenangan itu adalah pemberian daripada Allah Ta’ala apabila orang-orang beriman itu ikhlas hatinya kerana Allah Ta’ala.

Niat kerana Allah bukan sahaja bila hendak sembahyang seperti sahaja aku sembahyang Zohor kerana Allah Ta’ala.
Termasuklah juga berjihad dengan niat kerana Allah Ta’ala bukan kerana untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia atau untuk mengejar kemewahan dunia tetapi supaya agama Allah itu menang.

Seorang sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: 

“Ya Rasulullah orang yang berperang kerana kepentingan kaum, orang yang berperang supaya dilihat oleh orang dia berani siapa yang sebenar berjuang kerana Allah.”

Jawab Rasulullah SAW: “Orang yang berjuang supaya kalimah Allah itu tinggi itulah dia fi sabilillah.”

Apa makna kalimah Allah itu tinggi?

“Dialah tuhan yang telah mengutuskan rasul-Nya Muhamad SAW dengan petunjuk dan agama yang benar iaitulah agama Islam supaya agama Islam ini mengatasi segala ajaran-ajaran yang lain.”

Apa makna mengatasi segala ajaran-ajaran yang lain?
Bermakna hukum hakamnya memerintah, hukum hakamnya berkuasa, undang-undang Islam mengatasi hukum yang lain. Jika hukum yang lain mengatasi hukum Islam bermakna Islam dipijak-pijak. 

Inilah perjuangan yang mesti diambil oleh orang Islam supaya Islam itu memerintah dan berdaulat sebagaimana yang dilakukan oleh nabi Muhamad SAW. 

Setelah tidak boleh memerintah di Mekah maka nabi SAW berhijrah ke Madinah untuk mendirikan kerajaan Islam. Kemudian nabi SAW menghadapi musuh-musuh yang hendak menjatuhkan kerajaan Islam. Inilah dia Islam yang diajar oleh nabi SAW.

Firman Allah Ta’ala surah Ahzab ayat 9: 

“Hai orang-orang yang beriman ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika datang kepada kamu tentera-tentera lalu kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu lihat dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Ayat ini berkait dengan peperangan Ahzab. Peperangan Ahzab ialah peperangan yang berlaku pada bulan Syawal di zaman nabi SAW yang kita sebut WAHAZAMAL AHZA BAWAHDAH dan Allah Ta’ala membinasakan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.
Tentera Ahzab ialah tentera yang ditubuhkan dengan kerjasama di antara pemimpin Yahudi di Madinah yang datang ke Mekah bersama pemimpin-pemimpin Mekah dan ketua-ketua kabilah Arab yang berada di keliling Mekah dan Madinah padahal pemimpin-pemimpin Yahudi ini adalah ahli Kitab. 

Ahli kitab ialah mereka yang tahu kitab. Zaman sekarang ahli kitab orang panggil tok guru dan ustaz. 

Orang Yahudi adalah ulamak-ulamak, pemimpin ahli kitab yang tahu Taurah dan Injil serta tahu berkenaan Rasulullah SAW.
Setelah Rasulullah SAW datang ke Madinah mereka tengak sendiri di hadapan mata mereka muka Rasulullah SAW, tubuhnya, perangainya betul sebagaimana yang disebut dalam kitab Taurah, kitab Injil dan disebut oleh nabi-nabi Bani Israil. 

Malangnya bila nabi SAW datang ke Madinah mereka tidak beriman kerana mereka merasakan jika ikut nabi akan jadi susah dan hilangkan kekayaannya. Tambahan pula nabi yang dilantik oleh Allah Ta’ala dari kaum Arab bukan kaum Yahudi. 

Jadi semangat kebangsaan tinggi sangat. Macam sesetengah orang kita, terlalu tinggi semangat kebangsaan menyebabkan Islam entah duduk di mana. 

Dalam senyap-senyap ahli kitab ini pergi ke Mekah dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Mekah. 

Sebelum diajak berfakat pemimpin Mekah bertanya:
“Kami ini berperang dengan Muhamad yang mengaku menjadi nabi, kamu adalah golongan ahli kitab, orang yang ada ilmu, kami hendak tahu yang mana betul antara kami dengan Muhamad.”

Lalu pemimpin-pemimpin dan ulamak ahli kitab mengatakan:
“Kamu yang betul, Muhamad yang sesat.”

Mereka sanggup bercakap begitu padahal tahu syurga neraka. Jadi kita jangan berasa pelik sebab apa di zaman kita ini orang yang tahu Islam tetapi lawan perjuangan Islam. 

Mereka berfakat menubuhkan satu barisan bersekutu, dikumpulkan kabilah-kabilah Arab membentuk satu bala tentera yang dinakan Ahzab. Jumlahnya dianggarkan sepuluh ribu tentera yang lengkap dengan alat-alat perang di zaman itu. 

Orang Madinah di masa itu orang Islam tidak sampai lagi sepuluh ribu. 

Apabila anggota risikan memaklumkan kepada nabi SAW bahawa orang-orang Yahudi dan Quraisy membentuk tentera Ahzab dan mereka sudah bersedia untuk menyerang Madinah, nabi bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya bagaimana hendak menghadapi tentera Ahzab yang ramai ini.

Salmanul Farisi RA, seorang yang berasal dari Farsi (Iran) yang masuk Islam dan menjadi sahabat yang setia kepada nabi SAW. Salman memberitahu Rasulullah bahawa orang-orang Iran bila berperang menghadapi musuh yang ramai mereka menggali parit sebagai benteng pertahanan. 

Rasulullah menerima pandangan Salman lalu digali parit keliling Madinah secara gotong royong mengikut kawasan masing-masing. Parit lebar yang tidak mampu dilompat oleh kuda berjaya disiapkan dalam waktu yang singkat.

Allah Ta’ala menyebut dalam ayat-ayat yang panjang dalam satu surah dinamakan surah Ahzab dalam Quran. 

Antaranya dihuraikan: 

“Dan ingatlah apabila musuh datang untuk menyerang kamu dari atas dan bawah ada orang yang terbeliak matanya kerana ketakutan dan jantung-jantung hampir terjeluak ke halkam dan kamu telah melakukan sangkaan terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. 

Orang-orang beriman mempunyai sangkaan yang benar, sangkaan Allah Ta’ala akan memenangkan.”

Orang-orang lemah iman berkata:
“Habislah kita sekali ini.” 

Orang-orang munafik pula berkata:
“Inilah peluang kita hendak menghapuskan Muhamad.”

Allah Ta’ala menyebut dalam ayat yang lain: 
 “Dan orang-orang beriman itu menjadikan Rasulullah SAW ikutan yang paling baik. Kepada mereka yang mengharapkan pahala Allah dan ingat ke hari akhirat mereka ingatkan Allah sebanyak-banyaknya.”

“Dan manakala orang-orang beriman melihat bala tentera Ahzab yang jumlahnya tersangat ramai mereka berkata:
inilah yang telah dijanji oleh Allah dan rasul-Nya.”

Janji bermakna orang beriman akan diuji oleh Allah. Jika tidak diuji menandakan imannya tidak penuh.

Tuhan juga menyebut ada kalangan orang beriman yang hendak mati dalam perjuangan Islam. Mereka ini sekali-kali tidak akan mengubah janji mereka. 

Ada kalangan mereka yang sudah mati syahid dalam peperangan Badar dan peperangan Uhud.

Peperangan Ahzab berakhir dengan penurunan angin kencang yang sejuk dan pertolongan tentera-tentera malaikat. Allah Ta’ala masukkan perasaan gerun ke dalam hati-hati mereka dan Allah Ta’ala jadikan mereka berbalah sesama mereka.

Seorang baru masuk Islam minta izin dengan nabi hendak masuk dalam tentera musuh. Sepatutnya bila cemas tidak ada orang masuk Islam. Tetapi ada kerana Allah Ta’ala jadikan begitu. 

Ada seorang berjumpa dengan Rasulullah dan masuk Islam tetapi dia minta jangan memberitahu kepada sesiapa. 

Katanya:
“Saya hendak masuk dalam bala tentera Ahzab, saya kenal ketuanya Abu Sofian, saya kenal pemimpin-pemimpin Bani Bakar dan pemimpin-pemimpin lain. Saya hendak laga-lagakan mereka.”
Maka nabi SAW izinkan dalam keadaan dia tidak diumumkan keislamannya. Dia merangkak masuk ke dalam pasukan tentara bertemu dengan satu kumpulan memberitahu kumpulan sana tidak serius. 

Dia pergi pula ke kumpulan lain dan memberitahu perkara yang sama. Dia berjaya menimbulkan perasaan ragu di kalangan mereka.

Rasulullah menugaskan Kudzaifah ibni Yaman, seorang sahabat, untuk mengintip dan dalam keadaan gelap dan sejuk dia berjaya balik semula ke khemahnya.

Peperangan Ahzab berakhir dengan tentera Ahzab melarikan diri dan mencabut khemah masing-masing.

Kisah-kisah turunnya malaikat bukan sahaja berlaku di zaman nabi bahkan berlaku juga di zaman kita ini.

Di Afganistan ketika bertempur dengan tentera Rusia para mujahidin melihat para malaikat bersama dengan mereka.
Antara contohnya, sebelum berlaku serangan udara mereka melihat burung-burung berterbangan memberi isyarat supaya mereka berundur di gua-gua. Jadi ada penglibatan malaikat di Afganistan.
Di Palastin dilihat ada tentera malaikat memberi semangat kepada mujahidin. 

Para malaikat memayungkan jenazah orang yang mati syahid yang dinyatakan dalam hadis.  

“Dari Jabir RA katanya manakala ayah aku dibunuh syahid aku telah membuka kain yang menutup mukanya dan aku menagis, mereka melarang aku tetapi Rasulullah SWT tidak melarang.
Kemudian ibu saudara aku menangis lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Sama ada kamu menangis atau kamu tidak menangis malaikat masih lagi memayungnya dengan sayap mereka hinggalah kamu mengangkatnya.” (Riwayat Bukhari)

Ini peristiwa peperangan Uhud. 

Jabir bin Abdullah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis. Jabir tidak pergi beperang kerana umurnya masih muda. Dia ada ramai adik beradik perempuan. 

Pada malam hendak berperang ayahnya memanggil dia dan berkata: 

“Wahai Jabir kamu ramai adik beradik perempuan. Aku berasa akan mati dalam medan perang Uhud ini. Jika aku mati kamu hendaklah menjaga baik-baik adik beradik kamu.”

Memang betul Abdullah mati dalam medan peperangan Uhud. Jabir pergi melihat mayat ayahnya yang berlumuran darah lalu dia menangis. 

Para sahabat melarang dia menangis tetapi nabi tidak melarangnya. Mak saudaranya iaitu adik kepada Abdullah juga menangis. 

Nabi berkata kamu menangis atau tidak aku melihat malaikat memayung mayat dengan sayapnya. Ini menunjukkan mayat dimuliakan oleh malaikat.

Semua mazhab mengatakan orang yang mati syahid di medan tidak boleh dimandikan dan ditanam dengan pakaiannya berlumuran darah. Dalam mazhab Syafie jenazah itu tidak perlu disembahyang

Mazhab-mazhab lain mengatakan mesti disembahyangkan juga.

Hujahnya, Syafie kata nabi tidak sembahyang jenazah orang yang mati dalam perang Badar dan Uhud. Menunjukkan bahawa sembahyang jenazah orang yang mati syahid di medan tidak wajib. 

Mazhab lain mengatakan bahawa nabi pernah pergi sembahyang selepas itu di kubur syuhada-syuhada Uhud menunjukkan bahawa disembahyangkan juga. Di sini timbul khilaf di kalangan ulamak yang masing-masing ada hujah.

Syuhada yang mati syahid di medan mempunyai kelebihan antaranya jenazah dipayungi oleh sayap-sayap malaikat.

KULIAH YT

No comments:

Post a Comment